Showing posts with label keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label keibubapaan. Show all posts

03 January 2011

Balqis Kembali Ke Sekolah!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Kembali Ke Sekolah!

Jam 9.00 pagi aku sudah tiba Pusat Harian Sindrom Down Kuala Terengganu yang merupakan sekolah Balqis. Balqis kelihatan ragu-ragu apabila aku mahu menurunkannya. Lebih teruk apabila dia tidak mahu berjalan masuk ke kelas. Maka, terpaksalah aku mendukungnya. Sedangkan ketika itu aku mahu menunjukkan kepada Cikgu Anita bahawa Balqis sudah mampu berjalan dengan baik.

Seperti biasa, sebelum memulakan kelas Balqis perlu ke tandas bagi Toilet Training. Alhamdulillah, Balqis kencing di dalam Potty! Jujurnya, aku agak bimbang kerana sepanjang cuti persekolahan, tidak sampai 5 kali aku melakukannya di rumah. Kami memang tidak sempat (bercampur agak malas sebenarnya) mahu melakukan latihan tersebut di rumah. Selain memerlukan komitmen yang agak tinggi, kedatangan Izzah turut menyulitkan keadaan.

Bagi menjalankan latihan ini, Balqis perlu dalam keadaan tiada lampin. Kencing perlu diaturkan setiap 30 ke 45 minit. Setiap kali ke tandas, Balqis perlu ditunggu sehingga 3 minit di atas potty. Jika kencing, dia perlu ke tandas 45 minit berikutnya. Jika tidak, dia perlu ke tandas lebih awal atau 30 minit berikutnya. Risikonya adalah, dia kencing tidak mengira masa dan tempat!

Selesai ke tandas, kelas seperti biasa dimulakan dengan nyanyian. Hari ini aku biarkan Balqis sendirian tanpa aku bimbing pergerakan tangannya dalam menggayakan lagu-lagu yang dinyayikan. Secara keseluruhannya, Cikgu Anita kelihatan berpuas hati. Apa tidaknya, muzik dan lagu adalah kesukaan Balqis!

Permulaan Yang Baik

Selesai nyanyian, Balqis mula masuk kelas. Latihan pertama adalah menyusun bongkah-bongkah kayu ABC. Bongkah-bongkah ini perlu disusun secara menegak dalam 3 bongkah. Seperti yang dijangka, Balqis berjaya melakukannya dengan sangat baik.

Latihan kedua adalah memasukkan kepingan kayu bulat ke dalam tempatnya. Di sini aku lihat Balqis sudah agak keliru. Begitu juga dengan aktiviti yang hampir sama iaitu memasukkan bentuk bulat di dalam bekas. Balqis berjaya dengan bimbingan.

Berikutnya adalah latihan mengenal kasut dan bola. Aku betul-betul lupa untuk melakukan latihan ini di rumah sepanjang cuti. Kesian Balqis. Terkial-kial dia ditegur cikgu kerana salah. Bola dan kasut diletakkan di hadapan Balqis, dan dia perlu menunjukkan bola atau kasut dengan jari telunjuk mengikut arahan cikgu.

Seterusnya aktiviti memasukkan kayu berlubang ke dalam batang kayu. Alhamdulillah, aktiviti ini memang berjalan dengan baik. Lihatlah video bagaimana Balqis menekuni aktiviti ini.



Pelajaran terakhir di kelas adalah mewarna menggunakan crayon. Alhamdulillah, Balqis dapat menconteng mengikut arahan, cuma Balqis kurang menekan crayon pada kertas. Hasilnya, lakaran yang dihasilkan tidak berbekas dengan baik. Kata cikgu, perlu praktis di rumah!

Selesai kelas, sekali lagi Balqis diaturkan ke tandas. Alhamdulillah kencing lagi. Cuma sedikit terlewat kerana baru sahaja hendak keluar dari tandas baru Balqis kencing. Nampaknya Balqis agak menjadi hari ini.

Semangat Kian Luntur

Ketika aktiviti membaca buku, aku lihat mood Balqis sudah berubah. Dia tidak diam duduk atas kerusi. Sebuah buku dibaca, dia cuba lari. Mahu menghabiskan 3 buah buku, aku terpaksa keliling meja mengejarnya.

Apabila tiba waktu makan, sedang aku bersiap-siap mahu mengeluarkan bekal Balqis sudah mula menangis. Aku fikir Balqis mahu kencing, jadi aku segera bawa dia ke tandas. Namun, tidak juga dia kencing. Cuba suap makanan, tidak mahu. Suap air juga menolak. Akhirnya, aku peluk rapat dan biarkan dia menangis. Akhirnya dia terlena. Patutlah dia menangis.

Sebenarnya aku sudah mengagak kejadian ini akan berlaku pada hari ini. Balqis bangun seawal jam 5.00 pagi apabila mendengar penggera pada telefon berbunyi. Sebelum ke sekolah, aku sudah cuba memaksa dia tidur seketika, tapi gagal. Akhirnya, inilah penamat kelas pada hari ini.

Cikgu Anita membenarkan kami pulang awal. Sebenarnya aku mahu Balqis melakukan aktiviti baru pada hari ini iaitu mengayuh basikal. Nampaknya niat itu terpaksa ditangguh ke minggu hadapan atau bersama Uminya nanti pada hari Rabu ini.

Wallahua'lam.

25 November 2010

Permata Hatiku: Kerenah 2 Anak.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...


Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari ke 28 Izzah dilahirkan. Secara jujurnya, sangat kurang masa yang dapat aku luangkan untuk bersama Izzah. Mandikan Izzah tidak pernah. Salin lampin dan pakaikan baju adalah beberapa kali. Menyusukan, hanya 2 kali rasanya (susu badan yang dimasukkan ke dalam botol. Aku tidak mengambil pil / suntikan bagi mengeluarkan susu!). Paling kerap pun tidurkan Izzah atau mendukung Izzah dan melarikannya dari serangan Balqis!. Apatah lagi kali ini aku memberi peluang untuk isteriku berpantang di rumah ibunya. Makin jaranglah kami berkumpul.

Dalam 28 hari ini juga, aku lebihkan banyak masa terhadap Balqis. Biarlah Izzah dengan uminya. Balqis aku bawa balik ke rumah sewaku, ada kalanya turut membawa dia ke pejabat. Hujung minggu pula aku selalu larikan Balqis ke rumah mak dan ayah aku. Awal-awal kelahiran Izzah, Balqis aku lihat cukup 'terasa' yang dia dipinggirkan. Apa tidaknya, pintu bilik sentiasa ditutup bagi mengelakkan Balqis mengganggu Izzah. Gurauannya agak kasar. Kepala adik akan ditampar setelah menggosok perlahan beberapa kali.

Alhamdulillah, perkembangan Izzah sebaik Balqis. Cuma tidak sebaik Balqis. Kedua-duanya tidak terkena kuning. Sihat dan sangat menyenangkan. Cuma jika nak dibandingkan, Balqis sudah tentu menang dengan kebaikannya.

Hari pertama pulang dari HSNZ, Izzah menangis hampir sepanjang malam. Suatu trauma bagi kami yang tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Jika dibandingkan dengan Balqis, sungguh mudah. Tidur sahaja kerjanya. Siang dan malam. Laungan Izzah pula bukannya perlahan. Sekali nangis, terus masuk gear 5 kata isteriku.

Rupanya mimpi ngeri itu tidaklah berlarutan. Hanya semalaman itu sahaja Izzah menangis. Malam-malam lain, dia akan terjaga ketika mahukan susu dan merengek-rengek. Disuakan apa yang diingini, senyaplah dia. Begitu juga dengan siang hari. Cuma Izzah lebih kuat menyusu.

Balqis, kami ajar tidur tanpa buaian. Alhamdulillah ianya berjaya. Kami tiarapkan Balqis supaya tidurnya lebih lena. Berbanding Izzah, kerana agak sukar tidur kadang-kala, memaksa Tok Ma (ibu Mertuaku) membuka kembali buaian yang sudah lama disimpan di dalam stor. Tapi Izzah cuba dielakkan dengan buaian. Cuma jika tidak tahan dia terjaga dan mendukungnya, barulah dibuaikan. Terfikir juga, apakah Izzah selepas ini akan bergantung kepada buaian?

Membezakan kedua-dua anak ini, melahirkan rasa syukur yang amat sangat terhadap kurniaan Allah. Allah melebihkan kedua-dua anakku dengan kelebihan masing-masing, diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Semoga Allah memelihara kedua-dua anakku ini dengan melindungi mereka dari fitnah dunia dan kerosakan manusia. Semoga Allah memberi kami kekuatan dalam menunaikan tanggungjawab yang ditambah ini. Wallahua'lam.

P/s: Aku pernah ditegur seorang kawan berpangkat ustaz. Katanya, dulu ketika bujang aku rajin update blog. Selepas kahwin makin kurang. Agaknya sekarang dia akan kata selepas anak sorang, dah makin kurang, bila anak dua laagiii jarang. ; )

01 August 2010

Anakku Sindrom Down

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pagi tadi aku terjumpa satu mesej dalam peti shoutbox:

"salam...saya jumpa blog ni masa cari blog tentang down sindrom, saya baru sebulan melahirkan baby sd, pls help me" - Annur Fitrah

Tarikh mesej tersebut masuk adalah 29 Julai. Nampaknya aku terlewat beberapa hari membaca mesej tersebut. Memang aku jarang menjenguk blog sendiri apabila tiada apa-apa yang ingin dilakukan pada blog.

Aku mengambil sedikit masa untuk berbicara tentang perasaan dengan pemilik blog Annur Fitrah tersebut. Aku mengalami perasaan tersebut ketika berdepan dengan situasi mula-mula Balqis dilahirkan. Aku juga percaya tidak semua ibubapa dapat menerima kehadiran insan istimewa sebegini dengan hati yang amat terbuka.

Aku kongsikan di sini semoga ianya bermanfaat kepada semua.

Assalamualaikum wbt...

Pertamanya, berbangga dan berbahagialahlah kerana Akak dikurniakan seorang anak yang merupakan AHLI SYURGA!

Keduanya, percayalah bahawa akak tidak akan kecewa menjaga anak yang CUKUP ISTIMEWA ini.

Alhamdulillah, untuk pengetahuan Akak sekeluarga, saya sekarang sudah hampir 2 tahun dikurniakan Allah seorang anak istimewa yang diberi nama Balqis. Balqis merupakan anak pertama dalam keluarga kecil kami.

Terkejut, sedih, kecewa dan pelbagai lagi perasaan sebenarnya timbul apabila saya dikhabarkan oleh nurse tentang Balqis mengalami Sindrome Down. Bayangkan betapa saya yang amat excited baru bergelar ayah, tiba-tiba mendapat khabar yang mengejutkan!(pendapat saya ketika itu, Astaghfirullah.)

Walaupun berat untuk menerima hakikat ketika itu, saya gagahkan juga. Saya buang perasaan sangka buruk dengan Allah, saya ambil wudhu' dan melakukan Sujud Syukur.

Wajib pada saya untuk bersyukur dengan Bayi Istimewa itu. Ianya pemberian Allah. Anak pertama kami.

Wajib saya bersyukur kerana di saat ramai pasangan lain tidak mempunyai zuriat, saya dipilih Allah mempunyai zuriat.

Wajib untuk saya bersyukur kerana anak saya masih sempurna anggotanya. Malah di luar sana masih ramai yang diuji dengan ujian yang lebih teruk. Allah hanya menguji saya dengan ujian yang amat sedikit.

Percayalah, insan Istimewa ini akan mengajar kita untuk lebih memahami kehidupan di dunia ini. Soal kasih sayang, soal saling tolong menolong, soal perasaan dan sebagainya.

Apa yang lebih penting, mereka mengingatkan kita tentang hebatnya Allah SWT atas setiap kejadian makhluknya.

Selamat Datang ke Dunia yang Serba Indah!!

Salam Ikhlas dari:
http://amdang81.blogspot.com
Di hujung kalam, aku kongsikan laman Facebook: Sindrom Down: Kumpulan Sokongan

Wallahua'lam.


Video Terbaru Balqis.

10 March 2010

Apa Balqis Belajar di Sekolah?

\Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku selalu cerita yang Balqis ke sekolah. Tetapi aku jarang cerita apa yang dia belajar di sekolah. Mungkin sedikit perkongsian ini boleh membantu kita semua dalam membesarkan anak-anak samada istimewa ataupun normal.
Balqis mula  ke sekolah ketika berumur 8 bulan
 Kelas Balqis 2 kali seminggu. Isnin sesi pagi dari jam 9.00 - 11.30, manakala Rabu sesi petang dari jam 2.00 - 4.00. Satu sesi kelas paling ramai adalah 3 pelajar. Selalunya ada sahaja yang tidak hadir kerana masalah kesihatan ataupun kesibukan ibubapa masing-masing kerana setiap sesi memerlukan ibu atau bapa turut serta.

26 October 2009

Kanak-kanak kecil di dalam tong!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Akhir-akhir ini banyak pula dilaporkan kisah yang menyayat hati berkenaan kanak-kanak. Takut, geram, marah dan pelbagai perasaan timbul apabila berita-berita tersebut dipaparkan. Ini aku ada juga suatu kisah penganiayaan terhadap kanak-kanak. Kisah bagaimana kanak-kanak kecil 'disumbat' di dalam tong dan ada pula kisah dihanyutkan ke dalam sungai. Sama-sama kita saksikan.

Kisah 1


Agak-agak, apa benda yang dilakukan budak bertiga ini?


MasyaAllah! ada budak kecil rupanya di dalam!!


Kita lihat, siapa budak ni... macam kenal jer.


Siap ada bola lagi tu. Bestnya mandi!

Itu adalah gelagat sepupu dan mak sedara Balqis memandikannya. Idea asal bagaimanapun adalah dari abinya yang kejam lagi zalim. Hehehe. Harap tiada siapa yang melaporkan kepada JKM kerana perlakuan ini. Akhir-akhir ini kerap juga bawa Balqis mandi manda. Apa yang pasti, dia cukup suka air!


Kisah 2.

Kisah Balqis dapat pelampung baru. Dia macam tidak sejuk sangat je dalam air. Kata cikgunya bagus bagi dia rasa air, pasir, daun, batu dan sebagainya. Biar dia dapat bezakan stuktur alam tersebut.


Sejuk jugak air ni.


Umi, marilah mandi. Tak sejuk pun. Umi takut air ek? Hehehe.

Kisah 3

Tiada apa yang hendak diceritakan. Harap video-video ini menceritakan apa yang patut. Perhatikan cara Balqis bangun dari baring untuk duduk. Ramai yang kagum dengan caranya. Apapun, maaf kerana gambarnya senget. Huhuhuh.






Wallahua'lam.

02 September 2009

Selamat Hari Lahir Balqis!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cerita Satu
Lokasi di rumah ibu mertuaku di Besut.

"Tadi kawe gi umah saing kawe, tengok muka adik dia, macam muka Balqis. Lek-lek." Cerita adik iparku.

"Sindrom Down jugak ke?" Isteriku bertanya adiknya.

"A'ah" Jawab adik lelakinya itu.

"Memang la budak gini muka sama. Mung tak tahu lagi ke?" Isteriku menjelaskan.

"Laa... Patut pun." Adik iparku senyum kerana baru tahu perkara tersebut.


Cerita Dua
Lokasi di rumah sepupuku di kampung Mangkuk, Setiu.

Ketika sedang duduk dan berbual-bual di ruang tamu rumah sepupuku itu, tiba-tiba dia mengalih topik secara tiba-tiba.

"Budak gining rupa-rupanya muka dia sama dok" Sepupuku memulakan kisah.

Mengikut sepupuku, dia biasa jumpa seorang budak sindrom down di kampung Penarik yang merupakan kampung bersebelahan dengan Kampung Mangkuk. Di situ dia biasa berjumpa dan menegur seorang remaja yang mengalami sindrom down.

Suatu hari, sepupuku ini ke Kuala Terengganu. Sedang dia dan kawannya minum di sebuah gerai, tiba-tiba dia terperasan 'remaja sindrom down' yang biasa ditegurnya di Kampung Penarik. Dengan selamba dia tegur dan cuba berbual-bual macam biasa.

Kemudian, dia terperasan kelainan pada remaja berkenaan. Apatah lagi bila dilihat ibu kepada remaja berkenaan dilihat lebih trendy dan tiada gaya kekampungan. Akhirnya barulah dia tahu yang dia sudah tersilap orang.
---------------------------------------------------------------

Hasil seni pertama Balqis di sekolah

Hari ini Balqis sudah menjangkau 1 tahun seminggu. Birthday Balqis pada 26 Ogos. Seminggu abi lewat untuk wish pada Balqis di blog ini. Abi lihat blog umi pun belum wish lagi untuk Balqis. Kami sebenarnya masing-masing bercadang memasukkan video terbaru Balqis di blog masing-masing. Banyak perkembangan baru yang sudah dicapai setahun oleh Balqis.

Balqis sudah pandai duduk sendiri, pandai melambai, pandai bersalaman sambil cium tangan, mengaminkan doa dan terbaru adalah angkat tangan bila disuruh. Itu apa yang biasa dilakukan di rumah.

Jika di sekolah lebih menarik melihat perkembangan Balqis. Step-step yang dilalui oleh Balqis dilepasi satu demi satu. Bermula dengan memegang objek, kemudian berpindah objek dari satu tangan ke tangan yang lain, diikuti dengan menyimpan objek yang dipegang ke dalam bekas.

Apa yang aku perasan satu kebaikan apa yang dipelajari di sekolah adalah, Balqis tidak mudah memasukkan sesuatu benda ke dalam mulutnya. Seakan dia tahu mainan adalah mainan. Cuma adakalanya dia menghisap mainannya mungkin kerana lapar atau geram.

Tidak sabar rasanya mahu berkongsi semua itu di sini. Jika punya kesempatan insyaAllah akan dimasukkan video atau gambar itu nanti. Mungkin juga boleh berkongsi cara tidur Balqis yang menarik! Atau cara duduknya yang teramat istimewa!

Wallahua'lam.

p/s: Maaf posting ini membuatkan anda tidak sabar menanti posting seterusnya. ;)

03 December 2008

Permata Hatiku: Balqis III

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt...

"Pasal berat dia ni, memang budak yang ada Sindrom Down graf dia tidak sama dengan budak lain. Lambat skit. Itu normal bagi dia. Ada apa-apa lagi nak tanya?" Soal Dr Rohaya kepada aku dan isteri. Ketika itu kami memaklumkan yang berat Balqis baru sahaja 4.05 kilogram (Umur 3 bulan).

Aku senyum kepadanya dan mengatakan tiada apa-apa. Isteriku diam sahaja tanda juga tiada apa-apa lagi persoalan. Ketika itu Balqis sudah terlena dalam pangkuan uminya.

Minggu sudah kami ditunjukkan keputusan ujian darah Balqis. Hasilnya Balqis memang positif Sindrom Down. Kami ditunjukkan keputusan (47,XX,+21). Kata Dr Rohaya normal adalah 46, XX. Aku tidak tahu sangat. Tapi aku pernah terbaca yang sindrom down juga dikenali dengan Kromosom 21.

Kami sudah jangka keputusan ujian tersebut. Pada kami tiada apa-apapun dengan keputusan tersebut. Cuma segala persoalan terjawab jelas kini. Langsung tiada terasa kurang.

"Dia ni boleh dikategorikan sebagai Kanak-kanak Istimewa" Sambung Dr Rohaya. Matanya melihat kepada aku, kemudian beralih kepada isteri. Aku mengangguk akur.

Mainan Pertama Balqis

Terus di kepalaku teringat kepada suatu peristiwa yang diceritakan isteriku di satu majlis jamuan makan. Ketika itu isteriku meninggalkan Balqis di atas sofa untuk mengambil makanan. Ketika sedang makan, dia terdengar perbualan seseorang dengan seorang makcik yang berada di sebelah Balqis.

"Dia cacat skit" Jelas makcik yang berada di sebelah Balqis. Tersentak isteriku yang tidak jauh dari situ. Sedikit kesal bilamana perkataan cacat digunakan kepada Balqis.

Aku apabila mendengar kembali cerita itu turut terasa. Namun aku dapat menerima hakikat yang ada. Cuma penggunaan istilah cacat memang dirasakan sedikit kasar bagiku. Mungkin suatu ketika dahulu penggunaan istilah itu tiada apa-apa yang silap pada diriku. Namun, setelah sendiri berada di tempat ini barulah aku menjadi lebih memahami.

Balqis posing untuk blog Abi.

Kami sempat berbincang seketika dengan Dr Rohaya tentang rawatan Stem Cell terhadap individu Sindrom Down. Nampaknya Dr Rohaya tidak banyak mengikuti perkembangan mengenainya. Mungkin juga bidangnya tidak menjurus kepada penyakit ini. Aku banyak mengikuti maklumat tentang Sindrom Down ini melalui internet sahaja.

Beberapa hari sesudah bertemu Dr Rohaya, isteriku mula bertanya perasaanku ketika dimaklumkan keputusan tersebut. Sebenarnya aku tidak menyangka soalan tersebut akan diajukan. Aku menjelaskan yang aku sedia menerima Balqis seadanya.

Aku merenung isteriku. Aku melihat ada sedikit tanda harapan ujian tersebut negatif pada wajahnya. Sungguh, sebenarnya tiada siapa mahu anaknya tidak seperti orang lain. Sihat, cantik, bijak, dan aktif. Melihat ia membesar tanpa ada rasa bimbang. Boleh berdikari dan sebagainya.

Sebenarnya walaupun keputusan adalah positif, namun pada kami ianya adalah sangat minor. Balqis sihat, aktif dan tidak kurang bijaknya. Kata Uminya, bijak macam Umi. Dia akan menjawab setiap agahan kepadanya. Cantik sahaja pada pandangan kami. Pendek kata tiada apa pun yang kurang.

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan?

Kami sebenarnya sangat bersyukur atas kesihatan Balqis. Aku pernah bertemu dengan seorang bapa yang anaknya turut mengalami Sindrom Down. Ada masalah jantung, tidak boleh meniarap, dan mesti diberi perhatian sentiasa. Berat anak tadi juga agak bermasalah. Mesti menjalani pembedahan demi pembedahan. Ketika itu terasa betapa jauhnya bertuahnya kami.
Hidup ini jalannya ke depan. Jika mahu mengejar impian, lihatlah siapa yang ada di hadapan. Namun, sekiranya jatuh tersungkur, terasa tewas, lihatlah di belakang. Percayalah kita masih tidak ketinggalan- amdang81
Wallahua'lam.

p/s: Thanks sayang kerana sentiasa kuat di belakang abang.

12 November 2008

Klip Video Paling Panas Minggu Ini!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Ini adalah sedikit rakaman bagaimana gaya Balqis apabila menghisap jari. Kami sering ketawa kerana sifatnya yang satu ini. Walaupun mungkin sifat ini dilihat kurang baik, namun kerana menghisap jari itulah Balqis menjadi baik.

Walaupun kenyang menyusu, dia tidak akan segera tidur melainkan diletakkan meniarap dan biarkan dia menghisap jarinya. Tak sampai 20 hisapan, dia akan tertidur dengan sendirinya. Begitu juga sekiranya Uminya lambat memberikan susu. Cukup dengan 'sogokan' ibu jarinya, Balqis akan diam.

Sekurang-kurangnya itu lebih baik dari puting kosong kot!

Wallahua'lam.

04 November 2008

Susu Ibu atau Susu Lembu?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pernah dengar Susuibu.com? Aku diperkenalkan laman tersebut oleh beberapa orang teman bilamana aku bertanyakan perihal penyusuan ibu. Laman yang aku kira cukup bermanfaat sebenarnya bagi ibu-ibu. Jika dengar dari nama laman ini sudah digambarkan apa yang bakal dibincang dan diperkatakan. Semuanya mengenai susu ibu.

Suatu ketika dahulu mungkin isu susu ibu tidak begitu popular. Aku percaya hampir kebanyakan kita (sebaya dan mungkin lebih berumur dari aku) menikmati susu ibu sepenuhnya dari ibu masing-masing. Jarang-jarang sangat rasanya orang dulu-dulu menggunakan susu lembu (susu tin) untuk anak mereka.

Pertamanya, kos susu. Keduanya kerana masa mereka yang banyak di rumah memudahkan penyusuan badan. Mengikuti forum-forum di dalam laman terbabit sebenarnya cukup membuat aku teruja mengikuti pengalaman dan kesungguhan ibu-ibu terbabit memastikan hanya susu ibu untuk anak masing-masing.

Hari ini sebenarnya menjadi suatu kejanggalan jika dikatakan seorang anak itu mahu diberi susu ibu sepenuhnya. Apatah lagi bilamana si ibu itu bekerjaya.

Di bawah ini aku sertakan suatu artikel dari Malaysiakini. Isu melamin yang menggemparkan kebanyakan ibu langsung tidak menakutkan aku dan isteri. Pada aku, isu terbabit tidak ada kaitan dengan kami. Bukan sombong, tetapi kerana yakin dengan kebaikan susu ibu yang dianugerahkan Allah.

Nota: Artikel ni untuk si isteri tersayang. Sebagai suatu tanda sokongan dari seorang suami.
------------------------------------------------------------------------------------
Petikan Malaysiakini.

Melamin, sejenis bahan kimia yang kaya dengan nutrien, selamat digunakan dengan jumlah yang sesuai jika tidak dicampurkan dengan asid sianurik yang boleh memudaratkan manusia.

"Orang ramai hanya tahu tentang melamin, tiada sesiapapun bercakap tentang asid sianurik.

"Sebenarnya asid sianuriklah menjadi punca tersirat masalah keracunan makanan yang membunuh kanak-kanak di China," kata timbalan dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Mustafa Ali Mohd kepada Bernama.

tainted milk product from china 230908Beliau menambah kebanyakan bahan makanan yang dikeluarkan kini seperti susu segar, sayur-sayuran dan daging mengandungi asid sianurik tanpa diketahui peranannya yang berbahaya kepada manusia.

"Kehadiran melamin dan asid sianurik secara bersendirian tidak berbahaya kepada manusia, tetapi kini masalahnya timbul apabila melamin digunakan bersama-sama asid sianurik," beliau dipetik sebagai berkata hari ini.

Dr Mustafa, yang juga ketua Shimadzu-UMMC Center for Xenobiotics Studies (SUCXeS), berkata pusat itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sedang menjalankan satu kajian terhadap melamin sejak isu itu dibangkitkan dan mendapati susu segar yang diperiksa turut dicampur asid sianurik.

"Kehadiran melamin dalam susu adalah untuk menambahkan kandungan protein, tetapi hasil kajian kami menunjukkan susu turut mengandungi asid sianurik yang boleh menyebabkan sakit buah pinggang.

"Susu yang baik ada nutrien yang tinggi, apabila pengeluar susu
mencampurkkan air dalam susu semata-mata untuk mengaut keuntungan, mereka akan memasukkan melamin bagi mengimbangkan tahap nutrien agar tidak dikesan oleh pembeli.

"Penggunaan melamin ada tujuannya (menambahkan protein) tapi kami tidak faham kenapa asid sianurik dicampurkan dalam susu segar," katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, Mustafa berkata kajian mereka bertujuan mengkaji tujuan sebenar kehadiran asid sianurik dan melamin dalam susu segar, sayur-sayuran dan daging segar serta mengkaji bahan makanan lain seperti sos, soya dan ikan bagi
memastikan sama ada bahan makanan itu turut terdedah atau tidak kepada bahan kimia berkenaan.

Ditanya sama ada melamin boleh digantikan dengan bahan lain, Dr Mustafa berkata boleh, tetapi melamin sering menjadi pilihan kerana dikeluarkan secara berlebihan di China dan diperolehi dengan harga yang terlampau murah.

melamine testing of chemical 041108Katanya lagi, melamin merupakan bahan kimia yang tidak berwarna dan tidak mempunyai rasa, manakala bahan gantian lain yang boleh digunakan seperti pada sayur-sayuran mempunyai warna dan rasa yang boleh menyebabkan warna dan rasa produk yang dicampurkan dengannya berubah warna dan rasa asalnya.

"Jadi, melamin sentiasa menjadi pilihan (pengeluar susu dan makanan)," katanya.

"Secara saintifiknya penggunaan melamin tidak berisiko jika mematuhi had penggunaannya, sama seperti panadol... jika guna sikit jadi penawar, jika berlebihan akan membawa kemudaratan," kata Dr Mustafa.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tahap melamin yang dibenarkan dalam makanan kanak-kanak adalah 1ppm (1 bahagian dari sejuta) dan 2.5ppm bagi orang dewasa.

Kanak-kanak sering menjadi mangsa kerana mereka sentiasa bergantung kepada susu.

"Manakala asid sianurik pula, kami tidak pasti, kami sedang menjalankan kajian mengenai perkara itu (iaitu) kenapa asid sianurik hadir dalam makanan dan sama ada boleh diganti dengan bahan lain," tambahnya.

Mengenai susu dan bahan makanan yang diimport dari negara lain yang turut tercemar dengan bahan melamin, beliau berkata berkemungkinan makanan haiwan serta baja yang digunakan oleh negara itu diimport dari China dan terdedah dengan melamin dan asid sianurik.

SUCXes ditubuhkan pada 1999 hasil kerjasama antara Universiti Malaya (UM) dan syarikat analisis berteknologi tinggi antarabangsa, Shimadzu dan Fisher Scientific.

Ia berperanan sebagai pusat latihan, perkhidmatan dan penyelidikan.