Dari Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda “Allah tidak mengizin bagi sesuatu, apa yang diizinkan kepada Nabi s.a.w mendengar suara yang baik membaca Quran serta dengan kuat (menzahirkan suaranya)”. –Hadith riwayat Bukhari dan Muslin
Hadith ini memberi maksud, Allah s.w.t sangat meredhai akan hambanya yang membaca al-Quran dengan baik. Sehinggakan Allah mengizinkan Nabi s.a.w mendengar bacaan al-Quran itu.
Dari Abu Musa al-As’ari r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya “Sesungguhnya telah dikurniakan kepadamu suara merdu laksana seruling sebagaimana suara merdu laksana seruling keluarga Daud”. –Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Mengikut riwayat Muslim, bahawa Rasulullah s.a.w berkata kepada Abu Musa al-As’ari, “Kalau kamu lihat aku mendengar bacaan mu semalam, alangkah baiknya”.
Hadith ini menyebut Nabi s.a.w memuji sahabat baginda yang bernama Abu Musa al-As’ari yang mempunyai suara yang elok dan pandai membaca al-Quran. Abu Musa ini memang dikenali dikalangan sahabat sebagai seorang yang bijak, alim, dan mempunyai suara yang elok dalam membaca al-Quran.
Sehinggakan Nabi s.a.w meminta untuk diperdengarkan bacaan al-Quran oleh Abu Musa kepada baginda. Nabi mengumpamakan kemerduan suara Abu Musa seperti tiupan seruling yang indah dan turut dikaitkan dengan suara keluarga Nabi Daud a.s yang memang mempunyai suara yang merdu dan indah.
Nabi Daud dikurniakan Allah suara yang merdu dan indah. Kelebihan ini digunakan ketika baginda membacakan kitab Zabur. Sehingga dikatakan bertasbih bersama Nabi Daud burung-burung yang terbang, bukit bukau, pohon kayu dan gunung- ganang sekeliling baginda.
Dari Al-Bara’ bin ‘Azib r.a katanya, aku telah mendengar Nabi s.a.w membaca ketika Solat Isya’ surah At-Tiinni wa zaitun dan aku tidak pernah dengar seorang yang lebih indah suara daripadanya.” – Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadith ini menunjukkan Nabi s.a.w memperelokkan bacaan al-Quran di dalam solat dan bacaan surah At-Tiin pada waktu Isya’ menunjukkan Nabi s.a.w tidak memberatkan makmum dengan bacaan yang terlalu panjang.
Bahkan dalam riwayat yang lain, Nabi s.a.w memarahi seorang sahabat, iaitu Abdullah ibn Mas’ud kerana membaca surah yang panjang dalam solat dan tidak meraikan makmum di belakang kerana antara mereka ada orang tua dan mungkin ada yang uzur. Kecuali dengan keizinan makmum dan dilakukan sesekali sahaja (bacaan surah panjang).
Dan diriwayatkan pernah suatu ketika baginda s.a.w mengimami solat, tiba-tiba terdengar tangisan bayi, maka dipendekkan solat. Selesai solat, baginda s.a.w menjelaskan “Aku khuatir, ibu anak itu bimbang akan anaknya”.
Dari Abi Lubabah, bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda “Barangsiapa yang tidak mengindahkan suaranya dengan al-Quran, maka mereka bukan dari kalangan kita”.
Nabi menegur kepada sesiapa yang mempunyai suara yang elok, tetapi tidak memperelokkan suaranya ketika membaca al-Quran, maka dikatakan baginda Nabi s.a.w dia bukan dari golongan baginda.
Kerana indahnya al-Quran, maka perlu diperelokkan bacaan. Ini kerana suara yang elok akan mampu menarik orang lain untuk mendekati al-Quran. Terdapat beberapa kisah berkaitan orang bukan Islam untuk mendekati Islam melalui mendengar bacaan Al-Quran. Digalakkan juga kepada muazzin (tukang azan) supaya dipilih dari kalangan orang yang mempunyai suara yang sedap dan baik. Selain menarik orang datang solat, syiar azan juga dapat ditinggikan.
Dari Ibn Mas’ud r.a katanya, telah bersabda kepadaku oleh Nabi s.a.w “Bacakan kepadaku al-Quran”. Maka saya menjawab “Ya Rasulullah, saya bacakan al-Quran kepada Rasulullah? Walhal ianya (al-Quran) diturunkan kepada mu”. Seterusnya bersabda Nabi s.a.w “Sesungguhnya aku ingin mendengar dari orang lain”. Lalu aku membacakan kepada baginda Surah An-Nisa’. Apabila sampai kepada ayat ini iaitu (bermaskud) “Bagaimana apabila datang daripada tiap-tiap umat dengan saksi masing-masing, dan kami bawakan engkau wahai Muhammad menjadi saksi kepada mereka semua”. Lalu baginda bersabda, “Cukup, berhenti sekarang!” aku berpaling, tiba-tiba aku lihat kedua-dua mata baginda berlinang air mata kerana menangis.”
Ayat tersebut menceritakan peristiwa pada Hari Kiamat ketika perbicaraan di Padang Mahsyar. Apabila nabi-nabi dibawa menjadi saksi, bahawa mereka (nabi-nabi) menyampaikan dakwah kepada umat masing-masing. Dan Nabi s.a.w akan bersama dengan umat baginda. Disebut, Muhammad akan menjadi saksi kepada seluruh manusia, termasuk semua nabi-nabi. Di sinilah besarnya kedudukan Nabi Muhammad s.a.w dan besarnya kedudukan kita sebagai umat Nabi s.a.w.
nota: Kuliah Jumaat 26 Jan 07
No comments:
Post a Comment