22 July 2008

Apa salahnya Presiden Pas dan Presiden Umno bertemu mata?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hairannya aku. Entah dari mana angin yang bertiup, semacam taufan bunyinya. Kekuatannya tidaklah sehingga menerbangkan atap rumah, tetapi bunyinya cukup kuat seolah-olah ianya menakutkan.

Kehadiran beberapa wartawan dalam Muktamar Pemuda Pas Negeri Terengganu baru-baru ini juga menimbulkan sedikit kehairanan kepadaku. Apa perlu mereka hadir? Apakah mahu mencari sesuatu yang panas dalam usul yang akan dibentang? Aku cuba berteka-teki.

Rupa-rupanya kehadiran mereka hanyalah mahu mendapat sedikit respon dari Ustaz Nasarudin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas berkenaan isu Muzakarah. Dalam Ucapan perasmian, Ustaz Nasa menyebut beberapa perkara yang dilihat agak penting berkenaan Muzakarah @ Hiwar (istilah yang digunakan beliau), namun lebih cuba menumpukan kepada sikap Pas dalam Pakatan Rakyat.

Beberapa minggu sudah, aku sempat mengikuti kupasan Ustaz Harun Taib berkenaan isu Pas dalam Pakatan Rakyat. Bagi aku kupasannya jelas dan terang. Pas tidak pernah bersama dalam kerajaan dengan PKR dan DAP sebelum ini, maka apa salahnya 'mencuba'. Pas pernah dijemput UMNO dalam Kerajaan Campuran, namun akhirnya dikhianati.

Di sini aku lihat terserlah relevan Pas kekal dalam Pakatan Rakyat walaupun ada beberapa perkara yang dilihat negatif kepada Pas. Soal adakah Pas akan bersama Umno, itu adalah satu kemungkinan yang amat jauh lagi.

Aku suka untuk mengambil pandangan Ustaz Nasa berkenaan isu ini bilamana beliau membawakan Muzakarah adalah Hiwar. Mengikut aku yang amat lemah Bahasa Arab ini, Hiwar ni lebih kepada perbualan, perbincangan. Langsung tidak ada kena mengena dengan perjanjian, mahupun sebarang ikatan yang dilihat terjalin secara kontrak.

Jika apa yang disebutkan Muzakarah antara Pas dan UMNO berlangsung, aku langsung tidak merasa bimbang. Pas sebagai sebuah parti Islam akan kekal dan tegas dengan prinsipnya. Pimpinan Pas sudah tentu lebih maklum dan tahu apa yang perlu dilakukan. Asas Muzakarah adalah Islam dan Melayu. Melayu yang disebut sudah tentu perlu kerana Melayu di Malaysia adalah tunjang Umat Islam.

Kenapa bimbang dengan Muzakarah dengan asas Islam dan Melayu? Kerana Melayu itu lebih sinonim dengan UMNO barangkali. Takut-takut Pas akan masuk perangkap UMNO. Hanya kerana perkataan Melayu? Kelakar!

Aku sebenarnya langsung tidak nampak di mana salahnya diadakan perjumpaan, perbincangan dengan UMNO dalam segala hal. Baik dari segi isu Melayu, Islam, hiburan, keselamatan, mahupun dalam hal yang bersifat pentadbiran. Selagi sifat pertemuan itu untuk kebaikan, teruskanlah. Soal syarat juga bergantung kepada parti masing-masing. Masing-masing memang mempunyai hak dalam menentukan halatuju masing-masing.

Bukan menyokong, bukan juga menghalang, tetapi soal Muzakarah kali ini cukup berbeza. Pas sebelum ini (Sebelum PRU 12) sudah beberapa kali mengajak diadakan Muzakarah, namun hampir semuanya tidak diterima UMNO dengan pelbagai alasan. Tup-tup, kali ini UMNO menerima untuk diadakan Muzakarah.

Pas masih realistik dalam mengadakan Muzakarah kali ini pada aku. Apatah lagi kenyataan Presiden Pas yang dilihat tegas kepada kawan-kawan dalam Pakatan Rakyat baru-baru ini perlu diambil perhatian. Sedikit nada kecewa tidak cukup jika didiam begitu sahaja. Mungkin dengan 'ugutan' Muzakarah ini Pas dilihat lebih mahal harganya.

Wallahua'lam.

No comments: