oleh: Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Setelah sekian lama rakyat Terengganu dizalimi dan dinafikan hak untuk memperolehi hasil royalti minyak, maka akhirnya bayaran royalti ini dikembalikan ke pangkuan rakyat negeri Terengganu.
Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada 14 Jun 2008 bahawa bayaran royalti minyak ini akan dikembalikan telah memberi gambaran bahawa sememangnya pembayaran tunai hasil royalti minyak sejak dari 5 September 2000 telah dinafikan walaupun ianya telah termaktub dalam perjanjian perundangan antara kerajaan pusat dan negeri Terengganu.
Ternyata rakyat telah dianiaya dan dizalimi hasil dari tindakan politik sempit kerajaan pusat apabila PAS mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1999 yang lalu.
Penafian hak ini berlaku semata-mata kerana rakyat telah melaksanakan tanggungjawab berdasarkan kepada lunas demokrasi dalam pilihan raya.
Sejak itu PAS telah mengambil tanggungjawab untuk mendapatkan kembali hak yang sememangnya termaktub dalam perjanjian ini dengan memulakan proses perundangan setelah kerajaan pusat pimpinan BN terus menerus menunjukkan sikap tidak peduli dengan permintaan kerajaan negeri pimpinan PAS untuk mendapatkan kembali royalti minyak.
Ternyata bukan sahaja kerajaan pusat tidak menghormati prinsip perjanjian yang telah ditandatangani, tetapi juga telah secara tidak beretika menukarkan status wang royalti dengan nama yang lain tanpa secara sah dan bertanggungjawab.
Apabila pimpinan kerajaan negeri Terengganu bertukar tangan pada tahun 2004, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh tidak berusaha mendapatkan kembali wang royalti ini, sebaliknya menerima peruntukan Dana Khas yang berjumlah berbilion ringgit kononnya sebagai ganti wang royalti minyak yang sepatutnya dibayar.
Hasilnya, pembelanjaan terhadap peruntukan Dana Khas ini tidak dilaksanakan dengan telus dan berintegriti sebagaimana yang telah dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.
Sepanjang tempoh ini, PAS sentiasa konsisten memperjuangkan hak rakyat ini tanpa henti. PAS menaruh harapan yang tinggi agar khazanah negeri ini digunakan secara telus, adil dan penuh integriti untuk kepentingan seluruh warga negeri Terengganu tanpa mengira anutan agama, bangsa dan fahaman politik kepartian.
PAS juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh ahli dan kepimpinan PAS, badan-badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT), orang perseorangan dan seluruh rakyat Malaysia yang telah melakukan pelbagai usaha sehingga akhirnya wang royalti minyak ini kembali ke pangkuan rakyat. Tahniah Rakyat Terengganu, Tahniah Untuk Semua.
1 comment:
Itulah perangai UMNO. Sesama Islam pun nak dengaki.
Post a Comment