05 February 2007

Akhlak Orang Tawaduk (Rendah Diri)

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w beserta keluarga dan para sahabat baginda.

Dalam meniti usia yang semakin meningkat kita diajar dengan pelbagai ilmu melalui pengalaman dan ujian dari ALLAH swt. Tanpa disedari kita memperolehi pengajaran dan peringatan yang sama cuma caranya yang berbeza. Kerana apa? kerana setiap ujian yang diberi ALLAH adalah untuk mengingatkan kita bahwa kita ini sebenarnya hamba ALLAH, kehendak kita sama, tujuan kita sama maka itu niat kita juga seharusnya satu iaitu kerana ALLAH.

Sebagai seorang muslim mukmin, seharusnya kita senantiasa menilai diri. Adakah diri kita selari dengan tuntutan agama? Antara akhlak yang patut ada dalam diri kita adalah merendah diri atau juga dikenali dengan tawaduk. Sikap merendah diri sangat terpuji di sisi ALLAH SWT. Ini kerana Allah itu sifatnya Maha Besar dan Angkuh (Maha Gedebe), maka sesuailah sifat kita sebagai hamba ini tawaduk. Tunduk dan patuh kepadaNya.

Jika dilihat atau diamati makna merendah diri itu sendiri bukanlah membawa maksud kita ini merasa merendah diri sehingga menjadikan diri kita terhina dan dipinggirkan di tengah-tengah masyarakat.

Maksud Tawadduk di sini adalah mengambil jalan tengah ya'ni sederhana di antara dua perkara yang membinasakan. Iaitu antara terlalu melebih-lebihkan dirinya yang mengakibatkan sombong dan merasa rendah diri yang membawa kesan ke arah kekurangan dan kehinaan diri.

Tawaduk juga boleh diertikan dengan meletakkan sesuatu pada tempat yang selayaknya dan memberikan sebarang hak kepada orang yang sememangnya berhak menerimanya.

Sebagai contoh, adalah dianggap kurang patut jika seorang alim memberikan penghormatan kepada tukang jahit kasut secara berlebihan dengan cara menyusunkan kasut atau membawakannya pada suatu majlis. Hal ini jelas tidak pada tempatnya dan sebagai akibatnya perbuatan itu akan menjatuhkan wibawa orang alim.

Sebaliknya cara terbaik untuk menghormatinya adalah dengan mempersilakan ia duduk ditempat yang sama ataupun mempelawanya makan bersama-sama.

Sebaliknya jika didapati seorang lelaki penjual sayur dengan bongkaknya ia enggan menghormati kepada orang yang berilmu atau orang yang lebih tua daripadanya atau kepada sesamanya dengan anggapan bahawa dia dan mereka adalah sama-sama manusia, sesungguhnya orang tersebut telah lupa bahawa ALLAH SWT menciptakan manusia dengan memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Lelaki tersebut bererti telah melebihkan dirinya yang terdedah kepada takabur.

Contoh yang tepat dari sikap merendah diri adalah menghormati kepada sesama teman yang satu darjat seperti sama-sama alim atau sebaya umurnya atau bahkan tua darinya, dengan sentiasa mempersilakannya untuk berjalan dihadapan ketika mereka berjalan bersama-sama, atau lebih mendahulukannya ketika makan bersama-sama, atau mempersilakan ia menjadi iman ketika solat berjamaah.

wallahua'lam

dipetik dari ; "penawar hati dan penenang jiwa 2", oleh Abu Mazaaya Al-hafiz, terbitan AL-HIDAYAH

p/s: Perenggan ketiga telah diubahsuai oleh aku mengikut kesesuaian. Wallahua'lam.

No comments: