Dalam seumur hidup aku, aku pernah mencatat sejarah peribadi bilamana dalam zaman kenakalan, aku pernah memasuki panggung wayang. Masih aku ingat cerita yang ditayang ketika itu adalah "Street Fighter". Waktu itu aku dalam tingkatan 2. Itulah kali pertama dan kali terakhir mungkin aku menjejakkan kaki ke panggung wayang. Semuanya kerana mengikut kawan-kawan sekelas yang agak berani. (tengok tu manusia! Sendiri silap, mahu juga palitkan kawan-kawan ke??)
Itu cerita zaman aku sekolah menengah. Zaman panggung wayang masih beroperasi. Di Kuala Terengganu waktu tu, hanya terdapat dua panggung wayang iaitu Panggung Cathay dan Panggung Rex. Ni yang aku tahu la. Mana la tahu kot-kot masih ada wayang yang tersembunyi. Dalam setahun dua selepas itu, panggung wayang di Kuala Terengganu ditutup kerana tiada sambutan. Selepas itu barulah PAS ambil alih pemerintahan Terengganu. Seolah-olah wujud dengan sendirinya kesedaran membenci kepada program hiburan semata. Selepas ditutup, panggung wayang yang ada dijadikan tempat jualan. Maka tiada lagi poster filem apa yang akan ditayangkan.
Kini, Kuala Terengganu mencatat sejarah baru lagi. Sejarah yang tidak pernah dilihat oleh mata. Panggung wayang yang sudah tidak lagi digunakan (tidak digunakan sebagai panggung wayang) kini mula ditampal poster filem yang akan ditayangkan. Peliknya bilamana poster filem terbabit yang jika dilihat (gambar atas: Itu bukan superimpose mcm Najib dan Altantuya ye) tidak mempunyai waktu tayangan, nama pelakon utama dan bilakah tarikh penayangannya. Filem bertajuk "Masa Depanmu Terjamin" (selepas ini digunakan sebagai MDT) yang diterbitkan oleh Dacing Production (DP) dipercayai mulai hangat diperkatakan. Filem ini diarahkan oleh seorang pengarah yang berasal dari Besut yang lebih dikenali dengan panggilan manja Deris Jusoh.
Filem ini menampilkan kanak-kanak yang baik-baik sebagai pelakon utama. Jika dilihat secara kasar, tiada apa yang pelik pada poster filem terbabit kerana sesuai dengan tajuk filem MDT. Cumanya para peminat filem akan tertanya-tanya, apakah filem terbitan DP ini akan mampu memberikan persembahan yang baik dalam filem terbabit. Ini kerana Dacing Production adalah sebuah produksi filem yang amat terjejas reputasinya. Sebelum ini pelbagai filem yang pernah dikeluarkan terpaksa dilabel dengan 21SX, 21PL dan 21SG. Antara filem DP yang pernah mencetuskan kontroversi adalah "Tersungkurnya Masjid Bujal", "Tanah Rakyat, Hak Kerajaan", "Tangannya Mengelus Bahu", "Memahat Sejarah Maksiat, Mencipta Tamadun Bohong", "Aku Diktator", "Anak-anak Terengganu Tahu Ngaji dan Nyanyi" dan juga "Hadharinya Agamaku".
Selain menerbitkan filem tidak bermoral, DP turut menerbitkan rancangan realiti TV seperti "Perkampungan Hadhari", "Chit Chat Senyum Sokmo Azwan" dan beberapa rancangan lain yang menjurus kepada permasalahan dan keruntuhan moral yang berlaku. DP pernah cuba menerbitkan rancangan seperti 999 yang dikenali dengan "Mat Skodeng", tetapi penayangannya dikatakan dihalang kerana berlawanan dengan konsep DP yang menerbitkan rancangan berbentuk maksiat dan dosa.
Berbalik kepada filem MDT, ramai yang tertanya-tanya apakah mutu filem yang akan ditayangkan itu nanti selaras dengan tajuknya yang lunak. Ini kerana pembikinan filem "Ulul Albab" suatu masa dahulu langsung tidak mendapat tempat melainkan dikalangan pelajar-pelajar sekolah agama. Sebab itu tayangan filem Ulul Albab ini terhad kepada mereka yang baik sahaja. Ini kerana DP masih dibayangi filem-filem yang rutin mereka mainkan yang berunsur porno, tahyul dan angan-angan semata. Lihat sahaja filem "Terengganu Leni" yang seolah-olah Terengganu maju 50 Tahun kehadapan berbanding negeri lain, walhal hakikatnya hanyalah dibesarkan Lapangan Terbang dan menaiktaraf IPT yang ada sahaja. Sungguh kelakar!.
Filem MDT ini juga disebut ramai kerana terdapat unsur syirik yang tersembunyi. Istilah "Masa Depanmu Terjamin" yang ditonjolkan dengan diletakkan bersama satu lambang neraca (bukan Neraka!) menimbulkan ketidaksenangan para imam bilal di negeri ini. (Setakat hari ini, aku kira tiada lagi khutbah Jumaat bertajuk sama dengan filem ini). Sedangkan sebarang jaminan dan apa sahaja hanya dari Allah dan semua yang berlaku hanya dengan keizinan Allah jua. Apa salahnya kiranya tajuk filem itu diletakkan sebagai "InsyaAllah, Masa Depanmu terjamin". Bukan sahaja akan dilihat lunak dan Islamik, malah tidak menimbulkan sebarang permasalahan pada perkataan tersebut.
MDT adalah sebuah filem yang tidak boleh diharapkan. Ini kerana jaminan yang diberikan seolah-olah penghujung cerita itu adalah anak-anak yang dipaparkan baik itu akan berjaya. Namun, menyedari hakikat sebenar perancangan DP yang dapat dilihat melalui filem lain, maka kesudahan cerita itu hanyalah sebuah cerita sahaja. Mungkin mahu digambarkan cerita itu baik dan lunak, tetapi hakikat yang berlaku tidaklah seperti filem itu. Hakikatnya yang perlu kita semua faham dan akui adalah, DP mencipta sejarah yang merosakkan anak-anak bangsa, menghebahkan budaya kuning dan hedonisme, mencipta tamadun maksiat yang berterusan, memahat sejarah sebagai sebuah produksi filem yang terburuk! Tiadalah yang lebih patut menanggung malu dan bertanggungjawab dalam soal rosaknya rakyat Terengganu, melainkan Tuan Direktor Deris Jusoh!
Apa pun, aku tetap mengharapkan Terengganu akan melahirkan anak-anak yang berjaya dunia dan akhirat. Namun dengan arahan Deris Jusoh, aku kira impian tidak akan menjadi realiti, sebaliknya akan menjadi mimpi yang amat ngeri. Seorang kawan yang bekerja di Hospital Sultanah Nurzahirah pernah mengkhabarkan bahawa kelahiran anak luar nikah (tidak saf taraf) di Terengganu sekarang adalah kira-kira 2 orang sehari. Kalu setahun adalah dekat 700 lebih!!. Sungguh menakutkan!. Agaknya jaminan anak-anak dilahirkan sebegitulah yang dijanjikan. Sedih dan pedih, hakikat perlu ditelan jua.
Aku kira, kita perlu tukar direktor filem yang ada ini. Walau poster yang ada cantik dan menarik minat, tetapi perjalanan filem yang cacamarba dan biru haru tiadalah gunanya. Suatu masa dahulu kerusi pengarah filem di Terengganu pernah diduduki oleh seorang yang baik lagi alim, tetapi kerana gila glemer, dan tamakkan nama dan harta, maka kerusi itu dirampas Deris Jusoh. Sudahlah filem yang diarah tidak sedap, tidak senonoh, kini poster dipasang keliling kampung supaya ada sorang dua yang akan tertipu dan pergi menonton. Aku kira, orang yang biasa menonton filem akan tahu pengarah yang bagaimana filemnya bagus, menarik dan berkualiti. Bukan sekadar promosinya sana-sini, tetapi isinya hampeh sahaja. Umpama filem "Anakku Khatam Quran" yang dilihat seolah-olah si anak berjaya khatam sebuah al-Quran, tetapi realiti adalah si anak baru mengenal huruf Alif, Ba dan Ta.
No comments:
Post a Comment