25 June 2008

Tumit Tinggi dan Gincu: Gol untuk MPKB-BRI!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cepatnya media melenting dan melentingkan. Itulah yang aku kira berlaku semalam apabila rata-rata media membuat telahan seolah-olah larangan memakai gincu dan berkasut tumit tinggi dikuatkuasakan di Bandar Kota Bharu. Tajuk-tajuk yang sekali pandang jelas seolah-olah larangan tersebut menyeluruh kepada semua yang berada di Bandar Kota Bharu.

Semuanya bermula daripada surat pekeliling serta risalah etika berpakaian untuk wanita muslimah yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Surat pekeliling dan risalah 'MPKB-BRI Cakna Anak Muda' yang memaparkan etika berpakaian wanita muslimah diedarkan bersama seolah-olah itu adalah 'arahan' yang dimaksudkan.

Sebenarnya surat pekeliling dan risalah itu tiada kaitan secara berarahan. Surat pekeliling meminta peniaga Islam tidak kira lelaki atau wanita menutup aurat sementara peniaga bukan Islam berpakaian sopan. Ianya merupakan arahan yang dikeluarkan setiap tahun sejak tahun 2002 lagi. Oleh kerana ianya diedarkan secara bersama, maka ianya dilihat dan difahami sebagai suatu arahan.

Risalah berkenaan sebenarnya adalah kempen untuk memperjelaskan kepada kaum wanita mengenai etika berpakaian sebenar mengikut ketetapan Islam termasuklah larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi. Gincu dan kasut tumit tinggi dijadikan contoh larangan mungkin disebabkan kedua-duanya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Gincu dengan warnanya yang menyerlah misalnya sudah tentu dapat menarik perhatian terutamanya lelaki. Apatah lagi sesetengah wanita memang menggunakan gincu sebagai daya penarik. Mungkin ada yang beralasan bergincu kerana menutup warna bibir yang kusam dan pucat. Alasan tetap alasan, namun jika kecerahan bibir sama dengan warna merah 'trafic light', itu memang mahu orang yang melihat itu berhenti.

Begitu juga dengan kasut tumit tinggi. Aku tidak tahu sebenarnya rasional kasut tumit tinggi ini kepada wanita melainkan bagi menampakkan mereka lebih tinggi. Mungkin dirasakan dirinya anggun bila tinggi. Atau nak berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah?

Apapun, kasut tumit tinggi memang secara umumnya akan melahirkan kesan hentakan yang lebih dari kasut biasa. Hentakan itulah yang akan melahirkan tarikan kepada pendengarnya. Ini kerana si pemakai terpaksa 'memacak' hentakan kakinya bagi memastikan jalannya stabil dan kemas. Jika tidak mereka mudah tergelincir dan terjatuh. Kebaikan kasut sebegini adalah mereka akan berjalan dengan berhati-hati.

(nota: aku tulis bab kasut tumit tinggi ni berdasarkan agak-agak aku. Aku tidak biasa dengan kasut tumit tinggi. Lagipun adik beradik aku semuanya tinggi-tinggi. Jadi agaknya sebab itu mereka tiada alasan lagi mahu memakai kasut tumit tinggi.)

Dua perkara di atas adalah sebahagian contoh sahaja dalam risalah berkenaan. Risalah terbabit turut menyentuh pemakaian baju ketat dan seluar dikalangan wanita serta tudung yang kecil dan jarang. Namun, oleh kerana dua perkara di atas tadi dilihat agak kurang relevan (pada mereka yang tidak punya mata), maka ianya diperbesar-besarkan.

Aku kira risalah berkenaan tepat dikeluarkan. Ini kerana pakaian muda-mudi hari ini amat keterlaluan dan memang merimaskan. Hari ini sudah sukar mahu melihat anak-anak muda bertudung dan berbaju kurung. T-shirt ketat dan bertudung memang ramai. Budaya bungkus tangkap muat sahaja. T-shirt singkat sehingga tunduk / angkat tangan, ternampak kulit.

Apapun, pada aku kebanyakan wanita Kelantan, memang antara yang paling suka bersolek dan 'berjangok' berbanding wanita-wanita di negeri lain. Tahniah kepada MPKB-BRI atas usaha yang dijalankan. Aku kira media yang berniat memberi kesan negatif kepada Pas Kelantan akhirnya telah memberi hebahan program yang telah dijalankan di Kelantan. 1 Gol untuk MPKB-BRI.

Kenapa Satu gol?. Musim bola. Wallahua'lam.

No comments: