Gambar di atas sudah beberapa kali aku masukkan dalam blog ini. Tak lain dan bukan hanyalah kerana gambar ini begitu hangat sekali diperkatakan. Gambar ini aku ambik dari akhbar Berita Harian, 10 Sept 2007 di halaman 4. Gambar ini mungkin diambil oleh IMRAN MAKHZAN dari BERITA HARIAN. Aku katakan IMRAN MAKHZAN adalah kerana tertulis nama beliau pada tepi gambar berkenaan. Aku tidak kenal siapa IMRAN MAKHZAN, tetapi pada aku beliau bolehlah menjadi saksi utama KES BAKAR BENDERA ini. Beliau yang paling hampir, sudah tentu beliau tahu ke mana hala tuju pemuda itu selepas membakar kejadian berkenaan. Paling kurang, mungkin ada gambar-gambar lain lagi yang menunjukkan siapa pemuda berkenaan.
Pada aku perbuatan membakar bendera negara sendiri memang biadab. Sebab bendera merupakan panji negara dan menjadi lambang kepada negara. Sebab itu jika mahu menunjukkan kebencian, dan kemarahan kepada sesuatu pihak atau negara, maka 'membakar bendera' adalah menjadi simbolnya. Dalam kes ini, IMRAN MAKHZAN pada aku berjaya menunjukkan kepada rakyat Malaysia ada pihak yang tidak menghormati Jalur Gemilang, namun apa pula tindakan IMRAN MAKHZAN dalam mencegah perbuatan tersebut, atau sudikah IMRAN MAKHZAN tampil ke hadapan menjadi saksi?? Polis, SB, Menteri perlu desak IMRAN MAHKZAN ini tampil dan membuat kenyataan kes ini. Jika tidak menteri hanya berkokok marahkan pembakar bendera, tetapi dilihat tidak mahu menyelesaikan kes ini dengan segera!
Sewaktu kita sibuk menyambut kemerdekaan baru-baru ini juga aku sempat terbaca satu artikel dari pihak pemerintah berkenaan tata susila menghormati bendera negara. Antara yang disebut dan diajar adalah cara memasang bendera pada kenderaan, susunan bendera sekiranya ada bendera negeri, kesalahan yang biasa dilakukan dalam hal bendera dan macam-macam lagi berkaitan bendera. Antara kesalahan yang pada aku menarik dan agak kelakar (namun ada sedikit logik!) adalah membuat kek berbentuk bendera. Ini kerana kek bendera itu nanti akan dipotong-potong (baca dengan kefahaman dipotong dengan cara ganas dan kejam) dan akan dimakan. Aku sebelum ini langsung tidak tahu berkenaan hal ini. Alhamdulillah aku tidak pernah pula "memakan Jalur Gemilang" yang aku sayangi itu.
Beberapa hari selepas membaca artikel berkenaan, aku terjumpa satu gambar dalam Berita Harian yang menunjukkan suasana di bawah:
Ohh, ini menteri! Apakah menteri di Malaysia tidak tahu kesalahan memotong kek (dengan pisau yang tajam, dah tentu dengan cara kejam dan ganas!) ini akan dikira menghina Jalur Gemilang?? Aku tertungu-tunggu juga sekiranya ada pihak yang menegur cara sambutan berkenaan, namun sehinggalah malam 31 Ogos pun tiada pihak yang tampil menegur perbuatan menghina Jalur Gemilang ini. Aku kira mungkin menteri ini tidak tahu perbuatannya salah, namun aku kira perlu menteri terbabit dan pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pemotongan kek ini meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesalahannya itu. Aku bukan zalim mahu menghalau menteri yang tidak menghormati Jalur Gemilang ke luar negara, cuma aku mahu menteri juga bertanggungjawab terhadap perbuatannya.
Berbalik kepada siapa yang membakar bendera, aku kira seluruh pimpinan PAS pun setuju jika aku katakan mereka yang membakar berkenaan perlu disiasat samada rakyat Malaysia, Mat Rempit, Pendatang Haram, Pemuda UMNO, hatta pemuda PAS sendiri pun!. Aku kira semua rakyat Malaysia tidak mahu bersekongkol dengan pemuda yang tidak beradab ini!!
Nota: Jalur Gemilang dijadikan Kek sebenarnya merupakan satu kesalahan yang disebutkan. Adapun POTONG KEK tu saje aku sedapkan sebab Kek memang kena potong kalu nak makan. So, aku gambarkan potong kek itu sebagai MEROSAKKAN Jalur Gemilang dan ayat kejam dan zalim tu nak tunjukkan KESALAHAN sahaja. Wallahua'lam.
amdang: Adapun isu bakar bendera sengaja diadakan bagi mengalih perhatian TEMBAKAN PELURU HIDUP.
No comments:
Post a Comment