26 February 2009

PPSMI: Pemimpin-Pemimpin Sombong, Mereng dan Isim

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

PPSMI. Aku suka mengambil pandangan Cikgu Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS. Kata Cikgu Azmi, PPSMI itu adalah Pemimpin-Pemimpin Sombong, Mereng dan Isim. Ungkapan itu aku dengar dalam satu Pidato PPSMI di Dewan Himpunan Cina Selangor. Aku tumpang senyum lebar bila ungkapan itu disebut.

PPSMI sebenarnya adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mengikut riwayat sudah dilaksanakan sejak 2003 lagi. Adapun tujuan dilaksanakan PPSMI adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Maka, diajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Satu persoalan besar yang timbul dengan pelaksanaan PPSMI ini adalah, adakah pelaksanaan PPSMI itu berjaya meningkatkan penguasaan BI para pelajar? Pada pendapat aku, teori ini adalah salah dan silap sama sekali.

PPSMI mungkin berjaya menambahkan beberapa perkataan BI (Vocab) ke dalam kamus pelajar. Mungkin juga PPSMI berjaya memaksa anak-anak pelajar bercakap orang putih sepatah dua dalam kelas Matematik dan Sains. Mungkin juga kejayaan dinilai bilamana para pelajar menjawab soalan Matematik dan Sains dalam BI. Itu sahajakah penilaian kejayaan PPSMI?

Jika itu nilai kejayaan, aku kira teramat rendahnya kejayaan yang dicapai. Bukan sahaja rendah, malah kejayaan itu turut memakan korban yang besar. Korban di mana pelajar luar bandar khususnya dan mereka yang sedikit lemah dalam subjek BI akan mengalami kemerosotan dalam subjek Sains dan Matematik.

Apa pelik jika subjek yang diajar dalam BI dijawab dalam BI. Langsung tak pelik. Ini langsung tidak boleh dikategorikan sebagai suatu kejayaan. Bilamana sesuatu istilah telah diajar dalam BI, sudah tentu istilah tersebut akan terus digunakan oleh pelajar. Menjawab tetap dalam BI, tetapi bagaimana kefahaman mereka tentang apa yang diterima?

Secara peribadi aku melihat dalam keluarga aku, tiada yang bermasalah dalam mata pelajaran Matematik. Tetapi, bilamana PPSMI dilaksanakan, aku lihat keputusan semasa adik bongsuku (yang menjadi mangsa PPSMI) berada pada tahap yang tidak membanggakan. Soalan-soalan mudah pun tidak mampu dijawab. Bukan soal tidak tahu konsep Matematik iaitu campur, darab, tolak dan bahagi, tetapi kerana tidak memahami soalan sahaja. Apabila aku menerangkan kehendak soalan, barulah dia tersenyum faham. Sungguh aku kesian melihatnya.

Kenapa kita menyusahkan sesuatu yang mudah. Kenapa kita membebankan penguasaan ilmu. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam Bahasa Arab. Nabi berbangsa Arab dan bertutur dalam Bahasa Arab. Walaupun Al-Quran dalam Bahasa Arab, tidak bermakna untuk mempelajarinya mesti 100% dalam Bahasa Arab. Sebab itu ada terjemahan dan tafsirnya dalam pelbagai bahasa.

Walaupun Islam itu sinonim dengan Bahasa Arab, tetapi tidak menjadi masalah pun bagi penganut Islam yang tidak memahami Bahasa Arab. Cuma beberapa ketika sahaja kita disuruh berbahasa Arab dan menggunakan ayat Quran misalnya dalam solat. Dalam urusan lain, kita bebas untuk berdoa, berniat, berbincang dan seumpamanya dalam pelbagai bahasa.

Pedih dan sedih bilamana pihak berwajib marahkan pihak yang menegur. Seolah-olah teguran yang diberikan ini membabi-buta dan tanpa asas. Kajian demi kajian telah dijalankan, dan teguran yang datang pula bukan dari pihak-pihak sembarangan. Ini jauh bezanya dari kajian dan respon yang diberikan pihak kementerian. Pihak yang sentiasa membenarkan orang atasan. Mengampu dan menyedapkan tuan sahaja.

Apa salahnya mansuhkan PPSMI ini. Jika perlu sangat untuk perkasakan BI, tambah sahaja masa pengajarannya. Jika kurang guru yang mahir, tambah sahaja guru dan beri kemahiran sepatutnya. Jika perlu peruntukan khusus, tambahkan sahaja. Biar matlamat tercapai, tiada pihak menjadi korban.

Patutlah Cikgu Azmi berkata demikian...

2 comments:

Anonymous said...

Salam Amdang,

Selalunya bila kita mempertahankan sesuatu tindakan, kita akan menggunakan hujah 'niat'. Dan selalunya juga 'niat' itu akan nampak murni, untuk kepentingan semua. Tapi tak ramai yang sedar bila kita menyuarakan bangkangan/ketidakpuasan hati, kita bukan mempersoalkan 'niat' itu , cuma cara perlaksanaannya.

PPSMI memang menimbulkan masalah kepada murid2 sekolah rendah yang tidak terdedah kepada penggunaan BI dalam kehidupan harian seperti Terengganu. Dalam sistem pendidikan kita yang naik darjah secara otomatik, masalah akan bertambah parah bila murid2 naik kelas kerana sukatan pelajaran akan bertambah rumit. Jadi amatlah tidak adil kepada murid2 yang pandai dalam matematik, contohnya, tapi lemah dalam BI, kerana markah mereka akan rendah. Rendah markah bukan kerana tidak pandai matematik tapi kerana tidak faham soalan.

Dan untuk mahir dalam satu2 bahasa bukan saja melalui buku tapi melalui praktikal/penggunaan. Berapa ramailah sangat yang cakap BI diluar kelas ?? secara tidak langsung ini satu bentuk diskriminasi. Negara juga yang rugi kerana kehilangan modal insan yang terencat pembelajarannya dek kerana BI.

Cadangan saya, gunakan cara lama, yakni BM. Kerana mereka belajar basic, yang penting adalah kefahaman. Sudah faham baru senang untuk melangkah ke tangga seterusnya. Selepas SPM, baru diadakan satu bentuk kelas peralihan untuk menterjemahkan kefahaman mereka ke BI. Waktu sama, DBP harus lebih aktif menterjemahkan buku2 ilmiah yang banyak dalam BI (alasan utama PPSMI).

Unknown said...

Berkenaan topik ini, saya rasa ada silap sikit dalam tulisan saudara, apa yang saya paham PPSMI ini dijalankan kerana hendak melonjakkan kefahaman pelajar2 dalam ilmu penting sains dan matematik. bukan sangat untuk meningkatkan pemahaman BI itu sendiri. Jika BI yang ditekankan, tak perlu ajar matematik dan sains dalam BI, cukup sahaja banyakkan method ajaran untuk subjek BI sahaja.

Saya bukanlah ahli akademik akan tetapi selama kehidupan saya melalui zaman budak hingga dah dewasa, saya sendiri nampak di mana silap kita. Silap yang paling ketara sekali adalah pada penterjemah buku2 ilmiah itu sendiri. Terjemahan mereka seperti melepas batuk ditangga. DBP juga tidak kemas dalam memastikan setengah terma teknikal itu dikekalkan maksudnya sepertimana dalam bahasa asalnya. Bidang sains dan teknologi banyak bergantung kepada terma teknikal, kerana banyak terma itu memberikan maksud khusus kepada sesuatu konsep itu. Ini menoonjol sekali dalam bidang IT.

Saya sendiri graduan dalam bidang IT, dan pernah bekerja di US selama 3 tahun sebelum pulang ke Malaysia. Saya sendiri jadi bodoh bila baca akhbar BM, terutama sekali MegaBait waktu dulu, terma yang saya sudah biasa sebut dalam BI, bila dibaca dalam BM saya sendiri terpinga-pinga akan maknanya. Ini adalah punca daripada terjemahan yang lemah, saya petik contohnya: "jenis antaramuka" = "type of interface". Antaramuka adalah satu terjemahan terus ataupun disebut a direct translation to BM. Ini adalah tidak betul kerana dalam Bm sudah ada maksud untuk Interface iaitu Penghubung, yang mana lebih menepati maksud teknikal sepertimana dalam bahasa asal terma teknologi itu dipetik. Ini adalah satu kelemahan ketara para penterjemah buku ilmiah kita, kecetekan ilmu dalam Bahasa Malaysia itu sendiri.

Sebenarnya tiada salah kalau kita teruskan semula pelajaran dalam BM. Lagipun si Hishamudin itu dulu pun product daripada sekolah aliran Melayu juga. Lagipun mana kita hendak humbankan artikel dalam perlembagaan kita yang menyatakan BM itu bahasa rasmi kita. Jika dalam bidang ilmu pun kita perlu lagi mendaulatkan bahasa asing? Mana pergi logik akal pak menteri? Mereka senang, yang susah adalah anak2 petani, pekebun, penoreh estet, nelayan kerana mereka ini tidak dapat memahami BI dengan bagus.

Kalau hendak tahu lanjut apa pandangan ahli akademi berkenaan PPSMI, sila beli majalah FORWARD keluaran Feb 2009, di dalam itu ada ulasan panjang lebar oleh Tan Sri Isahak Haron. Hanya 30% sahaja murid yang mampu jawab soalan peperiksaan dalam BI. Lagi 70% hanya mampu jawab dalam BM.

Syabas kepada Kementerian Pelajaran kerana mengambil langkah yang backwards dalam memajukan ilmu teknologi di Malaysia.