20 February 2008

Sedikit Catatan di Batu Enam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Terengganu panas lagi. Khususnya di Pekan Batu Enam yang merupakan pinggir Bandaraya Kuala Terengganu. Semuanya gara-gara tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuang bendera PAS yang dipasang di Bulatan Batu Enam.

Mengikut pentadbirannya, Pekan Batu Enam ini terletak dalam Daerah Kuala Terengganu dan ditadbir oleh MBKT, namun dari segi pecahan politiknya berada dalam Parlimen Kuala Nerus. Pekan yang kecil ini merupakan laluan utama ke Pusat Bandar jika melalui Jambatan Sultan Mahmud sekiranya datang dari Kelantan.

Gambar malam sebelum kejadian. Pemuda PAS Batu Enam bertungkus lumus memasang bendera

Kelihatan Penguatkuasa MBKT memanjat staging. Kawasan sudahpun agak clear.

Pekan Batu Enam ini tidak asing bagi aku. Dulu sewaktu di zaman persekolahan aku biasa datang ke pekan ini untuk menikmati Air Batu Cendol Pulut. Sedap. Dulu harganya sekitar RM0.50 sahaja semangkuk. Juga tidak lupa Nasi Ayam Batu Enam yang tersohor serta pelbagai kuih-muih yang dijual di dalam Pasar batu Enam.

Ketua Penguatkuasa, Mohd Azmi sedang ditanya wartawan berkenaan tindakan mereka menurunkan bendera PAS

Pekan Batu Enam ini memang dikenali sebagai kawasan penyokong dan pendokong PAS. Ini tidak dapat dinafikan lagi dengan adanya Masjid Taqwa Batu Enam yang hampir saban malam diadakan Kuliah Maghrib. Seminggu sekali setiap Rabu malam Khamis masjid ini turut diadakan Kuliah Maghrib oleh Tuan Guru Presiden PAS. (siaran langsung kuliah mingguan ini boleh diikuti di www.terengganukini.net)

Seorang Penguatkuasa menurunkan bendera PAS di Bulatan Batu Enam

Kira-kira jam 10.30 pagi, segerombolam manusia berpakaiaan biru gelap datang ke Bulatan Batu Enam. Polis dan Penguatkuasa MBKT bersama jentera mereka. Kerja-kerja menurunkan bendera diturunkan segera oleh penguatkuasa MBKT dengan kawalan Polis. Beberapa penduduk yang prihatin segera menuju Bulatan Batu Enam bagi mendapatkan penjelasan. Namun kerja-kerja menurunkan bendera tetap diteruskan.

Selesai menurunkan bendera, kerja-kerja merombak staging pula dilakukan.

Aku tiba sedikit lewat. Makin ramai yang mengerumuni bulatan tersebut. Ketika itu bendera besar yang tergantung di tiang lampu limpah di tengah bulatan itu sudah diturunkan. Aku sedikit kecewa kerana baru sahaja malam sebelumnya aku berniat untuk mengambil gambar bendera berkenaan. Namun disebabkan kurangnya cahaya dan agak gelap, maka aku tangguhkan hasrat menunggu hari siang sahaja.

Semuanya berjalan dengan agak lancar walaupun terdapat suara-suara keluhan dari para penyokong PAS terutama anak muda yang telah memasang bendera-bendera berkenaan. Rundingan yang cuba dibuat dilihat gagal kerana tiada pimpinan utama di tempat berkenaan ditambah pula kebanyakan gagal mematahkan hujah ketua penguatkuasa, Mohd Azmi yang mengatakan perbincangan telah dibuat beberapa hari sebelum itu.

Pihak Penguatkuasa turut menurunkan bendera di tepi jalan yang membuatkan penyokong PAS marah.

Sekitar jam 12, Ustaz Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu yang dalam perjalanan ke Bandar Kuala Terengganu telah singgah bagi mendapatkan kepastian apa kekecohan yang berlaku. Rumah ustaz ni area Kampung Tok Jiring je. Kira-kira sebelah kampung sahaja. Ustaz ABC yang dikenal dengan keberaniannya telah meluru masuk dan mempersoalkan Mohd Azmi atas peruntukan apa mereka bertindak membuang bendera PAS itu. Oleh kerana tergagap-gagap menjawab, maka Ustaz ABC meminta semua penguatkuasa dan pihak polis berundur dan keluar dari kawasan terbabit dengan segera.

Sebahagian poster yang dipasang di Pekan Batu Enam

Melihat kepada kesungguhan Ustaz ABC menghalau penguatkuasa terbabitlah, ramai anak muda yang berada sekitar bulatan berkenaan mula menuju ke hadapan dan mula menakut-nakutkan penguatkuasa terbabit. Namun suasana masih terkawal walaupun terdapat sedikit ketegangan.

Alhamdulillah dengan tindakan berani terbabit, beberapa bendera yang masih tidak dibuang ditinggalkan begitu sahaja. Namun apa yang paling menarik minat aku ketika suasana semalam adalah melihat kepada kesungguhan sokongan dari pelbagai pihak di Pekan Batu Enam. Bayangkan ada peniaga ikan dan daging keluar ke jalan dengan memakai apron, juga makcik-makcik turut meninggalkan gerai jualan semata-mata mahu menunjukkan bantahan.

Wallahua'lam

2 comments:

Truckster said...

sungguh dangkal dan memalukan tindakan MBKT ini..mereka hanya anjing suruhan yg setia ditelunjuk Idris Jusoh...

ini terbukti dengan terketar-ketarnya mereka ketika menjawab pertanyaan Ustaz Abu Bakar...sungguh memalukan bangsaku

amni said...

ye ke? baru je ari ahad pg amik gambo bendera kat batu 6.. jahatnya depa ni :(