Sengaja mengambil komen beberapa pimpinan politik yang dimasukkan ke dada akhbar. Aku tidak mahu biasa terhadap kedua-dua laporan itu. Cuma mahu melihat dan menunggu apakah yang diperkatakan itu adalah satu angan-angan, atau memang itu realiti yang sedang berlaku.
------------------------------------------------------
PAS: Johor bukan lagi kubu Umno
JOHOR BAHARU: Didorong dengan kehadiran wakil tunggalnya di Dewan Undangan Negeri Johor sejak pilihan raya umum ke-11 yang lepas, PAS menganggap 'peta politik' negeri itu sudah berubah dan Johor bukan lagi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Zulkifli Ahmad berkata, perubahan senario politik itu berpunca daripada kemenangan PAS bagi kerusi Senggarang walaupun ia atas faktor teknikal.
"Kita telah mencatat sejarah politik di negeri Johor, dengan adanya wakil kita dalam Dewan Undangan Negeri, dan kita telah membawa banyak perubahan. Dengan satu kerusi pun telah banyak perubahan, apa lagi dengan banyak kerusi," katanya kepada Bernama.
Zulkifli berkata walaupun tewas di semua kerusi lain yang ditandinginya pada pilihan raya yang lepas, undi yang diterima oleh PAS dan parti-parti pembangkang lain dalam Barisan Alternatif di Johor amat tinggi.
Untuk pilihan raya ke-12 nanti, PAS dan rakan-rakan pembangkangnya akan bertanding bagi kesemua 56 kerusi negeri di Johor walaupun di kawasan-kawasan yang dianggapnya sebagai "lemah" bagi memastikan BN tidak mendapat kemenangan percuma, katanya.
Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, pula berkata isu seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), kenaikan harga minyak, banjir dan yuran sekolah telah banyak membantu PAS Johor menikmati sokongan.
"Kita berkeyakinan sokongan yang semakin meningkat dari rakyat Johor akan terserlah pada pilihan raya akan datang itu, lebih-lebih lagi dengan persiapan kita kali ini yang jauh lebih baik," katanya.
Mazlan berkata BN perlu menerima hakikat bahawa PAS semakin diterima di Johor berbanding 20 tahun lepas, semasa parti itu sering kehilangan deposit pilihan raya.
"Keadaan politik di Johor kini sudah jauh berbeza," kata Mazlan. BERNAMA
Sementara itu, di Terengganu berlainan pula komen oleh pimpinan UMNO;
Idris: Terengganu jadi kubu BN lima tahun lagi
JERTIH: Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh berjanji akan menjadikan Terengganu sebagai kubu kuat Barisan Nasional dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya berdasarkan kajian yang dilakukan sejak BN memerintah semula Terengganu pada Mac 2004, sokongan rakyat terhadap parti itu telah meningkat melebihi lima peratus.
"PAS perlu sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu semakin menurun dan kita akan pastikan Terengganu terus kekal di bawah pemerintahan BN selepas pilihan raya umum akan datang," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Gong Kemuntong dekat sini hari ini.
Idris, yang juga pengerusi BN Terengganu, berkata rakyat menghargai usaha BN membangunkan negeri itu kerana mereka mendapat banyak faedah terutamanya dalam meningkatkan sumber ekonomi masing-masing.
Malah, katanya, keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN juga semakin meningkat selepas pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Idris juga berkata seramai 3.5 juta pelancong dijangka datang ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan.
Katanya sasaran itu merupakan pertambahan 120 peratus berbanding hanya 1.6 juta pelancong yang melawat negeri itu pada 2004. BERNAMA
--------------------------------------------------------------------
Pandanglah dan lihatlah.. Tunggu dan sama-sama menanti siapa yang berkubu, dan siapa yang berkubur.
No comments:
Post a Comment