23 February 2007

Cerita Pelik Di Malaysia!

Bukti hilang, tertuduh kes dadah tergamam bila dibebaskan
22-02-2007 10:40:42 PM

SHAH ALAM: Pengusaha pusat hiburan, Tua Bit, yang perbicaraan kes dadahnya pada dua tahun lepas kecoh berikutan kehilangan kira-kira 60,000 biji pil khayal yang merupakan bahan bukti utama kes itu, hari ini dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi di sini, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tua, 63.

Tua yang berdiri di kandang tertuduh memakai kemeja kelabu dan berseluar putih pada mulanya dilihat tergamam dan terpinga-pinga sejurus selepas keputusan dibacakan.

Bagaimanapun selepas peguam belanya, Aminuddin Mohd Ramli memberitahu bahawa dia sudah bebas, barulah Tua kelihatan lega dan gembira. Beberapa anggota keluarganya turut hadir di mahkamah.

Pada April 2005, media melaporkan mengenai kekecohan yang berlaku pada perbicaraan hari ketiga kes Tua apabila kira-kira 60,000 biji pil eramin 5 yang merupakan bahan bukti utama dalam kes itu didapati hilang.

Kehilangan pil eramin itu disedari apabila saksi kelima pendakwaan, ahli kimia dari Jabatan Kimia Petaling Jaya, Zurina Ramli, diarahkan untuk membuka satu daripada tiga kotak mengandungi bahan bukti itu.

Zurina ketika menunjukkan kotak mengandungi pil eramin itu kepada mahkamah memberitahu hanya tujuh daripada 12 meterai di kotak itu berkeadaan baik manakala selebihnya "tidak sempurna".

Difahamkan kira-kira 49,000 biji pil khayal "lesap" daripada kotak tersebut.

Muhamad Ideres yang jelas terkejut dengan pendedahan itu bagaimanapun meneruskan dengan perbicaraan.

Sepanjang perbicaraan yang memanggil 12 saksi memberi keterangan, seramai empat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengendalikan kes itu bermula dengan bekas TPR Datin Nik Sarina Lugman Hashim sebelum diambil alih oleh Muhamad Iskandar Ahmad, Alfred Egin dan Badius Zaman Ahmad.

Tua didakwa mengedar sejumlah 10,000 biji pil dadah jenis Nimetazepam (eramin 5) di alamat D 417, Blok D, Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Hulu Langat dekat sini, pada 7.15 malam, 25 Nov 2002.

Tua juga menghadapi satu lagi tuduhan iaitu mengedar sejumlah 51,750 biji pil mengandungi jenis dadah yang sama di C/12/1E, di Persiaran Puteri Satu, Taman Puteri Bt 9, Cheras, Hulu Langat dekat sini, kira-kira 9 malam, hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sejurus selepas prosiding mahkamah berakhir, Tua dilihat berlari meninggalkan kawasan mahkamah tanpa sempat ditemuramah pemberita. BERNAMA

p/s: Ini bukanlah kes pertama di negara kita yang melibatkan barang bukti hilang secara tiba-tiba. Kesian polis yang menyiasat kes ini. Penat-penat tangkap dan mendapatkan bukti, tiba-tiba kes ini selesai begini sahaja.. siapalah agaknya yang melarikan bahan bukti itu?? Tentu bukan mereka dan keluarga mereka! (lama tak dengar ayat ni)

No comments: