Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

15 July 2009

Manek Urai: Satu Muhasabah - Malaysiakini.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Aku suka membaca satu analisis dari Malaysiakini berkenaan kemenangan PAS yang 'nyawa-nyawa' ikan dari calonnya seorang pemborong ikan. Pada aku, analisis berkenaan lebih merupakan satu muhasabah yang perlu dipandang serius. Walaupun tidak keseluruhannya aku bersetuju dengan lontaran-lontaran analisis berkenaan, namun aku percaya ianya masih membantu.

Cuma, dari dalam parti aku suka melihat apa yang berlaku ini dari sudut 'dosa-dosa' yang telah berlaku sepanjang proses pilihan raya kecil Manek Urai berjalan, mahupun sebelumnya lagi. Soal wala' kepada pimpinan, sikap dan adab berjemaah yang ada dan sebagainya. Wallahua'lam.
---------------------------------------------------------------------------
Sumber: Malaysiakini

Mahu tidak mahu, kemenangan PAS mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon PAS Ismail Yaakob mendapat 5,746 undi dan calon BN, Zulkepli Omar mendapat 4,394. Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi.

Malah, pada jam 3.40 petang tadi, pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Fatah Harun dengan yakin menyatakan bancian awal jentera pilihanraya kecil tersebut menunjukkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah "menang dengan majoriti hampir 2,000 undi".

Para penyokong PAS pula sudah merayakan kejayaan tersebut, serta mengucap tahniah kepada Fauzi ketika beliau tiba di markas utama PAS Manek Urai pada jam 4.40 petang tadi.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah pada kira-kira jam 7 petang apabila para penyokong BN pula dilihat begitu gembira apabila mendapat tahu calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendahului dengan 30 undi.

Manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, melalui twitter, melaporkan detik-detik cemas dan mendebarkan keputusan pengiraan undi yang begitu rapat antara PAS dan Umno yang saling dahulu-mendahului.

Akhirnya, PAS menang dengan 65 undi. Apa yang tidak kena dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai?

Pengaruh BN makin pulih

Walaupun tewas, Umno sudah pastinya akan melaungkan bahawa pengaruh parti itu sudah semakin pulih sejak krisis kepemimpinannya dan prestasi buruk pilihanraya umum 2008.

Manakala pengaruh PAS khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, semakin terhakis.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar Pakatan - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Lim Kit Siang dari DAP. Manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pula mengetuai jentera pilihanraya PAS di Manek Urai.

Manakala jentera pilihanraya BN, khususnya Umno, diketuai oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nampaknya, harapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan pilihanraya kecil DUN Manek Urai sebagai petanda berakhirnya kekalahan BN dalam siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008, begitu hampir menjadi kenyataan.

Namun, kemampuan BN menghakis majoriti PAS - daripada 1,352 undi kepada hanya 65 undi - boleh dianggap satu kejayaan terbesar kepada BN di Semenanjung dalam enam pilihanraya kecil.

Apatah lagi, DUN Manek Urai merupakan kubu kuat PAS selama ini. BN hanya berjaya merampas DUN tersebut pada pilihanraya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Punca kegagalan PAS

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, calon lama PAS berjaya merampasnya semula dengan menewaskan Zulkepli.

Tentunya apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah punca kegagalan PAS untuk mengekal majoriti yang dimenanginya pada 2008.

Adakah ia ada kaitan dengan 'ketegangan' dalam kepimpinan PAS berhubung isu cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno? Atau pengaruh Nik Aziz, yang begitu lama memimpin PAS, kini kian merosot?

Apakah kepimpinan PAS sudah dapat menghidu masalah tersebut dan bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan seramai mungkin pengundi Manek Urai yang tinggal di luar Kelantan - termasuk 867 orang di Selangor dan Wilayah Persekutuan - balik mengundi?

Malah, satu majlis mengenainya telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri sendiri oleh Nik Aziz dan juga exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Malah, pagi tadi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut mengakui bahawa PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Manek Urai tetapi “dengan majoriti yang berkurangan”.

Maka timbul persoalan sama ada kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini, sebenarnya atas kekuatannya sebagai sebuah gabungan parti pembangkang, atau atas isu-isu yang tercetus ketika ia berlangsung?

Tugas berat menanti PAS

Mungkin ada kebenarannya dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang pada April lalu di mana Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat undi simpati susulan disingkirkan oleh BN daripada jawatan menteri besar.

Dan dalam kes pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kejayaan calon PAS, Abdul Wahid Endut merampas kerusi dari BN dilihat akibat kelemahan peribadi serta sabotaj ahli Umno sendiri terhadap calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dengan keputusan mengejutkan di Manek Urai, tugas berat menanti PAS Kelantan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk duduk semeja bagi merenung semula insiden-insiden yang mendorong keputusan nyawa-nyawa ikan kepada seorang pemborong ikan di kerusi DUN tersebut.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa - yang sebelum ini amat dimarahi Nik Aziz kerana menyokong idea kerajaan perpaduan dengan Umno - juga tidak membantu.

Kalau di Kelantan sendiri, yang sudah 19 tahun ditadbir oleh PAS, ia menang tipis di Manek Urai, bagaimana pula dengan nasib kerajaan Pakatan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang masih setahun jagung?

Mungkin juga para pengundi DUN itu termakan umpan BN mengenai latar belakang pendidikan dan kerjaya calon yang sepatutnya mewakili mereka - Tuan Aziz seorang lulusan universiti, manakala Mohd Fauzi seorang pemborong ikan.

Persoalan demi persoalan terus bermain di fikiran PAS, para penyokong Pakatan dan semua pengamat politik. Semuanya menghentak keasyikan tempoh bulan madu pembangkang sejak 8 Mac tahun lalu sewaktu gerhana singgah di Manek Urai.
------------------ abis copy n paste ------------------------------------

11 May 2009

Sidang Dun 7 Mei tidak sah! - Prof Aziz Bari

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Hrkh) - Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: "Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu".

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

"Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai".

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

"Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi," katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

"Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa", tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

"Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya". Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa.

Anihnya, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam komennya Jumaat lalu berasa sedih kerana "pihak pembangkang melanggar undang-undang dan membuat kekecohan".

Khamis lalu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga menyalahkan pembangkang kerana membawa budaya rimba dan menentang titah sultan, perintah mahkamah dan arahan polis.

Aziz berkata di sisi undang-undang sesuatu tindakan tidak boleh dilihat berasingan dari suasana yang melatarinya. "Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Dun di Perak adalah respons yang akan dilakukan oleh sesiapa pun termasuk oleh BN sendiri kalau mereka melaluinya. Dengan itu adalah tidak adil untuk menuduh mereka ganas, liar dan sebagainya sedangkan kita tahu bagaimana mereka dilayan oleh polis dan pihak sekretariat kerajaan negeri," jelasnya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengganggu kuasa Speaker V Sivakumar dan sikap pihak polis yang berat sebelah dan tidak profesional.- TMJ.

Celaka 1Malaysia!

02 April 2009

Tarian Seksi: Budaya Cina atau Budaya UMNO / BN?


Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Aku malas nak komen. Tapi aku rasa Zahid Hamidi menelanjangkan dirinya lebih dari gadis-gadis yang menari di pentas tersebut. Penjelasan Zahid mengenai tarian tersebut yang disifatkan sebagai budaya bagi kaum Cina amatlah memalukan sama sekali.

Tanyalah kaum Cina, dan aku percaya budaya sebegini bukan sebahagian dari masyarakat mereka. Menuduh kaum Cina sebegitu bukan sahaja menaikkan amarah kaum Cina, malah menunjukkan Zahid sendiri tidak tahu sejarah. Sejarah sesuatu bangsa, sejarah suatu budaya.

Video dan berita dari Malaysiakini.





18 November 2008

Kerana BN, Harga Barangan Tetap Tidak Turun.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hari ini merupakan kali ke lima kerajaan menurunkan harga minyak bagi tahun ini. Menurunkan harga minyak sehingga lima kali bunyinya seolah-olah kerajaan yang ada ini cukup baik, cukup prihatin. Namun benarkah begitu?

Hari ini Pak Lah dari luar negara menyeru supaya rakyat memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barang. Kata Pak Lah, ini merupakan kali ke lima kerajaan menurunkan harga minyak, namun tiada penurunan harga dilakukan oleh peniaga-peniaga. Justeru cadangan boikot terkeluar dari mulut Pak Lah.

Sebenarnya para peniaga telah lama tersepit. Mereka mendapat bekalan dari pembekal, dan menjualkannya kepada pengguna. Tinggi harga yang mereka terima, maka tinggilah harga yang akan dijual. Mereka tidak mampu memberi harga yang lebih murah dari yang diterima pembekal. Itu adalah suatu yang mustahil!

Antara sedar atau tidak, fenomena kenaikan harga barang sebenarnya dapat dirasai pada pertengahan tahun 2007 lagi. Di Terengganu misalnya pernah diadakan suatu Sidang Rakyat pada akhir tahun lalu bagi membincangkan bagaimana menangani kenaikan harga barangan.

Namun, kenaikan harga barangan yang berlaku ketika itu tidak diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan. Apatah lagi syarikat-syarikat yang menaikkan harga barangan itu seolah-olah bebas melakukan apa sahaja kerana barangan mereka tidak dikawal. Produk seperti Milo, susu formula, tepung gandum dan minyak masak ketika itu antara yang dikesan mengalami kenaikan yang tinggi.

Itu belum termasuk input pertanian yang melibatkan kebanyakan pengusaha sayuran dan ladang seperti baja dan racun serangga. Kenaikan barangan pembinaan juga berlaku malah turut menjejaskan sektor pembinaan.

Itu adalah antara kenaikan yang telah berlaku di akhir tahun 2007 sehingga Mac 2008 yang lalu. Ketika itu harga minyak disebut-sebut akan dinaikkan selepas PRU12. Namun, Timbalan Perdana Menteri ketika itu memberi jaminan bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan.

Jaminan itu ternyata jaminan politik bilamana sejurus selesai PRU 12, harga minyak yang disebut akan dinaikkan pada Ogos 2008 telah dinaikkan seawal Jun 2008. Malah kenaikan itu merupakan suatu kenaikan yang paling GILA dan membebankan rakyat. Kenaikan sebanyak RM 0.78 itu telah membuka peluang kepada semua peniaga dan pengusaha untuk menaikkan harga barangan masing-masing setelah kian lama tersepit.

Aku secara peribadi tidak menyokong sebarang kenaikan oleh sesiapapun. Kenaikan itu menyusahkan semua pihak terutamanya yang kurang berkemampuan. Bagaimanapun, kenaikan adakalanya perlu bagi mengurangkan kos operasi atau meningkatkan keuntungan. Apapun, ianya mestilah munasabah dan tidak membebankan banyak pihak. Itu bagi peniaga dan pengusaha.

Bagi kerajaan pula sewajarnya sesuatu tindakan menaikkan harga perlu difikirkan kesannya. Kesan inflasi, kesan kerumitan dan sebagainya. Kerajaan menjaga kebajikan semua rakyat. Fikirkan kesan jangka panjang dan bukan fikir untuk sehari dua.

Bayangkan sekiranya kerajaan bertahan untuk mengumumkan kenaikan harga minyak dari Jun 2008 kepada Ogos 2008. Aku percaya banyak kesan-kesan yang berlaku sekarang dapat diatasi. Kerajaan mungkin menanggung sedikit kesan kenaikan minyak dunia, namun dari sudut rakyat terlalu banyak kebaikan dan kenikmatan yang dapat dinikmati.

Kerajaan tidak perlu bayar rebet minyak kepada rakyat, kerajaan tidak perlu umum insentif itu dan ini dan sebagainya. Lihat bilamana minyak turun seperti hari ini, maka kerajaan yang melopong bilamana janji yang sudah dibuat mesti terus dilaksanakan paling kurang untuk tempoh setahun.

Begitu juga kesan kenaikan harga barang di pasaran. Sebagaimana susahnya kerajaan nak umum harga minyak turun, begitu jugalah rakyat. So, nak salahkan siapa? Kerajaan Barang Naik lah!!

Wallahua'lam.

p/s: Teringat masa mula-mula minyak naik dulu. Ramai yang SMS mengucapkan tahniah kepada BN kerana menaikkan harga minyak. Tidak kurang yang mengatakan ahli BN paling untung kerana Kad Ahli mereka melayakkan mereka mendapat minyak percuma. Kui kui kui.

10 September 2008

Berubahkah Malaysia?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sehingga hari ini ramai yang menanti detik 16 September, kemudian dikatakan 20 September. Apapun ianya tetap dinanti dan ditunggu. Aku percaya terlalu ramai yang menanti. Namun, pada telahan aku lebih ramai yang menanti dengan mengambil sikap tunggu dan lihat. Jika ya, benarlah. Jika tidak, tidaklah.

Ada juga beberapa sahabat di alam nyata dan maya bertanya soalan berkaitan perkara itu. Aku lebih suka mengatakan tunggu dan lihat. Namun jauh di sudut hatiku biarlah ianya tidak berlaku dalam masa yang terdekat ini. Pada aku, September 2008 terlalu awal.

Aku melihat Pakatan Rakyat sebenarnya berdepan dengan beberapa masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Beberapa itu mungkin 10, mungkin 50 dan mungkin 1001 masalah.
Antara yang perlu diselesaikan adalah persetujuan melantik siapa menjadi PM. Mesti jelas antara pimpinan PR. Masalah yang satu ini sahaja sudah cukup dapat menggoyahkan PR. Andaikata tiba-tiba ada satu parti yang tidak bersetuju dan menarik diri dari pakatan, maka lenyaplah impian.

Dasar dan halatuju PR juga mesti lebih jelas. Jika perlu, keluarkan 'dasar bersama' yang bakal digunakan. Itu diperingkat Pusat. Di negeri-negeri juga sepatutnya sudah diselaraskan dengan baik. Jangan PR di Selangor begini caranya, di Perak lain caranya. Mungkin setiap negeri ada kelainan, namun perlu dilihat asas yang ada adalah tetap kebersamaan.

Aku cukup tertarik sebenarnya dengan apa yang ditulis oleh MSO yang memetik kata-kata Cikgu Mustafa Ali. Mungkin ada yang melihat pandangan Cikgu Pa sebagai 'membangkang' kepada terlaksananya 16 September. Namun sebenarnya disitulah letaknya kefahaman politik Cikgu Pa dalam isu yang ada sekarang.

PR berada pada tahap yang cukup rapuh jika dibandingkan dengan BN. Pada aku, sebenarnya PR masih jauh di belakang. Melihat kepada komponen BN yang sehari dua ini tidak boleh dijadikan ukuran. Apatah lagi Umno Penang sudah sekian lama terasa tersisih oleh Gerakan Penang.

Senario yang dikatakan Tsunami ini juga perlu dilihat dari beberapa sudut. Pertamanya, adakah gelombang yang wujud itu sekata di seluruh negara? PR jika membentuk kerajaan juga bakal berdepan dengan gangguan kerajaan-kerajaan negeri yang masih dikuasai BN. Itu belum lagi dilihat dari sejauh mana sokongan rakyat secara menyeluruh.

Aku masih menanti. Namun, jauh di sudut hati aku tidak mengharapkan ianya berlaku 'sekelip mata'. Biar lambat, asalkan selamat. Mungkin dilihat peluang sebegini tidak datang selalu. Namun jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tapi, aku tetap menanti untuk menikmati.

14 July 2008

Ini lakonan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KESELAMATAN DIPERKETAT?... Polis menjalankan pemeriksaan ketat di Lembah Klang dengan mengadakan sekatan jalan di kebanyakan jalan dan lebuh raya sejak petang semalam. Langkah itu diambil ekoran desas-desus bahawa kemungkinan diadakan perarakan atau perhimpunan di ibu negara esok.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat supaya tidak membawa tetamu mereka ke kawasan Parlimen seperti yang dibenarkan sebelum ini ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau terlibat menganjurkan perhimpunan yang dimaksudkan polis, esok. Katanya, Pakatan Rakyat tidak pernah memutuskan untuk mengaturkan program seumpama dan tindakan mengaitkan nama beliau dan pakatan itu adalah satu fitnah dan mengalahgunakan proses perundangan.

Khamis lalu, Ketua Pembangkang di Parlimen Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memfailkan usul tergempar tidak percaya Perdana Menteri. Jika diterima, usul itu, yang difailkan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) and 18(2), akan didengar dan diputuskan esok.

petikan: Mstar.

24 June 2008

Subsidi Minyak: Usul selepas keputusan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam menyaksikan usul penstrukturan semula subsidi minyak dan isu kenaikan harga barang yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad. Usul disokong penuh oleh ahli parlimen BN yang hadir. Walaupun pengundian dibuat, namun kekurangan ahli parlimen PR menyaksikan usul tersebut tetap diterima.

Usul ini dikemukakan selepas lebih 2 minggu harga minyak dinaikkan. Bagi kerajaan, bukan harga minyak dinaikkan, tetapi subsidi ditarik balik. Namun pada rakyat, harga minyak dinaikkan dan harga barang-barang lain turut dinaikkan secara tidak langsung.

Apa gunanya usul ini dibentang ketika mana minyak sudah dinaikkan harganya. Pada aku, langsung tidak beretika dan amat memalukan parlimen yang bersidang itu sendiri. Jika benar usul ini hendak dibawa, sepatutnya harga minyak jangan dinaikkan dahulu. Biar benar-benar keputusan parlimen yang memutuskan keperluan minyak dinaikkan atau tidak.

Keputusan SAPP mengumumkan mahu membawa usul tidak percaya turut menyaksikan MP BN tidak mahu dilihat bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat Pak Lah itu. Apapun, MP BN tetap BN dalam memperjuangkan perut dan kroni.

Akan ada yang melompat parti? Aku percaya ada, tapi jumlah yang ada tetap aku sangsi.

Wallahua'lam.