10 March 2010

Apa Balqis Belajar di Sekolah?

\Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku selalu cerita yang Balqis ke sekolah. Tetapi aku jarang cerita apa yang dia belajar di sekolah. Mungkin sedikit perkongsian ini boleh membantu kita semua dalam membesarkan anak-anak samada istimewa ataupun normal.
Balqis mula  ke sekolah ketika berumur 8 bulan
 Kelas Balqis 2 kali seminggu. Isnin sesi pagi dari jam 9.00 - 11.30, manakala Rabu sesi petang dari jam 2.00 - 4.00. Satu sesi kelas paling ramai adalah 3 pelajar. Selalunya ada sahaja yang tidak hadir kerana masalah kesihatan ataupun kesibukan ibubapa masing-masing kerana setiap sesi memerlukan ibu atau bapa turut serta.


Sesi Isnin, Pagi

Nyanyian
Sebaik sahaja tiba di sekolah, Balqis akan belajar menyanyi. Antaranya lagu 'good morning', 'twinkle-twinkle' dan beberapa lagu lain. Lagu ini disertakan dengan pergerakan tangan seperti melambai, genggam dan buka tangan dan pelbagai gaya mengikut lagu. Tiada lagu islamik, so kat rumah la ajar lagu islamik plak.


Kak Sonia, pembantu Cikgu Anita.
Kelas 1
Selesai nyanyian, Balqis akan masuk kelas. Di sini diajar bagaimana Balqis perlu respon dengan barangan di sekelilingnya. Dari memegang barang, belajar pindah barang dari tangan kanan ke kiri, belajar simpan barang yang diambil, kemudian belajar ambil barang dari bekas tertutup seperti kotak dan tupperware dan sebagainya.
Tekun belajar dengan Cikgu Anita
Balqis juga diajar memegang barang yang besar dan kecil. Ini bagi melihat kemampuannya menggunakan 2 jari dan sebagainya. Latihan ini diulang-ulang setiap sesi dan turut dipraktikkan di rumah.

Kelas 2
Kelas ini biasanya melibatkan permainan plastisin atau 'doh', membaca buku dan aktiviti lain mengikut kesesuaian. Doh akan diberikan untuk Balqis tarik dan diceraikan sehingga kecil. Di sini dapat melihat sejauh mana kekuatan genggam dan tarik pada jari. Buku pula diajarkan membelek helai demi helai. Buku keras yang besar digunakan. Sambil-sambil menyentuh tekstur yang ada pada buku tersebut.

Belajar naik tangga
Aktiviti sampingan di sini adalah mengikut perkembangan pelajar. Jika ketika Balqis baru hendak belajar duduk, Balqis akan diajar step untuk duduk. Kemudian step duduk kepada bangun. Balqis juga belajar step naik tangga dan turun tangga. Terbaru Balqis diajar untuk berjalan. Kesemua ini biasanya diulang di rumah. Jika sesuatu pelajaran tersebut menggunakan peralatan, kami akan berusaha mendapatkan peralatan tersebut untuk memudahkan pembelajaran di rumah.

Bagi pelajar yang sedikit besar, ada pelajaran mewarna. Kebiasaannya warna akan keluar dari lukisan dan warnanya warna-warni. Tapi ini sebahagian dari terapi yang dijalankan di sini.

Belajar Makan / Minum
Jika kelas pagi, Balqis akan rehat untuk diajar makan dan minum. Minum dengan cawan dan makan dengan sudu. Apa yang menarik di sini adalah pelajar tidak digalakkan bawa minuman manis / susu. Cukup dengan air masak. Memang menjadi satu masalah mahu mengajar anak-anak ini minum air masak. Sehinggakan ada pelajar yang hanya minum air masak jika ke sekolah sahaja. Kami diajar bertegas dengan anak-anak.

Ada antara ibu bapa yang selepas ke sekolah baru belajar untuk menyimpan minuman manis / susu di tempat yang sukar dilihat. Ada juga yang belajar simpan makanan di tempat tersembunyi dan tidak lagi diletakkan di bawah tudung saji kerana sebahagian anak-anak DS ini selera makannya kuat.

Aktiviti Luar
Bermain di dalam Kolam
Selesai makan, biasanya dijalankan aktiviti luar. Kebiasaannya mandi kolam dan main pasir. Jika tidak, main motor dan papan gelungsur sahaja. Semua aktiviti lain Balqis OK, kecuali main pasir. Pernah aku bawa dia ke pantai untuk bermain pasir, dia hanya mengakukan diri untuk tidak menyentuh pasir. Dia seolah-olah takut untuk bermain-main dengan pasir. Agaknya dia tahu dari tanah dia datang, dan kepada tanah dia akan pergi. :)

Selesai kelas
Sebelum kelas tamat, sekali lagi akan menyanyikan lagu. Kali ini lagu 'good bye' pula dengan lagu-lagu lain.

Sesi Rabu, Petang
Sebenarnya tiada perbezaan ketara antara sesi pagi dan petang. Cuma dengan masa yang terhad, sesi petang biasanya tiada waktu makan dan tiada aktiviti luar. Banyak aktiviti dalam kelas sahaja.

Pergerakan tangan perlu seiring dengan mata
Pelajaran Lain
Selain belajar pergerakan, bangun, duduk dan berjalan, di sekolah juga diajar cara berdikari yang lain seperti kencing di tandas. Setiap pelajar yang sudah boleh berjalan akan mula belajar ke tandas. Dalam setiap sesi, pelajar tidak akan dibenarkan memakai pampers. Pelajar akan ke tandas setiap 15 minit untuk permulaan untuk disuruh kencing. Beberapa minggu kemudian diajar setiap 20 minit dan kemudian 30 minit dan seterusnya sehingga pelajar tadi pandai dan tahu apabila dia terasa hendak kencing. Secara tidak langsung ini mengajar anak-anak ini tidak lagi menggunakan pampers dalam waktu yang singkat.

Di sini aku terfikir betapa penting untuk anak-anak diajar sejak kecil samada mereka normal atau istimewa. Di samping ketegasan dan kesabaran ibubapa dalam mendidik, ajaran yang betul memainkan peranan yang penting. Ada anak-anak sehingga besar masih dimanjakan ibu bapa, sedangkan anak-anak perlu dididik untuk berdikari dan tahu mengurus diri.

Wallahua'lam.

5 comments:

ازلينا ااحمد‬‎ said...

Salam. Syukran sudi berkongsi. Input berguna kepada semua.

amdang81 said...

afwan, berkongsi sekadar ada...

amdang81 said...

Aku baru perasan baju yang Balqis pakai semasa mula-mula ke sekolah ketika berumur 8 bulan, adalah baju yang sama juga dipakai Balqis ke skolah baru-baru ini.

Umur skrg dah setahun 6 bulan. Baju tu dah nampak sedikit ketat skrg ni. Kedekutnya abi Balqis nak beli baju baru. huhuhuh..

Azma said...

Lama gak kelas Balqis ye. Pastu 2 kali seminggu. Hasif punya kelas 1x je seminggu, 1 kelas 1 jam je. Bagus la macam tu. Sekolah balqis tu mmg khas tuk anak2 SD je ke?

amdang81 said...

Ye Kak Azma. Sekolah tu mmg khas utk SD sahaja, tetapi turut terdapat 2 pelajar yang mempunyai masalah lain. Itu pun atas ehsan guru memandangkan tiada tempat untuk mereka di tempat-tempat lain.