07 May 2008

Politik dengan kawan-kawan

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Hidup memang penuh dengan politik. Politik bukan hanya soal menggunakan kuasa, tetapi juga skills. Bukan sekadar melaksanakan, tetapi juga berfikir samada sesuatu tindakan itu tepat atau tidak. Sebab itu perlu senantiasa muhasabah diri, dengar komen-komen dari pelbagai sudut dan tidak malu untuk meminta maaf.

Ini cerita politik persahabatan. Bukan tiada isu politik kepartian, tetapi aku lebih suka membawakan isu ini terlebih dahulu. Politik dalam persahabatan perlu dan memang penting bagi memastikan kawan-kawan tiada kecil hati dan persahabatan terjalin sihat dan berkekalan. Tolak ansur itu politik, boikot juga politik dalam bersahabat.

Sebelum lebih mengarut, terlebih dahulu aku mohon kemaafan kepada beberapa orang sahabat yang telah melangsungkan perkahwinan beberapa hari sudah. Maaf kerana lambat ucap tahniah dan maaf kerana tidak menghadiri undangan (bagi yang mengundang).

Aku masih ingat 2 tahun sudah. Seorang sahabat (aku namakan A je) telah berkahwin tanpa mengundang sahabat-sahabat yang lain. Bila sahabat A tadi mengumumkan perkahwinannya dalam Yahoo!group, maka riuh seketika. Setelah dijelaskan sebab dan alasannya yang memang terpaksa mengadakan majlis secara kecil-kecilan itu, kami semua memahami dan menerima alasannya. Malahan, semua memberi sokongan kepada sahabat tadi atas tindakannya itu.

Aku sedikit terkejut sebenarnya dengan tindakan berani sahabatku itu. Mudah cerita, si A tadi berkeras dengan ayahnya mahu mengahwini seorang gadis kampungnya walaupun ditentang si ayah. Semoga mereka terus bahagia dan si ayah dan keluarga dapat menerima pasangan sahabatku itu.
Gambar hiasan semata-mata.

Walaupun pengumuman sedikit lewat, namun kerana didahului dengan permohonan maaf dan maklumat yang diterima secara langsung dari sahabatku si A, maka aku kira kami semua cepat kendur dan mudah memaafkannya. Aku tidak tahu apa akan jadi sekiranya berita perkahwinannya itu sampai ke telinga kami dari sumber kawan-kawan yang lain. Mungkin kami akan sedikit terkilan dan kecewa.

Aku sendiri sebelum ini bertunang dalam tempoh yang agak lama. Hampir-hampir setahun. Namun, oleh kerana masing-masing pandai menyimpan rahsia, dekat-dekat tarikh perkahwinan kami baru la ada beberapa orang yang tahu perihal kami bertunang. Kebetulan ketika itu sudah agak hampir dengan tarikh pernikahan. Maka, aku cepat-cepat mengumumkannya sebelum orang lain dapat tahu dari sumber lain selain aku.

Pada aku, beberapa perkara penting pada kita dan penting pada pandangan sahabat-sahabat perlu dijaga. Perkahwinan, kematian, sakit dan kelahiran anak perlu dikongsi. Mungkin kita sukar mahu berkongsi kesakitan atau penderitaan, namun kegembiraan aku kira sewajarnya dikongsi bersama. Walaupun berita gembira itu sekadar pengumuman tanpa jemputan kenduri dan sebagainya. Berita itu sudah memadai bagi yang memahami.

Aku masih ingat bilamana aku mengumumkan tarikh perkahwinan kepada kawan-kawan, ramai yang gelak dan menyangka aku bergurau. Ketika itu kad belum siap, jadi aku umum terlebih dahulu. Bimbang jika kawan-kawan mendapat maklumat dari sumber lain, dan berkecil hati. Maka, aku umum terlebih dahulu. Alhamdulillah dalam bab pengumuman, aku kira berjaya.

Namun dalam soal kad undangan, aku agak mengecewakan kawan-kawan bilamana ramai yang mengadu dan menunjukkan sikap kecewa bila tidak mendapat kad. Sedikit terkilan kerana aku agak berkira ketika itu untuk membuat kad dalam jumlah yang besar. Nampaknya persepsi kad jemputan masih perlu bagi menunjukkan kesungguhan kita menjemput mereka. Itu pengajaran yang aku dapat.

Hmmmm. Sekadar berkongsi rasa sambil melepaskan sedikit keluhan terhadap seorang sahabat. Apapun, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Wallahua'lam.

p/s: Jika ada yang mahu mengundang aku, pada aku kad tidak perlu. Berikan sahaja alamat dan panduan selengkapnya. Cukup SMS peringatan takut-takut aku terlupa tarikh bahagia itu.

2 comments:

Naza_europe said...

http://nazrul-osman.blogspot.com/

Unknown said...

artikel anda bagus dan menarik, artikel anda:
politik terhangat
"Artikel anda di infogue"

anda bisa promosikan artikel anda di www.infogue.com yang akan berguna untuk semua pembaca. Telah tersedia plugin/ widget vote & kirim berita yang ter-integrasi dengan sekali instalasi mudah bagi pengguna. Salam!