26 May 2010

Umno Vs Al-Arqam: Siapa Lebih Bahaya?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat berpendapat bahawa bukan hanya Pertubuhan Al-Arqam (Al-Arqam) sahaja yang patut dipantau oleh kerajaan akan tetapi harus melihat kepada Umno juga.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, ini kerana Umno sebuah parti yang pada dasarnya memperjuangkan bangsa melebihi agama dilihat lebih merbahayakan akidah daripada Al-Arqam.

Katanya, kenyataan itu berdasarkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Dan Pendatang Tanpa Izin kali ketiga di Putrajaya tempoh hari yang meminta agar kerajaan memantau kegiatan bekas pemimpin Al-Arqam bagi memastikan pertubuhan yang diharamkan itu tidak dihidupkan semula.


Menurutnya, Umno yang umumnya diketahui memisahkan agama dan politik atau lebih dikenali dengan istilah ‘sekular’ sentiasa berusaha menjauhkan rakyat Malaysia supaya tidak bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama.

Sebaliknya, kata beliau Umno memperbanyakkan hiburan yang melalaikan dan dalam masa yang sama majlis-majlis ilmu yang dianjurkan terikat dalam lingkungan ‘politik sempit’ mereka sahaja.

Baru-baru ini, tambahnya, Kerajaan Malaysia yang mana Umno merupakan parti tunjang di dalam BN telah meluluskan lesen judi bolasepak kepada Berjaya Group yang bukan sahaja untuk pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010.

Katanya lagi, tetapi ia berlanjutan sehingga melibatkan pertaruhan ke atas empat liga utama dunia iaitu England, Itali, Sepanyol dan Jerman melalui Ascot Sport Sdn Bhd juga pemegang saham utama Sport Toto Malaysia Sdn Bhd.

“Bukankah tindakan ini jika dilihat secara teliti boleh memesongkan akidah umat Islam di negara ini?

“Bagaimana dengan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan hukum hudud? Bukankah ianya datang daripada mulut mereka yang mengaku ahli Umno?” soalnya.

Menurutnya lagi, mempertikaikan hukum Allah SWT jelas menyebabkan akidah seseorang tersasar daripada landasan agama yang sebenar.

Bagi Nasrudin, kalau dikatakan konsert khas anjuran Al-Arqam mengundang kontroversi, bagaimana dengan Konsert ‘Pittbull’ yang berlangsung di Bukit Kiara tempoh hari dan bukankah ‘Jom Heboh’ anjuran TV3 juga telah difatwakan haram tetapi mengapa kerajaan masih membenarkan program itu berlangsung.

“Itu belum lagi isu arak, murtad dan berbagai lagi kes yang jelas boleh menjejaskan akidah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Timbalan Perdana Menteri itu agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Katanya, jangan hanya melihat kepada suatu sudut yang sempit demi ‘survival’ politik Umno BN seolah-olah hanya satu pihak lain sahaja yang sesat akan tetapi harus juga melihat dari skop yang lebih besar demi memelihara akidah umat Islam di negara ini.

 

0 comments:

 

Great Morning ©  Copyright by a m d a n g 8 1 | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks