16 March 2010

Kenyataan Media Gegar: HIMPUNAN 10 000 RAKYAT

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...








HIMPUNAN 10 000 RAKYAT MENYAMBUT KEBERANGKATAN
DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
DAN PERSEMBAHAN MEMORANDUM RAKYAT MENUNTUT ROYALTI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bulan ini, Mac 2010 genaplah 10 tahun Terengganu telah dinafikan hak royalti oleh Kerajaan Pusat. Dalam tempoh 10 tahun ini pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak bagi memastikan royalti dapat dikembalikan ke pangkuan Kerajaan Negeri.

MAMPAT khususnya, dan kini bersama GEGAR telah menjadikan isu royalti sebagai suatu agenda khusus dalam perjuangan kami. Kami bertegas mengatakan bahawa Royalti adalah hak rakyat berdasarkan kepada fakta dan sejarah, dan mesti diserahkan melalui saluran yang betul iaitu Kerajaan Negeri yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi berpelembagaan. Kami juga menegaskan bahawa Royalti adalah Royalti dan tidak menerima sama sekali apa yang dinamakan Wang Ehsan, Dana Persekutuan dan sebagainya.

InsyaAllah, seperti dimaklumkan sebelum ini MAMPAT dan GEGAR akan mengadakan suatu Dialog Rakyat berkenaan isu royalti yang melibatkan YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada 18 Mac ini di TER, Kuala Ibai. Majlis bermula dengan Solat Hajat di Masjid Tengku Tengah Zaharah selepas solat Isyak.

Sehubungan itu satu persembahan Memorandum Rakyat Menuntut Royalti akan menyusul pada 20 Mac ini, Sabtu dengan mengambil peluang keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ke Terengganu. Tuanku dijangkakan tiba pada jam 11.45 pagi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

GEGAR akan mempersembahkan dua Memorandum yang akan mewakili NGO dari Kelantan dan Terengganu. Setakat ini, sebanyak 70 NGO telah menyatakan persetujuan bersama dengan GEGAR dalam isu tuntutan Royalti. Kami masih berusaha bagi menambah bilangan NGO tersebut.

Bagi menjayakan program yang bersejarah ini, semua rakyat dijemput untuk hadir bagi menyatakan sokongan kepada tuntutan royalti ini. Semua diminta berkumpul pada jam 11 pagi bagi memudahkan perjalanan program.

GEGAR menjangkakan dapat mengumpul sekitar 10 000 rakyat untuk program sambutan ini.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

No comments: