13 May 2008

Pemuda BN ikrar taat setia kepada raja-raja Melayu

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

PETALING JAYA 12 Mei - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pertemuan keduanya dengan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini adalah untuk membincangkan isu berkaitan orang Melayu selain menyatakan taat setia Pemuda UMNO kepada raja-raja Melayu.

Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut, isu perpaduan dan ketuanan Melayu yang dilihat semakin dipertikaikan oleh pihak tertentu turut dibincang.

Kata Hishammuddin, beliau turut menyampaikan mesej daripada Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional (BN) yang menyatakan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap raja-raja Melayu.

Beliau berkata, dua perkara yang menjadi kepantangan dan sensitiviti orang Melayu di negara ini adalah mengenai agama dan raja-raja di negara ini.

''Maka dalam hal ini, Pemuda UMNO tidak pernah berkompromi dan tidak akan bertolak ansur. Kita tahu apa amanah kita, kita tahu tanggungjawab kita, kita tahu apa kesetiaan kita.

''Kita juga tahu apa yang diperlukan untuk menyatupadukan orang Melayu. Ini sedikit sebanyak merupakan satu perkara yang penting di dalam jiwa perjuangan saya sendiri secara peribadi untuk menyampaikan kepada Raja Dr. Nazrin yang juga Raja Muda Perak,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di luar kediaman Raja Muda Perak di sini hari ini.

Turut mengiringi Hishammuddin di kediaman rasmi Raja Muda Perak itu ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gerik, Wan Azizi Wan Mohamed dan Ahli Jawatankuasa Putera UMNO, Mohd. Faizul Mohd. Dahan.

Kelmarin, beliau menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah selama hampir dua jam di Istana Changkat, Bukit Persekutuan di sini.

Hishammuddin menambah, pihaknya menyatakan sokongan kepada Raja Dr. Nazrin supaya Raja Muda Perak itu terus-menerus menjadi penaung dan payung kepada semua orang Melayu terutamanya kepada orang Melayu di negeri Perak.

''Saya percaya tanggungjawab dan juga amanah yang dipikul Raja Dr. Nazrin itu merupakan tanggungjawab yang dipikul dengan bersungguh sungguh.

''Saya berasa begitu terharu kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin kita yang boleh terus menjadi payung untuk kita bernaung di bawahnya,'' ujarnya.

Ketika ditanya adakah beliau turut membincangkan mengenai isu Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa sultan dan raja Melayu, Hishammuddin sambil ketawa menafikan berbincang mengenai perkara berkenaan.

sumber: Utusan

Nota: Agaknya bagaimana ayat ikrar yang dimaksudkan itu nanti? Adakah perkataan NATANG sekali lagi digunakan bagi menunjukkan ketaatan dan taat setia??

No comments: