Showing posts with label Balqis. Show all posts
Showing posts with label Balqis. Show all posts

03 January 2011

Balqis Kembali Ke Sekolah!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kembali Ke Sekolah!

Jam 9.00 pagi aku sudah tiba Pusat Harian Sindrom Down Kuala Terengganu yang merupakan sekolah Balqis. Balqis kelihatan ragu-ragu apabila aku mahu menurunkannya. Lebih teruk apabila dia tidak mahu berjalan masuk ke kelas. Maka, terpaksalah aku mendukungnya. Sedangkan ketika itu aku mahu menunjukkan kepada Cikgu Anita bahawa Balqis sudah mampu berjalan dengan baik.

Seperti biasa, sebelum memulakan kelas Balqis perlu ke tandas bagi Toilet Training. Alhamdulillah, Balqis kencing di dalam Potty! Jujurnya, aku agak bimbang kerana sepanjang cuti persekolahan, tidak sampai 5 kali aku melakukannya di rumah. Kami memang tidak sempat (bercampur agak malas sebenarnya) mahu melakukan latihan tersebut di rumah. Selain memerlukan komitmen yang agak tinggi, kedatangan Izzah turut menyulitkan keadaan.

Bagi menjalankan latihan ini, Balqis perlu dalam keadaan tiada lampin. Kencing perlu diaturkan setiap 30 ke 45 minit. Setiap kali ke tandas, Balqis perlu ditunggu sehingga 3 minit di atas potty. Jika kencing, dia perlu ke tandas 45 minit berikutnya. Jika tidak, dia perlu ke tandas lebih awal atau 30 minit berikutnya. Risikonya adalah, dia kencing tidak mengira masa dan tempat!

Selesai ke tandas, kelas seperti biasa dimulakan dengan nyanyian. Hari ini aku biarkan Balqis sendirian tanpa aku bimbing pergerakan tangannya dalam menggayakan lagu-lagu yang dinyayikan. Secara keseluruhannya, Cikgu Anita kelihatan berpuas hati. Apa tidaknya, muzik dan lagu adalah kesukaan Balqis!

Permulaan Yang Baik

Selesai nyanyian, Balqis mula masuk kelas. Latihan pertama adalah menyusun bongkah-bongkah kayu ABC. Bongkah-bongkah ini perlu disusun secara menegak dalam 3 bongkah. Seperti yang dijangka, Balqis berjaya melakukannya dengan sangat baik.

Latihan kedua adalah memasukkan kepingan kayu bulat ke dalam tempatnya. Di sini aku lihat Balqis sudah agak keliru. Begitu juga dengan aktiviti yang hampir sama iaitu memasukkan bentuk bulat di dalam bekas. Balqis berjaya dengan bimbingan.

Berikutnya adalah latihan mengenal kasut dan bola. Aku betul-betul lupa untuk melakukan latihan ini di rumah sepanjang cuti. Kesian Balqis. Terkial-kial dia ditegur cikgu kerana salah. Bola dan kasut diletakkan di hadapan Balqis, dan dia perlu menunjukkan bola atau kasut dengan jari telunjuk mengikut arahan cikgu.

Seterusnya aktiviti memasukkan kayu berlubang ke dalam batang kayu. Alhamdulillah, aktiviti ini memang berjalan dengan baik. Lihatlah video bagaimana Balqis menekuni aktiviti ini.



Pelajaran terakhir di kelas adalah mewarna menggunakan crayon. Alhamdulillah, Balqis dapat menconteng mengikut arahan, cuma Balqis kurang menekan crayon pada kertas. Hasilnya, lakaran yang dihasilkan tidak berbekas dengan baik. Kata cikgu, perlu praktis di rumah!

Selesai kelas, sekali lagi Balqis diaturkan ke tandas. Alhamdulillah kencing lagi. Cuma sedikit terlewat kerana baru sahaja hendak keluar dari tandas baru Balqis kencing. Nampaknya Balqis agak menjadi hari ini.

Semangat Kian Luntur

Ketika aktiviti membaca buku, aku lihat mood Balqis sudah berubah. Dia tidak diam duduk atas kerusi. Sebuah buku dibaca, dia cuba lari. Mahu menghabiskan 3 buah buku, aku terpaksa keliling meja mengejarnya.

Apabila tiba waktu makan, sedang aku bersiap-siap mahu mengeluarkan bekal Balqis sudah mula menangis. Aku fikir Balqis mahu kencing, jadi aku segera bawa dia ke tandas. Namun, tidak juga dia kencing. Cuba suap makanan, tidak mahu. Suap air juga menolak. Akhirnya, aku peluk rapat dan biarkan dia menangis. Akhirnya dia terlena. Patutlah dia menangis.

Sebenarnya aku sudah mengagak kejadian ini akan berlaku pada hari ini. Balqis bangun seawal jam 5.00 pagi apabila mendengar penggera pada telefon berbunyi. Sebelum ke sekolah, aku sudah cuba memaksa dia tidur seketika, tapi gagal. Akhirnya, inilah penamat kelas pada hari ini.

Cikgu Anita membenarkan kami pulang awal. Sebenarnya aku mahu Balqis melakukan aktiviti baru pada hari ini iaitu mengayuh basikal. Nampaknya niat itu terpaksa ditangguh ke minggu hadapan atau bersama Uminya nanti pada hari Rabu ini.

Wallahua'lam.

26 August 2010

Selamat Hari Lahir ke 2 Balqis!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam aku berhajat untuk mengambil beberapa keping gambar terbaru Balqis untuk posting kali ini. Namun, kerana kesian melihat Balqis masih demam dan selsema, maka aku batalkan sahaja hasrat tersebut. Demam nak besar agaknya.

Alhamdulillah, perkembangan Balqis semakin baik. Sekarang, Balqis dah boleh berjalan walaupun ada kalanya terhuyung-hayang. Mengikut pemerhatian aku, Balqis lebih stabil bila berjalan memakai kasut berbanding berkaki ayam. Tidak pula dia mengkhabarkan kepada aku apa masalahnya.


Video diambil awal bulan lalu.

Kebolehan berjalan ini juga memaksa aku memagar ruang dapur dari dimasuki Balqis. Jika tidak, dia akan membantu dengan kerja-kerja yang tidak diperlukan. Paling disukai Balqis adalah bermain dapur!. Penat juga rasanya mengejar dia sesekali. Ketika mula-mula pagar itu siap, Balqis seakan-akan protes dengan pagar tersebut. Beberapa kali dia bercakap dalam 'bahasanya' yang tidak dapat difahami sambil menunjuk-nunjuk ke arah pagar tersebut. Jelas wajahnya kecewa tidak dapat membantu di dapur.

Sekarang nampaknya kami perlu pula menumpukan kepada kebolehan komunikasi Balqis. Sehingga hari ini kami belum dipanggil Umi dan Abi. Antara perkataan yang pernah diajar yang mampu diikut setakat ini hanyalah perkataan MA MA. Apabila dialih kepada perkataan lain, terus dia tidak ikut. Teringin gak nak dapatkan liptrainer. Mana tahu ianya mampu mempercepatkan proses percakapan Balqis.

Semoga dengan meningkat umur ini, Balqis kena lebih rajin belajar. Fokus dan tidak lagi 'mengemaskan' pakaian di dalam almari. Abi dan Umi juga berjanji akan terus melayan kerenah Balqis, tetap akan sayang dan jaga Balqis sebaiknya walaupun Balqis bakal mendapat adik di akhir Oktober nanti.

Raya nanti jangan lupa salam dengan semua Mak sedara dan Pak sedara dan minta duit raya banyak-banyak tau! ;)

p/s: Cepatnya masa berlalu...

01 August 2010

Anakku Sindrom Down

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pagi tadi aku terjumpa satu mesej dalam peti shoutbox:

"salam...saya jumpa blog ni masa cari blog tentang down sindrom, saya baru sebulan melahirkan baby sd, pls help me" - Annur Fitrah

Tarikh mesej tersebut masuk adalah 29 Julai. Nampaknya aku terlewat beberapa hari membaca mesej tersebut. Memang aku jarang menjenguk blog sendiri apabila tiada apa-apa yang ingin dilakukan pada blog.

Aku mengambil sedikit masa untuk berbicara tentang perasaan dengan pemilik blog Annur Fitrah tersebut. Aku mengalami perasaan tersebut ketika berdepan dengan situasi mula-mula Balqis dilahirkan. Aku juga percaya tidak semua ibubapa dapat menerima kehadiran insan istimewa sebegini dengan hati yang amat terbuka.

Aku kongsikan di sini semoga ianya bermanfaat kepada semua.

Assalamualaikum wbt...

Pertamanya, berbangga dan berbahagialahlah kerana Akak dikurniakan seorang anak yang merupakan AHLI SYURGA!

Keduanya, percayalah bahawa akak tidak akan kecewa menjaga anak yang CUKUP ISTIMEWA ini.

Alhamdulillah, untuk pengetahuan Akak sekeluarga, saya sekarang sudah hampir 2 tahun dikurniakan Allah seorang anak istimewa yang diberi nama Balqis. Balqis merupakan anak pertama dalam keluarga kecil kami.

Terkejut, sedih, kecewa dan pelbagai lagi perasaan sebenarnya timbul apabila saya dikhabarkan oleh nurse tentang Balqis mengalami Sindrome Down. Bayangkan betapa saya yang amat excited baru bergelar ayah, tiba-tiba mendapat khabar yang mengejutkan!(pendapat saya ketika itu, Astaghfirullah.)

Walaupun berat untuk menerima hakikat ketika itu, saya gagahkan juga. Saya buang perasaan sangka buruk dengan Allah, saya ambil wudhu' dan melakukan Sujud Syukur.

Wajib pada saya untuk bersyukur dengan Bayi Istimewa itu. Ianya pemberian Allah. Anak pertama kami.

Wajib saya bersyukur kerana di saat ramai pasangan lain tidak mempunyai zuriat, saya dipilih Allah mempunyai zuriat.

Wajib untuk saya bersyukur kerana anak saya masih sempurna anggotanya. Malah di luar sana masih ramai yang diuji dengan ujian yang lebih teruk. Allah hanya menguji saya dengan ujian yang amat sedikit.

Percayalah, insan Istimewa ini akan mengajar kita untuk lebih memahami kehidupan di dunia ini. Soal kasih sayang, soal saling tolong menolong, soal perasaan dan sebagainya.

Apa yang lebih penting, mereka mengingatkan kita tentang hebatnya Allah SWT atas setiap kejadian makhluknya.

Selamat Datang ke Dunia yang Serba Indah!!

Salam Ikhlas dari:
http://amdang81.blogspot.com
Di hujung kalam, aku kongsikan laman Facebook: Sindrom Down: Kumpulan Sokongan

Wallahua'lam.


Video Terbaru Balqis.

08 April 2010

Gaya-gaya Balqis Tidur

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Orang kata,  Jika mahu melihat kecantikan seseorang, lihat rupanya selepas bangun dari tidur. Jika cantik wajahnya ketika itu, cantiklah dia. Aku tidak pasti gerangan apa pendapat sebegini wujud. Apakah kerana ketika baru bangun dari tidur seseorang itu biasanya tidak terurus, rambutnya mengerbang, mukanya tercalit air liur basi dan sebagainya. Wallahua'lam.

Aku kongsi dengan kalian gaya-gaya Balqis ketika tidur. Sedang membelek-belek gambar, tertarik pula mahu menyusun gambar-gambar Balqis sedang tidur. Sebenarnya aku cukup seronok lihat Balqis tidur. Pertamanya, sudah tentu dia tidak akan mengganggu aku lagi. Keduanya, aku suka merenung 'masa depannya' ketika melihat dia tidur.

 Ini gaya paling X-treme!

10 March 2010

Apa Balqis Belajar di Sekolah?

\Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku selalu cerita yang Balqis ke sekolah. Tetapi aku jarang cerita apa yang dia belajar di sekolah. Mungkin sedikit perkongsian ini boleh membantu kita semua dalam membesarkan anak-anak samada istimewa ataupun normal.
Balqis mula  ke sekolah ketika berumur 8 bulan
 Kelas Balqis 2 kali seminggu. Isnin sesi pagi dari jam 9.00 - 11.30, manakala Rabu sesi petang dari jam 2.00 - 4.00. Satu sesi kelas paling ramai adalah 3 pelajar. Selalunya ada sahaja yang tidak hadir kerana masalah kesihatan ataupun kesibukan ibubapa masing-masing kerana setiap sesi memerlukan ibu atau bapa turut serta.

24 February 2010

Permata Hatiku - Balqis iv

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Balqis belajar 'merempit' di sekolah

"Kuatnya mung. Sabarlah ye"

"Minta maaf, aku tidak pernah tahu anak mung ni Sindrom Down"

"Aku tak tahu macamana kalu aku berada di tempat mung"

29 December 2009

Wajah terbaru Balqis

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sesaje posting gambar-gambar Balqis. Ni antara yang terbaru. Perkembangan terbaru tentang Balqis rasanya tidak banyak. Cuma sudah mulai belajar berdiri. Balqis akan bergantung kepada apa yang ada di sekelilingnya untuk cuba berdiri.

Berat dan kesihatan biasa-biasa saja. Berat dah naik 8.5Kg, manakala kesihatan - sedang selsema. Sudah seminggu. Baru-baru ini Balqis ada mengikuti Lawatan Persatuan Sindrom Down Terengganu ke KL, tapi Umi Balqis belum buat posting berkaitan lawatan tersebut. Kata Umi, banyak berkongsi dengan ibubapa yang lain tentang anak-anak SD ini.

Antara 'sifat' mereka yang seakan sama adalah tidak suka air masak / kosong dan akan membaling botol selepas minum.


"Abi, ajar adik buat blog". Gaya seorang blogger cilik. Balqis dah mulai berdiri!


Senyum!


Di suatu hari yang panas...


Senyum sokmo.


Tidur di penjuru bilik mesyuarat. Kesian Balqis kena ikut abi gi meeting.


Sesekali ikat rambut.


Ni nak daftar masuk sekolah mana ni?


Main masak-masak


Di tepi pantai yang indah.. ku duduk seorang diri..


Menanti order nasi air siap.

Sekian catatan kebosanan!

26 October 2009

Kanak-kanak kecil di dalam tong!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Akhir-akhir ini banyak pula dilaporkan kisah yang menyayat hati berkenaan kanak-kanak. Takut, geram, marah dan pelbagai perasaan timbul apabila berita-berita tersebut dipaparkan. Ini aku ada juga suatu kisah penganiayaan terhadap kanak-kanak. Kisah bagaimana kanak-kanak kecil 'disumbat' di dalam tong dan ada pula kisah dihanyutkan ke dalam sungai. Sama-sama kita saksikan.

Kisah 1


Agak-agak, apa benda yang dilakukan budak bertiga ini?


MasyaAllah! ada budak kecil rupanya di dalam!!


Kita lihat, siapa budak ni... macam kenal jer.


Siap ada bola lagi tu. Bestnya mandi!

Itu adalah gelagat sepupu dan mak sedara Balqis memandikannya. Idea asal bagaimanapun adalah dari abinya yang kejam lagi zalim. Hehehe. Harap tiada siapa yang melaporkan kepada JKM kerana perlakuan ini. Akhir-akhir ini kerap juga bawa Balqis mandi manda. Apa yang pasti, dia cukup suka air!


Kisah 2.

Kisah Balqis dapat pelampung baru. Dia macam tidak sejuk sangat je dalam air. Kata cikgunya bagus bagi dia rasa air, pasir, daun, batu dan sebagainya. Biar dia dapat bezakan stuktur alam tersebut.


Sejuk jugak air ni.


Umi, marilah mandi. Tak sejuk pun. Umi takut air ek? Hehehe.

Kisah 3

Tiada apa yang hendak diceritakan. Harap video-video ini menceritakan apa yang patut. Perhatikan cara Balqis bangun dari baring untuk duduk. Ramai yang kagum dengan caranya. Apapun, maaf kerana gambarnya senget. Huhuhuh.






Wallahua'lam.

02 September 2009

Selamat Hari Lahir Balqis!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cerita Satu
Lokasi di rumah ibu mertuaku di Besut.

"Tadi kawe gi umah saing kawe, tengok muka adik dia, macam muka Balqis. Lek-lek." Cerita adik iparku.

"Sindrom Down jugak ke?" Isteriku bertanya adiknya.

"A'ah" Jawab adik lelakinya itu.

"Memang la budak gini muka sama. Mung tak tahu lagi ke?" Isteriku menjelaskan.

"Laa... Patut pun." Adik iparku senyum kerana baru tahu perkara tersebut.


Cerita Dua
Lokasi di rumah sepupuku di kampung Mangkuk, Setiu.

Ketika sedang duduk dan berbual-bual di ruang tamu rumah sepupuku itu, tiba-tiba dia mengalih topik secara tiba-tiba.

"Budak gining rupa-rupanya muka dia sama dok" Sepupuku memulakan kisah.

Mengikut sepupuku, dia biasa jumpa seorang budak sindrom down di kampung Penarik yang merupakan kampung bersebelahan dengan Kampung Mangkuk. Di situ dia biasa berjumpa dan menegur seorang remaja yang mengalami sindrom down.

Suatu hari, sepupuku ini ke Kuala Terengganu. Sedang dia dan kawannya minum di sebuah gerai, tiba-tiba dia terperasan 'remaja sindrom down' yang biasa ditegurnya di Kampung Penarik. Dengan selamba dia tegur dan cuba berbual-bual macam biasa.

Kemudian, dia terperasan kelainan pada remaja berkenaan. Apatah lagi bila dilihat ibu kepada remaja berkenaan dilihat lebih trendy dan tiada gaya kekampungan. Akhirnya barulah dia tahu yang dia sudah tersilap orang.
---------------------------------------------------------------

Hasil seni pertama Balqis di sekolah

Hari ini Balqis sudah menjangkau 1 tahun seminggu. Birthday Balqis pada 26 Ogos. Seminggu abi lewat untuk wish pada Balqis di blog ini. Abi lihat blog umi pun belum wish lagi untuk Balqis. Kami sebenarnya masing-masing bercadang memasukkan video terbaru Balqis di blog masing-masing. Banyak perkembangan baru yang sudah dicapai setahun oleh Balqis.

Balqis sudah pandai duduk sendiri, pandai melambai, pandai bersalaman sambil cium tangan, mengaminkan doa dan terbaru adalah angkat tangan bila disuruh. Itu apa yang biasa dilakukan di rumah.

Jika di sekolah lebih menarik melihat perkembangan Balqis. Step-step yang dilalui oleh Balqis dilepasi satu demi satu. Bermula dengan memegang objek, kemudian berpindah objek dari satu tangan ke tangan yang lain, diikuti dengan menyimpan objek yang dipegang ke dalam bekas.

Apa yang aku perasan satu kebaikan apa yang dipelajari di sekolah adalah, Balqis tidak mudah memasukkan sesuatu benda ke dalam mulutnya. Seakan dia tahu mainan adalah mainan. Cuma adakalanya dia menghisap mainannya mungkin kerana lapar atau geram.

Tidak sabar rasanya mahu berkongsi semua itu di sini. Jika punya kesempatan insyaAllah akan dimasukkan video atau gambar itu nanti. Mungkin juga boleh berkongsi cara tidur Balqis yang menarik! Atau cara duduknya yang teramat istimewa!

Wallahua'lam.

p/s: Maaf posting ini membuatkan anda tidak sabar menanti posting seterusnya. ;)

21 July 2009

Maaf, hanya artikel berkenaan ISA sahaja!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sehingga 1 Ogos, blog ini akan memuatkan artikel berkenaan Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini sahaja. Artikel-artikel lain akan termuat sekiranya benar-benar penting macam cerita Balqis atau lain-lain yang difikirkan sesuai.

Jom turun!!!

Wallahua'lam.


Nota: Balqis tidak akan mengikuti Himpunan Mansuhkan ISA memandangkan dia mengalami sedikit kegatalan. Bimbang jika terkena air asid akan menambahkan kegatalan tersebut. Bagaimanapun sokongan untuk ABI akan terus diberikan. ;)

07 July 2009

Menanti Ulangtahun Pertama Balqis

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Umur Balqis kini dah 10 bulan lebih. Lagi sebulan lebih akan memasuki usia setahun. Satu usia yang aku percaya ditunggu-tunggu oleh kebanyakan ibu bapa. Kebetulan usia setahun Balqis jatuh pada bulan Ramadhan, maka aku fikir ada baiknya dibuat suatu majlis berbuka puasa yang ringkas. Paling tidak, dibuat makanan dan dibahagi-bahagikan kepada jiran-jiran dan sahabat terdekat buat berbuka.

Pernah suatu hari aku membawa Balqis menziarahi seorang kenalan blog, nafastari yang baru memperoleh cahaya mata. Tiba-tiba, dia menghampiriku dan memohon maaf untuk bertanya. Rupa-rupanya dia mahu bertanya apakah Balqis ni mengalami 'down sindrome'. Patutlah dia memohon maaf, kerana takut aku terasa hati. Aku jelaskan kepada saudara nafastari yang sebenarnya yang aku ada ceritakan di blog. Mungkin kerana hanya melihat gambar-gambar, maka dia tidak perasan apa yang ditulis.

Balqis kini sudah 2 bulan masuk 'sekolah'. Setiap minggu, selama 2 jam Balqis akan dihantar ke Pusat Harian Sindrom Down di Kuala Ibai. Di sini Balqis akan diajar 'senaman' dan seni bermain-main. Senaman diajar untuk menguatkan ototnya, manakala permainan pula lebih untuk belajar mengenal warna, bunyi, rasa dan sebagainya. Minggu lepas, Balqis diajar bermain air. Berendam di dalam kolam dan menepuk-nepuk air. Sebetulnya kami dan Balqis yang diajar. Kami perlu mengulangi apa yang diajar di rumah.


Bergaya di sekolah pada hari pertama.

Mengikut pengalaman kenalan dan beberapa individu yang mempunyai anak istimewa sebegini, sekurang-kurangnya 2 tahun diperlukan untuk mereka belajar berjalan. Otot-otot mereka yang lembut adalah penyebab utama mengapa mereka lambat berjalan. Aku dan isteri memasang azam untuk memastikan Balqis dapat berjalan sebelum 2 tahun. Sekarang, Balqis sudah boleh duduk jika dibantu. Namun, akan jatuh kembali. Pinggangnya masih belum cukup kuat.


Lihat gaya kaki dengan 180' sambil menghisap jari


Gaya Extreme! Kaki diangkat ke muka. Kadang-kala ibu jari kaki boleh masuk mulut!

Akhir-akhir ini Balqis sudah mula mengenal orang. Suatu ketika dahulu, sesiapa sahaja boleh mengambil Balqis. Dia tidak akan menangis. Namun, hari ini dia sudah mula pandai menunjukkan muka masam. Paling teruk dia akan meraung sekuat hati! Mujurlah dia tiada masalah dengan pengasuhnya.

Balqis juga akhir-akhir ini sudah mula pandai 'buat-buat merengek'. Dia akan berpura-pura menangis bagi meminta perhatian. Pada mulanya aku cepat simpati, namun atas tunjuk ajar gurunya di sekolah, dia minta tidak dimanjakan. Akhirnya, aku lihat Balqis akan diam sendirinya jika dia tahu dia tidak dilayan.

Sesuatu yang menggembirakan Balqis akhir-akhir ini adalah jika dipakaikan tudung. Dia seolah-olah tahu jika dipakaikan tudung, dia akan dibawa berjalan-jalan. Walaupun tudung tidak kekal lama di kepalanya mungkin kerana kepanasan, namun sikapnya dengan tudung amat positif setakat ini. Apapun, pada aku Balqis memang comel bertudung. Cuma wajahnya pada aku lebih jelas kelihatan wajah Monggolianya bilamana dia bertudung.







Suatu soalan yang sering ditanya isteriku adalah, apakah Balqis dapat bercakap dengan baik dan mudah difahami apabila dia besar nanti? Suatu soalan yang aku sendiri mengharapkan jawapannya adalah YA. Namun, faktor lidah yang biasanya terjulur, dan keadaan lidah yang agak tebal memungkinkan ianya menjadi TIDAK.

Hujung minggu ini Persatuan Sindrom Down Terengganu akan mengadakan Hari Keluarga di Pulau Kapas. Sayangnya, aku sudah mempunyai program yang tidak dapat dielakkan. Sayang kerana aku tidak pernah sampai ke Pulau Kapas. Sayang juga kerana aku masih belum dapat bersama-sama ahli persatuan ini kerana selalu bertembung program. Mungkin banyak perkara lagi yang perlu aku pelajari dan ketahui.

Maaf, kerana sudah agak lama tidak membuat posting berkenaan Balqis. Posting kali ini adalah bagi mengingatkan aku yang esok adalah giliran aku membawa Balqis ke sekolah. Jom Dik, esok gi sekolah!

Wallahua'lam.

NOTA: Pesakit sindrom down juga disebut sebagai berwajah Monggolia.

16 April 2009

Menjawab Tag!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Terkena Tag! lagi. Sebenarnya ini kali ke tiga. Kali kedua belum jawab lagi sebab panjang sangat arahan dia. Yang Baity punya ni simple jer. Kebetulan pula memang tengah niat nak upload gambar Balqis.

Mulanya nak ikut arahan, tapi bila buka laptop, tak jumpa folder keenam. Jadi aku ambik gambar-gambar baru Balqis dan masukkan jadi satu folder baru. Jadilah folder keenam. Bagaimanapun gambar ini bukanlah gambar keenam seperti yang diharapkan. Bagaimanapun gambar ini adalah selepas enam bulan umur Balqis. Kira enam jugak la.

Apa lebih baik dan bagus adalah, aku tidak akan tag sesiapa selepas ini. Biarlah ianya tamat di sini sahaja. ;)

Instructions:
1. Go to your photos folder in your computer.
2. Go to the 6th folder of photos.
3. Go to the 6th picture in that folder.
4. Put the picture on your blog and description of it.
5. Invite six friends to join the challenge.
6. Link them in your blog and let them know they have been challenged.

Gambar 1.

Lokasi: Dalam rumah.
Gaya / Mood: Kepanasan.
Nota Balqis: Jangan ingat saya bogel tau! Pampers ada, cuma tak nampak jer.

Gambar 2.
Lokasi: Klinik Desa
Gaya / Mood: Menanti nama dipanggil
Nota Balqis: Apa la misi ni, panggil la nama kite cepat skit. Orang nak balik tengok wonder pet lak ni.

Gambar 3.
Lokasi: Dalam bilik
Gaya / Mood: Kumpul Daya
Nota Balqis: Zzzzzzz..

Gambar 4.
Lokasi: Dalam rumah.
Gaya / Mood: Main dengan bantal peluk Doraemon
Nota Balqis: Inilah kawan saya kalu Ubi (umi+abi) tak nak layan saya.

Gambar 5.
Lokasi: Ruang Tamu.
Gaya / Mood: Main sorang-sorang je.
Nota Balqis: Meh la Ubi main dengan adik..

Gambar 6
Lokasi: Dalam bilik di rumah Tok.
Gaya / Mood: Gelekek suka selepas mandi.
Nota Balqis: Kalu pakai topi ni, mesti nak gi kuar jalan-jalan. Yea yea..

Gambar 7 & 8.
Lokasi: Di sebuah lokasi Peranginan di Setiu. (Aku tak reti nak eja nama tempat ni)
Gaya / Mood: Sejuk sampai terangkat-angkat kaki bila kena air.
Nota Balqis: Apalah Abi ni, Balqis dah mandi la pagi tadi. Abi tu yang belum mandi lagi.

Gambar 9.
Lokasi: Bahagian Pediatrik, HSNZ
Gaya / Mood: Ngantuk sebab lama tunggu giliran.
Nota Balqis: Mana Dr Syarifah Huda ngan Dr Jun ni. Ubi nak masuk opis lak nanti.

Nota Aku:

Dua hari lalu aku membawa Balqis ke bahagian Pediatrik HSNZ. Balqis ada temujanji untuk pemeriksaan jantung. Temujanji ini sudah dilakukan sejak 6 bulan yang lalu. Alhamdulillah, menurut Dr Syarifah Huda jantung Balqis tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Namun, Balqis tetap perlu datang semula untuk pemeriksaan demi pemeriksaan selanjutnya.

Mengikut Dr Syarifah, individu yang mengalami Sindrom Down mempunyai keberangkalian tinggi untuk mengalami masalah jantung, usus dan beberapa penyakit lagi. Dia kelihatan berpuas hati dengan kesihatan Balqis cuma berpesan supaya Balqis perlu diberi lebih makan.

Aku dan isteri senyum. Kami tahu bagaimana kuatnya Balqis makan sekarang ini. Minggu lalu ketika ditimbang di klinik desa, berat Balqis hanya 5.3kg. Tapi, pada 2 hari lalu berat Balqis dah bertambah kepada 5.8 kg! Dalam masa seminggu kenaikan 0.5kg adalah suatu peningkatan yang sangat besar.

Wallahua'lam.

p/s: Semoga Cik Baity puas hati dengan gambar-gambar Balqis ni. Kalu nak lagi puas hati, meh la jalan umah dukung Balqis.

09 March 2009

Catatan Balqis ke Himpunan 100 000 Membantah PPSMI

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Tarikh: 7 Mac 2008.
Lokasi: Masjid Negara ke Istana Negara.
Pakaian: Putih

Jam 2.03 minit petang, alhamdulillah kami selamat tiba di perkarangan Masjid Negara. Seperti yang dirancang, perjalanan dengan LRT dari Terminal Putra, Gombak ke Pasar Seni berjalan lancar. Cuma Balqis awal-awal lagi sudah tertidur dalam dukunganku.

Kedatangan kami disambut dengan sepasukan pihak berkuasa yang sedang siap bersedia di pintu masuk Masjid Negara. Kami melintasi hadapan mereka sambil merakam gambar.

Kami menyertai para peserta yang sedang berhimpun di Perkarangan Masjid. Ketika ini beberapa individu kelihatan sedang memberi ucapan semangat. Balqis tetap tertidur dalam dukungan.

Nyenyak tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekitar. Laungan takbir dan hiruk pikuk manusia seolah-olah nyanyian yang mengasyikkan.

Tiba-tiba, sekumpulan pasukan Unit Amal yang membentengi beberapa pimpinan GMP bergerak melintasi kami. Nampaknya para peserta sudah berlepas. Kami terhimpit di celah-celah lautan manusia. Aku segera keluar dari kumpulan yang ramai bilamana takut Balqis terhimpit.

Pasukan Polis yang tadi kuat membentengi pintu pagar Masjid akhirnya berpecah dan terpaksa mengakui bahawa mereka tidak mampu menentang gelombang manusia yang berpusu-pusu keluar sambil melaungkan "La ilaha Illallah".

Kelihatan peserta keluar dari Masjid Negara menuju ke jalan raya.

Bersemangat melangkah. Kami ikut dari belakang. Balqis tetap lena dalam pangkuan.

Di sini sahaja aku mampu melangkah. Nun 100 meter di hadapan kelihatan asap-asap putih sudah kelihatan. Aku pada mulanya mahu terus melangkah, namun ditegur oleh kebanyakan peserta bilamana melihat Balqis dalam dukunganku. Aku mula mencari tempat yang selamat untuk Balqis.

Dalam berlari-lari anak, aku sempat melihat ke arah Balqis. Tiba-tiba sahaja dia terjaga dari tidurnya yang panjang. Matanya berair dan mula hendak menangis. Aku percaya, apa yang Balqis rasakan adalah sama seperti yang aku rasa. Tekak sedikit pahit, mata pedih dan berair.

Balqis sudah terjaga dari tidur. "Kacau betul FRU tu!! Orang nak mimpi lebih pun tak boleh. Dengki!!"

Aku segera membasahkan kain tuala dan menyapu mukanya. Seorang sahabat menghulurkan garam. Aku segera meletakkan garam tersebut ke lidah Balqis. Ketika itu aku lihat makin ramai yang berundur. Kami berhenti seketika di sebuah gerai yang berdekatan. Kononnya cuba untuk makan tengahari yang belum sempat diambil.

Tiba-tiba, datang pula trak meriam air memancutkan air berasid. Kami bernasib baik sempat melarikan diri dan tiada apa-apa. Mee goreng yang sempat disuap dua kali terpaksa ditinggalkan. Nasi goreng yang ditempah belum sempat siap. Namun, aku menyuruh isteriku pergi semula menjelaskan bayaran bilamana melihat keadaan di sekitar gerai berkenaan sudah aman. Kami bergerak keluar dari medan. Mencari gerai lain. Lapar.

Berhenti lelah sambil menikmati ibu jari yang sedap dan berkhasiat. Agaknya masin-masin pada ibu jari Balqis itu menyebabkan dia tiada apa-apa bila terkena gas. Hehehe.

Sempat posing dengan Umi sementara menanti air kelapa dan nasi tiba.

Masa untuk bergerak pulang. Posing sambil menanti LRT tiba untuk membawa kami pulang.

Akhirnya kami selamat tiba di rumah mak sedara Balqis. Selepas mandi dan menyusu, tibalah masa-masa untuk melepaskan lelah.

Semoga PPSMI dapat dikuburkan. Agaknya itulah yang difikirkan Balqis sebelum matanya terlena.

Wallahua'lam.