23 January 2008

Lagi Kisah Ahli UMNO masuk UMNO.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pagi-pagi lagi aku agak terkejut bila baca paper. Penggerak Pondok Nyamuk, 304 keluar PAS. Kalu diikutkan Jabi ni kampung zaujah aku. Walaupun dia tidak lagi menetap di situ, namun aku biasa ke sana kerana ramai sahabat-sahabat lama yang ada di DUN yang agak ketinggalan itu.

Atas sedikit rasa tanggungjawab, aku bersegera (petang dah sebenarnya!!) mendapatkan sedikit kepastian dari orang tempatan di sana. Kebetulan ada seorang kawan merupakan tenaga pengajar di Pondok Matlain Badrain yang turut dikenali dengan Pondok Nyamuk bekerja di sana. (mesti ada yang kata, ramainya kawan mung medan! situ ada, sini ada. Politik beb! kena kawan belaka!)
Kesian Deris terpaksa turun ke Jabi yang sudah lama bergolak. KLIK

Siapa Mohamad Daud yang mengetuai masuk UMNO tu? Mohamad Daud dikenali dengan Ustaz Mad oleh penduduk di sini suatu masa dulu. Dia ni merupakan Bekas Penyelia KEMAS Wilayah Persekutuan. Ketika dia datang ke Pondok Nyamuk suatu ketika dulu, dia mengatakan dia letak jawatan semata-mata mahu bersama-sama dengan PAS. Dia juga ada membina sebuah rumah di kawasan pondok.

Akhirnya terbongkar rahsia bahawa dia ni dipercayai dipecat dari jawatan kerana melakukan penyelewengan dan bukannya letak jawatan untuk bersama PAS. Ada sumber mengatakan sebenarnya dia ni tidak pernah pun mengisi borang PAS dan masih UMNO. Cuma kerana disisihkan UMNO, dia mula merapati PAS. Mungkin sikap PAS yang tidak berburuk sangka menyebabkan dia mudah diterima.

Sebelum tahun 2004, Ustaz Mad (menghormati panggilan seorang sahabat yang masih memanggilnya ustaz) secara rasminya telah dipinggirkan oleh para penduduk Pondok Nyamuk. Ini disebabkan perlakuan 'kurang sihat' yang diamal olehnya yang dikesan oleh para penduduk pondok. Ramai anak muda mengadu menjadi mangsa perbuatan Ustaz Mad tersebut. Sehinggalah dia sendiri terasa terpinggir dengan perbuatannya itu dan mula keluar dari kawasan pondok.

Memang dia masih punya rumah dalam kawasan pondok, tetapi rumah tu sesekali sahaja dijenguk. Orang sekeliling juga sudah tidak ambil peduli dengan dia. Akhirnya dia muncul kembali dengan masuk UMNO. Jika dia dikatakan penggerak Pondok Nyamuk, penduduk tempatan mudah sahaja menafikannya kerana dia sendiri datang selepas pondok itu dibangunkan.

Siapa pula Abdul Manaf Idris yang dikatakan Bekas Ketua Pemuda PAS Besut di dalam Akhbar Utusan? Ingatkah kalian pada Ayah Pin Angkasawan Pertama Negara? Jika ingat, tentu kalian ingat bagaimana Ayah Pin terpaksa naik ke 'Langit' setelah 'Perkampungan Hadharinya' dirobohkan oleh sekumpulan lelaki. Kumpulan lelaki itu turut disebut diketuai oleh bekas pimpinan PAS Besut. Sebenarnya Abdul Manaf ini merupakan sebahagian dari pengikut bekas pimpinan PAS terbabit iaitu Ustaz Abd Latif. Ustaz Latif menjadi bekas pimpinan setelah dipecat keahliannya oleh PAS.
Abdul Manaf sendiri sebenarnya sudah lama mengisi borang UMNO. Mungkin ini kali ke 10 dia masuk UMNO. Biarkan dia.

Lagi 303 yang lain? Mesti panjang tulisan aku jika aku perincikan satu-satu. Sebenarnya jumlah 303 itu lagi boleh dibahagikan kepada dua. Satunya memang mereka merupakan asalnya ahli UMNO dan masih UMNO, dan sebahagian besar lagi merupakan mereka yang tidak tahu apa-apa. Mengikut maklumat yang diterima memang ada nama Orang PAS yang menghantar borang, tetapi individu terbabit tidak tahu apa-apa.

Kenapa ini boleh berlaku? Sebenarnya mereka yang tidak tahu apa-apa ini telah dan pernah mengisi borang permohonan bantuan dari kerajaan dan pihak JKK. Bantuan itu meliputi bantuan Persekolahan, bantuan Wang Ehsan dan pelbagai nama bantuan lagi. Senarai nama mereka inilah dipilih oleh UMNO untuk diisi dengan borang keahlian UMNO sekiranya mereka didapati belum menjadi ahli walaupun mereka itu tidak berniat demikian. Betapa baiknya UMNO.

Orang UMNO ni memang jenis tak reti malu. Dia masuk UMNO, pastu daftar UMNO lagi, pastu daftar lagi, pastu daftar lagi. Itulah realiti yang ada di sana. Seperti kata seorang lagi sahabat, "10 kali dah puak-puak ni masuk UMNO".

Aku sebelum ini juga bimbang dengan satu tulisan di Harakah yang menyebut PAS tidak bimbang dengan mereka yang keluar. Maka, hari ini jika 50 Juta ahli UMNO ngaku PAS dan Masuk UMNO, pastu masuk lagi, masuk lagi pun aku percaya PAS memang tidak akan bimbang. Namun penipuan dan memesongkan fakta seolah-olah ahli PAS yang masuk UMNO itulah sebenarnya jerat mereka.

Dalam keadaan sekarang sebenarnya tiada sebab ahli PAS mahu keluar dari PAS. Ahli PAS tak berebut projek, Ahli PAS tidak berebut jawatan, malah PAS juga tidak terliur dengan wang ehsan yang tidak seberapa ringgit itu. Tidak pernah pula keluar akhbar ada yang mati kerana tidak mendapat Wang Ehsan.

Namun, jika dikatakan ada ahli PAS masuk UMNO kerana dalam PAS tak ada projek, dalam PAS asyik kena bagi derma dan dalam PAS tak boleh buat maksiat, maka aku akan akui bahawa itu merupakan suatu 'KESILAPAN' PAS yang paling besar!

Wallahua'lam

1 comment:

Anonymous said...

Kalu kita ikut sejarah yang lepas-lepas dari akhbar... rasa-rasanya Pas dah tak dok ahli...

Semua dah masuk AMNO...