Showing posts with label malaysiaku. Show all posts
Showing posts with label malaysiaku. Show all posts

11 September 2011

Part 1 - Kebajikan: Negeri Christchurch Ikut Islam.. Malaysia ?

Oleh Dr. Ubaidullah Mustaffa

Catatan Pengalaman: Christchurch Sebagai Contoh Negara Berkebajikan

Pengenalan

Saya dan keluarga tiba di New Zealand semasa musim luruh. Pada waktu itu cuaca tidak begitu sejuk lagi. Kerajaan New Zealand melalui agensi-agensi kebajikannya telah menemui saya di sebuah masjid di New Zealand untuk menghulur bantuan sebagai persiapan menghadapi musim sejuk.

Saya memberitahu mereka bahawa saya baru sahaja tiba dari Malaysia dan rumah saya kosong tanpa perabut, katil dan tiada peralatan dapur. Tiga hari kemudian badan kebajikan milik kerajaan New Zealand telah menghantar ke rumah saya satu set sofa ruang tamu, dua unit TV 24”, tiga unit pemanas rumah, empat katil dan tilam lengkap dengan cadar, bantal dan selimut, peti ais, micro-wave oven, pinggan mangkuk, sudu, pisau dan bermacam-macam lagi.

Tidak pun sampai seminggu rumah saya lengkap segala-galanya secara percuma pemberian kerajaan New Zealand. Mereka membantu manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Terkenang saya pada negara sendiri. Tidak pernah saya menerima bantuan dan layanan seperti itu walau pun di negara sendiri. Kerajaan kita banyak bercakap tentang konsep negara kebajikan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sama dengan konsep yang dicanangkan.

Elok juga kita mengkaji New Zealand sebagai salah satu model negara kebajikan terhadap rakyat. Oleh kerana New Zealand agak luas maka saya akan memilih bandaraya Christchurch sebagai contoh dalam perbincangan model negara kebajikan.

Christchurch

Christchurch adalah sebuah bandaraya terbesar di Pulau Selatan New Zealand dalam Daerah Canterbury. Jika dibandingkan dengan seluruh New Zealand Christchurch adalah bandaraya kedua paling ramai penghuni di New Zealand iaitu hampir 864 orang setiap kilometer persegi.

Perbualan saya dengan penduduk tempatan Christchurch mendapati kejadian gempa bumi bukan perkara biasa di sepanjang kehidupan mereka di Christchurch. Walau pun New Zealand berada dalam garisan lingkaran api bersama-sama dengan Indonesia dan Jepun tetapi Christchurch tidak pernah mengalami gempa bumi sehingga kejadian pertama gempa bumi pada bulan September 2010.

Bantuan Kerajaan

Kerajaan New Zealand membantu secara konsisten setiap rakyat mereka yang ditimpa bencana gempa bumi. Mereka membina rumah-rumah di luar kawasan gempa bumi dan mempelawa rakyat mereka untuk menyewa dan terus membeli rumah-rumah tersebut dengan harga yang sangat berpatutan iaitu lebih rendah dari harga pasaran semasa.

Rancangan penempatan semula disusun dan dikawal dengan rapi. Tidak ada individu atau syarikat yang cuba mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan menangguk di air keruh. Harga rumah akan melambung tinggi sekiranya terdapat ahli politik atau kroni mereka yang mendapat kontrak untuk membina rumah-rumah penempatan semula gempa bumi.

Mari kita perhatikan apa yang telah berlaku di negara kita semasa bencana tsunami dan banjir dahulu. Bantuan lambat sampai dan proses bantuan tidak konsisten. Bantuan yang dihulurkan berbentuk jangka pendek sahaja dan tidak menyeluruh. Kerajaan Malaysia menganggap bencana alam negeri-negeri di bawah pimpinan pembangkang bukan tanggungjawab mereka.

Kerajaan New Zealand sanggup melupakan segala perbezaan politik apabila menghadapi bencana alam. Kerajaan New Zealand sangat sayang setiap rakyat mereka tanpa megira ugama atau bangsa. Kewujudan perasaan kasih sayang ini adalah perbezaan besar di antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan New Zealand di dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.

Apabila wujud perasaan kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan akan diterjemahkan dalam setiap tindakan yang dibuat oleh kerajaan. Tanpa kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan hanya wujud sebagai konsep sahaja. Kerajaan akan menindas rakyat secara sah dari segi perlembagaan dan perundangan seperti mana di buat oleh penjajah semasa zaman penjajahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita pada hari ini dijajah dan ditindas oleh rakyat negara kita sendiri yang telah dipilih melalui sistem pilihanraya. Setelah mereka diberi kuasa melalui pilihanraya mereka akan mula menjajah dan menindas rakyat yang telah memberi mereka kuasa. Sikap ini mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar atau kedua-duanya sekali. Maka perlu ada satu sistem check & balance supaya kerajaan yang dipilih tidak akan menjajah dan menindas rakyat mereka sendiri.

Pada 4 September 2010, Christchurch digegarkan oleh gempa bumi berukuran 7.1 iaitu hari Sabtu pukul 4.35 pagi waktu tempatan. Gempa bumi ini tidak menyebabkan kematian kerana pusat gempa adalah 40 km di luar bandaraya Christchurch, hanya kerosakan sistem paritan, paip air, jalanraya dan gangguan bekalan letrik sahaja.

Hospital Christchurch terpaksa menggunakan generator kerana bekalan letrik terputus pada waktu itu. Darurat dan perintah berkurung telah diistiharkan untuk menjaga keselamatan dan kerja-kerja pengosongan bangunan di sekitar bandaraya Christchurch. Lapangan terbang antarabangsa Christchurch ditutup sementara menanti pemeriksaan keselamatan jalan pendaratan dan perlepasan kapalterbang.

Dalam tempuh 48 jam selepas itu terdapat tiga lagi gempa bumi berukuran 5.2 berlaku di Christchurch. Mengikut pengalaman saya, gempa bumi 5.2 adalah cukup kuat untuk merasai seluruh rumah bergegar dan cukup kuat untuk mengejutkan saya sekeluarga dari tidur yang nyenyak.

Selalunya gempa bumi datang bersama-sama dengan bunyi yang kuat seperti bunyi keretapi kargo membawa muatan berat. Perbezaannya ialah bunyi gempa bumi amat menakutkan kerana bunyi itu dikaitkan dengan kebinasaan dan kematian. Jika gempa bumi lebih kuat berlaku kita akan terdengar bunyi letupan kuat seperti letupan bom berlaku serentak dengan gegaran bumi.

Gempa bumi yang berlaku beberapa saat mungkin tidak sempat meruntuhkan sebuah bangunan kuat, tetapi jika berlaku beberapa minit maka bahan binaan bangunan akan menjadi longgar dan runtuh. Kadang-kadang mentol lampu gugur dari siling ke lantai setelah beberapa hari gempa bumi berlaku.

Penduduk tempatan memberitahu saya, jika gempa bumi berlaku melebihi 10 saat, lebih baik mengajak ahli keluarga berlindung di bawah meja untuk mengelak dari ditimpa bahan binaan yang runtuh. Elok juga menyediakan lampu suluh selalu kerana jika bekalan letrik terputus, mangsa gempa bumi tidak tinggal dalam kegelapan. Saya tidak menyediakan lampu suluh kerana telefon bimbit saya memang mempunyai lampu suluh. Gempa bumi berukuran kecil selalu dapat dirasai di Christchurch.

Gempa Kedua

Gempa bumi yang kedua berukuran 6.3 berlaku di Christchurch pada 22 Febuari 2011, jam 12.51 petang. Dari segi ukuran gempa bumi ini tidak sekuat gempa bumi pada bulan September 2010 iaitu 7.1 tetapi gempa bumi inilah yang banyak meragut nyawa serta memberi kerosakan yang teruk pada Christchurch.

Gempa bumi ini kena tepat pada pusat Bandar Christchurch dan sekaligus meranapkan pusat Bandar Christchurch yang menjadi pusat utama ekonomi dan pelancongan Christchurch. Yang tinggal hanyalah bandar-bandar kecil yang dahulunya menyokong bandaraya utama Christchurch seperti Riccarton, Tower Junction, Addington dan Bush Inn.

Gempa bumi ini kuat kerana pusat gempa bumi berlaku sangat dekat dengan bandaraya Christchurch iaitu di Lyttelton yang terletak hanya 10 km dari bandaraya Christchurch pada kedalaman hanya 5 km dalam perut bumi. Kesannya ialah gegaran yang sangat kuat sehingga menyebabkan bangunan runtuh menghempap dan menimbus manusia hidup-hidup.

Persatuan Islam

Persatuan Islam Canterbury yang berpusat di Masjid Annur menghulur bantuan tenaga dan wang ringgit untuk kerja-kerja menyelamat di tempat runtuhan. Kebetulan pula Masjid Annur terletak dalam kawasan pusat perdagangan utama Christchurch iaitu di Deans Avenue bersebelahan Hagley Park yang menjadi kebanggaan penduduk Christchurch.

Kalau penduduk di London berbangga dengan Hyde Park maka penduduk Christchurch sangat berbangga dengan Hagley Park. Kawasan Central Business District di Christchurch terletak dalam kawasan yang di kelilingi oleh Bealey Avenue, Fitzgerald Avenue, Moorhouse Avenue dan Deans Avenue.

Masjid Annur mempunyai tanah kosong lebih kurang setengah ekar yang dicadangkan untuk membangun bilik-bilik sewa untuk musafir Islam yang merantau ke Christchurch dan juga pusat pengajian Quran, Hadis dan Tahfiz. Setakat ini Masjid Annur sedang menanti sumbangan tempatan dan juga antarabangsa untuk membuat pembangunan tersebut.

Apa yang menarik dan istimewa ialah Masjid Annur memberi izin kepada mangsa gempa bumi untuk mendapat perlindungan di tanah kosong masjid dengan mendirikan khemah-khemah serta menyediakan makanan percuma pada mangsa. Harga makanan siap di Christchurch adalah agak mahal tetapi hasil sumbangan derma umat Islam Christchurch dan mereka masak sendiri untuk menjamu mangsa gempa bumi membuatkan kos makanan rendah serta ramai mangsa mendapat manfaat tanpa mengira ugama atau bangsa.

Namun begitu terdapat satu siaran TV swasta yang menyiarkan berita negatif tentang penganiayaan orang Arab Kristian di Mesir oleh orang Islam Arab Mesir. Terdapat juga pelekat kereta yang berbunyi PRAY FOR OUR CHRISTIAN BROTHERS IN EGYPT, yang menghasut orang ramai dengan menggunakan sentiment ugama.

Boleh dikatakan masyarakat New Zealand tidak gemar bermain sentimen ugama atau bangsa kerana kedua-dua sentimen ini boleh mencetus huru-hara dan pergaduhan. Kesannya ialah semua pihak akan rugi.

Tiada anjing liar

Saya dan keluarga dapat beriadah di Hagley Park tanpa perlu takut dikejar oleh anjing liar. Saya juga dapat berjalan kaki ke Masjid Annur awal pagi untuk berjemaah subuh tanpa perlu bimbang diserang hendap oleh kumpulan anjing liar. Apa yang saya perhatikan ialah Christchurch sangat menjaga keselamatan bandaraya Christchurch dari gangguan bahaya anjing liar. Tidak ada anjing liar walau pun seekor.

Keistimewaan bandaraya Christchurch ini tidak dapat kita nikmati di Malaysia. Walau pun mengalami bencana gempa bumi yang kuat tetapi masalah anjing liar masih dapat dibasmi terus.

Masalah anjing liar perlu dibasmikan kerana anjing liar adalah punca kepada penyakit anjing gila dan juga serangan merbahaya kepada manusia terutamanya kepada kanak-kanak. Boleh dikatakan hampir setiap taman perumahan di negara kita mempunyai masalah anjing liar yang tidak dibasmikan. Masalah anjing liar tidak boleh dikawal lagi tetapi perlu dibasmikan demi keselamatan awam. Kejayaan bandaraya Christchurch membasmi masalah anjing liar perlu dicontohi oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara kita.

Kakitangan PBT yang terlibat dalam pembasmian anjing liar perlu dibawa ke bandaraya Christchurch untuk melihat sendiri dan merasai sendiri betapa aman dan damainya keadaan tanpa anjing liar berkeliaran. Barangkali selepas merasai sendiri betapa selamatnya suasana kehidupan tanpa bahaya anjing liar akan timbul sifat kesungguhan untuk membasmi anjing liar di kawasan PBT masing-masing.

Makanan murah

Walau pun harga makanan siap di Christchurch adalah mahal tetapi harga bahan mentah makanan masih murah jika dibandingkan dengan negara kita. Harga daging lembu dan kambing segar lagi berkualiti masih rendah dari harga di Malaysia. Segala jenis sayuran di Christchurch adalah segar dari ladang dan yang istimewanya ialah harga segala jenis sayuran adalah jauh lebih murah dari Malaysia. Bagaimanakah Christchurch dapat mengeluarkan bahan makanan yang murah berbanding dengan negara kita?

Jawapannya terletak kepada cara Christchurch mengeluarkan hasil pertanian. Christchurch tidak mengamalkan sistem feedlot untuk pengeluaran daging lembu dan daging kambing tetapi menggunakan sistem pertanian pastoral yang canggih.

Sistem feedlot yang menjadi pilihan kepada cara pengeluaran hasil ternak di Malaysia sebenarnya mempunyai kos yang tinggi berbanding dengan system pertanian pastoral. Sistem pastoral memberi makanan yang lebih asli, segar dan sihat kepada ternakan berbanding dengan makanan dalam sistem feedlot.

Masalah kekurangan keluasan tanah boleh diimbangi dengan menggunakan pastoral bermutu tinggi serta pengurusan pastoral yang berkesan. Penyelidikan pertanian yang telah saya lakukan di beberapa ladang dalam daerah Canterbury menggunakan kaedah yang sama dalam teknik pengeluaran hasil ternakan. Yang penting di sini ialah input pertanian mesti rendah supaya output yang dihasilkan tidak terhakis oleh input yang tinggi.

Selepas membuat beberapa penyelidikan pertanian di Christchurch saya dapati cara pengeluaran hasil ternakan di Malaysia perlu direvolusikan iaitu menukar dari cara feedlot kepada pastoral.

Infrastruktur feedlot yang sedia ada tidak perlu dirobohkan kerana masih boleh digunakan
walau pun kita menggunakan sistem pastoral. Saya sempat menimba ilmu dari petani Christchurch tentang cara-cara menyediakan tanaman pastoral dan pemilihan benih untuk pastoral yang bermutu tinggi. Mereka juga telah mencurahkan ilmu mereka kepada saya tentang pengurusan pastoral secara saintifik demi menghasilkan livestock yang bermutu tinggi dan kos pengeluarannya pula adalah murah.

Pertanian adalah punca ekonomi utama Christchurch dan juga seluruh New Zealand. Negara New Zealand maju dalam industri Agribusiness tanpa perlu slogan yang bukan-bukan oleh pihak kerajaan New Zealand. Industri agribusiness di Malaysia perlu kepada sebuah revolusi berasaskan ilmu yang digabungkan dengan keperluan amali serta tuntutan pasaran semasa.

Jika tidak harga bahan makanan akan terus meningkat seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia. Apabila harga bahan makanan meningkat maka kerajaan sepatutnya mengkaji semula di mana salah silap serta membuat pembetulan dalam dasar pertanian negara. Jika sesat kembali ke pangkal jalan.

Musim sejuk

Christchurch terletak di hemisphera selatan bumi. Ini bermakna setiap tahun bulan Jun, Christchurch akan mengalami musim sejuk manakala negara-negara Eropah di hemisphera utara bumi sedang mengalami musim panas. Apabila musim sejuk tiba Masjid Annur akan menerima sumbangan baju sejuk dari orang ramai yang memerlukan baju sejuk percuma.

Segala jenis pakaian musim sejuk akan diletakkan dalam kotak tepi pintu keluar masjid. Sesiapa yang memerlukan pakaian boleh memilih untuk keperluan masing-masing. Selain dari pakaian terdapat juga umat Islam yang menyumbang buah tamar dan buah anggur untuk para Jemaah masjid.

Waktu subuh masuk pukul 6.15 pagi tetapi para Jemaah subuh menunaikan solat subuh jam 7.00 pagi. Masjid Annur penuh dengan para Jemaah subuh walau pun cuaca sangat sejuk dalam kegelapan pagi musim sejuk di Christchurch. Terdapat ramai pelajar Malaysia yang sedang mengikuti kursus perubatan ikut serta menjadi Jemaah sembahyang subuh di Masjid Annur. Selain dari itu terdapat juga ahli Jemaah subuh dari Somalia, Mesir, Afrika dan juga Singapura.

Harga kereta murah

Satu lagi perkara yang menarik di New Zealand ialah harga kereta yang sangat murah berbanding dengan negara kita Malaysia. Harga kereta akan menjadi mahal apabila kerajaan gagal mengawal harga kereta dalam pasaran. Kereta merupakan keperluan rakyat dan bukan barang mewah. Setiap rakyat memerlukan kenderaan untuk bergerak.

Kerajaan New Zealand menyedari hakikat ini lantas mengawal harga kenderaan supaya semua rakyatnya mampu membeli kenderaan. Kesannya ialah rakyat New Zealand jarang-jarang menjadi penghutang bank untuk membeli kereta kerana mereka mampu membeli kereta secara tunai.

Ramai pelajar Malaysia di New Zealand telah membeli kereta secara tunai. Mereka dapat pergi belajar di Universiti dengan selesa serta mengatur jadual waktu pengajian dengan lebih berkesan. Malangnya, apabila mereka kembali ke Malaysia kelak mereka pasti akan terjebak dengan masalah harga kereta yang mahal di Malaysia serta terpaksa berhutang dengan institusi kewangan untuk membeli kereta. Mereka akan dibebani hutang membeli kereta selama 5 tahun hingga 7 tahun. Jelas sekali negara kita Malaysia di bawah pimpinan kerajaan BN gagal untuk menangani isu harga kereta yang melambung tinggi.

Kerajaan sedia ditegur

Satu lagi perbezaan yang ketara ialah kerajaan New Zealand bersedia menerima teguran dari rakyat. Mereka amat mengalu-alukan teguran dan pendapat rakyat. Kerajaan New Zealand tidak pernah ugut rakyat mereka untuk ditahan polis atau dikenakan tindakan undang-undang.

Kerajaan New Zealand tidak menggunakan instrument kerajaan untuk membalas dendam terhadap rakyat atau mengajar rakyat. Demonstrasi jalanan berlaku juga di Auckland dan Christchurch tetapi kerajaan New Zealand melayan petunjuk perasaan dengan baik. Tidak ada petunjuk perasaan ditembak gas pemedih mata atau water cannon.

Tidak ada peperangan antara kerajaan dengan rakyat. Kerajaan New Zealand sangat menghormati perasaan seluruh rakyat mereka. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi sikap murni ini. Sikap murni ini dapat menjalin kasih sayang antara kerajaan dengan rakyat dan bukan permusuhan atau dendam kesumat. Perlu diingat bahawa anggota kerajaan juga adalah rakyat dan rakyat yang memilih mereka menjadi anggota kerajaan. Perhubungan antara kerajaan dan rakyat perlu berasaskan kasih sayang dan bukan perundangan semata-mata.

Kesimpulan

Christchurch adalah sebuah bandaraya yang agak malang kerana dilanda bencana gempa bumi. Walau pun begitu rakyatnya cepat bangun dari runtuhan gempa bumi untuk meneruskan kehidupan. Sekarang ini Majlis Bandaraya Christchurch sedang mengedarkan risalah pada semua penduduk Christchurch meminta pandangan dan maklumbalas terhadap pembinaan bandaraya baru Christchurch. Mereka meminta pandangan dari rakyat mereka untuk mengetahui apa yang rakyat mahu ada dalam bandaraya baru yang bakal dibina tidak lama lagi.

Mereka menghadapi bencana dalam kata sepakat dan kerjasama yang sangat indah untuk bangun semula membina kehidupan baru. Mereka faham bahawa dalam runtuhan gempa bumi itu ada rahmat dan peluang yang sedang menanti mereka. Rahmat dan peluang akan datang ke Christchurch bagi mereka yang sabar dan bijak membina peluang selepas runtuhan gempa bumi.

Kerajaan New Zealand melibatkan rakyat dalam proses pembangunan negara dan mereka tidak memaksa rakyat menerima pembangunan ciptaan kerajaan semata-mata. Penglibatan rakyat diperlukan kerana rakyat adalah pelanggan utama kerajaan. Penglibatan rakyat secara menyeluruh sebenarnya adalah salah satu resipi utama di dalam mewujudkan sebuah negara kebajikan.

Semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu beliau melibatkan rakyat semasa melancarkan projek Proton Saga sebagai kereta buatan Malaysia walau pun semua rakyat Malaysia tahu bahawa kereta buatan Malaysia hanya gimik pada nama sahaja. Rakyat Malaysia sangat gembira melibatkan diri dengan pertandingan memberi nama pada kereta tersebut.

Setelah itu Dr. Mahathir membina Putrajaya tanpa penglibatan rakyat. Maka berlaku penolakkan oleh rakyat sebagai projek membazir dengan tuduhan untuk kenyangkan para krooni dan ahli-ahli politik yang menyokong kerajaan. Tuduhan tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar tetapi kebarangkalian tetap wujud dalam mana-mana projek pembangunan. Lebih-lebih lagi rakyat melihat ahli-ahli politik penyokong kerajaan menjadi kaya raya dalam sekelip mata.

Hampir semua kerajaan di dunia ini akan mencanangkan konsep negara kebajikan sebagai modal kempen politik untuk menang pilihanraya tetapi rakyat akan menilai siapa yang mempunyai kasih sayang dan keikhlasan jiwa untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.

Rakyat akan menilai sejauh manakah kerajaan Malaysia yang memimpin negara sekarang benar-benar jujur dalam pelaksanaan negara kebajikan. Rakyat sudah muak mendengar janji manis dan mahu melihat perubahan yang relevan ke arah pembinaan negara kebajikan demi faedah rakyat bersama.

