Sudah beberapa tahun aku meninggalkan dunia kampus. Selalu juga terdetik dalam diri untuk terus menyambung pengajian bilamana melihat kawan-kawan ada yang masih study. Sewaktu bekerja di Selangor sekitar tahun 2003, aku pernah memohon untuk memasuki semula kampus.
Alhamdulillah permohonan berjaya. Aku dan seorang teman sebilik sebenarnya mohon dari U yang sama dan kami sama-sama dapat. Namun, memandangkan ketika itu angin PRU 11 agak hampir, maka kami memutuskan menangguh seketika niat menyambung pengajian.
Niat yang sudah lama padan tetiba terbakar untuk masuk semula ke kampus. Hehehehe.
UiTM sedia tawar kursus penulisan blog
SHAH ALAM 12 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia memperkenalkan kursus berkaitan pengajian blog dalam usaha membantu pengendali laman blog lebih berwibawa dalam penulisan mereka.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, kebebasan media alternatif kini menakutkan kerana mereka boleh menulis tanpa kepakaran dalam bidang pemberitaan, tidak tertakluk kepada etika dan jarang sekali didakwa di mahkamah.
''Penulisan blog adalah terbuka dan boleh diceburi oleh sesiapa sahaja berbanding pengamal media tradisional yang memerlukan kelayakan, pengalaman dan latihan.
"Saya menyokong sepenuhnya cadangan ini (kursus berkaitan blog). Ia amat kena pada masanya. Kita tahu mereka (penulis blog) sudah pandai tetapi ia perlu bagi membantu mereka menjadi blogger yang profesional dan beretika," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2008 anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM di sini hari ini.
Beliau ditanya sama ada UiTM ada cadangan untuk menawarkan pengajian tertentu kepada blogger berikutan penulis blog ketika ini bebas menulis apa saja tanpa perlu mengikuti pengajian bersifat akademik.
Terdahulu dalam ucapannya, Ibrahim berkata, fungsi media massa kini telah berubah apabila media baru kini menjadi fokus golongan muda disebabkan sikap anti kerajaan mereka.
''Setiap kali media tradisional membuat kesilapan, media baru menjadi pilihan alternatif mereka. Setiap kali media tradisional cuba membentuk pendapat masyarakat, mereka kehilangan pembaca yang mempunyai pilihan media baru," ujarnya.
Beliau juga berpendapat kebebasan media pada masa akan datang juga tidak boleh dipandang ringan oleh pengamal media dan ahli politik, ekoran perkembangan semasa.
Katanya, etika dalam media perlu agar media perdana dan media alternatif mendapat perspektif yang seimbang.
Baginya, jika media perdana didakwa cenderung menipu dan tidak adil apabila bertindak atas pengaruh parti pemerintah, media alternatif juga berpotensi untuk berbuat demikian.
''Sesiapa sahaja (media alternatif) boleh menulis. Mereka tidak perlu mempunyai kepakaran dalam bidang pemberitaan, tidak tertakluk kepada etika pemberitaan dan jarang sekali didakwa di mahkamah. Kebebasan ini menakutkan,'' katanya.
No comments:
Post a Comment