Selamat Datang!!
Terengganu sehari dua ini menerima taburan hujan yang agak banyak. Ini lumrah di musim tengkujuh. Berita-berita perdana juga menjadikan berita banjir, paras air naik dan hujan sepanjang hari di pantai timur sebagai berita yang agak utama.
Apa yang lebih penting kini apabila isu kekosongan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu. Segala hujan, banjir dan angin yang melanda kini mungkin tidak mampu untuk menyejukkan keadaan di Kuala Terengganu. Sudah panas di kalangan kedua-dua parti politik utama di sini persoalan siapa yang akan dicalonkan.
Siasahdaily membayangkan pertembungan antara dua Wan. Wan Mutalib dari PAS dan Wan Farid dari BN. Secara kasarnya memang ada kemungkinan kedua-dua tokoh ini akan dicalonkan oleh parti masing-masing memandangkan Wan Mutalib @ Ayah Wan merupakan bekas Adun Batu Buruk sejak sekian lama (Dun Batu Buruk berada dalam Parlimen Kuala Terengganu) dan merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu. Manakala Wan Farid adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.
Mengikut pemerhatian aku, Ayah Wan ada kemungkinan untuk dicalonkan, namun mungkin berdepan dengan isu 'orang lama'. Isu ini agak panas di luar negeri Terengganu, namun hakikat yang ada di Terengganu, isu ini adalah suam-suam kuku sahaja. Para pendokong PAS Terengganu masih menerima hakikat bahawa orang-orang lama ini bisanya belum hilang.
Jika isu 'orang lama' ditimbulkan sekalipun, isu siapa 'orang baru' turut menjadi persoalan bagi PAS Terengganu. Ahli Parlimen bukan seperti Adun yang isunya adalah setempat. Di sini kelebihan yang ada pada Ayah Wan.
Namun, bagi Wan Farid adalah sedikit mustahil untuk dicalonkan kerana rekod menunjukkan Wan Farid adalah dari Team Idris Jusoh. Bagaimanapun sudah ada suara-suara dari bawahan Umno yang membayangkan memboikot PRK ini sekiranya Ahmad Said bertindak mengenepikan Team Idris.
Ada juga suara dari PAS yang turut membayangkan Mat Sabu sekali lagi mencuba nasib di Kuala Terengganu. Mungkin ketiadaan calon sebaik allahyarham Datuk Razali Ismail memungkinkan Abg Mat dapat dihantar ke Parlimen. Arwah yang lama bergelumang dalam dunia pendidikan memang terkenal di kalangan para pendidik dan masyarakat tempatan. Bagaimanapun Abg Mat tetap berdepan dengan isu 'calon luar'.
Calon muda dan orang tempatan sudah semestinya tetap menjadi harapan kepada sesetengah pihak di kalangan penyokong dan pendokong PAS. Beberapa nama yang muda dan segar mungkin baru bagi orang luar, namun sudah lama bertapak di Terengganu. Setiausaha DPPNT- Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, dan Ketua DPPKT - Ustaz Haji Ahmad Kamal Ali.
Calon-calon ini muda dan tidak pernah bertanding. Merupakan orang tempatan dan agak dekat juga kepada masyarakat. Mungkin kerana muda mereka dilihat sedikit kebelakang. Namun, jika yang muda tidak pernah dikedepankan, sampai bila mereka akan terus tidak diasah? Sudahnya, akan disebut PAS Terengganu tiada pelapis. Ini juga peluang mengetengahkan calon muda dan baru. Menang menguatkan pakatan, kalah tidak menjejas kerajaan.
Namun, isu menang kalah juga akan dilihat sebagai kekuatan kepada PR khususnya di Terengganu. Saat di mana Umno di lain-lain negeri mahu ditalkinkan, Umno Terengganu tetap kukuh walaupun berdepan dengan sedikit kecelaruan. Kerjasama PAS, PKR dan DAP Terengganu akan dinilai sejauh manakah bersedianya Pakatan Rakyat ini berdepan dengan komponen BN.
Sebenarnya, siapapun calon samada muda, mahupun tua, PAS Terengganu tidak menghadapi masalah yang banyak. Pengundi di Kuala Terengganu mempunyai pandangan politik tersendiri. Penyokong PAS sebenarnya jarang membuat undi 'protes' walau calon itu tidak mengikut citarasa mereka. Apatah lagi sekiranya cakap-cakap yang memburukkan individu tertentu terutamanya calon dibuat oleh mereka yang tidak kenal hujung pangkal.
Apatah lagi keyakinan mereka dengan keputusan Majlis Syura dalam menentukan isu calon ini. PAS Terengganu mungkin sekadar mencadangkan nama individu tertentu. Namun keputusan tetap pada PAS Pusat untuk menentukannya.
Tulisan ini bukanlah untuk mengangkat individu tertentu berkaitan soal calon, tidak lebih sekadar menamakan sahaja. Namun, tujuan asal tulisan ini adalah bagi mengingatkan bahawa memperjuangkan Islam itu lebih utama dari memperjuangkan calon tertentu. Jangan kerana calon yang dinamakan nanti tidak selari, maka pelbagai hentaman, tohmahan mahupun pelbagai fitnah nista berterusan dihukum kepada sesetengah pihak.
Wallahua'lam.
p/s: Biarlah orang Kuala Terengganu yang menentukan pilihan mereka.