25 February 2007

Tiada kata 'Islam moderat': Dr Mahathir

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sesekali, aku juga mahu bersetuju dengan Tun Dr M..

------------------------------------------------------------------------------

Tiada kata 'Islam moderat': Dr Mahathir
24-02-2007 06:58:53 PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta umat Islam menghapuskan tanggapan songsang apabila mendakwa diri mereka sebagai penganut Islam yang sederhana (moderate Muslim) sedangkan agama Islam itu sememangnya sederhana.

Bekas perdana menteri itu berkata orang Islam juga tidak perlu mempertahankan diri mereka sebagai penganut Islam yang sederhana kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka cuma mengikut separuh daripada ajaran Islam sahaja manakala bahagian-bahagian lain dalam Islam pula dianggap sebagai ekstrem.

"Islam itu sudahpun sederhana... tak perlu kita tunjukkan kononnya kita lebih liberal daripada orang Islam lain. We are not moderate Muslim (Kita bukan umat Islam sederhana), kita ikut ajaran Islam dan ajaran Islam itu sudahpun moderate (sederhana).

"Sebenarnya Islam adalah satu agama yang sederhana jadi kita tidak harus mendakwa diri kita sebagai penganut Islam yang sederhana... kita adalah penganut Islam sahaja," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ke-45 di sini.

Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim berkata kalau ada pun orang Islam yang ekstrem itu bukan kerana ajaran agama Islam tetapi kurang kefahaman mengenai ajaran Islam dan juga kerana golongan itu diperalatkan.

"Tidak ada yang ekstrem dalam Islam kalau kita ikuti ajaran Islam seperti yang ada dalam Al-Quran," katanya.

Dr Mahathir berkata umat Islam dan negara-negara Islam perlu berusaha mengikis imej negatif hingga timbul tanggapan yang diterima ramai bahawa Islam dan penganutnya adalah ekstrem, daif, miskin, tidak tahu mentadbir negara dan suka meminta pertolongan daripada orang lain.

Katanya kalau tanggapan buruk mengenai umat Islam ini berterusan maka ia akan menjejaskan imej Islam hingga menyebabkan dakwah bagi mengembangkan Islam menjadi sukar kerana "tidak ada sesiapa yang ingin memeluk agama yang penganut agama itu dilihat sebagai tidak berjaya."

"Mereka lebih berminat memeluk agama orang yang berjaya... oleh itu apabila kita menjayakan orang Islam, ia juga menjadi sebahagian daripada usaha kita untuk berdakwah dan tunjukkan pada dunia bahawa orang Islam mempunyai kebolehan sama seperti orang lain bahkan lebih dari yang lain," katanya.

Menurut Dr Mahathir gambaran yang betul dan jelas juga perlu ditonjolkan bahawa Islam bukan satu agama yang menghalang kemajuan.

"Kita perlu beri galakan kepada orang yang ingin berjaya dan bersaing dengan jayanya. Kita hendak tunjukkan Islam tidak menjadi halangan kepada orang Islam yang ingin mencapai kejayaan," katanya.

Dr Mahathir berkata ada juga pihak di negara ini yang mendakwa bahawa orang Melayu mula memeluk Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi iaitu kira-kira 1400 tahun dulu pada ketika kemunculan Islam tetapi hakikatnya mereka hanya memeluk Islam di sekitar 600-700 tahun dahulu.

"Ramai yang baru peluk (agama Islam) tapi keislaman mereka tidak kurang dengan yang lama peluk. Sebaliknya yang baru peluk mungkin lebih kuat keislaman daripada yang sudah lama lahir sebagai Islam," katanya.

Bercakap mengenai Palestin, Dr Mahathir berkata perang dan persengketaan orang Yahudi dengan orang Islam Arab bukan disebabkan oleh agama tapi wilayah orang Islam telah diambil oleh Yahudi.

"Itu yang menjadi sebab utama, bukan kerana orang Yahudi dan orang Islam tidak boleh hidup bersama. Kita tahu dari sejarah bahawa mereka boleh hidup bersama tapi kerana tanah orang Islam diambil ia menyebabkan berlaku perang seperti sekarang," katanya. BERNAMA
-------------------------------------------------------------------------------------

p/s: Akhir-akhir ni Tun sudah semakin jujur ku lihat. Banyak kenyataan dan luahan hatinya diluah lebih jujur dan telus walaupun tanpa menangis. Dulu Tun suka menggunakan airmata bagi memastikan 'keikhlasannya'..

No comments: