Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

12 February 2011

Kami Pendakwah Bukan Penghukum - Us Din Tantawi

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

1. Biarpun berdepan kritikan pedas dari pelbagai pihak, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Malaysia akan terus berjuang dan berdakwah bagi menyelamatkan generasi muda dari terus dimangsakan oleh pelbagai aktiviti tidak bermoral di dalam negara ini. Kami akan turun sebagai Duta penyelamat dan Kasih Sayang dengan membawa misi dakwah untuk mendidik serta membimbing masyarakat khasnya generasi muda muslim hari ini agar tidak hanyut dibawa arus keruntuhan moral.

2. Gerakan dakwah ini akan disemarakkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia di seluruh negara melalui Dewan Pemuda PAS Negeri-Negeri dengan memilih beberapa lokasi sasaran yang berpotensi berlakunya kegiatan tidak bermoral sempena sambutan Valentine Day.

3. Dakwah atau gerakan mengedar "risalah didikan" serta menyantuni mereka yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebenarnya telah menjadi aktiviti rutin Dewan Pemuda PAS Malaysia sejak berzaman lamanya. Sebagaimana Pemuda PAS tegas membenteras kegiatan tidak bermoral didalam politik seperti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, juga membenteras aktiviti tidak bermoral didalam ekonomi seperti pembaziran dan rasuah, maka Dewan Pemuda PAS juga istiqamah membenteras perlakuan tidak bermoral didalam sosial seperti pergaulan bebas, seks bebas dan vandalisme.

4. Namun kami bukan penghukum, kami juga bukan Polis Moral malah kami bukan penguatkuasa. Kami adalah pendakwah yang bertanggungjawab untuk mendidik rakyat agar tidak terjebak dalam sebarang kegiatan, aktiviti dan perlakuan yang tidak bermoral justeru implikasinya merosakkan maruah diri, nilai tamadun dan nama baik negara.

5. Kami Pemuda PAS sedia menghulurkan kerjasama malah mengharapkan kerjasama dari pihak berkuasa kerajaan negeri khasnya negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk turun ke padang menyelamatkan generasi muda dari terjebak dalam kancah moral yang negatif. Kempen No Panties For Valentine Day pada tahun lalu, sebagai contoh kegiatan tidak bermoral yang dibimbangi masih berterusan dalam aktiviti yang pelbagai dan nama yang berbeza untuk mengelirukan orang ramai serta pihak berkuasa.

6. Saya masih percaya bahawa kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mahu membiarkan generasi mudanya yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang terperangkap dalam perlecehan moral yang merosakkan reputasi diri dan nilai maruah mereka. Justeru itulah saya menawarkan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan pihak Kerajaan negeri untuk memantau perkembangan dan kegiatan tidak bermoral lalu tampil memberi didikan kepada mereka yang terjebak agar insaf dan tidak membiarkan diri mereka lemas dalam pengaruh nafsu dan syahwat.

7. Suatu sikap yang sangat tidak adil, apabila kita begitu keras dan tegas menentang kegiatan yang tidak bermoral dipentas politik dan ekonomi seperti penyalahgunaan kuasa, pembaziran, rasuah, penipuan dan penindasan tapi kita berdolak dalih dalam usaha memurnikan iklim sosial negara dari kegiatan tidak bermoral seperti seks bebas, vandalism, penyalahgunaan dadah dan sebagainya sedang ia turut membawa kesan yang buruk kepada kesejahteraan, keamanan keharmonian negara.

8. Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak hanya turun pada Valentine Day, tetapi juga pada malam sambutan Ulangtahun Kemerdekaan, Sambutan Tahun Baru dan hari-hari yang dianjurkan pesta atau karnival yang mempromosi atau menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas. Kami turun sebagai Duta Penyelamat dan Kasih Sayang. Ini adalah sikap Dewan pemuda PAS Malaysia yang diwarisi sejak dulu dan ia bukan pandangan peribadi saya.

9. Kami pemuda PAS tekad akan selamatkan generasi muda muslim dan siapa jua yang mahu dari hanyut dibawa arus maksiat seta mungkar dengan penuh kasih sayang demi masa depan mereka dan juga masa depan negara, biarpun berdepan dengan pihak yang terus mahu menyuburkan aktiviti tidak bermoral dan sengaja tidak mahu memahami hasrat dan tindakan kami.

10. Akhirnya saya terus menyimpan harapan agar Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat menjadi contoh kepada negara untuk mendidik rakyat bukan sahaja dalam aspek politik dan ekonomi tetapi juga kearah membentuk iklim sosial yang jernih dan harmoni. Bebas dari kegiatan yang tidak bermoral serta meruntuhkan maruah negeri dan negara. Sementara saya tiada authoriti untuk memberi arahan kepada sebuah kerajaan negeri sebagaimana saya juga bukan polis untuk menangkap pesalah. Saya hanya pendakwah bukan penghukum.

-----------------------------

Nota Amdang: Cuma kadang-kadang pendakwah kena berani menjelaskan hukum. Jika tidak, ramai buat-buat tak tahu sahaja.Justify Full

09 July 2009

'Menunggu Kata Dari Tuhan' di Terengganu!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pernah dengar tentang teater Dinsman yang bertajuk 'Menunggu Kata Dari Tuhan' (MKDT) yang dilakonkan oleh Sabri Yunus? Mungkin pernah. Mungkin juga ada terbaca tentang teater ini di mana-mana akhbar, mahupun dilihat posternya di mana-mana. Tapi, pernahkah melihat teater tersebut?


Poster 'Menunggu Kata Dari Tuhan'. Pinjam dari blog Cikgu Azizi.

MKDT adalah sebuah teater yang mengisahkan seorang sahabat Nabi, Ka'ab bin Malik yang liat dan bertangguh hendak berjuang ke medan perang (berjihad) dalam peristiwa Perang Tabuk. Perilaku Ka'ab ini telah menyebabkan Rasulullah saw memerintahkan para sahabat memulaukan Ka'ab.

Pemulauan itu berterusan sehingga 50 hari sehinggalah datang firman Allah:

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepada-Nya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah:118)

Jadi, di mana teater ini akan dipentaskan di Terengganu? Klik poster di bawah.



Wallahua'lam.

04 January 2009

Islam Hadhari menolak UMNO dan BN

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Artikel ini suka untuk aku kongsi dengan kalian. Pertamanya artikel ini meminta pengundi menolak pemimpin UMNO dan BN. Keduanya bagi aku artikel ini mendedahkan Islam Hadhari yang cuba diperkenalkan itu menyulitkan Islam itu sendiri. Islam itu mudah. Jika Islam yang kita anuti ini diajar dengan mencampur-campur menjelaskan prinsip-prinsip Islam Hadhari, aku percaya bukan kefahaman yang didapati, malah lebih menyusahkan, merumitkan dan tidak mustahil akan menyesatkan.

Wallahua'lam.

------------------------------------------------------------------------------

Gagasan Islam Hadhari menolak politik wang

Oleh ZIN MAHMUD

Prinsip ketiga Islam Hadhari ialah kerajaan adil dan beramanah. Tetapi tentunya dalam usaha membangunkan sebuah kerajaan adil dan beramanah, amalan-amalan buruk dalam berpolitik seperti politik wang, gila kuasa, rasuah, fitnah politik, nepotisme, tamak kuasa dan gila wanita adalah ditolak oleh gagasan Islam Hadhari.

Sememangnya Islam dengan jelas menolak amalan-amalan buruk dalam berpolitik itu. Tetapi apabila dikaitkan dengan Islam Hadhari, iaitu ciri-ciri ketamadunan adalah lebih ketara amalan-amalan itu ditolak kerana ia akan menyemai kerosakan dan akhirnya meruntuhkan peradaban dan jati diri sesebuah negara.

Dalam sejarah silam tamadun Islam, dapat disaksikan bagaimana politik wang, gila kuasa, rasuah, fitnah politik, nepotisme, tamak kuasa dan gila wanita menumbangkan kerajaan-kerajaan besar Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah. Walaupun sistem pemerintahan moden jauh berbeza daripada apa yang diamalkan oleh masyarakat dahulu, tetapi bahaya yang serupa masih menjadi ancaman bagi umat Islam.

Maknanya kalau dahulu tamadun dan kerajaan Islam jatuh apabila mereka yang berkuasa, daripada khalifah hinggalah kepada pegawai-pegawainya membuat keputusan bukan berdasarkan kepada keadilan tetapi atas sogokan wang, maka ia menjadi politik wang yang akhirnya menumbangkan kerajaan-kerajaan terdahulu.

Sesungguhnya, baik pada zaman dahulu atau pun sekarang, kekuasaan merupakan amanah yang berat, bukan saja dipikul oleh khalifah tetapi pegawai-pegawainya yang dilantik. Sistem pemerintahan moden hari ini telah memperkenalkan pelbagai kaedah dan peraturan untuk menjadikan kuasa yang dipegang mencerminkannya sebagai amanah rakyat.

Justeru, sistem pemerintahan demokrasi yang meletakkan kuasa di tangan rakyat adalah memenuhi idealisme tamadun yang dikehendaki Islam. Maka, gagasan Islam Hadhari yang meletakkan kerajaan adil dan beramanah sebagai salah satu daripada 10 prinsip akan menuntut supaya politik dengan menggunakan wang secara menyeleweng tidak ada tempat dalam pembinaan tamadun.

Maka, asas kepada politik yang bersih dalam sistem demokrasi terletak pada parti-parti politik. Mereka harus bebas daripada politik wang, gila kuasa, rasuah, fitnah politik, nepotisme, tamak kuasa dan gila wanita. Jika tidak, adalah mudah untuk difahami bahawa cita-cita Islam Hadhari tidak akan tercapai kerana salah satu prinsipnya adalah masyarakat berbudaya dan bermoral.

Tetapi adakah aspirasi ini mustahil untuk dicapai kerana ia terlalu ideal? Adakah Islam Hadhari itu terlalu ideal? Dengan melihat bahawa politik wang dan segala amalan-amalan buruk itu tidak dapat dibasmi kerana sifat manusia yang normal dengan mempunyai rasa tamak, mahukan kuasa dengan menggunakan wang serta wanita bagi lelaki.

Dalam hal ini, ada baiknya melihat ajaran Islam dan hubungannya dengan tamadun. Islam merupakan suatu gerakan moral, bermula di Mekah, menjadi negara di Madinah dan akhirnya membina tamadun di Damsyik, Baghdad, Kordova, Kaherah, dan Istanbul.

Dalam hal ini, jika melihat perjalanan sejarah tamadun Islam itu, dapat disaksikan keupayaan manusia untuk bangkit mencapai kecemerlangan hingga membawa kegemilangan kepada umat Islam. Begitu juga dapat disaksikan bagaimana kelemahan manusia yang membawa amalan-amalan buruk dalam politik merupakan sebahagian sifat biasa dan akhirnya meruntuhkan tamadun,

Kebangkitan akhlak yang dirintis oleh Rasulullah s.a.w di Mekah telah membuktikan manusia mampu keluar daripada kedudukan tidak berbudaya dan ia boleh dilaksanakan, walaupun tentunya memerlukan perubahan mental dan seterusnya membangun diri bagi membina tamadun.

Sememangnya dalam perkiraan akhir, sebarang perubahan terletak pada kehendak dan usaha individu bagi menentukan jalan untuk mengelak daripada terjebak ke dalam amalan-amalan buruk dalam berpolitik. Bagaimanapun jika melihat sejarah dakwah Rasulullah s.a.w di Mekah dan Madinah, tajdid atau pembaharuan perlu dilakukan secara penglibatan masyarakat. Perkara ini pula memerlukan tindakan secara kolektif melalui jemaah. Sama ada jemaah dalam bentuk bilangan yang kecil atau angkatan yang besar. Jika dalam bentuk angkatan yang besar, maka diperlukan jemaah yang kecil di dalamnya untuk menggerakkan pembaharuan.

Sementara mana-mana jemaah bagi sesuatu pembaharuan pula memerlukan kepimpinan dengan pengikut yang berkesan untuk mencapai matlamat politik yang dikehendaki. Jika dapat difahami proses ini, maka akan disedari bahawa idealisme Islam khususnya dalam aspirasi Islam Hadhari dapat dicapai. Sememangnya kepimpinan Rasulullah s.a.w tidak dapat ditandingi oleh sesiapa, Kemampuan baginda memberi kepimpinan yang unggul telah membawa kejayaan Islam sehingga ke hari ini.

Tetapi Rasulullah s.a.w telah mewariskan ajaran baginda, baik dalam bentuk al-Quran dan Sunnah mahupun pemahaman oleh para pemikir Islam turun temurun sehingga hari ini yang mampu membantu umat Islam, dan manusia keseluruhannya mencapai ketamadunan berbudaya dan bermoral.

Maknanya kejayaan Islam juga bersandarkan kepada keupayaan kepimpinan pewarisnya bukan saja daripada Khalifah Ar-Rasyidin, Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah tetapi juga pemimpin-pemimpin pejuang kemerdekaan dan juga selepas negara mencapai kemerdekaan dan berada dalam zaman pembangunan.

Dalam mendorong para pemimpin supaya melaksanakan pemerintahan yang adil dan amanah, peranan pengikut amat penting. Selain itu rakyat dan masyarakat juga mampu mencorakkan jalan mana yang akan menjadi pilihan pemimpin mereka. Lebih-lebih lagi pada zaman ini apabila pemerintahan dilakukan dalam bentuk demokrasi.

Maka, perjuangan bagi pembersihan dalam amalan berpolitik dapat dilakukan melalui kesedaran umum tentang pentingnya politik bersih daripada perkara-perkara baru. Di peringkat parti, jika ahli-ahli parti berkenaan mempunyai kesedaran tinggi dalam hal ini, mereka bukan saja menghindarkan diri daripada korupsi politik tetapi menolak pemimpin yang berbuat begitu.

Di sinilah terletaknya kepentingan pada kesedaran di kalangan masyarakat bagi menolak politik wang. Tentunya kesedaran memerlukan pendidikan yang berpanjangan dan berterusan. Maka pada keseluruhan, gerakan Islam Hadhari juga pasti merangkumi juga usaha membanteras politik wang dan rasuah.

December 4, 2008.

p/s: Aku sedang membayangkan sekiranya artikel ini dibaca oleh orang-orang tua di kampung-kampung. Sure susah nak faham apa kehendak Islam dan apa kehendak Islam Hadhari.

01 January 2009

Gurindam Gaza

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku kongsi dengan kalian satu gurindam seorang sahabat. Beliau namakannya sebagai Gurindam Gaza.

Gurindam Gaza...

Wahai adik... adik tahu tak,
Gaza itu bukan asing,
Ia memanggil diri masing-masing.

Wahai adik, adik tahu tak,
Gaza tempat moyang nabi Muhammad berdagang,
Di Genting itu para anbiya' dan mursalin pergi berjuang.

Wahai adik, adik tahu tak..
Gaza kini bermandi darah,
Menentang Zionis haram jadah,
Merampas tanah orang sukati dia jah,
Perjuangan diteruskan menanti sudah,
Kepada Tuhan tangan mengadah,
Agar bantuan turun ke lembah.

Wahai adik, adik tahu tak,
Gaza kini lebur,
Tika malam ini/semalam orang lain leka berhibur,
Dengan hiburan yang takkan dibawa ke kubur,
Hogmanay, tahun baru Masihi, hati terkujur,
Entah ke mana hidup dilabur.

Wahai adik, adik tahu tak,
Ramai kawan tak tahu pun,
Rakan seaqidah ditembak dibom,
Ahh peduli apa, aku selesa harta bertimbun,
Semuanya sponsor yang tanggung,
Atau majikan yang kongsi untung.

Wahai adik, adik tahu tak,
Mari kita sejenak berfikir,
Janji kita sebelum dilahir,
Apa sumbangan, perlu dizahir,
Mengapa 1 pound infaq kita kikir,
Mengapa berbangga dengan produk Israel.

Wahai adik, adik tahu tak,
Di Mahsyar kelak, untuk mengelap gagap,
Apa kata kita berhenti berhibur sekejap,
Cukup-cukuplah asik berentap,
Dengan firework, hiburan dan kepulan asap.

Wahai adik, adik tahu tak,
Mungkin berat membaca gurindam abang,
Kerana berat kelopak mata memandang,
Penat berhibur malam dan siang,
Jangan lupa kita di dunia ini berdagang,
Jangan terlalu singkat mata memandang,
Elak diri daripada malang,
Kembalilah kepada Tuhan Yang Maha Penyayang,
Bersama Gaza, ikhtiarkan berjuang !!!!

ABUKIFAH

03 December 2008

Masjid manakah yang mahu dirobohkan?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Ini gambar di Bandaraya Kuala Terengganu. Sebenarnya kain rentang ini sudah hampir sebulan tergantung di persimpangan lampu isyarat Jalan Panji Alam. Sehingga kini kain tersebut masih tergantung dan tiada sesiapapun yang mengusiknya.

Aku cuba mahu memandai-mandai menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan kain rentang di bawah ini. Harap penafsiran aku ini tidak disalah erti. Aku hanya mengandaikan dari apa yang aku nampak sahaja.

Kain Rentang membantah masjid dirobohkan.

Sekali pandang, mungkin kita tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan kain rentang ini.

DAULAT TUANKU - Warna kuning. Ini menunjukkan kain rentang ini ditujukan kepada pihak Tuanku Sultan dan Istana. Sultan menjadi ketua agama di Terengganu.

Kami - Warna Hijau. Ini menggambarkan orang Islam yang menaikkan kain rentang ini.

BANTAH ROBOH - Warna Merah. Merah ini tanda marah. Juga warna logo UMNO. Mungkin kerana sikap UMNO yang biasa merobohkan masjid, maka warna berkenaan digunakan bagi menggambarkan sifat UMNO yang biasa merobohkan masjid.

Masjid - Warna Hijau. Hijau warna syurga. Perkataan Masjid menggunakan warna hijau bagi menggambarkan sebahagian sifat ahli syurga adalah mendatangi dan mengimarahkan masjid.

Kami - Warna Kuning plak. Ni nak gambarkan rakyat tadi mengharapkan campurtangan Sultan untuk menangani isu ini.

SETUJU BAIKI - Warna Merah. Memandangkan UMNO yang memerintah Terengganu sekarang ini, maka sudah tentu ahli Qariah terbabit setuju kerajaan membaiki masjid berkenaan. Lagipun biasanya projek-projek baiki dan buat ni dah tentu dapat kat kroni UMNO tu.

Masjid - Warna Kuning. Warna kuning di sini agaknya nak gambarkan persetujuan baiki terbabit hendaklah mendapat kelulusan dan campurtangan pihak Istana. Mungkin bagi memastikan ketelusan, dan tender yang dikeluarkan, mahupun adakah ada individu tertentu yang mendapat keuntungan melampau dari kerja-kerja membaiki terbabit.

Kami - Hijau. Sekali lagi mereka menunjukkan sikap sebagai Orang Islam dalam menyatakan menolak pembaziran.

TAK SETUJU PEMBAZIRAN - Merah. UMNO ni biasa sangat membazir. Tengok Monsoon Cup, Masjid Kristal dan macam-macamlah pembaziran yang dilakukan. Makanya pembaziran dan UMNO adalah sinonim.

Itulah sedikit yang dapat aku ulas berkenaan kain rentang berkenaan. Aku rasa mungkin tidak terlalu tepat, namun persen ketepatan tu mungkin mencecah 99.9% kot bila melibatkan UMNO tu.

Wallahua'lam.

p/s: Gambar oleh Ummu Balqis.

27 November 2008

Kenapa Yoga Haram?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

INTIS: Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Tepat

Dua fatwa terbaru yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah dilihat menimbulkan reaksi kurang senang segelintir pihak sama ada dari kalangan umat Islam mahupun bukan Islam. Jika kita mengamati kedua-dua fatwa tersebut, iaitu fatwa tentang pengharaman pengkid dan amalan yoga, keduanya berpijak di atas satu landasan yang sama iaitu hukum `tasyabbuh’.

Apakah itu tasyabbuh? Tasyabbuh di ambil dari perkataan al-Musyabahah yang bermaksud meniru, mencontohi, menjalin, mengaitkan diri dan mengikuti (Dr.Nashir Bin Abdul Karim Al-Aql, Man Tasyabbaha Bi Qaumin Fahuwa Min Hum).

Dr.Nashir Bin Abdul Karim Al-Aql menerangkan bahawa tasyabbuh yang dilarang di dalam Islam ialah meniru orang kafir dalam segala bentuk aqidah, ibadah, kebudayaan dan tingkah laku yang menunjukkan ciri khas golongan bukan Islam tersebut.

Ini adalah berasaskan hadith Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka” (Hadith riwayat Abu Daud).

Jika diamati, Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah menjelaskan bahawa pengharaman yoga adalah kerana ia berkait dengan ajaran agama Hindu. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) bertepatan dengan sabda Rasulullah di atas.

Oleh yang demikian, umat Islam sewajarnya mentaati fatwa tersebut. Terdapat beberapa hikmah kenapa umat Islam dilarang daripada menyerupai golongan bukan Islam.

Pertama, kesemua ajaran agama selain Islam dibangun di atas asas yang terpesong dan rosak.

Kedua, dengan meniru ajaran bukan Islam, ia akan menjadikan umat Islam pengikut mereka.

Ketiga, meniru perbuatan orang bukan Islam akan menimbulkan rasa kagum kepada kepercayaan dan tatacara hidup mereka.

Keempat, meniru ajaran bukan Islam akan melahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada orang-orang yang ditiru, iaitu bukan Islam.

Kelima, meniru bukan Islam akan menyebabkan umat Islam terjerumus ke dalam kehinaan kerana akan sentiasa merasa rendah diri kepada orang kafir.

Jika kita mengamati isu pengkid pula, ia berkaitan dengan hukum tasyabbuh jua iaitu larangan menyerupai jantina lawan. Ini jelas berdasarkan hadith Rasulullah iaitu:

Dari Ibn `Abbas ra meriwayatkan bahawa : “Rasulullah saw melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki” (Hadith riwayat al-Bukhari)

“Rasulullah saw melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki”.(Hadith riwayat Abu Daud).

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelas terbukti bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh kerana itu, umat Islam hendaklak patuh dan tunduk. Sebagaimana firman Allah :. Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (An-Nisa’:115) .

Selain daripada itu, diharapkan jua, agar fatwa yang berkaitan dengan lelaki yang menyerupai wanita atau ‘tomboy’ dapat dikeluarkan. Ini bagi mengelakkan kekeliruan sesetengah pihak yang menuduh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) cuba mendiskriminasi golongan wanita.

Majlis penerangan berkaitan fatwa-fatwa yang dikeluarkan hendaklah diperhebatkan bagi menangkis tuduhan-tuduhan melulu sesetengah pihak yang cuba memburuk-burukkan agama Islam. Umat Islam jua hendaklah berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan agama mereka terutamanya di dalam bidang akidah. Ini bagi mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam perbuatan yang boleh menjejaskan keimanan kita.


Mohd Masri Bin Mohd Ramli
Unit Penerangan dan Penerbitan
INTIS Consultant

http://intisonline. com


07 October 2008

Abdul Hadi Awang: Majoriti Melayu Muslim Asas Kerajaan Pakatan Rakyat (Siri I)

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Oleh: Aqil Fithri

Islam ada pengalaman yang menarik dan elok jika dihimbau kembali dalam menghalusi kerumitan politik dewasa ini. Bagi Ibn Taimiyyah, adalah lebih penting pemimpin muslim yang zalim berbanding pemimpin kafir yang adil, asalkan shariat Islam maseh ditegakkan.

Jalur Ibn Taimiyyah ini sebenarnya ditentang oleh Khawajah Nasir ad-Din at-Thusi. Kini, dalam konteks penekanan PAS pada majoriti Melayu Muslim, wacana—antara nilai dan shariat—ini menarik untuk diangkat. Apatah lagi, al-Qur’aan menerusi Surah al-Maaidah, ayat 8 turut membicarakan kedekatan taqwa dengan keadilan. Wawancara Ummahonline.com bersama Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ini membuka medan perbahasan panjang.

Khalayak melihat Pakatan Rakyat (PR) memberi harapan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). PR menjanjikan penghapusan akta-akta yang menindas, pendidikan percuma, kebajikan yang meluas, dan sebagainya. Jadi, apakah ada lagi kebimbangan lain untuk kita memilih PR?

Saya rasa, bagi PAS tidak ada kebimbangan, kerana PAS konsisten dengan Islam yang diperjuangkan… di mana dalam penyertaan kita bersama PR, tidak disentuh idealogi perjuangan parti masing-masing. Dalam hal ini, PAS berhak untuk menyatakan Islam sebagai satu syarat yang penting kepada sebarang perubahan. Kepada PAS, sebarang perubahan dalam negara tanpa meletakkan Islam, tidak akan berjaya. Ini kerana, kita telah mengalami percubaan idealogi-idealogi yang lain daripada Islam—bukan sahaja di Malaysia, tapi di seluruh dunia—iaitu kegagalan komunisme, sosialisme, kapitalisme, dan liberalisme yang sedang kita hadapi ini. Ini kegagalan orang yang bukan Islam. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya kita mengemukakan Islam sebagai penyelesaian. Dengan sebab itu PAS meletakkan syarat Islam adalah syarat penting dalam sebarang penyertaannya di dalam PR.

Sebelum ini, Tuan Guru ada menyebut jumlah ahli parlimen PR mestilah majoriti Melayu Muslim. Persoalannya, mengapa Melayu?

Melayu ini kerana majoriti orang Islam (di Malaysia) adalah Melayu. Bahkan kalau kita baca Muqadimmah Ibn Khaldun, ada hadith yang menyebut, “pemimpin dari Quraisy.” Ini kerana, yang menjadi teras kepada penguasaan Islam pada masa itu adalah kabilah Quraisy. Maka, syarat kepimpinan mestilah Quraisy.

Di Malaysia, oleh kerana majoriti orang Islam adalah Melayu, dengan sebab itu kepimpinan Melayu Islam adalah lebih utama… kecuali kalau berubah, orang Cina masuk Islam ramai-ramai, dan mereka menjadi majoriti. Maka, sudah tentu mereka yang perlu menjadi teras. Itu pernah berlaku dalam sejarah Islam. Bila orang Turki yang menganut Islam, mereka merupakan orang Islam yang terkuat, maka mereka menjadi kepimpinan.

