Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...
Aku baru je berkira-kira mahu menulis sesuatu tentang 'bantal busuk'. Semuanya gara-gara seorang kawan memesan aku mengambil bantal anak sedaranya yang tertinggal di bilik hotel minggu lalu. Kebetulan bilik kami bersebelahan. Bila disuruh mengambil bantal yang tertinggal, terbayang kepadaku, tentulah 'bantal busuk'. Jika tidak masakan bantal itu dibawa ke mana-mana.Hairan aku kerana sebelum ini aku tidak tahu wujud sindrom 'bantal busuk' ini. Sehinggalah aku punya seorang anak sedara yang memang mempunyai 'bantal busuk' ni. Lelaki, dan sudah berumur 7 tahun. Tunggal setakat hari ini. Jika dia pulang ke kampung, pasti dibawa bersama bantal peluk busuknya. Mungkin sebab kami punya adik beradik yang ramai yang menyebabkan tidak perlu bergantung kepada sesuatu 'teman'. Kebetulan pula, mak tidak bekerja sepanjang membesarkan kami.
Aku kira idea 'buku kain' ni sebagai sesuatu yang menarik sebenarnya. Bukan apa, aku selalu berkira-kira mahu membeli apa jika mahu menghadiahkan sesuatu kepada kanak-kanak. Last-last, mesti beli mainan atau makanan. Kanak-kanak memang sinonim dengan bermain, tetapi membudayakan terlalu asyik dengan bermain mungkin menyebabkan mereka leka. Apa salahnya jika dibudayakan belajar sambil bermain-main. Sehari dua ni aku ada menjejakkan kaki ke Perpustakaan Awam Terengganu. Sebab itu ada sikit semangat menulis bab membaca.
-----------------------------------------------------------------------------
‘Buku kain’ ganti ‘bantal busuk’ bagi kanak-kanak kecil
PULAU PINANG 27 Julai – Jika selama ini ‘bantal busuk’ begitu mendapat tempat di kalangan kanak-kanak kecil, namun kini ibu bapa boleh mengubah tabiat itu dan menggantikannya dengan ‘buku kain’ yang diperkenalkan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), sekali gus memupuk minat terhadap ilmu pengetahuan bermula dari kecil lagi
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, buku kain itu mampu mendekatkan kanak-kanak berusia setahun hingga tujuh tahun dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan menjadi asas untuk mereka mempelajari sesuatu menerusi program Setiap Bayi Satu Buku.
“Daripada anak-anak kita pegang bantal busuk, lebih baik pegang buku kain ini yang mempunyai pelbagai cetakan ilmu pengetahuan asas sesuai dengan minat kanak-kanak.
“Buku kain itu juga diperbuat daripada fabrik yang boleh dicuci dan tanpa toksik, jadi anak-anak boleh bawa tidur, digigit dan pada masa sama boleh belajar daripada buku itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Setiap Bayi Satu Buku di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Jahara Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Kanak- Kanak Pulau Pinang, Datin Seri Zainab Abdul Kader.
Menurut Shahrizat, buku kain itu adalah projek perintis pertama seumpama itu di negara ini dalam usaha menerapkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat sejak kecil dan ia akan diperluaskan ke peringkat nasional tidak lama lagi.
“Saya percaya jika program ini berjaya masyarakat negara kita akan maju sekali gus mampu bersaing di era globalisasi yang mencabar ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zainab memberitahu, buku kain yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu dihasilkan dengan jahitan tangan dan dijual pada harga RM50 setiap satu.
Katanya, sebanyak 30,000 buku kain telah dicetak untuk keluaran pertama dan boleh dibeli di perpustakaan awam dan desa di negeri ini.
Pihaknya juga menyediakan naskhah percuma kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Setakat ini, ada perbadanan perpustakaan di beberapa negeri berminat untuk memperkenalkan buku kain ini di tempat mereka dan pihak kami akan bekerjasama untuk menjayakan usaha itu,” ujarnya.
Selain pengenalan kepada abjad dan angka, buku kain setebal 16 muka surat berwarna warni itu turut mempunyai gambar-gambar seperti pokok, bunga raya, buah-buahan, anggota tubuh dan haiwan. - Utusan.
Gambar: Metro-------------------------------------------------------------------------
Nota: Benda baik, kita sokong. Bangkang hanya pada yang patut
No comments:
Post a Comment