PENULIS

Penulis kini tinggal di Christchurch, New Zealand. Beliau boleh dihubungi melalui emailubaidi_script@yahoo.com.my.

Artikel ini boleh diikuti di http://www.facebook.com/IARnews

22 March 2011

Inikah Video yang disebut-sebut?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku tidak tahu siapa Dato' T. Aku juga tidak pernah jumpa rakaman CCTV dalam hotel. Tapi aku punya video untuk dikongsi dengan kalian semua. Harap maaf jika perut individu dalam video ini agak ke depan!

Part 1



Part 2



Selamat Hari Sindrom Down Sedunia! --> Posting ini untuk 21 Mac 2011. Harap maklum.

26 January 2011

Tak Nak Tok Ai!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Siakap Sinohong, Gelama Ikan Duri,
Bercakap Bohong, Ada hati nak jadi YB.

Teringat lagu XPDC - Tak Nak Jadi Soh Chai. Elok juga lagu tersebut digubah menjadi Tak Nak Pilih Tok Ai.

Berikut adalah artikel berkenaan pembohongan Tok Ai yang mendakwa kes tersebut telah selesai. Sedangkan kes tersebut masih berjalan di mahkamah. Sudahlan mengkhianati rakyat, kini nak membohongi rakyat pula. Tak Nak Tok Ai!

Harakahdaily 1 -Bohong: PAS desan calon BN tarik diri

Harakahdaily 2 - Muhyiddin diminta perjelas soal calon BN cuai

Mengikut alamat biasa, calon BN ni akan rebah sepertimana calon BN di Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Permatang Pasir. Wallahua'lam.


05 January 2011

Harga RON 97 Naik: Siapa Peduli?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari ini rakyat yang menggunakan RON 97 merasai lagi kenaikan harga minyak sebanyak 10 sen seliter. Harga baru ini menjadikan RON 97 berharga RM 2.40 seliter. Kali terakhir RON 97 naik adalah pada 1 Disember lalu sebanyak 15 sen.


Percayalah, tiada siapa peduli dengan kenaikan harga RON 97 ini. Adalah beberapa kerat yang bising marahkan kerajaan kerana menaikkan harga minyak. Usah pedulikan suara-suara dengki dan penuh hasutan itu. Agenda trasformasi perlu diteruskan. Rakyat perlu terus ditekan. Kenaikan harga barang perlu menjadi keutamaan. Tekan dan terus tekan rakyat. Nanti bagi sahaja gula-gula hacks agar mereka diam. Teruskan dan teruskanlah!

Kepada rakyat, sokonglah dan teruskan menyanjung Kerajaan yang ada. Kerajaan yang terbukti baik dan tidak menindas. Terbukti telus dan memerlukan fulus dari rakyat. Sokonglah dan dokonglah.

p/s: Ayuh sama-sama nyatakan sokongan kepada PM dan Kabinet (Termasuk si perogol sekiranya ada).

16 October 2010

Belanjawan Seluar Dalam?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ketika Belanjawan 2011 sedang dibentang Najib semalam, aku dan beberapa sahabat sedang berada di majlis usrah. Sebelum TV ditutup bagi memulakan usrah di rumah seorang sahabat, apa yang sempat aku lihat adalah seorang wanita Melayu bertudung jambul tersengih-sengih di belakang Najib.

Hari ini aku membuat tinjauan secara umum tentang belanjawan yang telah dibentangkan semalam. Secara kasarnya, umum mengatakan belanjawan yang dibentang Najib adalah belanjawan seluar dalam, belanjawan Rosmah Mansor dan tidak kurang yang memuji Najib dengan beberapa manipulasi angka yang dibentangkan.

Secara peribadi, aku percaya setiap warga Malaysia yang mengikuti belanjawan tersebut (samada secara langsung, atau ambil intipati sahaja) mahukan sesuatu yang boleh meyakinkan mereka bahawa belanjawan tersebut benar-benar memberi manfaat yang besar kepada rakyat terbanyak.

Dalam banyak-banyak pendapat yang aku intai, aku paling sukakan pandangan Tuan Guru Presiden PAS yang aku lihat istiqamah menegur perkara yang sama saban tahun. TG Presiden menegur belanjawan yang disebut juta-juta itu ke mana hala tujunya. Dengan menyentuh pembinaan manusia yang semacam diabaikan, sedangkan itulah bencana yang sedang dihadapi negara.

Mahfuz Omar yang terkenal dengan kenakalannya antara yang paling awal 'mengusik' Najib dengan kenyataan belanjawan Seluar Dalam. Usikan itu nampaknya mudah difahami oleh kebanyakan rakyat. Ditambah pula peruntukan untuk PERMATA yang tidak dapat diterima oleh banyak pihak yang menamakan ianya adalah belanjawan Rosmah Mansor (RM).

Lain kali sahaja menyambung tentang pencakar langit dan pelbagai projek-projek yang langsung tidak menguntungkan Pak Leh Timun, Ah Seng Tiub dan Sulivan Surat Khabar lama.

Wallahua'lam.

p/s: selalu tidak berkesempatan menulis.

21 July 2010

Ke Mana Pergi Subsidi Kami? - Dr Asri

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta...
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah? wang semakin lelah?
jika semalam berlauk, hari cuma berkuah...
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah...
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang...
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak...

sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

tapi kami masih di sini..di teratak ini...
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...

tiada istana lawa...tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri...tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...tiada bahagian anak dan bini...

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi...
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...
tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...
kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...

kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...

08 June 2010

Kronologi Lesen Judi Piala Dunia

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah kronologi Lesen Judi Piala Dunia yang sempat dipetik dari beberapa sumber akhbar:

Mac 2010
- DS Najib ketika di Hong Kong pada Persidangan Pelaburan Asia Credits Suisse ke 13 telah membayangkan kepada wartawan untuk meluluskan Lesen Judi Bola Sepak sempena Piala Dunia.

6 Mei 2010
- Kementerian Kewangan yang dipimpin Dato' Seri Najib telah mengeluarkan kenyataan melalui Dato' Dr Awang Adek bahawa kerajaan akan meluluskan Lesen Judi Piala Dunia.

"jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa."

11 Mei 2010
- Kementerian Kewangan secara rasminya memberi lesen judi Piala Dunia kepada Kumpulan BERJAYA – (Sin Chew, 12 Mei 2010)

- BERJAYA menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak di negara ini yang mempunyai lesen. Ia dijangka akan menggunakan lebih dua ratus kedai pertaruhan Toto yang dimilikinya itu untuk menerima pertaruhan. - Malaysiakini

12 Mei 2010
- Pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan membantah kelulusan Lesen Judi Piala Dunia. Selain parti dari Pakatan Rakyat, NGO seperti Abim (13 Mei 2010), PPIM (15 Mei 2010), turut sama membantah lesen judi tersebut.

- Kelulusan Lesen Judi turut ditentang oleh beberapa tokoh sukan tempatan seperti bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh.

14 Mei 2010
- Demonstrasi Aman membantah Lesen Judi Piala Dunia diadakan di Masjid Jamek Kg. Baru oleh Pemuda Wilayah selepas Solat Jumaat.

15 Mei 2010
- Ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempertahankan tindakan kerajaan membenarkan pertaruhan bolasepak Piala Dunia.

18 Mei 2010
– Dewan Pemuda PAS Pusat mengumumkan akan menggerakkan Himpunan Besar-Besaran bagi penyerahan memorandum membantah kelulusan Lesen Judi Piala Dunia ke Istana Negara pada 3 Julai 2010.

- Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (PAKKU) mendesak kerajaan membatalkan serta merta lesen perjudian Piala Dunia.

20 Mei 2010
– Najib mengambil sikap membisu apabila ditanya wartawan berkenaan isu kelulusan Lesen Judi yang berada di bawah kementeriannya.

- PAS terus mendesak para menteri dan mufti negeri-negeri supaya menegur kerajaan dalam isu kelulusan Lesen Judi.

- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memerangi habis-habisan mereka yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjalankan perjudian haram membabitkan wang pertaruhan sempena Piala Dunia - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin

21 Mei 2010
– Siri Bantah Judi: 5 Demonstrasi Bantah Judi diadakan selepas Solat Jumaat di Terengganu, Perak, Pulau Pinang, N. Sembilan dan Selangor.

22 Mei 2010
– Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengatakan tindakan kerajaan Malaysia meluluskan Lesen Judi Piala Dunia adalah tidak boleh diterima.

23 mei 2010
- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group baru-baru ini. (Lesen Judi Sukan dibatalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri)

- Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Kerajaan Pusat untuk mengkaji semula dasar judi kebangsaan.

24 Mei 2010
- PAS hari ini menyerahkan memorandum kepada Raja-raja Melayu melaui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi memohon campur tangan baginda dalam isu pemberian lesen judi bolasepak. Memorandum berkenaan disampaikan kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.

25 Mei 2010
– Gerakan Mansuhkan Judi (GMJ) dibentuk di Kedah dan akan digerakkan ke seluruh Negara. Turut sama adalah PUM, ABIM dan TERAS. Turut terlibat adalah Pemuda Gerakan selain pemuda komponen Pakatan Rakyat.

26 Mei 2010 – Mufti Negeri Kedah dan Johor telah menerima memorandum supaya berperanan dalam memberi pendapat kepada kerajaan Pusat dalam isu Lesen Judi Piala Dunia.

27 Mei 2010
– Selangor mengumumkan akan bertindak membekukan lesen premis pertaruhan yang menawarkan judi sukan.

28 Mei 2010
– Siri Demonstrasi membantah Lesen Judi diteruskan selepas Solat Jumaat di beberapa buah negeri termasuk di Bachok, Kelantan sebagai simbolik kepada penolakan cadangan Dato’ Dr Awang Adek yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

- Pulau Pinang turut mengumumkan akan membekukan lesen premis perjudian yang melibatkan Judi Bola Piala Dunia.

5 Jun 2010
– Pelancaran Kempen Mansuhkan Judi oleh GMJ di Sogo.

- Hartawan Vincent Tan berjanji akan mendermakan RM 525 juta untuk tujuan kebajikan melalui yayasannya Better Malaysia Foundation.

7 Jun 2010
- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua pihak tampil menyumbang idea untuk mencegah isu perjudian haram.

- Bagi memantau kegiatan perjudian haram Piala Dunia, Hishammuddin berkata beliau telah meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Koh Hong Sun membantu pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

- Kerajaan belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat Ascot Sports bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di malaysia. Kerajaan masih mendapatkan maklumbalas/pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia – Jawapan bertulis di Parlimen.

8 Jun 2010
– GMJ mengumumkan 50% dari kempennya sudah berjaya.

13 Julai 2010
- Demonstrasi Aman Membantah Judi yang dirancang Pemuda PAS bersama Pakatan Rakyat dan GMJ.

NOTA: Kronologi ini sebagai nota peribadi. Maklumat akan dikemaskini semula.

Laman Web CIMB Pula Dipalsukan...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kita biasa dengar laman web bank yang palsu adalah 'milik Maybank'. Sudah ramai yang terkena, dan sudah ramai yang sengsara kerana penipuan tersebut. Hari ini aku menerima satu lagi laman web palsu yang dimiliki oleh 'CIMB' pula.

Sebagai peringatan bersama, dan ingatkan sahabat-sahabat dan saudara mara. Teringat pula Kak Ummi yang terkena beberapa bulan lalu.


Email yang diterima

Apabila di klik pada Clicking Here pada email berkenaan, aku dibawa ke laman Web di bawah. Perkara yang jarang kita lihat adalah URL web tersebut untuk memastikan ianya asli atau palsu. Jika sekali lihat, ianya memang merupakan halaman utama bagi laluan masuk ke akaun CimbClicks.


Jangan lupa perhatikan URL setiap laman yang dimasuki bagi memastikan kesahihannya.

http://0x5bba00d0/cimbclicks.com.my/ibbb/- URL Palsu. Mungkin banyak lagi URL lain yang akan membawa ke halaman di atas. Biasanya laman ini tidak lama wujud kerana akan disekat kerana menyalahi peraturan.

https://www.cimbclicks.com.my/ibk/- URL Sebenar

Wallahua'lam.

01 June 2010

Agaknya Kerana Takut Dikatakan Zalim Macam Yahudi....

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Tak jadi naik la... dapat maklumat Najib minta hold dulu... Sia-sia aku kena kerja malam ni.." SMS dari Tukang SMS yang memaklumkan harga minyak naik sebelum ini.

Apapun, aku percaya dengan maklumat yang disampaikan berdasarkan kenalnya aku dengan individu tersebut. Apatah lagi maklumat yang disampaikan tersebut adalah dalam ruang maklumat yang berkaitan dengan bidang kuasa beliau. Cuma, maklumat tersebut BENAR dan BETUL pada ketika ianya belum diumumkan. Apabila ianya tidak jadi diumumkan, barulah maklumat tersebut menjadi tidak benar.

Sebenarnya ada rasional harga minyak nak diumumkan tengah malam tadi selepas isu subsidi dibangkitkan beberapa hari lalu. Cuma, berkebetulan hari ini kita digemparkan dengan tragedi di Gaza, Palestin maka aku percaya Najib berubah fikiran.

Bayangkan jika Najib meneruskan niatnya untuk menaikkan harga minyak, sudah tentu Najib disamakan dengan Rejim Zionis yang menyerang Konvoi Gaza di sana. Bermacam-macam serangan yang sudah tentu Najib tidak terdaya melawan dan menerimanya. Jadi, agaknya atas nasihat APCO, maka Najib menangguhkan dulu pengumuman kenaikan harga minyak tersebut.

Apapun, aku memohon kemaafan sekiranya maklumat yang diberikan sebelum ini telah menyebabkan beberapa kesulitan yang timbul pada kalian. Seperti yang aku sebut di atas, keyakinan aku pada si penyampai maklumat adalah berdasarkan kredibiliti yang dimilikinya dalam bab harga barang.

Masih tidak puas hati dengan aku? Apa kata kalian bayar harga minyak pada hari ini dengan harga lebih 20 sen bagi seliter. ;)

Wallahua'lam.

31 May 2010

Harga Minyak Naik Lagi Jam 12 Malam Ini?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Minyak naik pukul 12 malam ni.. isi penuh tangki masing-masing" Satu SMS diterima dari sahabat yang sumbernya boleh dipercayai.

Bila ditanya berapa kenaikan, dijawab sekitar 20 - 30 sen.

Nak isi minyak dulu, atau nak tunggu kerajaan umum? Terpulanglah.

Hidup Najib!! Rakyat didahulukan.. Rakyat didahulukan.. rakyat didahulukan..

Wallahua'lam.

26 May 2010

Umno Vs Al-Arqam: Siapa Lebih Bahaya?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat berpendapat bahawa bukan hanya Pertubuhan Al-Arqam (Al-Arqam) sahaja yang patut dipantau oleh kerajaan akan tetapi harus melihat kepada Umno juga.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, ini kerana Umno sebuah parti yang pada dasarnya memperjuangkan bangsa melebihi agama dilihat lebih merbahayakan akidah daripada Al-Arqam.

Katanya, kenyataan itu berdasarkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Dan Pendatang Tanpa Izin kali ketiga di Putrajaya tempoh hari yang meminta agar kerajaan memantau kegiatan bekas pemimpin Al-Arqam bagi memastikan pertubuhan yang diharamkan itu tidak dihidupkan semula.

23 May 2010

Kartunis Ujang dan Facebooknya..

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Sejak mempunyai akaun Facebook, aku sebenarnya semakin jarang meng'update' blog. Aku lebih suka mengintai-ngintai pandangan ramai tentang pelbagai perkara di FB sahaja. Berbanding blog, pengguna FB jauh lebih ramai dan lebih selesa melontarkan pandangan. Kerana selesanya melontarkan pandanganlah baru-baru ini ada beberapa pihak telah dilaporkan kepada polis kerana melakukan kesalahan 'bergurau' di FB.

09 May 2010

Jadual Perlawanan Badminton Piala Thomas & Uber 2010.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

PIALA THOMAS:
(9 Mei)
Kumpulan D - Indonesia lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan A - China lwn Peru - 12 tgh
Kumpulan B - MALAYSIA lwn Nigeria - 6 ptg
Kumpulan C - Denmark lwn Poland - 6 ptg

(10 Mei)
Kumpulan D - India lwn Indonesia - 12 tgh
Kumpulan A - Korea Selatan lwn Peru - 12 tgh
Kumpulan C - Jerman lwn Poland - 6 ptg
Kumpulan B - Jepun lwn Nigeria - 6 ptg

(11 Mei)
Kumpulan A - China lwn Korea Selatan - 12 tgh
Kumpulan D - Indonesia lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan B - MALAYSIA lwn Jepun - 6 ptg
Kumpulan C - Denmark lwn Jerman - 6 ptg

PIALA UBER:

(9 Mei)
Kumpulan B - Indonesia lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan C - Jepun lwn Jerman - 12 tgh
Kumpulan A - China lwn Amerika Syarikat - 6 ptg
Kumpulan D - Korea Selatan lwn Afrika Selatan - 6 ptg

(10 Mei)
Kumpulan B - Denmark lwn Australia - 12 tgh
Kumpulan C - Russia lwn Jerman - 12 tgh
Kumpulan A - MALAYSIA lwn Amerika Syarikat - 6 ptg
Kumpulan D - India lwn Afrika Selatan - 6 ptg

(11 Mei)
Kumpulan B - Indonesia lwn Denmark - 12 tgh
Kumpulan C - Jepun lwn Russia - 12 tgh
Kumpulan A - China lwn MALAYSIA - 6 ptg
Kumpulan D - Korea Selatan lwn India - 6 ptg

Nota: DIHARAMKAN berjudi Piala Thomas & Uber...

07 May 2010

Arak, Judi, Baitul Mal dan Cukai Tanah.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KHUTBAH 'CUKAI TANAH'
Betapa pada hari ini aku merasakan ruginya aku tidak tertidur ketika khatib membaca khutbah. Apa tidaknya, selesai memberi salam, khatib mengumumkan "Khutbah Jumaat pada hari ini bertajuk - Tanggungjawab Membayar Cukai Tanah". Terdetik juga untuk mengangkat punggung mencari masjid lain yang lebih 'politik' khutbahnya.

Khutbah Multimedia Terengganu

04 May 2010

Pembunuhan Aminulrasyid: Salahkan Yang Bersalah!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Aku pelik kenapa seorang pelajar boleh memandu kereta kakaknya di waktu malam"

"Budak bawah umur buat apa keluar malam-malam"

"Tak ada lesen, tapi boleh bawak kereta"

 
Itu antara beberapa dialog yang ditimbulkan sesetengah pihak. Bukan sedikit yang 'berfikir' seperti itu. Dari tinjauan aku, persoalan-persoalan ini sengaja dilontarkan oleh mereka yang cuba mengalih isu sebenar.Apatah lagi kejadian tersebut telah merobek sedikit sebanyak kepercayaan rakyat kepada pihak PDRM.

27 April 2010

"Jangan Bergerak! Jika Tidak Saya Tembak!"

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Apabila membaca berita mengenai kejadian tembak-menembak yang dilakukan oleh anggota polis, aku secara berprasangka merasakan tindakan mereka tidak betul. Bukanlah bermakna semua tindakan polis melepaskan tembakan tidak betul, tetapi seolah-olah tidak terkawal. Lihat sahaja dalam banyak berita yang dilaporkan seolah-olah apabila polis melepaskan tembakan, tiada 'penjenayah' yang hidup. Kebanyakan berita juga diletakkan perkataan 'polis terpaksa' melepaskan tembakan kerana itu dan itu.

Semalam kita dikejutkan lagi dengan insiden polis melepaskan tembakan. Kali ini seorang remaja yang menjadi sasaran. Peliknya polis yang melepaskan tembakan tersebut ditugaskan ke bahagian pejabat dan bukan diberi kenaikan pangkat. Kata Bos Polis, untuk dijalankan siasatan.

Hulu Selangor: Persepsi Dr Abu Hassan Hasbullah Ditolak?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Sesiapa yang menolak persepsi adalah primitif!" 

Itu antara perkataan yang dilontarkan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah ketika mana dijemput PAS dalam satu program Seminar Memperkasa Parti pada 7 November 200 lalu di Taman Melewar. Ketika itu perkataan persepsi cukup mendapat tempat. Sehinggakan semacam ada yang bertuhankan dengan persepsi! Seolah-olah persepsi adalah segalanya.

20 April 2010

Malaysia Negara Islam: Semua PMnya Minum Arak?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

BN digesa menghentikan serangan peribadi terhadap calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim - dengan terus mengaitkannya dengan isu minum arak - kerana perkara tersebut "melampau batas" dan menjadi budaya dalam Umno, parti terasnya sendiri.


Menyifatkan kempen sebegitu sebagai "tiada kelas", Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali mendakwa, semua perdana menteri Malaysia - kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi - terlibat dengan pengambilan minuman beralkohol.

"Tak ada seorang pun daripada mereka itu yang tak pernah minum arak, kecuali (Abdullah) Badawi. Pak Lah saya akui, yang saya tahu, tak minum arak.

07 April 2010

Deco.. Deco.. Deco.. Opss.. APCO

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sesi APCO Worldwide
Editor iKDN | 28 Oktober 09 1:54am
Satu perjumpaan dengan konsultan media luar negara merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu. Ia bukan bertujuan mengagung-agungkan perunding media luar tetapi sebaliknya untuk melihat sejauhmana kepakaran dan pengalaman mereka boleh memberi manafaat kepada kita.


06 April 2010

Cerita Calon Hulu Selangor

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pilihanraya 2004, aku bertugas di DUN Gombak Setia, Parlimen Gombak. Calon PAS ketika itu adalah Dato' Ustaz Ismail Kamus yang merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan ketika itu. Pada masa yang sama Ustaz Ismail Kamus turut diletakkan sebagai calon Parlimen Hulu Selangor pada tahun berkenaan. Derita 2004, kedua-dua kerusi yang ditandingi Dato' Ismail Kamus tewas.

Hari ini Pakatan Rakyat (PR) khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menyenarai pendek beberapa nama bagi dijadikan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor. Walaupun Hulu Selangor adalah kerusi PKR sebelum ini, namun ianya tidak boleh dipandang mudah memandangkan 3 DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor adalah diwakili BN.