Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts

18 April 2010

Catatan Hulu Selangor

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

UMNO - APCO - ISRAEL?

Idris Jusoh Menyampaikan Salam Mat Said di Hulu Selangor
Baru-baru ini aku berkesempatan singgah di Desa Maju, Felda Sungai Tengi. Kiranya area tersebut merupakan kawasan yang turut terlibat dalam PRK Hulu Selangor yang sudah memulakan tempoh berkempen mulai semalam. Antara yang mencuit hati aku adalah cerita-cerita penduduk di sana apabila diceritakan Idris Jusoh turut berceramah di kawasan felda berkenaan. Antara yang diceritakan oleh mereka seperti apa yang disebut oleh Idris Jusoh adalah:

23 March 2010

Rukun 1: Kepercayaan Kepada Allah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ingatkah kalian pada setiap 'simbol' pada Jata Negara?
Aku masih ingat, ketika di Tadika Kemas suatu ketika dahulu, hampir setiap hari selepas menyanyikan lagu Negaraku, aku akan memimpin para pelajar lain untuk membacakan ikrar dan Rukunegara. Aku tidak pasti pula adakah aku ketua pelajar ketika itu atau tidak. Umur 5 dan 6 tahun. Aku tidak tahu semua itu. Apa yang pasti, aku disuruh mengetuai pelajar dalam banyak hal.

Ingatkah kalian pada rukunegara?

07 March 2010

Akhirnya Zul Kulim dipecat...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Setelah berminggu-minggu isu Zulkifli Nordin diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh media pro-UMNO, akhirnya Zulkifli dipecat dari PKR. Aku sempat meninjau secara lalu di blog Zulkifli Nordin yang mengulas isu pemecatannya. Pada aku, dari apa yang diulas Zul sekadar isu penggunaan nama Allah sahaja.

Aku melihat Zul Kulim agak keterlaluan dalam memberikan pendapatnya jika benar dia tidak bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh pihak-pihak lain. PAS secara prinsipnya juga tidak bersetuju sekiranya penggunaan nama Allah digunakan secara batil.

01 March 2010

Tibakah masanya Anwar sertai PAS?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Panas lagi Pulau Pinang dan PKR. Lebih terasa panas kerana Anwar juga dari sana. Segala apa yang berlaku dalam PKR hari ini tidak dinafikan sedikit sebanyak menjejaskan Pakatan Rakyat. PAS sudah tentu mendapat tempias yang sama. Malah PAS sebenarnya banyak terjejas dengan apa yang sedang berlaku ini. Sokongan Melayu sedikit sebanyak mengurang.

"Biarlah Melayu tak sokong PAS, Cina dan India akan terus menyokong PAS" Suatu bicara lunak dilemparkan seorang teman.

18 February 2010

'Geng Terengganu' Sudah Lama Wujud.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku sebenarnya tidak berminat untuk mengulas 'pertelingkahan dalaman'. Itupun sekiranya benar wujud pertelingkahan dalaman. Jika benar wujud, adakah asasnya kuat, atau sengaja diadakan bagi menjayakan agenda pihak-pihak tertentu, atau berlaku kerana sifat angkuh dan ego dalam diri. Tetapi sudah tentu setiap dakwaan, mahupun apa yang dinamakan pendedahan oleh pihak-pihak berkenaan dilapik dengan 'niat menyelamatkan parti'.

Petikan Malaysiakini

Malaysiakini melaporkan seorang penulis blog, iaitu Abdul Rahman Talib memberi ingatan agar waspada dengan 'geng Terengganu' yang dikatakan mengawal tindakan Presiden PAS. Sambil membangkitkan 'geng Terengganu' tersebut menguasai kedudukan strategik dalam kepimpinan PAS Pusat.

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Tulang Besi tersebut dilihat ada kebenarannya memandangkan Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Dewan Ulama dan Timbalan Ketua Pemuda, serta Ustaz Abu Bakar Chik, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat terdiri dari orang Terengganu.

Namun, perlu diingat nama-nama tersebut kecuali Ustaz Azman Shapawi merupakan nama-nama besar dalam PAS sejak dahulu lagi. Ustaz Harun Taib memegang kerusi Ketua Dewan Ulama sudah berapa tahun? Kerusi tersebut sebelum ini dilepaskan kerana Ustaz Harun cuba bertanding Jawatan Timbalan Presiden PAS.

Dato' Mustafa Ali bergelumang dengan PAS Pusat bukan baru. Kira-kira 12 tahun lamanya Cikgu Pa memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Pernah menjadi Bendahari PAS Pusat, juga pernah memegang jawatan Naib Presiden PAS. Sebagai orang lama dalam politik, tentulah jasanya diperlukan untuk mengemudi parti sebagai SU Agung. Apatah lagi dalam situasi Pakatan Rakyat masih baru membentuk kerajaan.

Bagitu juga dengan Dato' Abu Bakar Chik. Juga pernah memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dalam tempoh yang agak lama. Sejak itu rasanya kekal dalam AJK PAS Pusat sehingga hari ini. Kepercayaan perwakilan membuktikan kemampuan beliau dalam kerja-kerja membangunkan parti. Hari ini jika dilihat pada Unit Amal, PASTI sudah tentu akan dikaitkan dengan Ustaz Abu Bakar Chik.

PAS Terengganu sebenarnya sudah lama menguasai PAS Pusat. Sebelum ini ada lagi nama seperti Dato Wan Mutalib dalam AJK PAS Pusat. Malah Muslimat PAS Terengganu juga pernah memimpin Muslimat Pusat. Tapi sebelum ini tiada siapa persoalkan PAS Terengganu memimpin dan menguasai PAS Pusat. Malah pimpinan dari Terengganu saban minggu keliling negara ketika itu bagi menjayakan program-program tarbiyyah mahupun penerangan politik bagi mengembangkan PAS.

Ketika itu, kesusahan bukan seperti sekarang. Ahli kini telah ramai, cawangan tumbuh melata. Malah kerajaan pun ada. Jika benar dan betul sungguh PAS Terengganu mahu bersekongkol dengan UMNO, nama-nama di atas tidak perlu menunjukkan minat pada masa sekarang. Cikgu Pa misalnya pernah melepaskan jawatan Timbalan Menteri kerana PAS keluar dari gabungan BN.

Berbalik kepada persoalan Geng Terengganu menguasai kedudukan strategik parti dan dilihat menguasai Presiden. Jika benar Cikgu Pa menggunakan kedudukannya dalam Harakah, kenapa sesetengah keluaran Harakah edisi cetak, langsung tiada gambar TG Presiden PAS. Rasanya persoalan ini berbangkit apabila kenyataan Cikgu Pa dalam mengulas isu 16 September tahun sudah dimuatkan dalam Harakah. Itu sahaja. Jadi, tidak relevan sama sekali tuduhan Tulang Besi tersebut.

Dalam soal siapa Setiausaha Politik TG Presiden, rasanya isu tersebut memalukan sahaja dibangkitkan Tulang Besi. Apakah itu suatu kesalahan besar dan menyebabkan Presiden PAS menjadi terkebelakang? Dr Shamsuri seorang ahli akademik. Dipilih kerana komitmen dan ilmunya. Adakah ada ahli akademik lain yang sedia bekerja dengan PAS yang tidak menjanjikan apa-apa keuntungan dunia seperti SU Politik Mohd Nor Yaakob?

Bagitu juga dalam soal Unit IT PAS Pusat. PAS Terengganu sebenarnya banyak berkorban dalam segala hal. Ingatkan dengan menyumbang orang Terengganu untuk memimpin Unit IT akan dihargai, rupanya mendapat kejian sahaja. Bolehlah Tulang Besi menghantar resume untuk mengendalikan Unit IT PAS bagi membesarkan lagi fitnah terhadap pimpinan. Alang-alang naik turun hantar laporan itu dan ini, jangan lupa hantar sekali resume.

Kesimpulan dari segala kritikan dan tohmahan yang berlegar-legar tersebut berpunca dari satu sahaja. PAS Terengganu gagal menawan Terengganu. Itu sahaja. Apabila tewas, maka dilihatlah segala perkara adalah negatif dan teruk. Cuba bandingkan dengan pimpinan di lain-lain negeri, walaupun jentera berterabur, tiada Poling Agent & Counting Agent semasa hari pembuangan undi, tetapi dengan sebab menang, maka dilihat hero dan dijulang-julang.

Tulisan ini bukan bermaksud 'mengungkit', tetapi mahu memberi faham wujudnya tangan-tangan jahat (firaun-firaun kecil?) dalam merosakkan jemaah yang mungkin muncul dari dalam dan luar. Inilah sebenarnya ujian dalam perjuangan yang perlu dilalui dengan solat dan sabar. Di sinilah dapat diuji kekuatan pimpinan, ketaatan ahli, dan keutuhan jemaah dan PR itu sendiri. Inilah harga yang mahal perlu dibayar untuk sebuah kemenangan.

Wallahua'lam.

23 December 2009

Kalaulah Yang Tidak Hadir Sidang Bajet Parlimen itu MP Bachok dan MP Marang...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pendahuluan: Artikel ini disalin dari sebuah blog. Bagaimanapun, aku tidak suka untuk menyebut blog mana yang menyiarkan artikel ini atas faktor-faktor 'pendapat peribadi' aku.
---------------------------------------------------------------------------------



Sidang Parlimen untuk meluluskan Bajet 2010 baru-baru ini menimbulkan perbahasan hangat di dalam blog-blog politik dan akhbar-akhbar arus perdana.Penyokong-penyokong BN mahupun PR, masing-masing kesal apa yang berlaku ke atas Ahli-ahli Parlimen (MP) yang mereka pilih yang sepatutnya menjalankan tugasan mereka untuk hadir ke dalam sidang parlimen yang dijalankan.

Bagi penyokong-penyokong BN, ketidakhadiran MP-MP mereka ke Perlimen menyukarkan lagi usaha mereka untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka selepas gagal pada PRU lalu. Bagi penyokong-penyokong PR pula, kejadian tersebut menjadikan usaha untuk meyakinkan rakyat bahawa PR sebagai “government in waiting”, menjadi sukar selepas “hampir berjaya” pada PRU lalu dan “agenda 16 September”.

Agenda 16 September yang pernah gagal dahulu sepatutnya diteruskan dan Sidang Parlimen untuk meluluskan Bajet 2010 inilah medan terbaik untuk membuktikan semangat Pakatan Rakyat yang bersungguh-sungguh untuk menggantikan rejim Umno/BN. Namun, kejadian ini amat dikesalkan sama sekali.

Kalau di Bagan Pinang, kekalahan PAS disabitkan kepada “kapten” PAS seperti yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari, maka kegagalan PR perlu disabitkan kepada “kapten” kepada Ahli Parlimen Pembangkang, bukankah begitu?

Kalau kita gunakan nada yang sama daripada tulisan Dr Aziz Bari “Pengajaran dari Bagan Pinang”, maka lemparan-lemparan yang sama wajar dikeluarkan untuk “kapten” MP pembangkang di Parlimen Malaysia, seperti “Pak Lah versi PR”, “perubahan dalam PR”, “terlalu lama memimpin”, dan sebagainya…..

(Nota : Di dalam tulisan Pengajaran dari Bagan Pinang”, Dr Aziz Bari menyifatkan Presiden PAS adalah Pak Lah versi PAS, kerana terlalu lama memimpin, dan PAS perlukan perubahan kapten).

Cuba bayangkan, kalaulah yang tidak hadir itu adalah MP Bachok dan MP Marang, sudah tentu akan melalak dan meroyanlah blogger-blogger Tulang, Tukang Tarik Beca, MP-MP yang mengaku merekalah Pro-Pakatan Rakyat.

Mujurlah yang tidak hadir itu MP Kuala Krai, MP Parti Buntar, MP Pokok Sena, MP Gombak, MP Lembah Pantai….

Kalaulah MP Bachok atau MP Marang yang tidak hadir, sudah tentu lagu-lagu “pro-Umno”, “pengkhianat mandat rakyat”, “memecahbelahkan PR”, “fraksi Umno”, dan sebagainya akan dinyanyikan di sana-sini oleh para blogger upahan dan sebahagian pemimpin PR.

Malah, MP-MP yang beria-ia menghantar memorandum membantah Kerajaan Perpaduan pun tidak hadir hadir, termasuklah MP yang mengetuai sidang media dan memorandum tersebut.

MP Shah Alam dan MP Kuala Selangor juga tidak memberi reaksi mereka sangat dalam isu ini di blog mereka berbanding isu 16 September dan Kerajaan Perpaduan. Oh, mungkin mereka menjaga semangat setia kawan PR, bukan kerana rakan-rakan mereka yang sama team tidak hadir sidang Parlimen.



(Nota: Pada 18 Jun lalu, beberapa MP PAS mengadakan sidang media dan memorandum membantah Kerajaan Perpaduan atas alasan memperkukuhkan Pakatan Rakyat).

Kalau dilihat satu persatu senarai nama MP PR yang tidak hadir itu, daripada jumlah keseluruhan tersebut, MP daripada PAS adalah yang paling sedikit,

Ini membuktikan PAS yang diketuai oleh TG Haji Abdul Hadi Awang begitu komited untuk memperkukuhkan PR, meskipun MP PAS yang paling sedikit berbanding rakan-rakan PR yang lain di dalam Parlimen.

(Nota akhir: tentu tulisan ini akan dikritik sebagai “pemecahbelah PR” oleh mereka tadi)

----------------------------------------------------------------------
Nota Akhir Aku: Tulisan ini hanya mahu menjelaskan betapa PERSEPSI itu sesuatu yang boleh dibina, dan boleh diruntuhkan. PERSEPSI bukanlah suatu informasi, tetapi lebih kepada suatu bentuk manipulasi. Sebab itu PERSEPSI salah dan jahat terhadap pimpinan tertinggi selama ini sebenarnya sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu. UG hanyalah kambing hitam dan alasan.

15 November 2009

Ustaz Abu Bakar Chik sergah TGNA?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Amdang, mung kena jawab bagi pihak Terengganu." Sapa seorang kenalan yang merupakan seorang penulis dalam beberapa majalah dan akhbar alternatif menerusi YM!. Juga seorang blogger.

Perkenalan kami bermula ketika PRU 12 lalu dan agak sering juga berjumpa di program-program besar parti. Isu yang beliau maksudkan adalah isu-isu yang melibatkan pimpinan PAS Terengganu diserang, terutamanya yang terbaru isu "Ustaz Abu Bakar Chik menyergah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat".

"Bukan tak nak jawab, tapi nak tengok sejauh mana pembohongan mahu terus dilakukan" Aku menjawab beralasan.

Sebenarnya aku tiada kesempatan untuk menulis bagi menjawab tuduhan yang tiada asas langsung. Sudahlah tiada asas, lebih malang lagi disebarkan pula oleh blogger-blogger lain yang mana langsung tidak menyelidik sumber berkenaan, mahupun mahu mendapatkan kebenaran dari isu yang diperkatakan.

Hari ini, sudah seminggu lebih isu tersebut berlalu. Aku bukan mahu memanaskan isu ini kembali, tetapi aku berasa bertanggungjawab untuk menjawab isu ini dari sudut yang sebenar. Sebenar yang aku maksudkan di sini adalah dengan bertanyakan sendiri orang yang dituduh tersebut.

Alhamdulillah, aku berkesempatan makan semeja dengan Ustaz ABC beberapa hari lalu. Peluang yang ada tersebut aku gunakan untuk bertanya sendiri tentang apa yang dihebohkan oleh blog-blog yang menyerang Ustaz ABC.

"Ustaz, ada blog tulis kata ustaz kata TGNA nyanyuk dalam Mesyuarat Khas baru-baru ni. Betul ke?" Aku mencelah ketika mana dia asyik makan.

"Eh, tak dok" Kata Ustaz ABC menafikan. Dia semacam berfikir semula selepas menjawab.

"Blog mana?" Ustaz ABC pula bertanya.

"Blog XXX.blogspot.com" aku menjawab.

Ketika itu aku difahamkan blog terbabit yang mengeluarkan tuduhan tersebut. Akhirnya aku mendapat tahu sumber tulisan asal dari blog lain. Rasanya tak perlu aku tulis nama blog berkenaan di sini kerana blog berkenaan hanya "copy & paste" sahaja artikel asal.

Aku terbaca juga komen Ustaz Misbahul Munir berkenaan fitnah jahat blog berkenaan, yang akhirnya cuba juga dijawab kembali oleh blog jahat tersebut. Apa yang kelakar bilamana diminta Ustaz ABC sendiri tampil untuk menjawab tuduhan tersebut. Sedangkan Ustaz Misbah sudah mendapat kepastian dari individu-individu lain yang hadir dalam Mesyuarat Khas tersebut tentang tiadanya insiden yang dimaksudkan.

Jika benar ada maklumat, tampilkan siapa yang mendedahkan maklumat tersebut barulah adil dalam membuat pertuduhan. Kenapa nak libatkan semua ahli mesyuarat terbabit bersumpah. Tak logik!. Minta ustaz ABC tampil menjawab pertuduhan pun aku rasa tidak logik. Apakah kerja setiap pimpinan membelek blog setiap hari bagi menjawab setiap tuduhan? Ini lagi tiada kerja!

Betapa mudahnya aku melihat para blogger yang kononnya memperjuangkan kebenaran maklumat "copy & paste" artikel dari blog jahat tersebut. Sudahlah, henti-hentilah menyebarkan dosa dan fitnah.

Mungkin blogger berkenaan 'terfikir idea' Ustaz ABC sergah TGNA selepas melihat Ustaz ABC sergah Prof Dr Aziz Bari.

Wallahua'lam.

P/s: Maaf, artikel ini terlewat beberapa ribu saat dari yang sepatutnya. Tapi ini aku kira memadai dari langsung tiada. Mungkin ini sekadarnya sahaja. Atau permulaan?

11 November 2009

Ada baiknya Zulkifli Nordin sertai PAS...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Jika Zulkifli Nordin tidak bersama PKR, mahu rasanya mengajak beliau untuk bersama-sama dengan PAS. Bukan tidak mahu mengajak menyertai PAS, tetapi nanti PAS akan dikatakan oleh kawan sebagai 'mengkhianati' kawan. Apapun, perlu diingat dasar PAS adalah Islam dan tidak seperti PKR.



Aku terpanggil untuk melontarkan tulisan ini bilamana melihat ada individu yang berada dalam kelompok yang kurang islamik, tetapi begitu menunjukkan 'minat' ke arah Islam. Zulkifli Nordin agak terkenal dengan pendedahan kes-kes murtad yang berlaku dalam negara. Selain itu, keberanian beliau mempertahankan Islam dalam beberapa kes yang berlaku turut menunjukkan komitmen yang tinggi beliau di dalam perjuangan Islam.

Dalam kenyataan media semalam, Zulkifkli Nordin dipetik sebagaimana berkata:
"Saya ingin menegaskan apa yang saya telah sebut secara konsisten dan istiqomah; mempertahankan dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim adalah sesuatu yang sangat berharga bagi saya. Saya mungkin bukan Muslim yang terbaik, tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk Islam. Saya adalah Muslim dahulu, Ahli Parlimen kedua. Saya adalah Muslim dahulu, ahli parti kedua. Apabila tiba harinya saya terpaksa memilih diantara Islam dan parti, saya tanpa sedikit keraguann pun akan pasti memilih Islam."
Aku terfikir, apakah tindakan Zulikfli Nordin yang mempertahankan Islam itu akan menyebabkan Pakatan Rakyat akan mundur dan lemah? Adakah tindakan itu akan dikira mengkhianati PR?

Sama-sama kita renung dari sudut kita yang mengaku berada di dalam Parti Islam.

Wallahua'lam.
------------------------------------------------------------
Nota:

Untuk makluman, aku menulis isu Zulkifli Nordin ini dengan sedar siapa Zulkifli Nordin. Adapun tulisan ini ditujukan kepada pihak yang mengambil tindakan tertentu kepada pihak-pihak yang menyokong Islam dengan mendahulukan Pakatan Rakyat. Selamatkan PAS!!

09 November 2009

Akhirnya Anwar Ibrahim bersuara...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari ini Harakahdaily melaporkan:

Anwar rakam terima kasih, puji cara PAS selesai masalah.

"PAS ternyata sebuah parti yang komited dengan Pakatan Rakyat, matang dan bijak menangani permasalahan yang timbul.

"Saya juga berterima kasih dengan kepimpinanya yang sedaya upaya memperkemaskan pemuafakatan yang sedia ada demi perjuangan memartabatkan Negara berkebajikan, " Kata Anwar

Pujian dan terima kasih Anwar tersebut dilontarkan selepas PAS mengadakan Seminar Memperkasakan Parti pada Sabtu lalu. Sebelum ini ketika mana Presiden PAS dan beberapa pimpinan PAS diserang, tidak kedengaran suara Anwar dalam menyokong Presiden PAS.

Paling tidak, Anwar boleh mengambil langkah tengah dengan menenangkan semua pihak dengan mengatakan "Pakatan Rakyat selesa dengan kepimpinan Hadi ketika ini".

Atau mungkin "Pakatan Rakyat berjalan seperti biasa" bagi menggambarkan suasana yang baik antara parti-parti dalam PR.

Tapi, di manakah Anwar ketika itu?

11 May 2009

Sidang Dun 7 Mei tidak sah! - Prof Aziz Bari

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Hrkh) - Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: "Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu".

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

"Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai".

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

"Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi," katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

"Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa", tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

"Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya". Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa.

Anihnya, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam komennya Jumaat lalu berasa sedih kerana "pihak pembangkang melanggar undang-undang dan membuat kekecohan".

Khamis lalu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga menyalahkan pembangkang kerana membawa budaya rimba dan menentang titah sultan, perintah mahkamah dan arahan polis.

Aziz berkata di sisi undang-undang sesuatu tindakan tidak boleh dilihat berasingan dari suasana yang melatarinya. "Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Dun di Perak adalah respons yang akan dilakukan oleh sesiapa pun termasuk oleh BN sendiri kalau mereka melaluinya. Dengan itu adalah tidak adil untuk menuduh mereka ganas, liar dan sebagainya sedangkan kita tahu bagaimana mereka dilayan oleh polis dan pihak sekretariat kerajaan negeri," jelasnya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengganggu kuasa Speaker V Sivakumar dan sikap pihak polis yang berat sebelah dan tidak profesional.- TMJ.

Celaka 1Malaysia!

22 April 2009

Muktamar PAS: Siapa yang patut dipilih?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Amdang, apa komen dengan pemilihan dalam muktamar akan datang ni? Nampak gaya tahun ni ada pertembungan hebat" Tegur seorang sahabat siber yang aktif dengan PAS.

"Ana sedang cula la ni. Nak tengok siapa yang punya potensi." Aku menjawab semacam bergurau. Namun tidak bergurau.

"Rasa-rasa, siapa menang?" Satu soalan lagi yang cuba menguji.

"Ikut tradisi, siapa yang tidak melobi akan menang. Siapa yang bersih, akan terpilih. Siapa yang pandai ceramah akan diminati. Soal buat kerja atau tidak orang tidak berapa nampak. Soal komitmen dengan jemaah pula umum sangat." Aku cuba membuat jawapan secara umum.

"Kalu mung diberi pilihan?" Soal lagi.

"Kalu aku, aku pilih pimpinan yang layak menjadi pimpinan PAS. Layak jadi pimpinan PAS mestilah dia bekerja bersama PAS, bekerja untuk PAS dan segala laku dia melambangkan dia layak menjadi pimpinan PAS".

"Bahasa mudahnya, jangan pilih pemimpin PAS yang tidak tahu dia itu PAS ataupun PKR. Bercakap dari pentas PAS, tapi wala'nya tidak bersama PAS. Pimpinan PAS dikomennya macam-macam, tapi pimpinan PKR dilambungnya menjulang". Aku mula bersikap tegas.

"Hmmm. Dengar kata PAS perlukan perubahan. Tajdid. Barulah lebih ke depan. Seolah-olah istilah tajdid itu sendiri akan menarik perwakilan untuk melakukan perubahan. Ke guane?". Soalan makin panas.

"Pada aku, pimpinan PAS yang ada ni cukup bersedia untuk menerima perubahan. Aku ambil contoh Tok Guru Presiden, apa perubahan dalam PAS yang ditolak Tok Guru? Jika Tok Guru Presiden bukan seorang yang sedia menerima perubahan, PAS tidak akan ke tahap ini".

"Tok Guru Presiden juga sebenarnya sentiasa menunjukkan contoh yang jauh lebih baik dari pimpinan-pimpinan PAS yang ada, malah di antara pimpinan Pakatan Rakyat itu sendiri."

Aku berikan contoh bagaimana Tok Guru mampu memimpin pengikutnya dalam ibadah samada sebagai imam solat, memberi tazkirah dan kuliah. Tok Guru juga senantiasa turun padang dalam demonstrasi rakyat dan memimpin perarakan. Demo Royalti Terengganu, demo BERSIH, dan terbaru demo Bantah PPSMI. Tok Guru Presiden bukan setakat aktif di Malaysia, malah kepimpinan Tok Guru hingga ke peringkat antarabangsa.

"Ada sesetengah pimpinan PAS hari ini hanya akan turun padang bilamana ada pimpinan PKR yang turun". Aku sedikit menyindir. Sindiran aku bukan kosong. Tapi itu yang dapat dilihat dan telah ditunjukkan oleh pimpinan terbabit.

"Itu bab Presiden, ni pasal Timbalan dengan Naib ni". Dia cuba kembali kepada topik perbincangan. Sebetulnya lebih kepada terjah pendapat aku.

"Aku secara peribadi tidak kenal sangat dengan Ustaz Nasharudin. Tapi perlu diingat Ustaz Nasa ni dibawa masuk ke peringkat pusat oleh almarhum Ustaz Fahdil Noor. Ustaz Fadhil terkenal sebagai pimpinan yang berpandangan jauh. Paling tidak, Ustaz Fadhil mesti tahu kelebihan dan punya strategi memasukkan Ustaz Nasa ke peringkat Pusat."

"Lagipun Ustaz Nasa punya reputasi baik apa. Dua pilihanraya kecil PAS menang yang mana Ustaz Nasa selaku Pengarah Pilihanraya Induk". Aku memberi pendapat.

"Jadi, tak setuju lah sekiranya Ustaz Nasa dicabar? Ustaz Nasa kan dilihat sebagai 'pemecah PR'" Soalan yang aku dah agak, soalan yang aku cukup benci.

"Mana datang fitnah sebegini? Kenapa perlu difitnah sebegitu rupa?". Aku menyoal kembali.

"Kita sepatutnya percaya dengan pimpinan. Setiap langkah dan tindakan yang diambil ada strateginya sendiri. Sudah tentu strategi yang diambil itu akan memberi banyak kebaikan kepada parti. Namun, sayangnya ramai yang 'buta strategi". Aku melontarkan pandangan balas.

Aku mengakhirkan perbincangan dengan mencadangkan tiada pertandingan untuk kerusi Presiden dan Timbalan. Bukan soal menolak demokrasi, tetapi aku percaya kombinasi sekarang masih baik dan diperlukan. Namun ianya bukan keputusan aku. Jika kombinasi ini tidak baik, apakah PAS mampu berada pada tahap ini? Bekerja bukan sekadar mengeluarkan kenyataan media!

Wallahua'lam.

Nota: Perbincangan berlangsung dalam suasana harmoni. Jangan lupa untuk memahami dan melihat politik Tok Guru Presiden di SINI. Walaupun isu Kerajaan Perpaduan sudah ditangguhkan, aku tetap percaya strategi dan ilmu politik yang dicurahkan itu sebenarnya memberi kesan politik yang sangat hebat untuk PAS.

p/s: aku sebenarnya tidak suka menulis isu-isu sebegini, tetapi memandangkan aku rasa terpaksa bersuara maka aku menulis juga di sini. Apapun, pilihan para perwakilan jugalah adalah lebih baik dan tepat.

16 April 2009

Pilihan raya kecil pulak dah!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Fairus lepas jawatan ADUN Penanti - Malaysiakini

Bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keputusannya melepas jawatan ADUN Penanti, berkuatkuasa hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat siswazah lanjutan.

Ia juga, katanya, untuk memberi masa kepadanya untuk bersama-sama dengan keluarga "yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya".

Fairus yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung satu projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan timbalan ketua menteri pada 8 April lalu.

p/s: Aku rasa macam dah penat dah nak layan PRK nih. Huhuhuh.

08 April 2009

Rakyat Kata UMNO Derhaka!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Itulah suara rakyat di Bukit Gantang. UMNO derhaka! UMNO bukan setakat derhaka kepada Tuanku Sultan, malah menderhaka kepada amanah rakyat. UMNO abaikan keutamaan rakyat keseluruhan selama 62 tahun. Itu derhaka kepada rakyat namanya.

UMNO merampas kerajaan pilihan rakyat iaitu Pakatan Rakyat, itu derhaka kepada rakyat namanya. Tiada restu dari rakyat untuk UMNO dan BN.

Jika suara rakyat dalam PRK Bukit Gantang dinilai sebagai referandum rakyat terhadap rampasan kuasa kerajaan di Perak, bererti MB Zambry dilihat sebagai MB Haram. Jika 2-1 keputusan PRK di 2 bukit dan 1 batang dinilai sebagai referandum rakyat terhadap kepimpinan Najib sebagai PM, maka Najib dilihat turut tertolak.

amdang: Akhirnya rakyat menolak calon yang rajin ke DANOK, Thailand.

03 April 2009

Laporan TV3 dan Utusan Malaysia berniat jahat - Harakahdaily

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

oleh: Mohamad Hanipa Maidin

Laporan Buletin Utama TV3 semalam (1/4/2009) dan akhbar Utusan Malaysia hari ini (2/4/2009) mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V Sivakumar untuk membatalkan saman terhadapnya oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas tidak menggambarkan keputusan sebenar Mahkamah Tinggi tersebut.
Utusan melaporkan seperti berikut:-

IPOH 1 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V Sivakumar untuk membatalkan saman terhadapnya oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas.

Keputusan ini secara tidak langsung membolehkan ketiga-tiga Adun Bebas iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong.

Laporan di atas khususnya perenggan yang menyatakan "keputusan ini secara tidak langsung membolehkan ketiga-tiga Adun Bebas iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong" adalah amat mengelirukan dan boleh dianggap sebagai mala fide (berniat jahat) di atas alasan-alasan berikut:

1. Mahkamah Tinggi Ipoh hanya menolak permohonan Sivakumar bagi membatalkan saman pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga Adun tersebut ke atas beliau.

2. Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Sivakumar tidak bermakna mahkamah mengisytiharkan ketiga-tiga Adun Bebas itu kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi Dun berkenaan tidak kosong kerana isu tersebut belum didengar dan diputuskan oleh Mahkamah.

3. Apabila Hakim mendengar mana-mana permohonan untuk membatalkan saman (sama ada Writ Saman atau Saman Pemula - dalam kes ini ianya adalah Saman Pemula) yang mana permohonan tersebut dibuat di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (juga dikenali sebagai permohonan "to strike out pleading"), hakim hanya memutuskan permohonan tersebut sahaja. Ini bermakna di dalam kes di Ipoh, hakim hanya memutuskan sama ada membenarkan permohonan Sivakumar atau menolak permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga Adun tersebut.

4. Di dalam kes ini Mahkamah memerintahkan permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga Adun tersebut ditolak. Itu sahaja perintah yang Mahkamah berikan. Tiada perintah lain diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

5. Selepas Mahkamah memerintahkan permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga Adun tersebut ditolak, Mahkamah yang sama telah menetapkan untuk meneruskan pendengaran Saman Pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga Adun Bebas tersebut dan tarikh pendengaran Saman Pemula telah ditetapkan pada 8 April 2009 ini.

6. Selagi Mahkamah belum mendengar dan memutuskan isu yang dibangkitkan di Saman Pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga Adun tersebut, ketiga-tiga mereka belum boleh dikatakan sebagai wakil rakyat yang sah dan kerusi mereka juga tidak boleh dikatakan tidak kosong seperti mana yang dilaporkan oleh TV3 dan Utusan Malaysia.

7. Pasukan Peguam Sivakumar telah memutuskan untuk memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut dan terdapat kemungkinan besar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut akan diketepikan oleh Mahkamah Rayuan kelak seperti mana Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Dato' Ridzuan yang melarang Sivakumar diwakili oleh peguam.

Saya harap penjelasan di atas dapat sedikit sebanyak membetulkan salah faham para pembaca di atas laporan putar belit TV3 dan Utusan Malaysia di atas.

25 March 2009

Pilihan Raya Kecil dan Projek Mee Udang

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam aku tiba di Kuala Terengganu setelah 2 hari menjenguk Bukit Gantang. Mengikut maklumat kawan-kawan sebelum ini, suasana Bukit Gantang sudah panas, tetapi dari beberapa pemerhatian aku suasana yang ada tidaklah terlalu panas jika dibandingkan cuaca yang ada. Cuma cuaca panasnya berselang dengan hujan yang turun sesekali. Kadangkala lebat juga. Mungkin itu sebenarnya maksud 'panas' dari sahabat-sahabatku. Panasnya sesekali.

Mendengar taklimat 'bawah pokok' dari seorang sahabat, kedudukan semasa dilihat menyebelahi PAS yang diwakili MB Perak, Dato Seri Nizar. Dikatakan simpati terutamanya dari masyarakat Cina dan India cukup tinggi. Pengundi Melayu yang merupakan majoriti mungkin akan terbahagi kepada dua. Namun, sekiranya kena pada sentuhan kempen, tidak mustahil undi besar bakal diperolehi dari kaum Melayu.

Pengundi saluran 1 (golongan veteran) dikatakan mungkin sukar didekati. Ini kerana selain termakan umpan UMNO, kebanyakan golongan ini tidak terdedah kepada maklumat. Ketika berada di sebuah kampung di Dun Terong, dikatakan hanya sedikit sahaja akhbar harian yang terjual setiap hari. Selebihnya maklumat diperolehi dari kaca TV. Mungkin PR perlu lebih banyak turun padang mendekati pengundi kali ini.

Selain suasana bendera yang sudah mula dikibarkan, sesuatu yang turut biasa berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil adalah penurapan jalan. Namun, sedikit kebaikan penurapan jalan ini dilakukan adalah kerana jalan raya yang sedia ada memang agak teruk dan permukaannya beralun.

Aku menamakan projek-projek segera itu sebagai projek Mee Udang. Istilah 'projek Mee Udang' dinamakan bagi menggantikan projek Mee Segera adalah kerana projek pilihan raya adalah mahal harganya. Mee Udang adalah antara menu yang terkenal di sini. Selain kerana udangnya yang banyak dan besar, harga bagi sepinggan juga adalah boleh tahan. Setakat yang aku dimaklumkan paling murah adalah RM 6 dan yang paling mahal mencecah ke RM 15. Itu yang aku dimaklumkan.

Mee Udang yang sempat aku rasa sepinggan pada aku lebih kurang Mee Bandung sahaja. Cuma udangnya yang banyak sehingga menutup pinggan. Mungkin rasa Mee Udang yang aku makan di sebuah gerai di Kuala Sepetang bukanlah yang paling istimewa. Namun, mengikut apa yang tertera pada gerai berkenaan, kewujudannya sejak 1956 lagi!! Harga sepinggan yang aku makan tidaklah aku ketahui kerana bayarannya dijelaskan oleh pembantu kepada YB. Drs Idham Lim , Adun Titi Serong atau lebih dikenali sebagai Cina Islam.

Aku akan kembali lagi ke Bukit Gantang dan aku akan pastikan dapat merasa Mee Udang yang paling sedap selepas kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di sana!!

p/s: ada ke sesiapa nak rekemen Mee Udang di Bukit Gantang yang paling sedap?

19 February 2009

Ke Arah Merealisasikan Blogawan Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertengahan tahun lalu aku pernah ditegur oleh saudara roslan (My-localAgenda) bertanyakan dan mencadangkan dibuat suatu pertemuan antara blogger-blogger Terengganu. Ketika itu aku mengangguk kepala bersetuju dan memang merasakan ianya suatu cadangan yang baik. Aku menyibukkan diri aku dan akhirnya cadangan itu senyap.

Akhir tahun lalu, aku diingatkan sekali lagi, dan terakhir adalah beberapa hari lalu. Beliau rupa-rupanya telah mengambil langkah awal dengan membuat butang 'Blogawan Terengganu' dan sudahpun mula ditampal di blog beliau. Tahniah.

Sebenarnya usaha menyatukan blogger-blogger Terengganu sudah lama muncul dan diutarakan ramai pihak kepada aku sebelum ini. Antaranya nasikerabupetro. Namun, atas sebab-sebab yang menghalang, kekangan yang ada dan seribu satu alasan, maka terus tertangguh.

Aku letakkan dulu butang ini di sini untuk paparan. InsyaAllah gerakerja ke arah menyatu dan memperkasa Blogawan Terengganu akan diteruskan.

Kenapa Blogawan Terengganu dan bukan Terengganu Bloggers United? PPSMI jawab saudara Roslan. Agaknya itulah maksud PPSMI yang dijawab saudara Roslan tadi.

Mahu bersama-sama BLOG-GU ? (ni yang aku nak cadang singkatan Blogawan Terengganu). Nantikan pengumuman rasmi dalam masa terdekat. Tidak minggu depan, bulan depan. Hehehehe.

Kiranya dah umum sini sebagai suatu tekanan la pada aku. Nanti mesti ramai yang tanya itu ini. Maka ketika itu aku tidak mampu mengelak, dan akan sungguh-sungguh realisasikannya bersama kalian. InsyaAllah.

Nota: Harap-harap jadi laa...

05 February 2009

Pakatan Rakyat Teruji: PAS Tetap Istiqamah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Biar apapun yang berlaku kepada negeri-negeri yang sedang diperitah PR, aku percaya semua sedang mengintai sejauh mana tetapnya pendirian MP dan Adun PAS. Aku percaya ramai yang tidak hairan dan tidak pelik sekiranya PKR dan DAP melompat parti, namun suatu tamparan hebat sekiranya ada MP dan Adun PAS yang melompat.

Sejarah di Kelantan memperlihatkan Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mampu bertahan ketika mana PAS hanya mempunyai kelebihan 1 kerusi berbanding BN selepas tewas dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir. Cakap-cakap mengatakan kerajaan Kelantan ketika itu memerintah hanya dengan 2 undi. Ini kerana Dun Kemuning dalam pilihan Raya 11 lalu menang dengan majoriti 2 undi sahaja.

Namun, sehingga Mac 2008 semuanya berjalan dengan lancar. Tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Mac 2008 juga menyaksikan bagaimana PAS memerintah Kelantan dengan majoriti yang lebih besar.

Umum maklum bahawa PAS mempunyai dasar perjuangan yang jelas. Menjadikan Al-Quran dan Hadis sebagai sandaran dan panduan. Tiada siapa dapat menafikan ini termasuk pimpinan UMNO sendiri. Sebab itu UMNO melihat sukar untuk membeli atau merasuah mana-mana pimpinan PAS.

Semoga pimpinan, MP dan Adun PAS terus istiqamah dalam diuji dengan habuan dunia semata-mata ini. Wallahua'lam.

15 January 2009

Belum menjadi MP, Hj Wahid sudah diberikan tugas.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pagi tadi, di Kuala Terengganu berlangsungnya satu upacara penyerahan Memorandum Bantahan PPSMI kepada calon PAS Hj Abdul Wahid Endut oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Penyerahan itu memberi suatu makna yang besar dan harapan yang menggunung kepada Hj Abdul Wahid bagi membawa isu tersebut ke Parlimen.

Keduanya, isu Royalti Minyak Terengganu. Sehingga hari ini ianya masih samar-samar. Hari ini mengikut jadual asal akan diadakan suatu Debat Perdana antara dua calon dari PAS dan UMNO. Bagaimanapun, dimaklumkan ianya terpaksa dibatalkan kerana Wan Farid tidak memberi respon kepada MAMPAT yang menganjurkan program tersebut sehingga tengahari tadi.

Isu PPSMI adalah isu nasional. Royalti pula adalah isu rakyat Terengganu. Dengan dua isu ini sahaja sebenarnya sudah cukup untuk Hj Abdul Wahid diberikan peluang untuk melangkah masuk ke Parlimen. Alasannya mudah, Wan Farid sehingga matipun tidak akan memperjuangkan PPSMI jika pimpinan UMNO menolak PPSMI. Isu royalti pula sudah terbukti Wan Farid tidak memperjuangkannya ketika menjadi Timbalan Menteri. Apa lagi yang mahu diharapkan dengan Wan Farid?

"Bantah PPSMI, Tolak BN". "Pulangkan Royalti, Selamatkan Terengganu". Kobarkan merata-rata. Mungkin dilihat agak terlewat memandangkan masa berkempen tinggal sehari sahaja lagi, tetapi kedua-dua isu ini mempunyai skop sokongan yang tersendiri. Isu royalti meliputi keseluruhan pengundi, manakala PPSMI turut meliputi semua pengundi, tetapi lebih hampir dengan institusi pendidikan.

Apapun, Hj Wahid sudah punya tugas sebelum dilantik menjadi MP sebenar. Cuma terpulang kepada pengundi Kuala Terengganu samada mahu memilih calon yang berpura-pura berjuang untuk rakyat dengan pura-pura senyum, atau mahu memberi undi kepada Hj Abdul Wahid yang lebih jelas dan terserlah perjuangannya.

Wallahua'lam.

amdang: Ada juga pensyarah Universiti yang tidak tahu ringkasan PPSMI. So, kenalah sesiapa nak cerita pasal PPSMI ni kena detailkan PPSMI tu. Anda pun tak tahu? Huhuhuhu. Teruknya!!

Wahid - Number One!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Wahid itu nombor Satu. Mat Saleh kata Number One. Kalu masa sekolah dulu-dulu semua rasanya berebut mahu dapat nombor satu. Belajar mahu nombor satu, berlari pun mahu nombor satu. Nombor satu diberikan sebab dapat kumpul markah paling banyak. Nombor satu diberikan sebab berlari paling laju dan terkedepan.

Dalam pilihan raya, pemenang atau yang dapat nombor satu diberikan kepada yang mendapat undi terbanyak. Menang bukan suatu anugerah, tetapi sebenarnya suatu amanah. Jauh bezanya dari perlumbaan lumba lari dan belajar dalam kelas. Tapi, tidak semua yang faham begitu.

Alhamdulillah Hj Wahid Endut memahami apa itu wakil rakyat. Mungkin sebab itu beliau kekal di DUN Wakaf Mempelam. Bukan tiada suara sumbang mengeji dan berkata nista sepanjang bertugas, namun semuanya ditempuhi dengan sabar. Tidak mampu dipuaskan kehendak semua. Namun, sentiasa berusaha memberi khidmat yang baik, sentiasa mengambil tahu hal rakyat adalah suatu kekuatan yang ada buat Hj Wahid. Wajah ceria, sifat mesra dan senyum yang sentiasa terukir mungkin menjadi daya tarikan utama kepada beliau. Penyejuk hati si gundah yang melihatnya.

Dalam sedar dan insaf, Hj Wahid mengakui berat untuk menerima amanah ini. Namun, apabila diamanahkan oleh jemaah, maka ianya mesti diterima dan ditunaikan dengan sebaiknya. Bagi PAS, pemilihan Hj Wahid adalah yang terbaik dan dilihat mampu membawa suatu kemenangan dengan pakej yang ada pada diri beliau.Jika dilihat kepada personaliti calon-calon yang bertanding, Hj Wahid sudah dilihat ke hadapan. Imej yang baik, bersih, mesra, dan mempunyai reputasi dan pengalaman yang boleh dibanggakan merupakan suatu kelebihan besar. Apatah lagi apabila lawan utama dilihat mempunyai rekod yang kurang baik walaupun pernah memegang jawatan setinggi Timbalan Menteri.

Semoga kebenaran dan Islam terus diberi kemenangan. InsyaAllah.

02 January 2009

YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut Pilihan yang tepat!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Mungkin bagi kebanyakan orang yang berada di luar Terengganu, pemilihan YB Hj. Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS di Parlimen Kuala Terengganu dilihat sebagai suatu keputusan yang silap. Namun, bagi penduduk dan pengundi di Kuala Terengganu ini khususnya, pemilihan yang dibuat tersebut adalah pilihan yang tepat dan mampu memenuhi kehendak ramai.

Tuan Guru Presiden PAS ketika mengumumkan menyebut Hj Wahid sebagai mewakili golongan muda dan tua. Umur 52 tahun ketika ini benar-benar dilihat sebagai umur pertengahan apabila wujud polemik tersendiri terhadap calon muda dan tua. Bagi golongan muda, calon muda menjadi taruhan kerana mahukan calon yang segar, manakala golongan tua mahukan calon lama yang berpengalaman. Hj Wahid memiliki kedua-duanya.

Hj Wahid berkelulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi kerusi Dun Wakaf Mempelam dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,193 mengalahkan calon BN, Othman Awang. Hj Wahid memperolehi 9,645 manakala Othman mendapat 7,452.

Kerusi Wakaf Mempelam sudah 5 kali ditandingi beliau dan tidak pernah sekalipun tewas. Dalam PRU 12 lalu, majoriti yang diperolehi di Dun ini mengatasi YB Dr. Syed Azman di Dun Batu Burok dan YBM Dato' Tengku Hassan di Dun Ladang. Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dun yang mana satu daripadanya dimenangi BN di Dun Bandar. YB Hj Wahid juga pernah menjadi Exco ketika PAS memerintah Terengganu pada 1999 - 2004.

Walaupun terkenal di Kuala Terengganu atas sifatnya Wakil Rakyat dan YDP PAS Kawasan Kuala Terengganu, populariti Hj Wahid di peringkat nasional lebih terserlah di Youtube. Rakaman Sidang DUN Terengganu pada penggal lalu menyaksikan bagaimana Hj Wahid mendepani Adun-adun BN termasuk Dato Ahmad Said sendiri yang kini menjadi MB Terengganu.



Mengikut pemerhatian aku pemilihan ini memang tepat walaupun menafikan beberapa nama lain. Namun, inilah strategi dan buah pulas pertama yang PAS berjaya berikan kepada Jentera BN. Ketika mana BN dan SB sudah mula membuat onar dan menabur hasutan sokongan terhadap calon tertentu, pemilihan Hj Wahid telah memberi tamparan yang hebat kepada lawan!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

amdang: Di saat ada yang cuba memperlekeh kepimpinan Ulama', TG Presiden dengan penuh tanggungjawab membuat keputusan yang tepat dan memberikan senyuman kepada semua jentera PAS Terengganu.