Showing posts with label artikel Islamik. Show all posts
Showing posts with label artikel Islamik. Show all posts

07 January 2010

Penggunaan Perkataan Allah - TG Presiden

PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH



Oleh: DATO’ SERI HAJI ABDUL HADI HAJI AWANG, Presiden PAS

Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polemik hangat dalam negara, menjadi lebih panas setelah mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pihak gereja Katholik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, kerana menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan ALLAH sangat mulia di sisi umat Islam. Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing. Adapun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci mereka (al-Quran) yang tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa al-Quran.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang mencetuskan perkara yang merosakan hubungan sesama manusia. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Perlu difahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus di-gunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini .

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut, ayat 61 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?

Firman Allah lagi di dalam Al-Ankabut, ayat 63:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah di dalam Surah Luqman pula pada ayat 25:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah di dalam Surah Az-Zumar, ayat 38 pula berbunyi:

Dan sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Firman Allah di dalam Surah Az-Zukhruf, ayat 9:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

Firman Allah lagi dalam Surah Az-Zukhruf, pada ayat 87 pula bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakan-Nya)?

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat makjizat al-Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD, LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya. Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Suci itu . Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (al-Asma al-Husna). Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma Wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja) . Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya. Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan Alif dan Lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf maka, di sebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali ) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 64 yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (paderi-paderi) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah seperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalah-gunakan perkataan Allah Yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam ‘Ali KW menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

كلمة حق أريد بها باطل

(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensitiviti umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah dalam surah Al-An’am, ayat 108:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

(Telah diedit oleh amdang81 dengan tidak memasukkan ayat-ayat Al-Quran kerana tidak dapat dibaca oleh ‘blogger.com’)

23 April 2009

Perkahwinan Rita - Aidil Sah!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku sengaja menjadikan kisah Rita Rudaini dan Aidil ni sebagai suatu contoh. Walaupun mungkin bukan contoh terbaik, tetapi masih merupakan contoh dari yang langsung tidak baik dan tidak dapat dijadikan contoh.

Gambar dari Mstar. Berita di SINI.

Lupakan masalah yang sedang dilalui mereka bilamana berkahwin di luar negara dan gagal mendaftar. Lupakan juga perkahwinan mereka yang lambat diketahui keluarga. Lupakan seketika.

Aku cuma mahu mengambil satu kebaikan bilamana mereka berkahwin. Alhamdulillah, segalanya menjadi halal. Pergaulan, perhubungan dan sebagainya.

Melihat kepada segala masalah sosial yang ada pada hari ini, perkahwinan merupakan suatu jalan penyelesaian walaupun ada yang gagal melaluinya. Namun, dari dibiarkan pergaulan tanpa batas dan perlakuan sumbang yang menyumbang dosa, perkahwinan tetap keutamaan penyelesai masalah.

Imam al-Ghazali ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Ihya’ Ulumuddin, terdapat 5 tujuan perkahwinan iaitu :

1) Dapat menghasilkan keturunan supaya dunia ini tidak kepupusan makhluk dari bangsa manusia. Dan seterusnya anak tersebut dapat berdoa untuk kedua ibubapanya setelah kematian mereka.

2) Menghilangkan tekanan syahwat seks terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam ibadatnya. Tekanan ini juga akan membawa kepada zina mata atau zina faraj. Dengan perkahwinan seseorang itu dapat memelihara diri dari syaitan yang akan membawa ke arah perkara-perkara yang haram.

3) Membereskan gangguan hati dalam masalah urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh dan lain-lain. Dengan ini, masanya tidak banyak terbuang hanya untuk urusan tersebut sahaja.

4) Dengan pergaulan dan percampuran suami isteri dapat menggembirakan serta menjinakkan hati dan perasaan. Di mana perkara ini akan mendorong dan menguatkan hatinya untuk rajin melakukan ibadat.

5) Dapat bermujahadah melawan hawa nafsu di dalam kehidupan berumahtangga, antaranya ialah:
i. Dengan menunaikan hak-hak yang diwajibkan terhadap isteri.
ii. Bersabar terhadap tingkah laku isteri yang tidak secocok dengannya.
iii. Berusaha untuk memperelok akhlak anak dan isterinya serta memberi tunjuk ajar kepada mereka ke jalan agama.
iv. Berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan rezeki yang halal untuk menyara anak dan isteri.
v. Mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.

"Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan-pasangan (jodoh) bagi kamu dari (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaanNya bagi orang-orang yang berfikir." - Surah Al-Rum, 21.


Wallahua'lam.


p/s: Ramai lagi nih tak kawin. Cepat-cepat la oooii. ;)

27 November 2008

Pak Lah Menghalalkan Yoga?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pak Lah dipetik sebagai berkata kepada Bernama:

"Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan".

Pak Lah juga berkata bagi umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak menggunakan sebarang bentuk mantera, mereka boleh meneruskan aktiviti tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan kesihatan mereka.

Oleh itu, Pak Lah meminta semua pihak memahami intipati fatwa yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan amalan yoga dan tidak memutarbelitkan fakta sehingga membuat rakyat terkeliru.

Timbul persoalan, apakah Pak Lah ini sebenarnya faham fatwa yang diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan? Jika Pak Lah tidak faham, sebagai ketua negara (walaupun dan nak undur), dia seharusnya bercakap dengan berlapik dalam isu halal dan haram ini.

Sekali imbas jawapan yang diberikan Pak Lah itu adalah yoga boleh terus diamalkan jika tidak disertakan mantera.

Jika melihat kepada Laman Rasmi Jakim (http://www.islam.gov.my) ada tercatat satu kenyataan akhbar berkenaan dengan Fatwa Yoga yang boleh dilihat dari sini. Sidang Akhbar tersebut menyebut:

"Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dan berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(3) perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis.

Sekali pandang, maksud kenyataan media di atas dengan pendapat Pak Lah adalah sama. Namun, bilamana melihat kepada versi English kenyataan tersebut, ianya lebih jelas dan mungkin lebih memberi kefahaman.

The Fatwas of Religious Council in Islamic affairs which took place on 22-24, 2008 in Kota Bharu Kelantan included Yoga cases in their agenda. After carefully studied various reports and factual data, the Council unanimously agreed that this ancient India religious teachings, which involves physical and mental exercises, are Hinduism in nature known as wahdat al-wujud philosophy (oneness of existence; the realization of identity between the Self in man, Atman; and the Divine, BRAHMAN: ‘Brahman is all, and Atman is Brahman). It is prohibited (haram) for Muslims to practice it.

The Council unanimously agreed that whatever actions or conceptions imitate the Yoga’s teachings such as to practice the asana yoga or self annihilation (nirvana) is against the Islamic faith. Any physical activities which apparently not Hinduism in nature, are not included in these Fatwas. Anyway, Muslims have to be fully aware in order their religious faith and practices not to be jeopardized. One has to be conscious that one of these three elements can effect Muslim’s faith:

  1. Believe in heart;
  2. Verbal confessions; and
  3. Actions

In view these elements contained in the teachings of yoga, Muslims are advised not to be involved into them so as their faith is not eroded.

Apapun, di penghujung kedua-dua kenyataan itu juga seharusnya dilihat bilamana menasihatkan Umat Islam agar menjauhi dari perbuatan yang boleh menghakis akidah.

Wallahua'lam.

p/s: Boleh baca juga artikel ini untuk lebih memahami di mana perlu dijauhi yoga ini. Maaf, artikel itu dicopy paste tanpa edit/ susun semula. Jadi sedikit berterabur dan mungkin tidak sedap di baca. Apapun, utamakan isinya.

19 January 2008

Hari ini 10 Muharram

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari ini 10 Muharam. Dinamakan juga hari 'Asyura'. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu 10 Muharram.

Awal-awal pagi lagi dapat SMS dari zaujah bertanyakan tentang puasa sunat. Setahun sekali sahaja 10 Muharram ni katanya mengingatkan. Aku sebenarnya sudah plan nak keluar sarapan pagi di bandar dengan seorang rakan. Jadi, aku keluar sekadar menemani dia bersarapan sahaja.

Sebenarnya jauh di sudut hati aku mahu melahirkan betapa syukurnya mendapat seorang zaujah yang memahami dan penyayang. Syukur juga kerana dia selalu mengingatkan dan memberi tunjuk ajar kepada aku yang sedia nakal ini. Amalan-amalan harian seperti ma'thurat dan sunat Dhuha mula aku cuba jadikan amalan. Sebelum ini bukan tidak amalkan, tetapi sedikit culas. Hehehe.

Mungkin juga ada yang tertanya-tanya apakah antara peristiwa 10 Muharram ini sehingga menjadi suatu hari yang istimewa. Sebenarnya pada hari ini (tarikh 10 Muharram), telah terjadi banyak peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Antara peristiwa yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram adalah;
  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.
Jika masyarakat Melayu kita hari ini, Hari Asyura ini biasanya dikaitkan dengan Bubur Asyura. Dikatakan kisah Bubur Asyura itu dimasak sedemikian rupa kerana mengambil kisah Nabi Nuh mengumpulkan bekalan makanan dan dimasak sekaligus. Gitu la lebih kurang. Semuanya berlaku selepas banjir surut. Wallahua'lam

**Nota: Aku hanya copy n paste. Kesahihan perkara di atas secara 100% adalah tidak dapat dipastikan. Harap ada yang leh kongsi atau perbetulkan.

16 July 2007

Rejab : Adakah fadilatnya melebihi dari bulan-bulan yg lain?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ni satu artikel yang aku akan biasa forward kepada kawan-kawan hampir tiiap-tiap tahun. Sebagai maklumat bersama la. Mungkin ada yang dah biasa baca, mungkin juga baru nak baca. Memang panjang, tapi pada aku cukup bermakna dan baik sekali.

SILA HABISKAN BACAAN ANDA SEBELUM ANGGUK FAHAM ARTIKEL NI

-------------------------------------------------------------------
Rejab : Adakah fadilatnya melebihi dari bulan-bulan yg lain?

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan mi'raj Nabi Muhammad saw. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual di mana mereka mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.

Tarikan dan seruan yg ditiup kedalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadat kebanyakkannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis-hadis yg mengandungi Fadilat-Fadilat beribadat di dalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku- buku kecil yg mengandungi fadilat-fadilat bulan Islam begitu laris dipasaran menjelang bulan Rejab.

Begitu juga di zaman era Internet ini (ICT), e-mail dan maling list yg diforwardkan mengandungi 'cut & paste' dari fadilat-fadilat Rejab yg terkandung di dalamnya. Rata-rata tarikan fad'il (fadilat-fadilat) inilah merupakan faktor penarik kepada kebiasaan orang awam untuk melakukan ibadat sunat. Injeksi faktor ini dapat kita lihat dengan jelas penerapannya di dalam budaya Melayu-Islam seperti rangkap- rangkap sya'ir di bawah ini:[1]

Rejab bulan menabur benih
Sya'ban bulan menyiram tanaman
Ramadan bulan menuai

Rejab menyuci badannya
Sya'ban menyucikan hati
Ramadan menyucikan rohnya

Rejab bulan marghfirah
Sya'ban bulan syafaat
Ramadan bulan menggandakan kebajikan

Rejab bulan taubat
Sya'ban bulan muhibbah
Ramadan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya

Rejab digandakan 70 pahala
Sya'ban diganda 700 pahala
Ramadan diganda 1000 pahala

Mungkin timbul beberapa persoalan yg tersimpan di dalam lubuk hati kita:
-mengapa bulan Rejab sahaja yg dipilih mempunyai kelebihannya?

Pernah atau tidak kita terfikir yg mungkin berita-berita ini ditokok tambah (exaggerate) oleh
manusia biasa yg bercakap atas nama Nabi saw?

Mengapa di dalam bulan ini terdapat solat-solat khas, zikir- zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan peribadatan? Di sini kita ingin membawa beberapa penjelasan dari ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadilat yg terdapat di dalam bulan itu sendiri, dan apakah sebenarnya fadilat yg terkandung didalam Rejab.

-------------------

Bulan Rejab merupakan satu bulan dari bulan-bulan Haram

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' didalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firmah Allah swt di dalam Surah Al- Taubah ayat 9:

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."

Menurut Tafsir Jalalain, yg dimaksudkan dengan "di antaranya empat bulan yg dihormati" ialah: "Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab"[2]

Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan- bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang di dalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji dijalankan (Zulhijjah), di mana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yg tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah saw juga menggalakan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 hb Muharam).

--------------------------------------------------
Apakah terdapatnya kesahihan fadilat khas berpuasa didalam bulan Rejab?

Disini nyatakan pandangan para ulama' mengenai kesahihan fadilat Rejab.

1. Sheikh Atiyah Al-Saqr.

a. Kebanyakkan fadilat Rejab terkandung didalam Hadis yg sangat Lemah dan Palsu.

Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yg sahih dan beliau melihat bahawa hadis-hadis yg didatangkan mengenai fadilat di dalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya:[3]

"Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi fadilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yg qath'i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta keatas Nabi Muhammad saw, dan banyak hadis-hadis timbul mengenai fadilat bulan Rejab, di mana statusnya antara Dha'if dan Mawdhu', dan tidak thabit dari pembawanya (naqal)."

Menurut Al-Saqr lagi bahawa:

"Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan di dalam risalahnya dengan topiknya: Penjelasan yg datang di dalam Fadilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadis menyebut mengenai Fadilat-Fadilat Rejab, Puasa dan Solat di dalamnya. Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu"

b. Fadilat Rejab berada bersama dengan Fadilat bulan-bulan haram yg lain.

Fadilat Rejab secara umumnya berada di dalam Fadilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah di dalam surah Taubah:36 dan terdapat juga Hadis Sahihin mengenai Hijatul Wada', di dalamnya dinyatakan nama bulan bulan tersebut, iaitu: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yg tunggal ialah Rejab. Di masa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah swt.

c. Berpuasa hari pertama atau yg lain sama sahaja fadilatnya.

Berkata Al-Saqr lagi bahawa: "Amalan Saleh di dalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya di dalam bulan-bulan Haram, yg didalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir.

Berkata Ibnu Hajar: 'Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai fadilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Sahih atau Hasan'."

Beliau memetik beberapa hadis da'if dan palsu, diantaranya ialah:

i. "Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu" - hadis ini Dha'if.

ii. "Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yg berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari mka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan" - hadis ini Dha'if.

iii. Terdapat sebuah hadis yg panjang mengandungi fadilat berpuasa rejab menurut hari, dan di dalamnya terkandung matan : "Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku" - Hadis ini palsu.

d. Tidak ada solat khas di dalam Rejab.

Daripada Hadis yg tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat:

"Barangsiapa yg solat Magrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab." - Itu adalah hadis Mawdhu'

e. Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya:

Mengenai fadilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al- Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya di dalam Islam. Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah- sejarah yg berlaku dibulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya.


"Ini adalah manusia yg prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama di dalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya di dalam agama, dan ganjaran yg besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini.

Adalah lebih aula di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yg berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Salahuddin Al-Ayobi menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran darinya, di mana orang Islam menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab. Allah yg Maha Mengetahui."


2] Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi

a. Fadilat Rejab sama dengan fadilat bulan-bulan haram yg lain

Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa fadilat Rejab adalah sama seperti yg terdapat di dalam 3 bulan-bulan Haram yg lain.

Katanya [4]: "tidaklah ada kesahihan di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, bahawa Allah swt telah menyebut didalam kitabnya - di dalamnya ada 4 bulan haram - Al- Taubah:36. Iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Itulah bulan-bulan yg mempunyai fadilat.

Tidak terdapat Hadis Sahih bahawa Rejab khusus mengatakan Rejab lebih afdal, melainkan Hadis Hasan: Sesungguhnya Nabi saw banyak berpuasa di dalam Sya'ban.."

b. Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakkannya lemah dan palsu.

Beliau juga menyatakan bahawa hadis-hadis mengenai fadilat-fadilat khas Rejab kebanyakan merupakan Hadis Palsu atau pun yg sangat Lemah tarafnya: "Hadis ini dimaklumkan sebagai sebuah hadis yg mengandungi fadilat Rejab -

"Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku"..... Hadis in mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama' mengatakan hadis ini Palsu! .... yakni penipu.. Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama.

Di situ ada hadis yg mengatakan terdapat Fadilat Rejab kepada sesiapa yg bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yg meminta beristigfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini.... Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration), dan semuanya adalah pembohongan. Dari ini satu tanda satu penipuan di dalam Hadis yg memasukkan perkara yg berlebih-lebihan...."

c. Ganjaran yg dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya.

Pada beliau ganjaran-ganjaran yg dinyatakan di dalam Hadis Palsu itu adalah sesuatu yg berlebih-lebihan. Ini merupakan satu pendustaan yg amat besar. Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadat itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadat itu sendiri. Katanya : "Berkata ulama': Janji untuk mendapatkan ganjaran yg besar di atas perkara yg biasa, atau ugutan kepada azab yg pedih ke atas dosa kecil? Ia menunjukkan bahawa ini merupakan Hadis yg bohong."

d. Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis hadis yg Palsu

Dr Yusuf Qardhawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai hadis yg diberikan kepada kita. Tidak ada alasan yg boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yg banyak dipasaran mengenai taraf sesuatu hadis.

Kata beliau: "Ulama' telah memberi amaran contohnya keatas Hadis Palsu dan Bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya... sesungguhnya telah datang hadis:

"Barangsiapa mereka-reka Hadis difikirkan, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong....." (Riwayat Muslim di dalam muqadimahnya yg Sahih),

tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadis Palsu, maka ia wajib mengetahui, mengetahui hadis itu dari sumbernya .... maka di sana ada Kitab Hadis yg Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadis Palsu, contoh Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb.........."


3. Ibnu Hajar Al-Asqalani

Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Kenyataan ini dapat di lihat didalam fatwa Shiekh Al-Saqr[5] mengenai fadilat Rejab dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:

"Ibnu Hajar di dalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan terdapat hadis-hadis yg melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata : Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yg berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad (niat) yg bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yg dia berpuasa, atau pada malam tertentu dia berqiamullail, maka beliau percaya yg dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yg baik atas apa yg diletakkan dan tidak mengapa baginya. Maka jika ianya dikhaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah DITEGAH (Mahzhur), dan makna penegahan itu dialam hadis Nabi saw bersabda:

"Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan [mengkhaskan] malamnya berqiamullail". - riwayat Muslim.

Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainya yg di dalamnya terkandung puasa nazar, Ibnu hajar lebih cederung menegahnya, dan sebagaimana yg dinaqalkan oleh Abi Bakar Al- Thorthorshi didalam bukunya "Bid'ah wa hawadith" bahawa bulan Rejab dibenci olehnya kerana 3 jenis:

1. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.

2. Menjadikan ia seperti kefarduan ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yg kekal.

3. Kerana puasa ini mempunyai fadilat khas dan puasa-puasa yg lainnya kalau dengan itu apa yg
dijelaskan oleh Rasulullah saw, : berkata Ibnu Dihya : "Puasa adalah amalan kebajikan".

Tidak terdapat fadilat berpuasa didalam Rejab maka perkara itu ditegah darinya.

Tamat apa yg dinaqalkan oleh Ibnu Hajar."

----------------------------------------------
4] Dr. Sayid Saabiq

Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq didalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa:

"Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yg berlebih dari bulan- bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram". Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadilat-fadilat yg sama. Pendapat juga di sokong oleh mazhab Hanbali yg mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh[6].


------

Hadis-hadis fadilat Rejab yg palsu atau dhaif

Di bawah ini disenaraikan beberapa contoh hadis-hadis palsu berkenaan dengan fadilat Rejab:[7]

a. Barang siapa yg mengerjakan solat Magrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al- Fatihah dan Qul Hu Allahhu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salam pada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya? - Hadis ini Mawdhu'(palsu)
*Diriwayatkan oleh Al-Jauzaqanniy dari Anas, kemudian beliau berkata hadis ini adalah Palsu.

b. Barang siapa yg melakukan solat pada malam Nisfi Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A'uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A'uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat ke atas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya terdapat beberapi Rawi yang majhul.

c. Barang siapa yg berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan. - Hadis sangat Dhaif.
*Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.
*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama: Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yg Matruk.
*Ibnu Hajar Al-Asqalaaniy telah menjelaskan bahawa para ahli hadis telah sepakat, bahawa hadis ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yg Dhaif.

d. Barang siapa yg berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yg berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yg berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan di hisab dengan hisab yg mudah. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Tidak disahkan hadis ini kerana rawi yg bernama Abaan merupakan rawi yg Matruk.
*Selain dari itu ada rawi yg bernama Amar bin Al-Azhar yg sangat suka memalsukan hadis.

e. Barang siapa yg berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama Ismaail, dia adalah seorang rawi yg suka berdusta.

f. Barang siapa yg menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga. - Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan olehHussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa hadis ini Mawdhu'.


---------------

Bagaimana beramal di dalam bulan ini?

a. Shiekh Mahmud Al-Sya'rawi[8] di dalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakan bulan dari bulan-bulan 'am yg afdal manusia berpuasa selepas bulan Ramadan, beliau memetik hadis berikut diriwayatkan oleh Musnad Ahmad:

"Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah saw,katanya: Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah saw berkata: Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari Taubat Allah swt ke atas satu kaum, dan terdapat taubat di dalamnya untuk satu kaum yg lain"

Jelas di sini menunjukkan bulan-bulan haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah swt di dalam bulan-bulan ini.

--------
b. Bekas Mufti besar Arab Saudi, Shiekh Abdul Aziz Bin Baaz apabila ditanya berpuasa pada bulan-bulan haram, Beliau menjawab [9]:

"Bulan Muharam dari segi syara' dibolehkan berpuasa dengannya dan begitu juga Sya'ban, disana terdapatnya 10 Zulhijjah, bukanlah ada dalil disan keatasnya, akan tetapi berpuasa dengannya TANPA ber'itiqad yg khusus (khas) atau pribadi, maka tidaklah menjadi masalah."

Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah saw pernah bersabda: ((Seafdal-adfal berpuasa selepas ramadan ialah di bulan Allah Al- Haram)). Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yg baik, begitu juga dengan Sya'ban di mana Nabi saw berpuasa dengannya"

------------
c. Seorang Ulama' Islam dari negara Syria yg terkenal pada masa kini, Dr Wahbah Zuhaily mengatakan bahawa, kebanyakkan iman empat mazhab (Syafiie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat di dalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya. Kata Dr Wahbah Zuhaily[10]: "Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat di sisi Mazhab Maliki dan Syafiie, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa di bulan Haram, pada mereka itulah puasa yg afdal selepas Ramadan, telah bersabda Rasulullah saw: ((Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadan ialah di bulan Allah Al-Haram)). Seafdal puasa di bulan haram ialah Hari Al-Asyura', sebagaimana di antaranya.

Dan berkata mazhab Hanafiah: Sunat berpuasa di dalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu:- Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu."

-------
d. Shiekh Abdul Rahman Al-Jaziry didalam buku Kitab Fikh Empat Mazhab [11] juga memetik persetujuan 4 mazhab ini mengenai puasa di bulan- bulan haram, katanya: "Mengenai sunat berpuasa dibulan Rejab dan Sya'ban, Imam-imam ini telah bersetuju dengannya, cuma terdapat khilaf dengan hanbali.........

Hanbali: Menetapkan puasa Rejab (secara tunggal) adalah makruh, melainkan jika ia berbuka (tidak berpuasa) secara selang-seli, maka tidaklah Makruh."

---------
e. Panelist fatwa IslamOnline, Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bid'ah, beliau telah menjawab [12]:

"Berpuasa di dalam bulan adalah maqbul dan mustahab, ke atas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah saw bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadhan. Beliau banyak berpuasa di dalam bulan Sya'ban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah nabawiyyah ... Beliau berpuasa dan berbuka disetiap bulan, seperti riwayat mengatakan: ((Beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, Beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa)) (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan Rejab, sebagaimana yg kita lihat sebelum ini, Aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal, dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh", selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yg ke 8 dari Syawal... Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling berhubungan, mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari A'id. INI TIDAK DATANG DARI NABI SAW, atau pun dari para sahabat atau pun dari Al-Salaf Al-Saleh.. maka mereka berpuasa sehari dan berbuka sehari. Tidak ada berterusan didalam puasa. Semua kebaikan adalah menurut Salaf dan keburukan adalah dari rekaan para Khalaf. Barangsiapa yg ingin ber'iitiba' dan inginkan ganjaran, maka ia harus mengikur Nabi saw di mana tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Rejab, dan tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Sya'ban. Dan ini adalah yg lebih utama. Wa Billahi Tawfiq."

Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan- bulan haram, tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Sya'ban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw, atau sahabat-sahabatnya ataupun para ulama' Salaf.
---------

Puasa-Puasa sunat yg lain

Syeikh Muhammad Mutawali Al-Sya'rawi didalam fatwanya[13] menjawab persoalan mengenai puasa-puasa sunat, beliau telah menyenaraikan 8 jenis puasa yg beliau sifat sebagai: "Puasa yg orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah" Puasa-puasa sunat (suka rela):

"1. Hari Arafah (9 Zulhijjah kepada mereka yg tidak menunaikan Haji.

2. Hari Asyura', disitu ada hari 9 atau mana-mana hari 9 atau 10 Muharam.

3. 6 hari didalam bulan Syawal.

4. Hari-hari Putih didalam bulan-bulan Arab (islam) iaitu:- hari 13,14 dan 15.

5. Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis didalam setiap minggu.

6. Berpuasa di dalam bulan-bulan haram iaitu:- Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

7. Berpuasa mana-mana dari 9 hari dari bulan Zulhijjah, dari 1 hingga 9 Zulhijjah.

8. Berpuasa penuh didalam Sya'ban atau dengan banyaknya."

Para Fuqaha' berpendapat jika seseorang itu inginmelakukan puasa sunat, tetapi dia masih mempunyai baki puasa wajib, hendaklah ia mengqada'kannya. Bahkan jika ia mempunyai kifarat dan nazar, maka hendaklah dia melakukannya puasa itu dahulu.[14]

-------
Kesimpulan

1. Hadis-Hadis Bulan-Bulan Rejab kebanyakkannya adalah Mawdhu (Palsu). Pendustaan terhadap Rasulullah saw. (Al-Saqr)

2. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yg tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus.(Hadis Nabi saw)

3. Tidak ada fadilat KHAS yg ditujukan pada bulan Rejab, yg ada cuma fadilat umum kepada keempat-empat bulan-bulan haram.(Al-Saqr, Al- Qardawi)

4. Tiada ada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab (Al-Saqr, Al- Qaradawi).

5. Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yg lain disunatkan melakukan Puasa dan bertaubat. (Al-Sya'rawi)

6. Keadah berpuasa di dalam bulan-bulan haram ialah: - hari yg ke 9,10,11 di dalam bulan Muharam (Bin Bazz)

- berpuasa hari Khamis, Jumaat, Sabtu (Hanafiah -Al-Zuhaily)
- Berpuasa pada bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'ban tidak sepenuh bulan (Al-Qardhawi)
- berpuasa pada hari Assyura' (10 Muharam) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).

7. Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yg lain, kecuali kelebihan bulan-bulan Haram.(Syed Sabiq)

8. Tidak boleh HANYA berpuasa di bulan Rejab sahaja, di mana 3 bulan- bulan yg Haram yg lain tidak langsung diberi keutamaan melakukan puasa (MazhabHanbali- Al-Jaziry)

9. Tidak ada dalil yg mengatakan bahawa menziarah kubur di dalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.

10. AWASLah dari terlibat menyebarkan HADIS-HADIS PALSU, kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yg MENDUSTAKAN Rasulullah saw. (Na'uzubillahhu min zalik).

Dalam mempertingkat amalan-amalan kita kepada Allah swt, sering kali kita disajikan dengan pelbagai-bagai amalan yg kelihatan banyak fadilatnya. Malah ada juga kedapatan beberapa fadilat-fadilat yg sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi persoalan-persoalan seperti fadilat Rejab atau bulan-bulan yg lain, kita mesti
kembali kepada 'role model' atau contoh kita, iaitu Rasulullah saw sebagaimana firman Allah swt didalam surah Al-Ahzab ayat 21:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" [Al-Ahzab - 21].

Akhir kata, Selamat menyambut kedatangan bulan-bulan Haram sebagaimana yg telah diajarkan oleh Rasulullah saw.

wassalam

kamin - 2hb Rejab 1422H
===============

Rujukan :

1] Budiman Radzi. Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar : Muzakkir Enterprise, 1990.

2] Tafsir Jalalain. Harf.com. URL : http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp

3] Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249

4] Shiekh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - kesahihan fadilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308

5] Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp? hFatwaID=10249

6] Sayyid Sabiq. Fikh Al-Sunnah. Beirut : Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995 (cetakan khas dari manar Al-Dauliyah). ms 596.:

7] Prof. Madya Dr. Farid Ahmad Mohd Isa Jalil. Himpunan hadis-hadis lemah & palsu. Kuala Lumpur : Syarikat Nurulhas

8]. Shiekh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000. ms. 371.

9] Syiekh Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' Fatawa. Riyad : Dar Al-Watan, 1996 ms. 269.

10] Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu. Damsyik : Dar Al-Fikr, 1989. ms 591.

11] Abdul Rahman Al-Jaziry. Kitaabu Al-Fikhu a'la al-Mazaahibi Al- Arba'ah. Dar Al-Manar, 1999. ms447-448

12] Shiekh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1310

13] Sheikh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000. ms 415

14] Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu.Damsyik : Dar Al- Fikr, 1989. ms 595.

wallahua'lam..