27 April 2008

Royalti: Apa Kata Tun Salleh Abas

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Artikel kat bawah ni dari blog Mampat. Aku tak pasti petikan itu diambil dari mana kerana tiada sumber rujukan diberi. Entah-entah, Mampat sendiri bertanyakan soalan itu kepada Tun Salleh.

Aku ternanti-nanti jugak ni, bila la Mampat nak mulakan kempen mereka ini. Aku percaya kempen ini akan disokong oleh segenap lapisan masyarakat melainkan sebahagian mereka yang berkepentingan seperti Deris Jusoh dan sebahagian penderhaka yang menjadi pengikutnya.

Apapun, kita ikuti dulu pandangan Tun Salleh dalam bab royalti ini;

Soalan : Siapakah yang berhak atas royalti minyak ini; Kerajaan Pusat atau Kerajaan Terengganu?

Jawapan : Royalti minyak adalah hak Kerajaan Negeri Terengganu yang mesti dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh PETRONAS, sebabnya :

a. Seksyen 2 Akta Kemajuan Petroleum 1974 menyatakan bahawa hak kepunyaan petroleum keseluruhannya sama ada di darat atau di laut adalah terserah (vested) kepada PETRONAS dan penyerahan hak kepunyaan ini akan berkuat kuasa apabila surat acara penyerahan telah ditandatangani. Penyerahan ini adalah muktamad, tidak boleh ditarik balik dan kepunyaan itu adalah menjadi hak kepunyaan PETRONAS buat selama-lamanya.

b. Di bawah Seksyen 4, sebagai balasan penyerahan ini, PETRONAS diwajibkan membayar kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan, iaitu negeri di mana petroleum dijumpai dan diusahakan satu jumlah wang sebanyak yang dipersetujui di antara pihak berkenaan.

c. Surat cara penyerahan hak kepunyaan telah dibuat oleh semua negeri di Malaysia, termasuklah negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu. Bagi Negeri Terengganu surat acara itu ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Terengganu pada masa itu sebagai mewakili negeri dan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, selaku Pengerusi dan Ketua Eksekutif PETRONAS, mewakili PETRONAS. Surat cara penyerahan itu dibuat di Kuala Terengganu pada 22 Mac 1975.

d. Pada hari yang sama dan ditempat yang sama satu perjanjian ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu mewakili Negeri dan oleh Tengku Razaleigh mewakili PETRONAS. Perjanjian ini menetapkan jumlah wang tunai yang mesti dibayar oleh PETRONAS kepada Kerajaan Negeri sebanyak lima peratus daripada nilai petroleum yang didapati di Negeri Terengganu dan dijual oleh PETRONAS atau agen-agen atau kontraktor-kontraktornya. Bayaran ini hendaklah dibuat tiap-tiap enam bulan sekali iaitu sebelum 1 September bagi petroleum yang diperolehi dan dijual dalam tempoh enam bulan yang pertama dan sebelum 1 Mac tahun berikut bagi petroleum yang diusahakan dan dijual dalam tempoh enam bulan yang kedua, iaitu daripada bulan Julai hingga bulan Disember. Adalah diingatkan bahawa bayaran wang tunai itu tidak diberi nama apa-apa sama ada royalti atau bayaran ihsan.

e. Pada 16 September 1987 PETRONAS memberi nama bayaran wang tunai ini sebagai bayaran royalti. Ini jelas disebut dalam surat Tan Sri Abdullah Salleh selaku Presiden PETRONAS kepada Dato’ Seri Amar Diraja, Menteri Besar Terengganu. Surat ini merakamkan persetujuan di antara PETRONAS dengan Negeri Terengganu tentang bagaimanakah lima peratus royalti itu dikira atau dihitung. Tajuk surat ini ialah:

Computation of royalty payment to the Government of The State Of Terengganu by PETRONAS for the production of petroleum. (Penghitungan bayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh PETRONAS kerana pengeluaran petroleum).

Kesimpulannya ialah bayaran wang tunai itu ialah PETRONAS sebagai balasan menerima hak kepunyaan petroleum daripada Kerajaan Negeri terenganu. Bayarannya itu bukan satu bayaran ihsan sebagai belas kasihan atau murah hati PETRONAS. Bayaran itu diwajibkan apabila petroleum diperolehi di darat ataupun di laut Negeri Terengganu dan dijual.

Sekiranya petroleum diperolehi dinegeri-negeri lain, seperti Pahang,Johor,kelantan dan sebagainya negeri-negeri itu berhak kepada bayaran tersebut kerana tiap-tiap buah negeri ada membuat surat cara penyerahan hak kepunyaan dan juga menandatangani perjanjian lima peratus bayaran wang tunai.

Tetapi Allah Yang Maha Kuasa dan Amat Pemurah Lagi Amat Penyayang telah memberi berkat kepada Negeri Terengganu. Di laut negeri lain petroleum tidak dijumpai, tetapi di laut negeri Terengganu petroleum dijumpai. Yang demikian, negeri negeri Terengganu ialah sebuah negeri yang berkenaan sebagaimana negeri Sabah dan Sarawak. Satu kesimpulan lain ialah bayaran wang tunai ini ialah bayaran royalti kerana mengikut undang-undang, khususnya amalan perniagaan (Commercial Usage) royalti itu ialah satu bayaran yang wajib dibuat oleh penerima hak kepunyaan kepada tuannya yang menyerahkan hak kepunyaan itu.

Syarikat-syarikat minyak menggunakan perkataan royalti kepada bayaran mereka buat sebagai balasan kepada mana-mana concession yang mereka dapat. Bayaran royalti setakat lima peratus itu adalah hak Kerajaan Terengganu dan rakyat Negeri Terengganu dan PETRONAS wajib membayarnya. Hak kerajaan Terengganu tidak boleh diganggu dan dibolot oleh Kerajaan Pusat.

No comments: