17 March 2008

Kisah Pok Da Beruk

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari ini aku bersarapan pagi dengan Pok De Beruk. Seorang yang berpangkat pakcik berumur kira-kira 50 tahun lebih. Tubuh tegap, tinggi kira-kira 175cm. Bermisai tebal namun sentiasa senyum dan kuat ketawa bila berbual menyebabkan misainya tidak ditakuti. Mesti tiada antara kalian yang kenal Pok De Beruk ni.

Aku sebenarnya dari Hotel Perdana, Kota Bharu menuju Terengganu. Sempat singgah di Pasir Puteh untuk bersarapan pagi di sebuah kedai yang semacam Markas PAS layaknya. Sarapan pagi itu atas pelawaan YB Drs Zainudin Awang Hamat. YB lebih selesa dengan panggilan Cikgu Din sahaja.

Ketika jalan beriringan menuju kedai makan dengan Cikgu Din yang sudah memasuki penggal ketiga di Dun Limbongan itu, aku sempat bertanya, "Kedai makan ke markas ni?"

Aku kehairanan bila melihat kedai makan yang dituju itu dipenuhi dengan bendera dan poster bulan. Bunting Cikgu Din juga banyak memenuhi ruang luar kedai terbabit.

"Masuk la dulu" Jawab Cikgu Din yang turut dikenali masyarakat tempatan dengan panggilan Pak Muda.

Sebaik masuk ke kedai dan memberi salam, Cikgu Din bersalaman dengan semua pelanggan. Aku turut bersalaman. Kemudian diberikan kerusi untuk duduk bersebelahan dengan Cikgu Din, aku dikenalkan dengan beberapa pelanggan yang ada dalam kedai. Ketika sedang rancak berbual, melintas seorang lelaki memakai 'kasut bot' di hadapan kedai. Cikgu Din segera memanggil lelaki berkenaan.

"Ni Pok De. Orang sini panggil dia Pok De Beruk sebab dia ada bela beruk. Kalu setakat lembu sekor tu, padan dia sorang je perebah dan sembelih" Terang Cikgu Din setelah kami bersalaman dengan Pok De. Aku senyum mendengar penjelasan sambil melihat susuk tubuh yang tegap itu.

"Kedai ni sebenarnya baru je dibuka selepas penamaan calon. Sebelum ni pelanggan sini minum di kedai depan sana" Tuding jari Cikgu Din ke seberang jalan. Aku tidak nampak kerana kedai yang dimaksudkan terlindung pokok dan agak jauh. Aku agak kira-kira 50-100 meter juga jarak mengikut ibu jari Cikgu Din itu.

"Ada sekali tu Pok De bawa gambar Tok Guru (Nik Aziz) dan tampal dalam kedai kopi tu, tetapi kemudian dibuang oleh anak pemilik kedai berkenaan. Malam tu juga kedai ni didirikan dan semua pelanggan kedai tu lari ke sini." Sambung Cikgu Din.

"Hari ni kedai tu tak buka dah. Selama ni, puak-puak ni la hok duk minum kedai dia tuu" Sahut seorang pelanggan.

"Pok De pakat dengan orang-orang kita buat kedai ni. Wakaf tu pakat usung ramai-ramai" Pok De bersemangat menyampuk sambil menunjuk sebuah wakaf di tepi kedai. Kecil je.

"Kalu nak tahu, Pok De ni ditawarkan UMNO sebanyak RM2100 untuk undi UMNO" Terang YB Cikgu Din.

"Puak-puak UMNO dengar Pok De kata Pok De tak akan undi Cikgu Din, jadi mari selalu la puak-puak UMNO tu kat Pok De. Malah Pok De kata haram untuk Pok De pangkah Cikgu Din. Walhal Pok De nak pangkah bulan!" Pok De ketawa besar sambil bercerita. Beberapa pelanggan turut ketawa dengan cerita Pok De mengenakan orang UMNO tersebut.

"Mana ada orang pangkah Cikgu Din, orang memang pangkah bulan. Sebab bukan muka Cikgu Din dalam kertas undi" Sahut seorang lelaki yang agak berumur. Senyum. Aku ketawa kecil. Hampir-hampir berair air mata ketawa.

Mengikut Cikgu Din, kedai kopi tersebut merupakan 'Parlimen' bagi penduduk tempatan berbicara soal politik. Di situ dia akan dihentam mahupun dikutuk. Melihat kepada mini parlimen yang mampu menempatkan kira-kira 25 pelanggan dalam satu-satu masa itu, suasana di Pasir Puteh itu khususnya di Kelantan cukup berbeza dengan lain-lain tempat. Walaupun dimonopoli penyokong PAS, namun turut ada yang mempunyai latar belakang UMNO turut serta. Malah perbahasan dan debat mereka cukup muhibbah.

Panjang jika mahu dikisahkan kisah Pok De Beruk ini sepanjang sejam lebih aku minum kopi 'O' dan sebungkus Nasi Kerabu. Semuanya membuat aku tidak kering gusi dan makin cuba memahami apakah politik orang Kelantan yang mampu membuat mereka mudah bertukar kepada PAS dan selesa dengan PAS berbanding negeri-negeri lain.

Jika ada kerajinan, aku suka untuk menyambung kisah Pok De Beruk ini. Doa-doa la supaya aku rajin je. :)

2 comments:

Mohd Abdul Rahim said...

Assalamualaikum. Ambo nak tanya alik mana kedai make tuh, bulih ambo gi jengok kalu balik PP.

ambo.nih(ukjbc)

amdang81 said...

alamak.. susah la nak royak kat mano.. tp seingat ambo kedai tu tepi masjid..

dengan pekan pasir puteh tu kira dekat laa.... ambe ni x familiar mana gok sebenarnya situ.. tp kalu g semula insyaAllah jupe kot tempat tuu.