14 November 2007

Himpunan 13 November: Latah Sang Penguasa

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini kisah di Terengganu. Kisah Himpunan 13 November 2007. Mungkin pelik kerana himpunan ini tidak terdapat dalam diari penyokong, pendokong mahupun pimpinan PAS. Himpunan ini dikatakan akan berlaku di Pantai Batu Burok. Tempat yang sama berlakunya tragedi berdarah Suwandi di tembak di dada. Namun, sehingga tarikh tersebut (semalam), aku tidak melihat sebarang poster pun berkaitan ceramah yang akan diadakan itu.

Sejak petang kelmarin (12 Nov) aku menerima call dan sms bertanyakan apakah akan diadakan ceramah di Batu Burok pada 13 November. Aku tidak terkejut menerima pertanyaan itu, namun terkejut bila dikhabarkan mereka mendengar dalam siaran radio dan TV yang melarang menghadiri perhimpunan itu.

Sebenarnya tarikh 13 November memang telah dipilih bagi mengadakan satu ceramah mega. Namun memandangkan tarikh itu hampir dengan 10 November, baru pulang dari Kuala Lumpur menghadiri Perhimpunan Aman BERSIH, maka ceramah itu dibatalkan. Saudara Azmi Yassin sendiri yang memohon permit telah mengunjungi IPD Terengganu dan dikhabarkan bahawa ceramah itu tidak diluluskan.

Berkebetulan permit tidak diluluskan, dan pihak penganjur merasakan agak tergesa-gesa bagi membuat persiapan, maka ceramah ditangguh. Asalnya Abang Mat Sabu dan DS Anwar Ibrahim dijadualkan menaiki pentas ceramah pada malam tersebut.

Pada malam 12 November, TV terus menyiarkan larangan tersebut dan diikuti dengan akhbar Sinar Harian pada keesokan harinya yang memaparkan kenyataan DJ dan Dato Ayob berhubung larangan tersebut. Turut dimuatkan adalah memorandum sekumpulan lelaki yang mengaku menghuni sekitar Persiaran Hakim 1 yang membantah ceramah diadakan di situ.

Suasana dapat aku rasakan agak tegang bilamana dikhabarkan beberapa trak FRU telah datang dari Kuantan dan akan datang dari Kelantan pada keesokan harinya. Ini ditambah dengan beberapa SMS yang tidak dikenali menyeru supaya turun beramai-ramai ke tapak ceramah di Batu Burok tanpa menghiraukan polis.

Aku menghubungi saudara Azmi Yassin selaku individu yang bertanggungjawab memohon permit. Beliau mengesahkan sekali lagi bahawa memang ceramah telah dibatalkan. Hal ini telah dimaklumkan kepada pihak polis sejak malam 8 November lagi semasa pertemuan diadakan di IPD Kuala Terengganu. Beliau juga memberi jawapan dan jaminan bahawa tiada ceramah pada 13 November di Batu Burok setelah ditanya kembali oleh pihak polis sekembali dari Himpunan BERSIH.

Beliau sendiri hairan bilamana kenyataannya seolah-olah tidak dipercayai oleh pihak polis yang masih beranggapan pihak PAS akan meneruskan ceramah di situ. Sepanjang kejadian memohon permit, biasanya PAS akan bertegas untuk mengadakan ceramah atau tidak. PAS tidak terlalu tertakluk kepada permit yang biasanya amat berat sebelah. Permit dipohon sekadar memaklumkan kepada pihak polis sahaja. Namun, PAS jujur dalam melaporkan samada akan mengadakan ceramah mahupun tidak.

Dalam kes 13 November ini, dilihat wujud campurtangan luar dan kebimbangan melampau pihak penguasa. Barangkali lautan manusia 10 November begitu berkesan di hati mereka. Apatah lagi PAS Terengganu dimaklumkan telah menghantar lebih 10 000 peserta ke himpunan tersebut. Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan itu barangkali dirasakan mampu menggugat Gelombang Biru yang masyhur di sini.

Aku ke Besut seawal jam 9 pagi. Dalam perjalanan pergi berselisih dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke Kuala Terengganu. Pulang dari Besut sekitar jam 4.30 petang. Dalam perjalanan sudah ada beberapa sekatan jalanraya di Bandar Permaisuri, di Wakaf Tembesu, dan juga Jambatan Sultan Mahmud. aku tidak tahu sejauh mana kesungguhan anggota yang bertugas bilamana dilihat melepaskan kenderaan yang lalu lalang begitu sahaja. Namun begitu banyak sekatan dibuat seolah-oleh mereka menerima arahan yang tegas dan agak keras dari pihak atasan.

Jam 6 petang, aku mengambil keputusan melalui Pantai Batu Burok. Beberapa van, trak polis dan polis trafik dilihat berselisih kiri dan kanan jalan sebelah pantai. Aku meneruskan perjalanan ke Jalan Persiaran Hakim 1. Kiri kanan jalan dapat dilihat poster larangan berhimpun. Aku kira dipasang oleh pihak polis. Aku terus ke depan Rumah Hj Mad Singapura. Langsung tiada sebarang tanda akan diadakan ceramah di situ. Pintu pagar tertutup, dan tiada sebarang bendera, pentas, mahupun petugas yang biasanya sudah memulakan persiapan ceramah. Polis juga tidak kelihatan di hadapan rumah Hj Mad Singapura itu.

Aku bergerak untuk pulang sambil memperlahankan kenderaan. Meninjau-ninjau kawasan persekitaran dan merasai kedamaian pantai Batu Burok. Sebaik sahaja melepasi sebuah lorong yang lain (lorong belakang rumah Hj Mad Singapura), aku terkejut melihat beberapa buah trak dan pajero polis beserta motor polis trafik di hujung jalan sana. Agaknya pihak polis berkampung di situ sejak awal pagi. Ini kerana rumah hujung tersebut merupakan rumah yang disewakan kepada umum yang mahu menikmati suasana pantai.

Aku ke pejabat seorang kawan. Setelah menyelesaikan beberapa kerja dan Solat Maghrib, aku berkira-kira untuk keluar makan malam di sekitar Batu Burok. Terkejut aku kerana banyak kedai yang agak berhampiran dengan kawasan yang dikatakan akan diadakan himpunan itu kebanyakkannya tutup. Lebih terkilan kerana kedai makan yang menyediakan Sup Perut paling sedap pun juga ditutup (Aku rasa sedap, kalu kalian rasa tak sedap, aku peduli apa!!). Walhal kedai terbabit berada di Jalan Kamarudin, walaupun agak hampir dengan trafik light Batu Burok itu. Melepas aku Sup Perut itu.

Deretan Kedai di Taman Awam Batu Burok yang mengadap ke trafik light juga ditutup. Sebuah kedai dalam taman yang berhampiran dengan trafik light juga ditutup. Apa semua ini? Apakah mereka semua diberi gambaran yang menakutkan oleh pihak polis?? Ketika mana poster ceramah tidak ditampal (kerana tiada ceramah), apakah ada pihak yang tahu ceramah diadakan?? Sungguh pelik!!

Aku akhirnya berhenti minum dan makan di sebuah kedai di Simpang Batu Burok. Turut kelihatan belasan anggota polis berpakaian biasa yang turut menikmati hidangan di situ. Dalam lagak selamba, aku menghampiri meja mereka dan duduk di meja yang sedia ditunggu seorang rakan. Walaupun ada satey yang baunya menyelerakan, namun aku hanya memesan Nasi Goreng Ikan Masin. Sengaja aku mahu 'test' adakah masakan tukang masak di situ lebih sedap dari aku. Rupa-rupanya memang masakan dia lebih sedap. Hehehe.

Selesai makan, aku sekali lagi melalui Jalan Persiaran Hakim 1 dan keluar di sebelah ESSO Batu Buruk. Polis ketika itu telah dilihat mula sedia menjalankan tugas. Jam di handphone aku sekitar jam 8.15 malam. Sambil makan nasi bungkus di dalam Black Maria, mereka terus bersedia untuk menyekat laluan.

Sebaik tiba di rumah, seorang kawan bertanya apakah aku tidak ke Batu Burok? Aku jawab tiada ceramah. Rupanya dia maksudkan supaya aku saja-saja meninjau suasana. Ketika itu kepenatan sudah menguasai diri. Aku suruh sahaja dia yang membuat tinjauan dan melaporkan kepada aku. Hehehe.

Jam 9.11 malam, aku menerima SMS yang berbunyi "Tak abis-abis dengan satey, Huhuhu. Baru je mengelentong bapak polisi. Kami tidak berjaya untuk menembusi sekatan yang diadakan walaupun berpura-pura mahu ke SMAASZA. Kami diarah berpatah balik."

Aku ketika itu berkira-kira mahu keluar ke Batu Burok. Namun merasakan tiada apa-apa melainkan mereka yang menyangka ada ceramah, pergi dan terpaksa berpatah balik sahaja. Maka aku putuskan berada di rumah sahaja. Tak elok keluar malam-malam. Nanti kena embun. Sakit lak. Hehehe.

Moral:

Jangan percaya kepada khabar angin wahai bapak-bapak polisi. Tanya sahaja kepada pimpinan PAS. Mereka bukan pengecut mahu sembunyi-sembunyi mengadakan ceramah. Jika tiada permit sekalipun, jika dirasakan masih wajar dilakukan, mereka akan tetap lakukan!

Lihat sahaja Himpunan Aman BERSIH. Bukan rakyat tidak mahu mematuhi larangan polis. Tetapi rakyat tahu polis hanya diperkudakan oleh UMNO dan BN. Sebab itu rakyat tidak takut. Rakyat yakin mereka tidak bersalah. Sebab itu rakyat turun beramai-ramai.

Usahlah terlalu menggelabah, sikap itu akan merugikan semua pihak. PAS tidak mengadakan ceramah pun, jalan tetap disekat, kedai tutup kerana mengikut 'arahan polis yang tidak bertempat'. Kenapa perlu keruhkan suasana. Kita semua mahu negara Aman. Usah kalut-kalut. Akhirnya, aku juga yang tidak dapat merasa Sup Perut!! Hampehh la kau UMNO!! (baca dengan nada Marah nih!)

Atau agaknya sengaja Dato Ayob mengarahkan polis berjaga-jaga. Alaa, taktik akhir tahun la ni. Nanti anak nak baju sekolah, nak beg baru, nak Raya Haji. Bila ada operasi, sudah tentu ada lebihan fulus yang masyukkkkk. Aku agak je. Jangan marah Dato Ayob, nanti kena jual! ;)

No comments: