05 October 2007

UMNO terus guna isu PBBB 809

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Semalam aku terima satu risalah. Risalah semacam akhbar 4 muka itu dikeluarkan seolah-olah dikeluarkan oleh pihak PAS. Ini kerana menggunakan warna hijau dan tajuk yang hampir sama dengan risalah yang dikeluarkan oleh PAS PUSAT sebelum ini yang bertajuk Tragedi Batu Buruk. Antara kandungan risalah itu adalah "Rusuhan memang dirancang" dan kenyataan Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato Ayub. Turut dimuatkan artikel berkenaan mengapa ceramah tidak dikeluarkan permit dan juga serangan peribadi terhadap Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Mustafa Ali.

Aku tertarik dengan risalah berkenaan apabila penulis terbabit menggunakan ganti nama diri "aku" dalam penulisannya. "Aku" digunakan bagi menunjukkan seolah-olah "dia" berada di tempat kejadian. Aku secara peribadi suka cara penulisannya itu walaupun ada beberapa perkara yang dilihat tidak tepat dan agak kelakar. Pelik juga bilamana "aku" terbabit berada di tempat kejadian yang mana sepatutnya dihadiri oleh penyokong pembangkang dan budak UMNO sahaja. Mahu sahaja aku bertanya adakah penulis terbabit seorang budak UMNO atau UMNO budak yang diarah berada di situ bagi melakukan provokasi, atau mungkin menghulurkan Jalur Gemilang untuk dibakar.

Antara satu gambar yang menarik perhatian aku dalam catatan "aku" itu adalah gambar kediaman bonda Tuanku Sultan. Gambar itu diambil membelakangi tanda nama Jalan Persiaran Hakim 1 bagi menunjukkan jalan terbabit dekat dengan kediaman bonda Tuanku. Jika dilihat pada gambar, jarak antara tanda nama jalan terbabit dengan kediaman Bonda Tuanku kira-kira 200 - 250 meter. Agak dekat jarak itu jika ceramah dilakukan di situ.

Tapi, perlu diingat dan diketahu bahawa permit ceramah yang dipohon bukanlah menggunakan papan tanda jalan terbabit sebagai "premis" ceramah. Ceramah dicadang diadakan di rumah paling hujung jalan terbabit. Rumah 895-E merupakan premis yang dipohon dari pihak polis. Jarak antara simpang jalan ke rumah yang paling hujung itu aku amggarkan kira-kira 200-250 meter. Jadi, mengandaikan tempat ceramah dekat dengan kediaman Bonda Tuanku adalah kurang wajar.

Aku sebenarnya sehingga hari ini menanti jika ada sekeping dua surat bantahan dari penduduk berdekatan yang dikemukakan kepada pihak berwajib. Lebih nampak bersungguh jika penduduk terbabit melakukan serahan notis bantahan kepada pemilik premis terbabit kerana mengganggu keamanan mereka. Namun, sehingga hari ini aku tidak nampak semua itu kecuali kenyataan Pak Lah yang menyatakan ada bantahan dari penduduk berdekatan. Nampaknya Pak Lah terlalu prihatin dengan masalah penduduk di situ sehingga menjadi jurucakap kepada penduduk di Persiaran Hakim itu.

Aku tidak sempat menghadamkan risalah itu. Risalah itu sekejap sahaja berada pada tangan aku. Aku terima ketika di rumah. Seseorang yang tidak dikenali telah menghantar risalah tersebut ketika aku sedang mandi. Ketika keluar bilik mandi, aku dengar deruman motosikal berkenaan telah berlalu. Seorang kawan yang menerima risalah terbabit bagi pihak aku meminta izin aku untuk mengambil risalah tersebut. Katanya mahu diberikan kepada pimpinan parti. Aku sekadar membelek-belek seketika sebelum diserahkan kepadanya. Kebetulan hampir dengan waktu Asar, maka aku serahkan kepada dia apabila azan berkumandang.

Aku kira UMNO betul-betul cuba menggunakan PBBB 809 sebagai satu aset kepada mereka. Walaupun isu ini sudah dikumandangkan di TV, iklan di akhbar-akhbar, banner silih berganti dan majlis penerangan beberapa siri termasuk menggunakan mimbar masjid bagi menerangkan isu ini kepada masyarakat, namun penerimaan masyarakat adalah sangat negatif untuk menerima maklumat terbabit secara bulat. Apatah lagi bilamana UMNO terlalu menyerang menggunakan isu ini membuatkan masyarakat mahu mencari apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik kejadian yang dilaporkan.

Aku tidak menolak bahawa segelintir penyokong UMNO semakin kukuh keyakinan mereka terhadap UMNO dengan tercetusnya insiden ini, namun sikap orang atas pagar dan individu yang berkecuali amat memihak kepada pembangkang khususnya kepada PAS sekarang. Ini hanyalah kerana keraguan mereka terhadap media yang pro-pemerintah dan juga hilangnya kepercayaan orang ramai kepada pihak keselamatan sekarang.

Secara peribadi, aku patut gembira kerana situasi ini menguntungkan PAS. Namun, hilang kepercayaan kepada pasukan keselamatan seperti pasukan budak UMNO, sepatutnya dilihat sebagai satu keruntuhan badan keselamatan terbabit yang amat teruk dan perlu dipulihkan segera. Aku masih menaruh keyakinan kepada pasukan budak UMNO itu untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap mereka. Namun, jika mereka terus rela diperbudakkan oleh UMNO, maka aku merasakan negara akan menghampiri zaman Temberang Yang Gemilang. Dan aku akan kekal menggelarkan mereka sebagai budak UMNO!

Aku tidak berhasrat menjadikan budak UMNO sebagai musuh. Mereka hanyalah kakitangan yang bertugas dan diberi gaji oleh kerajaan walaupun duit itu adalah dari rakyat. Namun, sikap segelintir budak UMNO yang lebih UMNO dari UMNO budak membuatkan aku agak geram dengan tindak tanduk mereka. Mungkin ini apa yang dikatakan seekor kerbau terpalit lumpur, habis semuanya. Nasib baik lumpur, kalu najis bagaimana?

Wallahua'lam.

Nota: Aku menerima komen yang menarik daripada Al-Abror Mohd Yusof iaitu penulis artikel "Peluru Bukan Jawapan". Namun aku tidak berhasrat mahu berkongsi komen itu di sini. Cukuplah kiranya aku nyatakan bahawa aku gembira dengan komen beliau itu dan aku amat memahami situasi wartawan di Malaysia hari ini. Jika tidak, takkan la kita melihat beberapa bekas wartawan kanan menulis sesuatu yang agak berbeza dari apa yang mereka lakukan semasa menjawat jawatan dahulu.

No comments: