23 May 2008

Tangan atas, tangan bawah

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Sedang aku memanaskan kuali, tiba-tiba terdengar satu suara kecil memberi salam. Aku menjenguk kepala dari pintu dapur ke ruang tamu. Kelihatan seorang anak perempuan kecil berumur lingkungan 10 tahun berada di luar sliding door yang terbuka.

Aku menjawab salam. "Mari nak cari rezeki" Kata si anak kecil itu. Nada mendayu dan merayu.

Aku yang faham maksudnya itu segera mengintai-ngintai di mana dompet yang aku letakkan. Kat tingkat atas rupanya. Baru sahaja aku terniat mahu pergi mengambil dompet, muncul pula seorang berpangkat nenek di sebelah anak kecil tadi.

"Mari nak cari rezeki" Kata nenek tadi.

Aku yang menyangka mereka datang bersama terus memberikan sejumlah wang kepada nenek tadi. Tiba-tiba nenek tadi berkata, "Dia ni pun nak jugak". Sambil menunjukkan si anak kecil tadi. Aku tergamam.

"Bahagi-bahagikanlah" Kata aku tanpa sebarang prasangka. Ketika itu aku sudah mula mahu berpaling menuju dapur untuk meneruskan memasak. Api dapur masih menyala, minyak mungkin sudah panas.

"Dia ni ayah dah tak ada, duduk dengan mak je. Dia suku, saya suku." Terang nenek tadi.

Aku pada mulanya sedikit terasa 'panas' dengan sikap keduanya. Aku menarik nafas melegakan perasaan dan naik semula ke atas mendapatkan wang untuk diberikan.

"Terima kasih". Kata si anak kecil. Kedengaran dari mulutnya jumlah yang aku berikan. Memang agak sedikit berbanding nenek tadi. Haji Bakhil kata, budak kecil tak boleh pegang duit banyak-banyak. Hehehe.

Kemudian, keduanya berlalu. Aku meneruskan menggoreng ikan keli. Laukku hari ini ikan keli dan kicap sahaja. Ulam acar kobis. Nasi pun sekadar nasi dingin yang baki semalam.

Ketika sedang menjamah makan, terfikir aku. Kenapa la aku beri duit itu begitu sahaja. Patutnya aku minta si anak kecil itu menyapu laman rumah terlebih dahulu, barulah diberikan wang kepadanya. Bukan besar pun laman rumah. Setakat 2 depa X 2 depa sahaja.

Begitu juga dengan nenek itu tadi. Patutnya aku minta aje nenek tadi masuk sekejap membasuh beberapa pinggan mangkuk dan periuk dalam sinki sebelum diberikan wang. Jika nenek itu sanggup berjalan ke sana ke mari, apalah sangat membasuh pinggan mangkuk ini, fikir aku.


Aku tidak tahu apakah mereka sanggup melakukan kerja yang disuruh, dan kemudiannya diberikan upah. Atau memang niat mereka mahu mendapatkan duit dengan meminta sahaja. Aku tahu ada kalanya mereka ini terdesak apabila melakukan perbuatan meminta-minta ini, namun tidak kurang juga yang mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah masyarakat kita.

Aku diajar untuk tidak menghampakan permintaan, bantu setakat yang boleh. Lagipun dengan sedekah ini insyaAllah rezeki kita akan digandakan. Pernah suatu ketika aku cukup-cukup kekeringan wang. Dalam dompet hanya sekitar RM 10 sahaja. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang meminta sedekah.

Ikut hati dan rasa, aku cakap je tak ada apa-apa untuk diberi. Tapi percaya dan yakin setiap pemberian pasti dibalas, dan merasakan mungkin ketika itu dia lebih terdesak, maka aku gagahkan diri memberikan RM 5 kepada lelaki itu.

Dalam hati aku, "aku hanya mampu menjadi Umar". Senyum sendiri mengubat hati.

Wallahua'lam.

1 comment:

Anonymous said...

"Patutnya aku minta si anak kecil itu menyapu laman rumah terlebih dahulu, barulah diberikan wang kepadanya."

Setuju tu. Supaya dia belajar mengambil upah apa yang dia mampu kerana bekerja jauh lebih mulia dari meminta-minta. Itulah juga yang Nabi ajarkan pada sahabat - mengumpul dan menjual kayu lebih baik dari meminta sekedah.

Tahniah. Teladan hidup yang baik...