15 July 2008

Tahniah PDRM. Amerika Gagal Serang Malaysia!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku rasanya mahu ketawa, menangis dan pada masa yang sama mahu menjerit kerana kecewa. Semuanya bercampur-baur. Semuanya gara-gara melihat gelagat polis-polis di Malaysia ini. Sungguh. Ketawa melihat lakonan demi lakonan yang dijayakan, mahu menangis kerana meletakkan diri mereka sebagai badan yang tiada maruah, dan mahu menjerit geram kerana tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya.

Beberapa insiden semasa yang berlaku secara jelas dan terang memperlihatkan bagaimana lakonan demi lakonan dipersembahkan. Polis yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan dan keselamatan, tetapi hari ini menjadi agen yang mencetus kepada ketegangan dan kerisauan awam.

Lihat sahaja bagaimana semalam, sekatan jalan raya diadakan bagi menutup jalan kepada 'peserta himpunan haram' yang kononnya dijadualkan akan berhimpun di bangunan Parlimen. Arahan dari mahkamah juga digunakan bagi membolehkan sekatan dan kawalan diadakan bagi menguatkan lagi dakwaan bahawa satu perhimpunan haram akan diadakan.

Lucunya, langsung tiada pihak dari PAS, PKR mahupun DAP yang tampil mengiyakan bahawa Pakatan Rakyat menganjurkan demonstrasi terbabit. Anwar selaku ketua Umum PKR sendiri menafikan menganjurkan himpunan tersebut. Namun, polis tetap meneruskan himpunan haram menyekat kenderaan yang lalu lalang sekitar parlimen sehingga ke jarak 5 kilometer dari Parlimen.

Lebih melucukan, hari ini terpampang di akhbar Utusan "Himpunan haram gagal". Tidakkah kejayaan menghalang himpunan itu dilihat kejayaan bagi pihak polis? Mari sama-sama kita memuji polis-polis di Malaysia.

Aku suka sarankan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya besok menyiarkan pula suatu maklumat baru kepada polis berupa "Amerika mahu serang Malaysia". Selepas itu, polis-polis Malaysia berpura-pura bersiap untuk bertempur, dan esoknya siar dalam akhbar tempatan dengan tajuk "Amerika pengecut, cubaan serang gagal".

Bilamana Pakatan Rakyat dari pelbagai parti menafikan menganjurkan himpunan tersebut, menteri yang bijak pandai itu pula mendakwa mendapat maklumat melalui risikan. Mengikut risikan, (sudah tentu SB-SB dan Cybertroopers) maklumat itu diperoleh daripada ceramah pakatan pembangkang, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemimpin peringkat bahagian. Terasa pula mahu memuji kehebatan SB-SB menjalankan tugas masing-masing.

Setahu aku, pemimpin Pakatan Rakyat jantan sifatnya. Jika mahu berhimpun, mereka akan memaklumkan kepada umum terlebih dahulu. Media akan dipanggil bagi diberikan kenyataan untuk memaklumkan satu-satu himpunan samada disukai pemerintah, mahupun tidak. Mengumumkan melalui ceramah, SMS mahupun blog adalah susulan daripada pengumuman awal yang dibuat. Itu adalah kebiasaan.

Teringat pula aku insiden yang hampir sama berlaku di Terengganu pada tahun lalu. Polis beria-ria mengadakan sekatan kerana mendakwa PAS mahu mengadakan ceramah, sedangkan pihak PAS awal-awal lagi telah membatalkan dan memaklumkannya kepada polis. Apa boleh buat bilamana polis lebih suka berlakon dari bertugas dengan betul.

Teringat juga bagaimana beberapa hari lalu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin menafikan pihak polis berlakon dalam isu kehilangan P.Balasubramaniam dan keluarganya. Mungkin pada pihak polis, mereka tidak berlakon. Tapi pada rakyat itulah yang berlaku.

Bayangkan bilamana kehilangan Bala dilaporkan, polis terus mengatakan kemungkinan Bala keluar negara dan polis akan bekerjasama dengan Interpol bagi menjejaki Bala. Aku tidak tahu sejauh mana peranan pegawai Imigresen di setiap pintu keluar masuk negara menjalankan tugas. Apakah polis tidak dapat bekerjasama dengan pihak Imigresen paling kurang untuk tahu apakah Bala keluar negara atau tidak. Pelik bukan? Tapi ingat, itu bukan lakonan polis.

No comments: