26 December 2007

Antara Dua Darjat : Polis Guna Pistol Untuk Selamatkan Diri

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah PC dah OK skit. So, sebagai nak memanaskan blog, maka aku copy n paste email yang diterima dari Saudara Khairul Faizi.
----------------------------------------------------------
Antara Dua Darjat : Polis Guna Pistol Untuk Selamatkan Diri

Ketika saya tiba di Markas PAS Kawasan Sri Gading setelah baru tiba daripada misi kemanusiaan di Temerloh Pahang, saya mendapat SMS daripada seorang sahabat bertanyakan perkembangan terkini kes polis menembak pemain bolasepak UMNO di Batu Pahat.

Sudah tentu saya terkejut kerana saya tidak mengetahui perkara tersebut dan cuba mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.

Sdr Hamid Jamah (Ketua Penerangan DPPNJ) yang kebetulan berada bersama saya sepanjang hari terus menghubungi pelbagai sumber untuk memastikan kesahihan berita tersbut.

Memang mengejutkan tetapi itulah yang berlaku. Dalam pelbagai versi maklumat yang diterima, anggota polis yang mengadili perlawanan bolasepak tersebut membawa pistol ketika sedang bertugas sebagai pengadil.

Namun semalam, Ketua Polis Johor menyebut bahawa pistol tersebut diambil daripada keretanya setelah penyokong pasukan berkenaan mengejarnya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil melayangkan kad mereka kepada salah seorang pemain.

Ketua Pemuda UMNO Batu Pahat pula melahirkan terhadap kejadian yang berlaku dalam pertandingan akhir kejohanan Liga Bolasepak Pemuda UMNO Batu Pahat.

Ada dua pihak yang terlibat dalam perbincangan ini. Pertamanya pemuda UMNO dan yang keduanya adalah polis yang melepaskan tembakan tersebut.

Saya cukup tertarik dengan kenyataan Ketua Polis Johor tentang isu ini yang disiarkan dalam Berita Harian semalam. Beliau berkata bahawa tindakan pengadil tersebut melepaskan tembakan kerana untuk menyelamatkan diri daripada diserang dalam suasana yang tidak terkawal.

Jawapan yang diberikan lebih kurang sama dengan kejadian di Batu Burok sebelum ini yang mana PDRM mempertahankan tindakan pegawainya yang menembak dua orang rakyat Malaysia ditembak dengan alasan polis yang terbabit cuba mempertahankan diri daripada ancaman.

Dalam kes yang berlaku di Batu Pahat ini, anggota polis berusia 38 tahun yang memiliki tauliah pengadilan dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat tidak dibenarkan manakala lima pemain berusia antara 23 dan 40 tahun ditahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Saya bersetuju dengan penahanan anggota polis tersebut yang saya kira telah melakukan tindakan diluar batasan namun apa bezanya dengan anggota polis yang melepaskan tembakan malah mencederakan mangsa di Batu Burok. Apakah anggota polis di Batu Burok tersebut tidak menghadapi suasana yang sama dengan apa yang berlaku di Batu Pahat?

Bezanya, di Batu Burok melibatkan PAS/BERSIH tetapi di Johor ianya melibatkan UMNO. Saya yakin bahawa sekiranya perlawanan bolasepak tersebut diadakan oleh Pemuda PAS Kawasan Batu Pahat dan bukannya Pemuda UMNO Batu Pahat sudah tentu media akan memfokuskan bahawa pemuda PAS yang betidak liar menyerang pengadil dan keputusan pengadil yang juga merupakan anggota polis menggunakan pistol adalah keputusan yang wajar kerana ia dibuat untuk mempertahankan diri daripada serangan.

Sekiranya yang berlaku di Batu Pahat ini melibatkan pemuda PAS maka bukan sahaja pemain-pemain yang ditahan tetapi penyokong-penyokong juga akan menerima nasib yang sama. Media akan mengekspoitasi berita ini bagi menunjukkan bahawa PAS suka kepada kekecohan dan keganasan.

Itulah yang dinamakan ANTARA DUA DARJAT.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor
http://minda-kembara.blogspot.com/
26 Disember 2007

No comments: