20 January 2008

Alhamdulillah.. Suwandi & Azman boleh dijamin

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Syukur rasanya bilamana mendapat berita Suwandi dan Azman dapat diikat jamin. Takbir kemenangan tiba-tiba memecah suasana 1000 para penyokong Suwandi dan Azman yang sedang berzikir dan bertahmid. Jam ketika itu kira-kira menunjukkan pukul 11.00 pagi. Perkarangan Mahkamah Kuala Terengganu sayu seketika bilamana takbir kemenangan itu bergema.

Ramai dilihat bersalam-salaman mengucapkan tahniah antara satu sama lain. Pada aku, kemenangan itu walaupun masih peringkat permulaan, namun ianya berkat kesabaran dan sokongan semua pihak yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kerjasama dalam membantu Suwandi dan Azman.

Secara spontan, diadakan kutipan derma kilat bagi menjamin Suwandi dan Azman yang dikenakan jaminan RM 3000 seorang. Alhamdulillah kutipan dalam jangkamasa yang singkat itu melebihi jumlah RM 6000 yang dikehendaki.

Sebelum itu, jam 10.00 pagi telah diadakan Solat Hajat buat kali ke 3 di perkarangan Mahkamah. Solat Hajat yang diketuai oleh Ustaz Dato' Abu Bakar Chik telah diikuti doa yang menyentuh hati oleh Ustaz Kamaruzzaman Abdullah. Aku anggarkan separuh yang hadir turut serta menunaikan solat.

Suasana agak hangat seketika bilamana pimpinan BERSIH dan PAS cuba diugut oleh pihak keselamatan dengan ugutan akan ditangkap. Para penyokong segera ke depan dan memastikan semua pimpinan selamat dibawa keluar dari kawasan perhimpunan. Alhamdulillah semuanya terkawal.

Selepas itulah diadakan majlis zikir dan tahmid bagi memastikan perhimpunan adalah baik dan terkawal. Alhamdulillah para penyokong memberikan kerjasama yang baik dan boleh dipuji kerana mampu bersabar walaupun panas dengan cuaca dan situasi yang ada. Ini menunjukkan betapa rakyat semuanya menolak sebarang bentuk keganasan dan kekacauan sekiranya tiada pihak yang melakukan provokasi ataupun memulakan provokasi. Selagi mana lunas undang-undnag diikuti dan dijaga, rakyat umumnya tiada masalah untuk memberi kerjasama.

Kira-kira jam 11.45, para peguam dan pimpinan telah mula keluar dari mahkamah. Sedikit ucapan ringkas dari Hanifa Maidin, Ustaz Dato Abu Bakar Chik dan YB Salahudin mengakhiri perhimpunan sebelum ditutup dengan bacaan doa oleh Ustaz Abu Bakar Chik. Pesan Dr Syed Azman yang bertindak selaku pengerusi majlis, Haji Mohamad Sabu tidak dibenarkan berucap di situ kerana mahu disimpan pada malam ini.

Sebagai makluman, malam ini akan diadakan satu ceramah di Batu Enam. Penceramah terdiri dari Haji Mohamad Sabu, Ustaz Abu Bakar Chik, Salahudin Ayub dan beberapa pimpinan yang lain.

wallahua'lam.

Gambar-gambar awal pagi dari TKO. Selepas 9.30pagi semakin ramai hingga mencecah 1000 orang aku anggarkan. Gambar setakat itu sahaja kerana kamera aku kehabisan bateri. Huhuhu..

No comments: