Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Minyak naik lagi. Kali ni memang teruk sebab kenaikan sebanyak 40%. Ketika Pak Lah umum minyak naik, aku sedang menggunting rambut seorang pelanggan. Pelanggan yang berumur sekitar 30-an itu mengeluh marah dengan pengumuman kenaikan yang tinggi itu. Lekas-lekas dia minta aku siapkan rambutnya bagi membolehkannya pergi mengisi minyak motor buruknya. Aku diam dengan seribu satu permasalahan yang bakal berdepan dengan kenaikan harga minyak itu.
Sejak tahun 2000, harga yang aku tawarkan bagi perkhidmatan menggunting rambut adalah RM 5 bagi seorang dewasa, RM 3 bagi seorang budak. Jika yang aku agak-agak berumur dalam 20-an biasanya aku kenakan harga RM4 sahaja. Harga baru itu aku kenakan setelah aku memasang aircond (dalam BM pendingin hawa atau penghawa dingin?) dalam bilik pengguntingan. Aku label kedai dengan "Kedai Gunting Berhawa Dingin Amdang".
Sebelum tahun 2000, kadar bagi seorang dewasa RM4 dan budak-budak RM2. Namun selepas aku merasakan kos hidup yang meningkat naik, aku tidak mampu lagi bergantung kepada harga lama. Maka aku membawa perubahan dengan konsep kedai berhawa dingin. Sebenarnya kos aircond tidak seberapa sangat. Lagipun aku juga lebih selesa dengan suasana sejuk dan dingin. Namun, bagi memastikan aku tidak tersepit, maka aku terpaksa menaikkan kadar harga menggunting.
Aku sebenarnya amat berat bagi menaikkan harga kepada pelanggan. Pelanggan tentu marah. Mereka akan persoalkan apa kaitan kedai gunting dengan harga minyak petrol? Mereka benar. Kos aku hanyalah gunting, mesin rambut, pisau cukur dan beberapa barangan lain yang turut membantu kerja-kerja aku. Kenaikan kos operasi memang cukup sedikit. Letrik pun aku rasa tidak akan memberi kesan besar kepada aku.
Itu pada mereka. Pada aku walaupun minyak naik, aku memang akan tersepit dan akan memikirkan untuk menaikkan harga menggunting. Sewa kedai mungkin kekal selagi tuan kedai merasakan wajar pada tahap lama. Namun, kenaikan kos-kos hidup seharian akan membuat aku turut tersepit.
Bayangkan jika pendapatan menggunting aku sebelum ini sekitar RM 1800 sebulan. Namun pendapatan aku tidak menentu. Jika musim sebelum buka sekolah, banyak la. Musim raya pun banyak juga yang datang bagi menggayakan rambut. Dengan RM 1800 itu aku perlu bayar sewa kedai, sewa rumah, sewa kereta, beli barang dapur, beli pisau pencukur, bil itu dan ini. Jika ditolak belanja anak ke sekolah, kempis poket aku.
Aku juga perlu bersedia dengan kekurangan menerima pelanggan bila berlaku kenaikan harga minyak. Makin ramai yang akan menggunting rambut 2 bulan sekali. Atau mungkin mengambil inisiatif memotong rambut sendiri di rumah masing-masing. Semua ini akan menyebabkan aku akan kekurangan pendapatan. Pendapatan kurang bermakna hidup aku akan makin tersepit. Selaku tukang gunting, cara mudah mendapatkan 'sedikit keuntungan' adalah dengan menaikkan harga menggunting.
Mungkin harga baru yang sesuai adalah RM6. Untuk kanak-kanak bakal naik kepada RM4. Itu adalah perkiraan baru dalam kepala aku. Jika tindakan sebegini tidak dilakukan, mungkin kesempitan dan kesulitan bakal dihadapi.
Aku terfikir, jika aku yang tidak berdepan secara langsung kenaikan harga minyak terpaksa menaikkan harga, bagaimana agaknya yang dihadapi oleh peniaga dan pengusaha lain yang terlibat secara langsung dengan minyak. Pemandu teksi, syarikat bas, pemaju perumahan, pengusaha makanan, dan sebagainya. Sudah tentu kewajaran bagi mereka untuk menaikkan harga barang atau perkhidmatan.
Terfikir juga kesan yang akan berlaku kepada penarik beca (err..bukan sang kutu), jurufoto, designer, dan apa-apa jua bidang kerja lain yang tidak terlibat secara langsung dengan minyak. Tentu mereka ini seperti aku yang terpaksa menaikkan harga perkhidmatan jika tersepit.
Mereka yang makan gaji juga tidak terlepas sebenarnya dari terhimpit. Gaji mereka tetap dan tidak akan naik sendirinya. Bergantung kepada pihak pengurusan mereka. Guru, kerani, tukang kebun, polis dan tentera semuanya akan terhimpit. Dengan kata lain, mereka ini tiada peluang menambah pendapatan jika tidak membuat kerja sampingan. Maka jadilah mereka ini guru tuisyen, penjual air batu, peniaga pasar malam, jaga dan sebagainya.
Agak parah jika mereka yang berada dalam ruang yang terdedah kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kesempitan hidup selalu menjadikan manusia hilang pedoman dalam bertindak. Kesempitan hidup juga kadangkala menjadikan manusia sanggup merompak, mencuri, menipu dan melakukan penyelewengan.
Anak-anak yang tidak diperhatikan ibubapa lantaran sibuk mencari duit tambahan akan mula hilang didikan dan kawalan. Tiada lagi si ibu bertanya dengan siapa anak berkawan, tiada lagi si ayah membelai anak sambil mengucapkan kata-kata nasihat. Anak-anak akan selesa dan percaya kepada kawannya sahaja. Bila institusi rumahtangga rosak, masyarakat turut rosak. Samada secara perlahan atau cepat, itu memang berlaku, sedang berlaku dan akan makin parah berlaku.
Aku tidak tahu apa fikiran Pak Menteri dalam isu kenaikan harga minyak ini. Jika dikatakan mahu merapatkan jurang kaya dan miskin, aku rasa semakin jauh. Jika mahu memulangkan subsidi kepada rakyat dengan rebat yang tidak seberapa, aku rasa berganda-ganda yang akan habis dari poket rakyat. Kadang-kadang terfikir juga aku, apakah mereka yang bergelar menteri dan barisan kabinet itu terdiri dari orang-orang bodoh dan bebal? Tapi mereka adalah menteri.
Alamak, pelanggan aku sudah datang. Aku perlu bersiap untuk menjalankan tugasku. Aku harap dia dapat menerima harga baru yang aku tetapkan ini walaupun berat sebenarnya untuk aku menaikkannya. Eh, dia berpatah balik? Adakah harga baru ini mahal baginya? Apakah aku perlu menambah servis mengurut kepala selesai menggunting bagi melayakkan aku menaikkan harga? Pening aku. Aku pening...
Sekejap tadi, aku menerima SMS mengajak untuk turun berdemo di Kuala Lumpur pada 5 Julai ini. Hari Sabtu. Demo bantah kenaikan harga minyak. Aku juga tidak bersetuju dengan harga minyak ini. Aku mesti pergi. Aku mahu minyak turun. Aku berjanji akan turunkan harga menggunting rambut. Aku juga berharap semua orang akan menurunkan harga barangan. Aku mahu negara aku aman. Aku akan demo secara aman. Biar harga minyak turun, rakyat tenang, tiada kegawatan, keluarga senang, masyarakat aman. Oh, aku mesti forward SMS ini kepada kawan-kawanku yang lain. Mesti!
Sumber gambar: razaklatif.blogspot.com
No comments:
Post a Comment