01 February 2009

Gaza dan Boikot Produk USA & Israel

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Boleh ke kita nak boikot Milo? Milo tu Nestle kan?" Tanya seorang Ustaz ber'title' Dato' kepada aku.

"Ana dah lama boikot Milo dan Nescafe" Jawab aku sedikit tegas.

"Kalu kita start tukar minum Milo dan Nescafe tu dengan Kopi Radix boleh kot" Ustaz tadi terus memberi pendapat.

"HPA dah keluarkan produk Radix Koko, tapi tekak ana kurang boleh terima" Aku memberi penjelasan.

Itu perbualan aku semalam. Ketika mana aku melalui sebuah kilang Nestle di Petaling Jaya. Aku sendiri tidak pasti sudah berapa lama aku tidak membeli dua produk tersebut. Lain-lain produk Nestle mula aku jauhi dari semasa ke semasa. Jika tersalah beli pun Cili Sos Maggi. Itupun seingat aku pertengahan tahun lalu.

KFC, McD dan Starbuck? KFC kali terakhir aku menjamah ayamnya pada tahun 2003. Itupun tertipu dengan seorang sahabat. McD pula seingat aku tahun 2001 adalah pertama kali dan terakhir aku menjejakkan kaki. Itupun ada senior di kampus yang beria-ria mahu belanja di situ. Starbuck pula tidak pernah aku jejakkan kaki.

Walaupun sudah lama aku menanam dalam diri untuk memboikot produk tersebut, namun aku lihat syarikat mereka masih tetap sama. Belum juga gulung tikar. Aku sendiri pula, walaupun tidak lagi menggunakan produk berkenaan, aku tidak mati kelaparan. Selera makanku tetap sama. Malah mungkin lebih jika adanya budu.

Apa tujuan boikot? Apa sasaran kejayaan boikot? Susah juga kiranya mahu menjawab persoalan ini. Umumnya boikot sebagai suatu tanda protes. Jika boikot keseorangan, maka rasa dan kuasa protes tersebut tidak kuat. Begitu juga dengan tempoh boikot. Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Nanti selepas rundingan damai dijalankan, semuanya kembali membekalkan peluru kepada Israel.

Sepatutnya boikot kita terhadap Israel dan Amerika melebihi boikot yang pernah dilakukan ke atas Belanda gara-gara filem FITNA yang diterbitkan seorang Ahli Parlimennya. Ketika itu kita dapat melihat bagaimana ada pengusaha pasaraya mengeluarkan produk Belanda dari rak yang ada. Atau paling lembut yang dilakukan adalah dengan melabelkan produk tersebut dengan suatu pengenalan khusus dan dinyatakan produk tersebut disaran boikot. Namun, perkara ini tidak berlaku ke atas produk US dan Israel ini.

Sebenarnya bukan sesuatu yang mudah bagi membuang produk US dan Israel ini dari rak. sekaligus. Tidak semudah memboikot Belanda yang melibatkan beberapa produk sahaja. Dalam hal ini, aku tertarik dengan pendekatan yang dilakukan oleh Pasaraya Sabasun.

Sebagai contoh, produk Milo sekarang terpaksa bersaing dengan beberapa minuman coklat yang lain. Selain Vico, masih ada 2,3 produk lain (aku lupa namanya. Memeco, bebeco gitu lah kot) yang kini boleh menjadi alternatif kepada Milo. Sekurang-kurangnya kita ada pilihan.

Mengikut laman web Sabasun juga, produk penjagaan bayi Johnson & Johnson mula diboikot sejak 2006 lagi. Proses pemboikotan terpaksa dilakukan secara berperingkat. Strategi yang digunakan ialah dengan memboikot 100 jenis barangan daripada jumlah keseluruhan 126 jenis. Hanya beberapa jenis yang masih popular dijual seperti bedak bayi. Di samping itu, ruangan jualan dan pameran dihadkan serta sebarang bentuk pengiklanan, aktiviti promosi atau sampel barangan tidak dibenarkan.

Dengan produk alternatif tempatan yang ditawarkan berserta sokongan pelanggan, jualan produk dari syarikat Amerika ini (Johnson & Johnson) semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Pengguna yang berbelanja di Sabasun mula selesa memilih bedak bayi buatan tempatan seperti Carrie, Safi Manja Care, Do Re Mi dan beberapa jenis lagi.

Kesimpulannya mudah. Peniaga berusaha mendidik masyarakat supaya memboikot, manakala kita selaku pengguna terus kepada memboikot. Tepuk dada, tanya iman.

Wallahua'lam.

4 comments:

Siti said...

suka gi sabasun, tp nak cari parking tu musing ketang sikit...

Nafastari said...

i love sabasun!

amdang81 said...

aik, pesal tak pernah jumpa pun kat Sabasun? Hehehhe

aam9999. blogspot. Com said...

Radix secawan.