12 September 2007

Insiden Batu Burok: PAS hantar memo ke Bukit Aman

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Oleh FATHI ARIS OMAR

KUALA LUMPUR: Kejadian rusuhan di Batu Burok yang mencederakan dua anggota PAS akan dilaporkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman esok, kata timbalan presiden parti itu Nasharudin Mat Isa hari ini.

Program itu yang dianjurkan Pemuda PAS bertujuan melaporkan beberapa fakta yang dikumpul parti itu berhubung dakwaan salah laku dan keganasan polis dalam kejadian tersebut, tambahnya.

"Kita bimbang dengan budaya trigger-happy anggota polis, termasuk penggunaan peluru hidup dan cara polis menangani kejadian itu," katanya dalam sidang media di sini selepas melancarkan program 'PAS untuk Semua' petang tadi.

Di majlis itu, PAS juga melancarkan laman web Ren Min Shi Shi, buletin parti itu yang ditulis dalam bahasa Cina.

Ditanya kejadian membakar bendera Jalur Gemilang, Nasharudin berkata PAS mencurigai foto itu dengan alasan ia mungkin dilakukan oleh pihak yang sengaja ingin memburukkan partinya.

Foto seorang lelaki bertopi keledar yang sedang membakar bendera Malaysia seperti dipaparkan di media menjadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa anggota dewan menggesa individu bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas, termasuk melucutkan kerakyatannya.

Nasharudin mengesahkan dua yang tercedera dalam kejadian tersebut adalah anggota PAS, seorang daripadanya ahli jawatankuasa PAS kawasan Marang. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama mereka.

Katanya, beliau baru sahaja menelefon Suwandi Abdul Ghani, 37, yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia akibat cedera tertembak di bahagian paru-paru dan mangsa kini stabil.

Ditanya sama ada beliau berbincang dengan mangsa tentang kejadian sebenar sehingga tercetus insiden tembakan, Nasharudin berkata beliau hanya bertanya khabar tentang kesihatan Suwandi dan tidak membincangkan perkara itu dengannya.

Polis menyatakan kejadian tembakan itu berlaku selepas diserbu sekumpulan orang, yang dipercayai penyokong pembangkang, di kawasan letak kereta sebuah hotel berdekatan kawasan kejadian.

Nasharudin menambah, penyerahan memorandum PAS esok akan disusuli dengan laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Khamis dan perhimpunan besar di Rusila, Marang pada Jumaat.

Suhakam dilaporkan prihatin dengan kejadian pada malam Sabtu hingga awal Ahad lepas yang membabitkan lebih 500 penyokong pembangkang sehingga menyebabkan empat tercedera dan 23 ditangkap.

Nasharudin berkata, penjelasan pemimpin-pemimpin PAS di Masjid Rusila nanti akan dirakam dan diedarkan kepada orang ramai.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan Ketua Polis Terengganu SAC Datuk Ayub Yaakob yang didakwanya banyak percanggahan.

"Pada mulanya dilaporkan satu das tembakan, kemudian dua das. Hari ini, empat das pula," katanya.

Beliau juga menjelaskan, PAS tidak terlibat sepenuhnya dalam ceramah pada malam kejadian kerana program itu anjuran Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), sebuah pakatan bersama parti-parti pembangkang lain dan badan bukan kerajaan.

nota: Copy dari TKO. Untuk bagi peluang mereka yang tak dapat masuk baca artikel dr sana.


No comments: