KUALA TERENGGANU, 15 Mac (Hrkh)- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Seri Idris Jusoh patut menerima hakikat bahawa kerusi panas jawatan Menteri Besar itu bukan lagi menjadi miliknya selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Negeri Terengganu Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Ini kerana beliau dipercayai kurang disenangi pihak Istana setelah dilihat dalam masa sepenggal dilantik sebagai Menteri Besar, Idris dikatakan memerintah negveri umpama "bersultan di mata, beraja di hati" serta banyak mengguris hati dan perasaan pihak Istana.
Sebenarnya, beliau telahpun menerima surat 'penolakan' daripada menjadi menteri besar dari pihak Istana sebagaimana rakan senasibnya di Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim.
Sumber Harakah memaklumkan Idris Jusoh tidak dapat menerima hakikat tersebut dan telah berusaha dengan pelbagai cara bagi 'merebut' kembali jawatan tertinggi negeri itu kembali ke pangkuannya walau dengan apa cara sekali pun. Hari ini (15 Mac 2008), semua 24 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang memenangi pilihan raya lalu dipanggil ke Kuala Lumpur menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu mesyuarat khas di sebuah hotel di Putrajaya.
Menurut sumber tersebut, Idris tidak akan hadir ke majlis tersebut tetapi menghantar 'spy' (pemerhati) bagi melihat serta memerhatikan di kalangan Adun-Adun tersebut yang menolaknya sebagai calon MB Terengganu. Kemelut ketiadaan menteri besar berlarutan sejak seminggu lalu dan desas-desus bahawa ia bukan lagi menjadi milik Idris semakin menjadi kenyataan. (Bagaimanapun pertemuan di Putrajaya itu kemudiannya dibatalkan).
Dua calon dikatakan disenarai pendek, iaitu Adun Chukai, Dato' Muhamed Awang Tera dan Adun Teluk Pasu, Dato'Abdul Rahim Said mungkin menjadi pilihan pihak Istana berbanding tiga lagi nama yang juga dicalonkan.Antara nama-nama yang dicadangkan iaitu Adun Ajil, Dato' Rosol Wahid, Dato' Ahmad Said (Kijal) dan Dato' Din Adam (Bukit Besi) yang pada pandangan umum rakyat dilihat lebih bermasalah daripada Idris sendiri.
Perlantikan Menteri Besar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sepatutnya dijadual pada hari Isnin (10 Mac) lalu telah ditangguhkan serta-merta oleh Datuk Bentara Luar, Dato� Omar Pilus pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Watikah perlantikan tersebut sepatutnya akan diserahkan oleh Pemangku Raja, Tengku Muhamad Ismail Tengku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah. Idris dikatakan 'mati kutu' apabila secara tiba-tiba pada hari tersebut majlis dibatalkan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Terengganu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
Sekembalinya dari Kuala Lumpur, berpuluh-puluh buah kenderaan dipercayai penyokong Idris dari Besut berarak ke Kuala Terengganu bagi menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Ketibaan beliau itu disambut hampir 500 orang penyokong dengan laungan "Hidup Umno", "Hidup Idris Jusoh" serta slogan "Gelombang Biru" bagi menunjukkan kekuatan sokongan terhadapnya oleh rakyat.
Harakah dimaklumkan juga terdapat 'kecaman' terhadap Istana oleh penyokong Idris yang menggesa agar pihak Istana tidak campur tangan dalam perlantikan menteri besar.
Tindakan tersebut telah mengundang 'kemarahan' pihak Istana, malah ada pihak menyifatkannya sebagai 'penderhaka' serta menunjukkan sifat perlawanan antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, pada Khamis (13 Mac 2008) lalu Pengerusi Umno Terengganu itu memanggil semua wakil-wakil rakyat BN yang menang di Hotel Primula Beach Resort bagi menyatakan sokongan terhadapnya. Malah, dalam pertemuan itu dikatakan semua Adun dan Ahli Parlimen diarahkan menanda tangani surat sokongan kepada Idris yang juga merupakan bekas Menteri Besar Terengganu sejak tahun 2004 lalu.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam usaha memujuk baginda menerima perkenan Idris Jusoh sebagai MB Terengganu.
Walhal, tinjauan Harakah mendapati semua yang datang berkumpul dalam perhimpunan haram itu adalah penyokong-penyokong Idris dari Umno Besut yang 'diupah' dengan makanan serta minyak kenderaan percuma.- Harakahdaily.net.
1 comment:
slm sjahtera..
Post a Comment