
"Selamat Datang ke Bandaraya Kuala Terengganu". Mungkin ini akan menjadi perkataan yang agak sinis dari penduduk Kuala Terengganu selepas ini. Petang tadi sempat minum bersama seorang pakcik. Bila ditanya dari mana, sinis dia menjawab "Mari jalan nak tengok bandaraya". Dia tersenyum penuh makna. Aku angguk. Senyum sinis juga.
Itu persepsi masyarakat Kuala Terengganu khususnya bila bercakap soal bandaraya. Seorang sepupu yang tinggal di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu mencebik bibir bila ditegur yang dia sekarang bakal tinggal di bandaraya. "Dok saboh lassung!" (Tidak munasabah langsung!) Katanya.
Seorang pakcik tua yang setia menjadi pengguna bot penambang turut mengeluh bila ditanya soal bandaraya. Kata pakcik itu "lepas ni susahlah pakcik nak mari jalan bandar ni, tambang naik jadi serial doh lepas ni." Mengikut pakcik itu, tambang sebelum ini hanya RM 0.80 sahaja berbanding RM 1 dikenakan selepas 1 Jan 2008. Kerana kesusahan hidup, RM 0.20 begitu terasa dan bermakna bagi pakcik itu.
Seorang kawan satu persekolahan yang ditemui beberapa hari lalu turut tidak boleh menerima hakikat Kuala Terengganu menjadi bandaraya. Dia yang turut bekerja dengan Kerajaan Negeri turut mengeluh seolah-olah apa yang Deris lakukan ini sebagai 'gila'! "Nampak sangat kerana politik" Katanya. Aku hanya tersenyum. Sememangnya aku jarang berbicara soal politik, tetapi suka melihat persepsi orang lain tentang dunia politik ini. Persepsi itu akan aku nilai dah oleh kembali.
Akhirnya aku kongsi sahaja komen zaujati (isteriku) tentang bandaraya. Dia yang ketika itu sedang dihantar ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud menunjukkan aku lapangan terbang yang belum siap. "Patutnya biarlah airport ni siap dulu. Kan Bang?" Aku senyum sahaja kepadanya.
Aku tidak menuding jari kepada sesiapa. Ini bercakap apa yang aku lakukan jika menerima tamu dalam keadaan tergesa-gesa. Kain baju yang tidak berlipat akan dilonggok ke dalam bilik, ruang tamu akan disapu bersih, tetapi ruang lain belum tentu seperti ruang tamu.
Ini sekadar mengambil beberapa pandangan dari beberapa orang yang ditemui dalam beberapa hari kebelakangan ini. Kebetulan semuanya negatif kot. Namun, aku tidak nampak muka-muka mereka yang mengeluarkan kata-kata itu menyebelahi pembangkang kecuali pendapat zaujati. Nampaknya Deris perlu membayar dengan harga yang mahal untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat kepadanya.
No comments:
Post a Comment