13 December 2007

Suhakam siasat rusuhan 8 September

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Petikan UTUSAN MELOYA

Suhakam siasat rusuhan 8 September

KUALA TERENGGANU 12 Dis. - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memulakan siasatan awam berhubung kejadian rusuhan di Jalan Sultan Mahmud di sini pada 8 September lalu, bermula esok.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, siasatan selama empat hari yang akan dipengerusikan oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah bersama Tan Sri Asiah Abu Samah dan Profesor Datuk Khoo Kay Kim akan diadakan di Hotel Primula Beach Resort di sini dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan awam itu dilakukan bagi menyiasat keadaan semasa kejadian rusuhan itu dan kewajaran pelepasan peluru hidup ke arah kumpulan orang ramai oleh anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan.

``Suruhanjaya kini dalam proses mengumpul maklumat berhubung kejadian tersebut dan memerlukan bantuan orang ramai untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai kejadian itu,'' kata suruhanjaya itu dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Justeru, Suhakam meminta mereka yang mempunyai maklumat termasuk dokumen-dokumen atau sebarang bukti mengenai kejadian itu supaya tampil ke hadapan untuk memastikan sama ada kejadian itu melanggar hak asasi manusia atau tidak.

``Siasatan akan dilakukan secara terbuka namun sebarang rakaman ketika proses itu berlangsung tidak akan dibenarkan,'' kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sejak pengumuman mengenai siasatan itu dibuat pada 14 November lepas, maklum balas yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan.

``Sebanyak 17 saksi termasuk anggota polis dan mangsa kejadian telah disoal dua minggu selepas pengumuman itu dilakukan,'' ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, sepina telah dikeluarkan kepada saksi-saksi termasuk anggota polis dan orang awam untuk memberi keterangan pada sesi siasatan awam sepanjang empat hari ini.- Utusan

No comments: