18 November 2007

Catatan 0...

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Blog amdang81 lambat update? Aku tidak tahu jika ramai yang tertanya-tanya. Apa yang aku nampak hanyalah mereka yang bertanya di shoutbox. Selain itu ada lagi yang dikenali di alam realiti yang turut mengikuti perkembangan dunia siber ini. Dua hari tak update lama ke? Kawan-kawan ada yang mengusik kelewatan update dan kurangnya menulis dikaitkan dengan aku berfikir pasal perkahwinan. Paling nakal bilamana tulisan aku dilihat sebagai kurang 'bernas' pun disebabkan berfikir soal perkahwinan.

Tipu la jika aku katakan langsung tidak berfikir ke arah itu. Maklum sahaja tarikh yang ditetapkan itu tidak sampai sebulan sahaja lagi. Namun itu bukan sebab utama untuk aku melupakan blog ini. Kesibukan urusan lain turut menghalang penulisan. Ada artikel ditulis separuh, terus ditinggalkan tanpa kesudahan. Paling malang bilamana terlalu banyak info yang diterima, tetapi mood untuk menulis tiada. Betul ke ada kaitan nak kawin ni??

Sabtu lalu berkesempatan berjumpa kawan-kawan maya TKO. Walaupun jumlah yang sempat bertemu tidak sampai sebelah jari tangan, namun sedikit sebanyak isu-isu tempatan dapat dikongsi. Pertemuan tidak dirancang. Cuma kebetulan seorang kawan datang dari KL kerana sedikit urusan, maka kami sepakat untuk bertemu. Kami berkumpul mengadap Sungai Terengganu. Kapal layar yang melintas di hadapan, kurang menarik minat kami. Namun sebagai koleksi peribadi, sahabat yang datang dari KL tadi turut mengambil beberapa foto membelakangi kapal layar itu.

Perjumpaan petang Sabtu itu sudah tentu dihiasi dengan baju kuning. Walaupun hanya dua orang yang memakai T-shirt BERSIH, namun mesej itu cuba disampaikan ke dalam masyarakat. Seorang sahabat turut menyentuh soal blog aku. Dia turut menyatakan kebimbangan sekiranya aku tidak lagi menulis. Katanya, "amdang perlu terus menulis. Terlalu banyak isu di Terengganu ini yang perlu diolah dan dikupas".

Aku seperti biasa, tidak suka memberi respon segera. Suka senyap, sambil senyum seadanya. Memang tidak perlu respon pun sebenarnya. Cuma aku terfikir tentang masalah lain yang turut dihadapi dalam menulis ini. Masalah masa, dan tuntutan beban tugas yang lainnya.

Teringat suatu masa dahulu, (macam lama sangat je nih..) sewaktu aku mula membuka blog ini, posting dan tulisan aku memang cukup rapat dengan diri. Apa yang aku makan, apa yang aku pakai, apa yang aku buat, apa yang aku lihat, mana yang aku pergi... Semuanya aku coretkan sebagai suatu pengalaman dan catatan hidup. Dulu barangkali hanya 10 orang seminggu menjenguk blog ini. Ketika itu posting juga tidak kerap. Cukup seminggu sekali, atau mengikut masa dan suasana. Ketika itu, tanggungjawab menulis tiada. Cukup sekadar jujur dengan apa yang ditulis kerana cerita berkisar kepada diri. Jujur pada diri.

Suasana sekarang agak berubah. Walaupun masih berbentuk catatan peribadi, namun isu yang dibawa lebih berat, lebih semasa dan menepati siasi (kononnya!!). Berat, penat, dan kadangkala turut terasa tekanan bilamana terpaksa mendedah sesuatu yang agak 'serius' dengan kadar keberanian yang agak tinggi.

Sengaja aku sebut perkara di atas, sebagai ingatan kepada aku bahawa TIADA REHAT DALAM PERJUANGAN. Semoga aku tidak menjadikan alasan-alasan lain yang remeh-temeh untuk tidak terus menulis dan mencoret sesuatu yang mungkin berguna untuk dikongsi dan diteladani atau dijauhi.

InsyaAllah, rehat hanya ketika perlu. REHAT yang panjang adalah bilamana MATI kata seorang ustaz. Itupun jika REHAT kita tidak diganggu oleh lipan, kala dan ular-ular berbisa. Wallahua'lam.
------------------------------------------------------------
Nota: Beberapa IKLAN baru diletakkan di tepi kolum utama sebagai satu cara bagaimana anda 'menyumbang' kepada bil letrik dan internet yang digunakan untuk meneruskan penulisan ini. Klik sahaja sebagai sokongan setiap kali mahu keluar dari sini. Itu sudah memadai dari anda menyediakan Kopi Radix untuk aku ketika mana aku mengantuk untuk terus menulis. Hehehe. Apapun, semua itu hanyalah percubaan yang diajar oleh bro bakaq @ PENARIK BECA.

No comments: