Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...
Pilihanraya 2004, aku bertugas di DUN Gombak Setia, Parlimen Gombak. Calon PAS ketika itu adalah Dato' Ustaz Ismail Kamus yang merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan ketika itu. Pada masa yang sama Ustaz Ismail Kamus turut diletakkan sebagai calon Parlimen Hulu Selangor pada tahun berkenaan. Derita 2004, kedua-dua kerusi yang ditandingi Dato' Ismail Kamus tewas.
Hari ini Pakatan Rakyat (PR) khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menyenarai pendek beberapa nama bagi dijadikan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor. Walaupun Hulu Selangor adalah kerusi PKR sebelum ini, namun ianya tidak boleh dipandang mudah memandangkan 3 DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor adalah diwakili BN.
Situasi ini hampir sama dengan situasi BN ketika PRK Parlimen Kuala Terengganu. 3 dari 4 DUN di Kuala Terengganu diwakili ADUN PAS. Cuma majoriti PAS di setiap DUN ketika itu tidak terlalu besar. Namun, kelebihan 3 kerusi DUN tidak boleh dipandang rendah.
Sesuatu yang hampir sama juga dalam PRK Kuala Terengganu dengan PRK Hulu Selangor ini adalah peribadi bekas MP sebelum ini. Di Kuala Terengganu, sokongan rakyat kepada Arwah Dato Razali Ismail adalah sokongan peribadi dan begitu juga dilihat pada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Inilah realiti yang harus didepani oleh PKR dalam membuat pilihan calon pada kali ini.
Secara jujur, aku melihat BN lebih mempunyai peluang bagi memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor ini. Itu realiti di atas kertas melihat kepada dominasi 3 kerusi DUN. Apatah lagi kelebihan memerintah adalah suatu kelebihan yang tidak dapat dipertikai apabila BN sudah mula menabur janji dengan pelbagai pembangunan. Rakyat umum pula melihat 'tiada kesan' siapa yang memenangi kerusi ini. Jadi, sudah tentu siapa yang 'janji lebih manis' akan dihargai.
Namun, BN dilihat agak bermasalah dalam menentukan siapakah bakal dicalonkan di situ. Secara tradisi, kerusi tersebut adalah milik MIC, walaupun pengundi di kawasan tersebut majoritinya adalah Melayu. Pada masa yang sama, UMNO melihat pengaruh MIC sudah merosot dan cuba menawar diri bagi mewakili kerusi berkenaan pada kali ini. Di sinilah berlaku pertembungan antara UMNO dan MIC pada kerusi tersebut.
Semoga masing-masing dapat memilih calon yang terbaik dan dapat bersaing dengan cara yang sihat.
Nota: Kenapa la malas sangat nak menaip sehari dua ni.
No comments:
Post a Comment