TV3 malam tadi menyiarkan satu berita berkaitan satu latihan bersama anggota PDRM dan ATM. Latihan itu dinamakan sebagai Eksesais Bersatu Aman. Latihan bersama yang bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan itu aku kira satu tindakan yang terpuji dan persiapan yang baik.
Namun, apa yang menjadi kebimbangan dan kerisauan adalah kerjasama yang dilakukan itu adalah bagi menggagalkan sebarang himpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Himpunan Protes 6 Julai ini misalnya yang dibentuk dan disusun dengan aman dibimbangi diganggu dan menjadikan ianya huru-hara.
Bagi menghuru-harakan himpunan yang besar bukan susah. Hantar sahaja SB-SB supaya membuat provokasi dan mengganggu tugas rakan-rakan mereka dalam polis. Provokasi itu akan disambut oleh SB-SB yang lain dan membentuk suatu gelombang yang akhirnya akan diikut oleh pihak yang tidak tahu apa-apa.
Ini adalah kebimbangan dan prasangka yang ada asasnya. Tragedi berdarah 8 September di Batu Burok tidak mudah dilupakan. Bagaimana polis berpakaian biasa membuat provokasi dan seterusnya menyuntik kemarahan ramai terhadap pihak polis itu sendiri.
Ketika suasana dilihat tidak terkawal, maka unit-unit yang dilatih bersama ini akan menjalankan tugas mengawal keselamatan dengan menyembur air berasid, memukul dan menerajang orang ramai. Ketika itu tidak ada lelaki dan wanita, semuanya akan dilanyak dan diperlaku begitu sahaja.
Apapun, aku berharap himpunan Protes kali ini akan berjalan lancar dan tiada keganasan dari mana-mana pihak. Kita mahu negara kita aman, kita mahu minyak juga diturunkan. Jadi, apa salahnya kita bersatu menyatakan bantahan terhadap kenaikan yang telah dikenakan kepada semua rakyat. Jika tekanan yang diberikan itu kuat, mungkin kerajaan akan menimbang untuk menurunkan harga minyak. Namun, jika tekanan itu tidak kuat, kekallah harga minyak ini dan tunggu sahaja diumumkan lagi kenaikannya.
Mungkin ada yang mengatakan apa perlu demonstrasi? Kenapa tidak berbincang dan toleransi? Jawapan aku untuk soalan kali ini mudah sahaja. Tidakkah rakyat Malaysia tahu bahawa usul kenaikan harga minyak diluluskan dalam Parlimen setelah 2 minggu harga dinaikkan? Usul itu juga disokong sepenuhnya oleh wakil rakyat dari komponen BN!
Berbincang? Tidakkah rakyat melihat bagaimana MP BN begitu bacul dan menjadi lembu dicucuk hidung bagi menyokong sepenuhnya usul yang menyeksakan rakyat itu? Tidakkah rakyat melihat bagaimana bersoraknya MP BN apabila usul itu diluluskan setelah undian dilakukan? MP yang dipilih seolah-olah mahu rakyat susah. Mahu rakyat tertindas!
Rakyat tiada pilihan. Terima kenaikan dengan hati terbuka, atau menderita sengsara. Melontarkan bantahan terbuka juga satu cara. Mencemuh pihak yang mahu berdemo bukan satu tindakan bijak. Apakah pihak yang mencemuh tidak suka jika harga minyak diturunkan?
No comments:
Post a Comment