11 November 2007

Tahniah! Tahniah! Tahniah!!!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...



Tahniah! Tahniah! Tahniah!!! Itu ungkapan yang aku mampu ungkap pada semua yang menjayakan Himpunan Rakyat Menuntut Pilihanraya BERSIH sebaik sahaja selesai demonstrasi. Sungguh Aman dan BERSIH!.

Aku mula memasuki Kuala Lumpur seawal jam 8.30 malam, 9 haribulan. Terus ke Bangi mencari penginapan selepas melepasi Plaza Tol Gombak. Sepanjang perjalanan ke KL, beberapa sekatan jalan raya terpaksa ditempuhi. Alhamdulillah semuanya lepas tanpa banyak soal.

Sekatan paling ketat dan paling 'bersungguh' hanya diadakan di Hentian Sebelah Lancang. Lebuhraya ditutup, dan semua kenderaan mesti melalui sekatan yang diadakan di hentian itu. Kenderaan yang disyaki datang untuk ke Himpunan BERSIH diperiksa. Mungkin kerana lagak kami selamba, maka kereta yang kami naiki tidak ditahan. Ketika aku melalui sekatan itu, sebuah Van bernombor pendaftaran TJ XXXX sedang diarah ke tepi untuk diperiksa.

Aku segera menelefon kawan-kawan yang belum datang mengkhabarkan situasi yang ada. Meminta mereka bersedia dan mengambil langkah yang patut. Bimbang juga jika ramai yang akan terkandas dan terhalang. Paling membimbangkan adalah peserta yang datang dengan bas. Sudahlah susah mahu 'menyamar', jumlah yang ramai memungkinkan memberi kesan kepada jumlah peserta himpunan.

Aku tidur awal malam itu. Mencari stamina untuk hari esok kononnya. Walaupun tidur di lantai pejabat seorang kenalan, namun lena aku sampai ke pagi. Sesudah subuh, aku sempat melihat perkembangan semasa menerusi internet di pejabat kenalan itu. Semakin hangat dan bertambah meriah!

Jam 7 lebih aku terdengar bunyi telefon. Tertera perkataan "bonda". Aku membiarkan telefon itu berdering sehingga senyap. Aku tidak mahu semangat aku kendur dengan kebimbangan mak. Sedikit rasa bersalah. Tapi aku anggap tindakan aku tetap betul. Maaf mak!

Sarapan, dan terus bergerak ke KL. Tidak terus ke Masjid India, tetapi menuju Plaza Low Yat. Memang terpaksa menyelesaikan beberapa urusan peribadi di sana. Rupanya bukan mudah untuk masuk ke KL. Beberapa sekatan jalan raya masih diteruskan. Kebetulan beberapa orang dalam kereta yang aku naiki memakai baju kuning, menyebabkan polis memerhati dengan curiga. Mujur juga susunan dalam kereta agak baik. Jadi warna kuning tidak menyerlah bilamana dua orang kanak-kanak turut memakai baju kuning, tetapi berada di seat paling belakang. Selebihnya kawan yang memandu. Aku dan dua lagi kawan memakai pakaian warna yang agak gelap.

Lama juga membeli belah di Low Yat sehingga jam 1.30. Solat Zohor dan Asar dan mula menaiki LRT dari Stesyen Hang Tuah. Agak terkejut kerana dikhabarkan penumpang tidak boleh turun di Stesyen Masjid Jamek. Aku sudah agak, namun buat-buat bertanya. Ada masalah jawab penjaga kaunter. Aku senyum sinis.

Dalam tren LRT, aku terserempak dengan Saudara Yassir Said (Ajk Pemuda PAS Kedah, bekas juara Cup Prix Asia) dan saudara dua pupuku. Rupanya mereka sudah kenal lama. Saudara Yassir aku kenal ketika berada di Gombak. Motor aku pernah digunakan untuk mengadakan 'Demonstrasi Pemanduan Berhemah' yang pernah dianjurkan beberapa kali oleh Pemuda Gombak.

Tiba di Stesyen Masjid Jamek, tren mula perlahan dan akhirnya berhenti! Pintu tren terbuka. Di luar tren aku lihat ramai polis menjaga dan tidak membenarkan kami keluar dari tren. Ketika itu asap gas sudah berkepul naik dan turut menerjah masuk ke dalam tren. Mata terasa sedikit pedih. Pintu tren terbuka cukup lama. Beberapa penumpang mula bising dan tertanya-tanya. Aku sempat buat-buat bertanya kepada polis di depan pintu, jawapan yang diberikan semacam berat sahaja. "Ada perhimpunan" katanya.

Akhirnya pintu tren tertutup. Aku segera menyeluk saku beg yang aku sandang. Beberapa keping pamplet BERSIH dan tuntutannya aku segera edar di dalam tren. Aku menjelaskan apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada mereka. Kemudian masing-masing mula bangun dan mengintai ke tingkap tren. 'Gelombang kuning' di bawah sana dapat disaksikan dengan jelas dari tingkap tren yang mula bergerak menuju stesyen Bandaraya.

Tiba di Stesyen Bandaraya, aku turun dan mula menyertai perarakan manusia. Ketika itu sekumpulan peserta kuning sedang berarak menuju Dataran Merdeka. Ketika itu juga Trak Water Canon meluru dan menyembur ke arah orang ramai. Basah! Pedih! Mana garam? Seorang peserta menghulurkan sebungkus garam kepada aku. Segera aku ceduk sedikit isinya dan masukkan ke mulut. Alhamdulillah hilang pedih mata.

Berjumpa dengan seorang lagi 'tauke garam', aku minta sedikit lagi garam. Garam kasar. Memang sesuai. Aku ambik dan gengam garam itu dengan tangan kiri. Ketika itu peserta terus mara dan mundur ke arah dataran. Sesekali semburan dilakukan, maka ketika itu mereka berundur seketika. Pedih memang pedih. Tetapi itu bukan alasan untuk terus melarikan diri.

Akhirnya peserta perhimpunan mula berpatah arah. Mereka berundur dan melencong terus menuju Istana Negara melalui jalan yang lain. Aku menerima maklumat supaya terus berkumpul di hadapan SOGO. Namun ketika itu sudah tidak ramai yang masih tinggal di situ. Aku anggarkan sekitar 300 orang sahaja. Menyedari agak ketinggalan, aku mula mengedarkan pamplet BERSIH kepada orang ramai yang masih tertanya-tanya. Agak berhati-hati memilih siapa yang perlu diberikan flyer berkenaan. Ini kerana pada pengamatan aku terlalu ramai polis yang berpakaian preman di sekitar SOGO. Aku tidak mahu mencari masalah kerana ketika itu aku bergerak sendirian.

Seorang lelaki yang berpakaian agak kemas menegur bila aku menyerahkan pamplet BERSIH kepadanya. "Universiti mana?". "Eh, saya bukan pelajar U" Jawan aku. Dia semacam tidak puas hati barangkali kerana kebanyakan peserta himpunan adalah mereka yang muda tak mengira lelaki dan perempuan. "Eleh, macam tak tahu..." sambung lelaki tadi.

Aku membiarkan lelaki tadi dengan teka-tekinya. Aku meneruskan penyebaran pamplet berkenaan sehingga tinggal sedikit. Beberapa pamplet juga aku tampal di dinding papan kenyataan dan pondok bas dengan menggunakan air hujan. InsyaAllah tahan la kot. Sebenarnya pamplet ini aku diamanah untuk menghabiskan penyebarannya di Terengganu. Tetapi memandangkan aku tidak sempat bersama-sama kumpulan yang menguruskan penyebaran itu, maka mereka meninggalkan sedikir pamplet berkenaan kepada aku. Sebab itu aku membuat keputusan untuk membawa pamplet itu bersama ke KL.

Aku sengaja tinggalkan beberapa keping pamplet berkenaan bersama aku. Ada misi lain yang mahu aku laksanakan. Aku senyum sendirian memikirkan apa yang mahu aku lakukan itu. Satu amalan yang biasa aku lakukan bila datang ke KL.

Ketika mana kumpulan yang masih di SOGO sudah mula mengecil, tiba-tiba ada beberapa pemuda memimpin untuk bergerak terus ke Dataran Merdeka melalui jalan pinggir sungai. Ini berikutan di seberang sana terdapat deretan peserta himpunan yang aku jangka berundur pada mulanya telah meneruskan perjalanan ke Istana Negara tanpa melalui Dataran Merdeka.

Ketika itulah beberapa lagi peserta himpunan ditangkap di hujung jalan tersebut yang dikawal ketat. Sekali lagi peserta berundur menyelamatkan diri. Pada mulanya aku terfikir, kenapa tidak berlaku pengarahan yang jelas kepada peserta bilamana keadaan kucar kacir, namun dari satu sudut, aku melihat seolah-olah dirancang supaya sebahagian kecil terus kekal di sekitar SOGO dan sebahagian yang besar berjalan menuju ke Istana. Seolah-olah bagi mengalihkan perhatian polis dan FRU yang berkawal di hadapan Dataran Merdeka. Sungguh bagai dirancang!

Sebenarnya aku berada di SOGO itu bersama seorang kenalan. Seorang Pakcik yang umurnya sudah pencen, tetapi muda jiwanya. Cuma apabila aku mengajak dia mula-mula mengikuti rombongan yang lain yang menyeberangi jalan, dia meminta rehat seketika kerana penat agaknya. Ketika itulah aku mula terpisah dari kelompok yang ramai.

Sekitar jam 5, aku menerima SMS supaya terus kekal di SOGO. Aku mengambil peluang itu untuk minum seketika. Jam 5.30 petang, kami sudah mula bergerak meninggalkan tapak perhimpunan yang manis. Misi tamat kata kawanku yang memandu. Perhimpunan berjaya!. Kami terus bergerak ke Gombak untuk keluar dari KL. Makan seketika di kedai Nasi Kukus Ayam Dara di Greenwood, dan mula bergerak untuk pulang.

Oleh kerana permulaan perjalanan itu kereta dipandu oleh seorang sahabat, maka apabila tiba di kaunter tol, aku segera menyerahkan pamplet BERSIH kepada beliau untuk diberikan kepada penjaga tol berkenaan. Sengaja mahu mengusik dan menyampaikan maklumat kepada manusia-manusia di bilik kecil kerkenaan. :)

Alhamdulillah semuanya selesai. Dalam perjalanan pulang, aku menelefon mak. Mengkhabarkan sedikit perjalanan program bagi menghilangkan resah mak. "Alhamdulillah" Sahut mak gembira. Aku senyum di hujung corong telefon mendengar kata-kata itu dari mulut mak. Namun jauh di sudut hati aku sedikit kecewa kerana tidak sampai ke Istana Negara. Mungkin lain kali sahaja aku menjalankan misi solo untuk meyerahkan memo yang lain. Hehehe.

Tahniah buat semua!! Tahniah! pada kalian semua yang menjayakan Gelombang Kuning!!

Nota: Aku tiba di Kuala Terengganu jam 1.30 pagi. Sebenarnya aku berhasrat mahu mencoret sesuatu seawal waktu itu, tetapi kerana kepenatan dan keletihan yang amat sangat, maka aku simpan dulu cerita itu sehingga tengahari ini.

1 comment:

Anonymous said...

Perghhh kira ko dengan aku serupa lee..
lepak SOGO...terkandas tak dapat p ISTANA...

he he he..panglaman aku 1st time kat depan DBKL kena semboq gas..dulu mai sini ada hal dgn DBKL tapi hari tu p mau hidu gas..he he he

anyway weldone KITA BERJAYA membersihkan otak mereka...

..aku pantang dicabar.....