Di Malaysia, hakikat ini diterima oleh semua parti-parti politik, bahawa teras ialah Melayu Islam. Cumanya, kita mahu Islam dijadikan prinsip kepada penyelesaian masalah-masalah dalam negara. Ini satu perkara yang sering ditinggalkan.

Bukankah sudah memadai majoriti Muslim sahaja?

Muslim sahaja tidak cukup. Muslim lain, Islam lain. Muslim itu ada orang yang memelok Islam tapi tidak beramal dengan Islam. Kita mahu, Muslim yang beramal dengan Islam. Saya yakin, jika Islam dijadikan model… sepertimana yang kita pernah laksanakan di Kelantan, juga di Terengganu, dan seperti yang kita sedang laksanakan di Kedah dan di Perak. Dan, ini tidak menjadi masalah kepada orang bukan Islam. Apa salahnya bila Islam itu kita kemukakan dalam perubahan peringkat pusat? Bahkan peringkat pusat lebih wajar, sebab kuasanya lebih berbanding dari peringkat negeri lagi.

Tapi bukankah kedudukan Islam dan juga Melayu telah terjamin dalam perlembangaan, termasuklah menerusi institusi Yang Dipertuan Agong sendiri?

Yang penting kita menafsirkan perlembagaan menurut al-Qur’aan dan Hadith. Bukan menafsirkan mengikut barat. Islam dalam perlembagaan hari ini ialah Islam sebagai religion. Islam bukan religion, tapi ad-Deen, yang mempunyai makna yang lebih luas. Sebab itu, kita pakai perlembagaan itu juga, tapi Islam itu sebagai ad-Deen, bukan sebagai religion.

Tapi, bukankah PAS boleh menarik diri dari PR sekiranya berlaku masalah setelah pembentukan kerajaan PR nanti. Malah, dengan sendiri PR akan turut terbubar pada waktu tersebut?

Sehingga hari ini, kita maseh dalam PR. Kita tidak bersedia untuk keluar lagi. Kita maseh peringkat awal, peringkat perbincangan, peringkat mahu membuat perubahan, dan belum lagi peringkat memerintah negara. Saya yakin dan percaya, kerana hari ini parti-parti pakatan rakyat telah menerima majoriti Muslim. Ini mereka telah terima. Saya difahamkan DAP pun terima, Keadilan pun terima, iaitu mesti majoriti mesti Islam.

Bukan saya membuat kenyataan begitu sahaja, bahkan saya mendapat maklum balas, bahawa kalangan bukan-Islam menerima majoriti Islam dalam kerajaan. Ini perkara yang sangat penting.

Tapi, apakah PAS menaruh kecurigaan terhadap ahli parlimen bukan-Islam yang ingin menyeberang ke dalam Pakatan Rakyat?

Kita menghukum apa yang zahir. Itu yang diajar oleh Islam. Hakikat yang tersembunyi, itu di sisi Tuhan. Kerana, Tuhan mengajar kita dalam al-Qur’aan, sekiranya mereka mahu menipu kamu, maka Allah akan menjadi penolong kamu dalam menghadapi mereka.

Jadi, yang penting keikhlasan kita untuk melaksanakan Islam.

Sekiranya PAS mengancam untuk keluar dari Pakatan Rakyat, itu boleh membangkitkan soal penjanjian PAS dengan Pakatan Rakyat. Tidakkah tindakan tersebut menunjukkan PAS ingkar pada penjanjian?

Tidak ada ancaman. Ancaman tidak ada. Bahkan ini dibincang secara terbuka di dalam parti-parti pakatan rakyat.

Memang isu berkenaan majoriti Melayu Muslim telah lama timbul. Tapi, berkenaan berita tentang penarikan diri PAS dari Pakatan Rakyat hanya baru saja timbul?

Itu permainan media. Media yang menimbulkan isu PAS hendak keluar. Saya tegaskan, kita maseh lagi dalam Pakatan Rakyat.

Tapi, tidakkah PAS memerlukan muktamar khas untuk memutuskan sebarang kedudukannya dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak mahu menjawab soalan yang berupa andaian. Andaian bila tiba masa baru kita membuat keputusan. Muktamar khas bukan mesti. Kalau tidak perlu, cukup dengan keputusan PAS Pusat sahaja.

Tapi, kalau melihat kaitan isu majoriti Melayu Muslim ini, Nabi turut bertolak ansur dalam Penjanjian Hudaibiyyah. Tidak begitu?

Tapi, Nabi tidak bertolak ansur dalam perkara prinsip. Nabi hanya bertolak ansur dalam perkara cabang sahaja. Nabi tidak terima supaya pemerintahan Islam dibubarkan. Apa yang diterima ialah, Penjajian Hudaibiyyah itu memberi makna bahawa pemimpin mustrikin makkah mengiktiraf Madinah adalah sebuah kerajaan Islam. Ini yang penting dalam Penjanjian Hudaibiyyah.

Adapun syarat-syarat penjanjian tersebut, itu adalah cabang. Prinsip Penjajian Hudaibiyyah itu adalah mengiktiraf kerajaan yang dibentuk oleh Nabi di Madinah. Itu kita kena sedar.

Tapi dalam soal BN dan PR ini, bukankah PAS juga boleh memakai kaedah “memilih kemudaratan yang lebih kecil”?

Pakatan Rakyat belum lagi teruji pemerintahannya di peringkat pusat. Apa yang ada cuma di peringkat negeri. Dengan sebab itu, penekanan dibuat di peringkat negeri seperti yang ada sekarang… di mana kita telah diberi kepercayaan untuk memimpin dua buah negeri, di samping Kelantan. Ini satu kepercayaan yang sangat besar. Bahkan, kita turut menerima hakikat DAP memerintah Pulau Pinang, dan keadilan memimpin Selangor. Dan kita menyertai kerajaan tersebut. Jadi, sebab itu tidak timbul lagi soal keluar dari Pakatan Rakyat, sebab kita maseh bersama dalam kerajaan (negeri).

Jika PR—peringkat pusat—belum lagi teruji, mengapa PAS meletakkan batas-batas lebih awal sebelum diuji?

Itu sebelum mendirikan kerajaan, maka kita mestilah ada asas dahulu. Majoriti Melayu Muslim adalah asas kepada kerajaan ini. Asas itu kena ada. Macam kita nak mendirikan rumah juga. Tapak rumah tersebut mestilah diuji terlebih dahulu. Rumah tidak ada lagi… dan ujian rumah setelah membinanya adalah ujian kedua. Sebaleknya, ujian pertama ialah tapak rumah tersebut.

Tapi, kita melihat ada perbezaan sikap dengan DAP di Perak. Di Perak, DAP sedia memilih Menteri Besar dari kalangan PAS, meskipun mereka mempunyai suara majoriti dalam DUN. Ini menunjukkan satu tolak-ansur DAP dalam semangat Pakatan Rakyat. Jadi, adakah ini juga menunjukkan bahawa DAP sebenarnya lebih berjiwa besar berbanding PAS?

Alhamdulillah, kita lebih lama dari DAP. Kita ditubuhkan pada 1951, sebaleknya DAP dalam tahun 1960-an. Kita lebih awal. Dan kita menghadapi tribulasi lebih hebat dari DAP lagi. Kita berpengalaman memerintah kerajaan negeri. Kita berpengalaman menjadi kerajaan campuran bersama dengan BN. Kita berpengalaman menjadi pembangkang. Kita berpengalaman semua. DAP baru saja berpengalaman memerintah kerajaan Pulau Pinang. Kita lebih lama. Dan kita berjiwa besar kerana ketahanan kita pada prinsip kita. Dengan sebab itu, prinsip Islam yang kita perjuangkan ini adalah sangat penting. Inilah teras kepada jiwa besar kita.

Setelah kejatuhan Baghdad, banyak ilmuan Islam yang muncul. Ini termasuklah Ibn Athaillah dalam bidang tasawwuf, Ibn Katsir dalam bidang tafsir, Nasir al-Din al-Thusi dalam bidang falsafah, dan Ibn Taimiyyah dalam bidang aqidah, dan ramai yang lain lagi. Salah satu rumusan Ibn Taimiyyah dalam Minhajul Sunnah ialah “pemimpin muslim yang zalim lebih baik dari pemimpin kafir yang adil.” Jadi, apa pandangan Tuan Guru tentang pandangan Ibn Taimiyyah ini?

Itu pandangan yang betul, dalam soal kepimpinan negara. Sebab itu saya rasakan bahawa majoriti Muslim itu penting. Kerana kepada kita, idealogi negara iaitu Islam adalah sangat penting. Bila kita memilih seorang Islam, idealoginya Islam, walaupun dia seorang yang zalim, tapi dia tetap melaksanakan shariat Islam. Jadi, ini yang kita mahu. Itu yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyyah. Apa yang berlaku hari ini tidak wujud. Yang berlaku hari ini ialah orang Islam yang tolak idealogi islam. Ini masalah yang kita sedang hadapi. Itu lain dengan maksud dari kitab Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah itu zaman Tartar menguasai Baghdad, di mana pada masa itu ada kerajaan-kerajaan Islam. Dan kerajaan Islam itu maseh melaksanakan shariat Islam. Walaupun rajanya minum arak, dan berfoya-foya, tapi rajanya tidak berani untuk membatalkan shariat Islam. Apa yang berlaku hari ini, pemimpinnya orang Islam, tapi menolak terus pemerintahan cara Islam. Ini masalah yang kita hadapi.

Jadi, ini bercanggah dengan pandangan Nasir al-Din al-Thusi yang meletakkan “pemimpin kafir yang adil lebih baik dari pemimpin muslim yang zalim?”

Itu pada zamannya. Zaman pemimpin Islam yang memerintah dengan Islam. Peribadi pemimpin itu sendiri memang buruk. Kita hari ini, ada pemimpin yang sembahyang, tapi tak laksanakan shariat. Jadi, kita perlu letakkan asas pemerintahan Islam sangat penting. Kita tidak ada pemeritahan Islam hari ini. Itu masalah kita.

Artikel asal dari Ummahonline.

25 September 2008

Hati-hati di Jalan Raya

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Esok, rasanya dah ramai yang start balik kampung. Bagi Terengganu, Kelantan dan Kedah, cuti sekolah sudah bermula esok. Jadi, kepada yang dah mula bercuti dan mahu pulang ke kampung halaman, harap berhati-hati di jalan raya.
Iklan JKJR: Klik tali pinggang tu, nanti kena saman macam aku. Hehehhehe.

Jadual Perjalanan PLUS. Jika baik, ikut. Rasa tak sesuai ikut rasa hati. Janji hati-hati di jalan raya.

Ini petua di jalan raya. Ambik yang mana baik. Pandu perlahan jika berada di laluan yang dirasakan sempit dan tidak selamat. Mungkin kita berhati-hati, tetapi bagaimana dengan orang lain?

Akhir sekali, jangan lupa ini;

Doa Naik Kenderaan

Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!

Amin... Semoga kalian selamat pulang dan kembali.

14 August 2008

Selamat Bermuktamar!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedih rasanya tahun ini bilamana tidak sempat untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas di Ipoh. Aku bilamana mendapat tahu muktamar akan diadakan di Ipoh, aku sudah plan untuk menginap di rumah Kak Long. Lama rasanya tak jumpa Afiq, Alia, Nurin dan Hadi.

Sewaktu Pas Perak menganjurkan Ceramah 5 MB Pakatan Rakyat, aku sempat ke sana. Walaupun seketika, aku sempat singgah umah Kak Long. Kerana singgap sekejap, marah betul Nurin kepada aku. Kesian anak sedara aku yang sorang tu.

Sedih kerana tahun ini walaupun tidak melalui tahun pemilihan, muktamar tahun dirasakan cukup menghangatkan. Isu yang bakal dibahas dan diperkatakan cukup segar dan begitu menyelerakan banyak pihak termasuk dari Umno sendiri. Apatah lagi muktamar berlangsung dalam saat Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh akan berlangsung.

Selamat bermuktamar! Aku tetap ikuti dari jauh. ;)

28 July 2008

Surat Terbuka untuk Pimpinan-pimpinan Pas

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya maaf kerana tulisan ini ditulis secara terbuka. Namanya pun surat terbuka. Namun keterbukaan surat ini diharap tidak membuka terlalu banyak prasangka dan buruk sangka. Harapnya juga penulisan ini dapat menjadikan para pimpinan semua terus menjadi contoh dan rujukan kepada semua masyarakat di bawah.

Surat terbuka ini ditulis bukan untuk mengkritik mana-mana Pimpinan Pas, tetapi lebih kepada mengingatkan sesama insan. Aku ni terlalu kecil sebenarnya untuk menulis, apatah lagi kepada pimpinan-pimpinan Pas sekalian. Apatah lagi dengan tarbiyyah yang diterima aku tidak seberapa, amal juga teramat kurangnya.

Namun, pada aku peringatan itu perlu. Baik kepada yang atas, mahupun kepada yang bawah. Tidak mendengar peringatan, itu bab yang lain. Menyampaikan peringatan, itu satu bab yang lain pula.

Mengikut aku yang cetek pengalaman dan kurang tarbiyyah ini, dalam berjemaah kita ada adab. Adab itu bukan setakat mengikut peraturan yang termaktub dalam perlembagaan parti, namun turut merangkumi peraturan perjalanan sebuah harakah Islamiyah. Aku percaya, adab yang aku maksudkan ini tiada tercatat secara langsung, tetapi boleh dilihat dan diambil dari usrah kecil mahupun usrah besar yang menekankan konsep itu dan ini sesebuah harakah Islamiyah.

Secara terus terang, aku melihat apa yang berlaku dalam isu Muzakarah / Muqobalah memperlihatkan bagaimana 'rakus' dan 'tamak' sesetengah pimpinan dalam mahu menjuarai isu. Isu yang sepatutnya diulas dan didengar terlebih dahulu dari pimpinan atas dibahas di peringkat bawahan sehingga ianya menjadi sesuatu yang mengecohkan.

Tidak semua strategi perlu didedah, apatah lagi bilamana keputusan Syura sudah memutuskan sesuatu mengenainya. Soal tidak tahu ianya keputusan Syura, itu soal lain. Tidak semua Ajk dalam mana-mana peringkat perlu tahu sesuatu perkara sehingga mereka sepatutnya tahu. Jika perlu tahu sekalipun, apa salahnya bertanya secara personal. Cukup dengan pernyataan "saya belum tahu isu ini bla.. bla.. bla dan akan minta ulasan pimpinan A dan B untuk kepastian".

Namun, dalam tidak tahu lebih lanjut terus mengulas dan menghentam pimpinan atasan, itu sudah di luar adab. Lebih malang jika mengulas dan menghentam pimpinan secara terbuka. Baik media massa, mahupun media elektronik mahupun laman sesawang sendiri. Itu tiada adab namanya.

Benar itu pendapat peribadi. Namun, 'menyerang' pimpinan atasan dengan cara sebegitu juga adalah serangan peribadi. Peribadi pimpinan yang menyerang dilihat tidak elok, peribadi pimpinan yang diserang juga tidak elok pada pandangan awam.

Kita bukan DAP yang cakap tanpa batas. Tiada mereka tahu adab, akhlak dan rukun-rukun yang patut dipatuhi dan diikuti. Bai'ah, wala' dan lain-lain istilah langsung mereka tidak faham dan tidak pernah diusrahkan kepada mereka. Sebab mereka adalah DAP.

DAP tidak pernah tahu bila kita bercakap soal menerima keputusan mesyuarat akan mendapat pahala. Jika keputusan itu betul, kita diajar pahalanya dua. Jika tidak tepat, kita diberitahu pahalanya satu. DAP tidak pernah tahu ini semua. Apatah lagi DAP tidak pernah tahu peranan Majlis Syura, peranan Dewan Ulama' mahupun lain-lain badan. Apa yang DAP tahu adalah badan-badan itu selalunya bersikap 'tegas' dan 'menghalang'.

Sedangkan kita merujuk dewan dan badan-badan tadi bagi menghalusi sikap, keputusan dan pendirian kita. Kita kuat dan kukuh kerana badan-badan ini berfungsi untuk memantau jemaah sepanjang masa. Mereka sering menunjuk jalan. Walaupun sempit, namun jalannya tetap ada. Jalan diberi dengan alasan yang kukuh. Ada hukumnya. Jika jalan ditutup juga kukuh. Juga disertakan hukumnya.

Dalam sesuatu keadaan, diam itu lebih baik. Bimbang jika tersalah cakap, benda kecik menjadi besar. Dengan isu yang agak 'panas' kedudukannya, lebih-lebihlah perlu berhati-hati. Peluang dan ruang untuk musuh menerkam sentiasa terbuka.

Percayalah, pimpinan yang telah diamanahkan tidak akan sekali-kali mengkhianati amanah. Ketika mana kemenangan itu hampir, ketika itu ujian semakin berat. Usah terpengaruh dengan pendapat umum yang kadangkala nakal. Usikan mereka adakalanya berat, keterlaluan dan malahan melukakan.

Mereka begitu kerana ada di antaranya sayangkan perjuangan, tetapi tidak tahu saluran. Mulalah mereka cerita yang bukan-bukan. Apatah lagi jika pimpinan yang ada tiada sehaluan. Mereka hanya penyokong, tidak pernah pun berjuang. Ada juga yang bermuka-muka. Berpura-pura baik, sedangkan cuba memecahkan.

Berlapanglah dada. Tidak semua yang kita lihat tidak baik itu natijahnya juga tidak baik. Kita diperlihatkan dengan Sirah Rasulullah s.a.w ketika mana baginda menandatangani Perjanjian Hudaibiyah. Kelihatannya seolah-olah merugikan Islam, tetapi Allah kemudiannya menurunkan firmannya dalam Surah Al-Fath, ayat yang pertama bagi menjawab keraguan para sahabat:

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (Wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata"

Ketika itu barulah sahabat-sahabat tersenyum dan yakin dengan keputusan Rasulullah s.a.w.

Wallahua'lam.


Hamba yang kurang diajar,

Amdang81
28 Julai, Kuala Terengganu.

Nota: Penggunaan katanama AKU bukan bermaksud ego, atau sikap kurang ajar aku dengan mana-mana pimpinan PAS, tetapi disesuaikan dengan penulisan aku secara bersahaja ini dan mengikut lunas blog aku. Jika inipun nak dijadikan suatu perbahasan yang besar, apa nak dikata. :(

25 June 2008

Tumit Tinggi dan Gincu: Gol untuk MPKB-BRI!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Cepatnya media melenting dan melentingkan. Itulah yang aku kira berlaku semalam apabila rata-rata media membuat telahan seolah-olah larangan memakai gincu dan berkasut tumit tinggi dikuatkuasakan di Bandar Kota Bharu. Tajuk-tajuk yang sekali pandang jelas seolah-olah larangan tersebut menyeluruh kepada semua yang berada di Bandar Kota Bharu.

Semuanya bermula daripada surat pekeliling serta risalah etika berpakaian untuk wanita muslimah yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Surat pekeliling dan risalah 'MPKB-BRI Cakna Anak Muda' yang memaparkan etika berpakaian wanita muslimah diedarkan bersama seolah-olah itu adalah 'arahan' yang dimaksudkan.

Sebenarnya surat pekeliling dan risalah itu tiada kaitan secara berarahan. Surat pekeliling meminta peniaga Islam tidak kira lelaki atau wanita menutup aurat sementara peniaga bukan Islam berpakaian sopan. Ianya merupakan arahan yang dikeluarkan setiap tahun sejak tahun 2002 lagi. Oleh kerana ianya diedarkan secara bersama, maka ianya dilihat dan difahami sebagai suatu arahan.

Risalah berkenaan sebenarnya adalah kempen untuk memperjelaskan kepada kaum wanita mengenai etika berpakaian sebenar mengikut ketetapan Islam termasuklah larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi. Gincu dan kasut tumit tinggi dijadikan contoh larangan mungkin disebabkan kedua-duanya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Gincu dengan warnanya yang menyerlah misalnya sudah tentu dapat menarik perhatian terutamanya lelaki. Apatah lagi sesetengah wanita memang menggunakan gincu sebagai daya penarik. Mungkin ada yang beralasan bergincu kerana menutup warna bibir yang kusam dan pucat. Alasan tetap alasan, namun jika kecerahan bibir sama dengan warna merah 'trafic light', itu memang mahu orang yang melihat itu berhenti.

Begitu juga dengan kasut tumit tinggi. Aku tidak tahu sebenarnya rasional kasut tumit tinggi ini kepada wanita melainkan bagi menampakkan mereka lebih tinggi. Mungkin dirasakan dirinya anggun bila tinggi. Atau nak berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah?

Apapun, kasut tumit tinggi memang secara umumnya akan melahirkan kesan hentakan yang lebih dari kasut biasa. Hentakan itulah yang akan melahirkan tarikan kepada pendengarnya. Ini kerana si pemakai terpaksa 'memacak' hentakan kakinya bagi memastikan jalannya stabil dan kemas. Jika tidak mereka mudah tergelincir dan terjatuh. Kebaikan kasut sebegini adalah mereka akan berjalan dengan berhati-hati.

(nota: aku tulis bab kasut tumit tinggi ni berdasarkan agak-agak aku. Aku tidak biasa dengan kasut tumit tinggi. Lagipun adik beradik aku semuanya tinggi-tinggi. Jadi agaknya sebab itu mereka tiada alasan lagi mahu memakai kasut tumit tinggi.)

Dua perkara di atas adalah sebahagian contoh sahaja dalam risalah berkenaan. Risalah terbabit turut menyentuh pemakaian baju ketat dan seluar dikalangan wanita serta tudung yang kecil dan jarang. Namun, oleh kerana dua perkara di atas tadi dilihat agak kurang relevan (pada mereka yang tidak punya mata), maka ianya diperbesar-besarkan.

Aku kira risalah berkenaan tepat dikeluarkan. Ini kerana pakaian muda-mudi hari ini amat keterlaluan dan memang merimaskan. Hari ini sudah sukar mahu melihat anak-anak muda bertudung dan berbaju kurung. T-shirt ketat dan bertudung memang ramai. Budaya bungkus tangkap muat sahaja. T-shirt singkat sehingga tunduk / angkat tangan, ternampak kulit.

Apapun, pada aku kebanyakan wanita Kelantan, memang antara yang paling suka bersolek dan 'berjangok' berbanding wanita-wanita di negeri lain. Tahniah kepada MPKB-BRI atas usaha yang dijalankan. Aku kira media yang berniat memberi kesan negatif kepada Pas Kelantan akhirnya telah memberi hebahan program yang telah dijalankan di Kelantan. 1 Gol untuk MPKB-BRI.

Kenapa Satu gol?. Musim bola. Wallahua'lam.

23 May 2008

Bahana Akademi Fantasial

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Pertamanya maaf sekiranya apa yang aku rasa ini jauh tidak tepat sepertimana berita melaporkannnya. Metro hari ini menyiarkan bagaimana seorang Imam tertipu dengan sindiket SMS AF6. Klik. Utusan juga memuatkan berita yang hampir sama perihal apa yang berlaku kepada Imam berkenaan. Klik.

Aku tidak tahu samada Imam berkenaan peminat AF atau tidak. Ada sahaja kemungkinan yang ada. Namun, itulah bahana AF yang menjadi kegilaan hari ini. Ditambah dengan perjudian SMS yang awalnya dahulu dikatakan Haram dan diperdebatkan, namun hari ini seolah-olah ianya menjadi halal dan sebahagian keseronokan.

AF secara jelasnya memang tidak nampak di mana ke'halal'annya. Tidak kira si penyanyi itu bertudung, menyanyi lagu patriotik mahupun melakukan tarian tidak menghairahkan. Pada aku institusi yang wujud itu memang ke arah tidak Halal.

Apapun kegilaan terhadap AF dan sebagainya, aku harap tiada Imam yang cuti Solat Isyak pada malam persembahan / pertandingan diadakan. Walaupun dikatakan sekadar hiburan 'tengok je, tak ngundi pun', namun sedikit sebanyak sebenarnya tetap menyumbang kepada perkembangan AF itu sendiri.

Wallahua'lam.

p/s: Nasib baik aku guna nama AMdang bukan AFdang. Heheheh.

01 April 2008

Penjelasan: MB Terengganu Pexxxxx dan Penxxxxx

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"Salam amdang, Mat Said dah jadi MB. Bila nak dedah skandal seks dia?" Mesej dari YM yang aku terima. Aku juga menerima email peribadi dan desakan pada komen di blog pada artikel terbabit.

Pertamanya terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada aku selama ini khususnya dalam dunia blog ni.

Sebenarnya aku memang berniat mahu mendedahkan apa yang aku namakan skandal seks Mat Said itu. Namun, seperti yang kalian lihat pada blog ini, aku sudah memotong / strike artikel berkenaan.

Ini bukanlah bermaksud aku mahu memungkiri janji itu, namun memandangkan seperti pandangan-pandangan yg tertulis dalam komen blog yang melarang pendedahan itu yg sudah tentu melibatkan hukuman Qazaf yang terkandung dalam Hukum Jenayah Islam itu sendiri, buat aku berfikir dua kali.

Pada mulanya aku berkeras mahu mendedahkannya juga, tetapi memandangkan ada yang secara peribadi menegur dan mengingatkan aku tentang hal yg tersebut, membuatkan aku membatalkan sahaja niat aku itu.

Sebenarnya satu artikel pernah disiarkan dalam sebuah blog berkenaan skandal ini, penceritaannya pada aku amat jelas dengan nama, umur mangsa, keluarga mangsa bahkan tempat (alamat rumah) dan masa kejadian juga disertakan sekali. Malah plat kenderaan Mat Said ketika itu yang merupakan kereta rasmi EXCO nombor plet TR 4, jenis Mercedes Benz turut didedahkan.

Namun, baru-baru ini aku lihat tiada lagi artikel berkenaan di sana. Mungkin juga tuan punya blog itu turut sama membuangnya bagi mengelakkan apa-apa kesan yang timbul kemudian. Link blog tu ada dalam senarai link di blog aku ini. Kalu aku beritahupun, artikel berkenaan sudah dihilangkan.

Aku mohon maaf atas 'kesilapan' yang dilakukan ini. Namun aku amat menghormati pandangan-pandangan peribadi dari sahabat-sahabat, dari family yang mahu aku tidak mendedahkannya.

Harap maaf, dan insyaAllah aku kongsi nanti maklumat lain yang lebih relevan dan sesuai untuk didedahkan.

Wallahua'lam.