14 January 2007

Kelebihan Membaca Al-Quran.

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Dari Abi Umamah r.a katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda “Bacalah olehmu akan Al-Quran, sesungguhnya dia datang pada Hari Kiamat kelak memberi syafaat kepada tuannya”. – Hadis Riwayat Muslim.

Bacalah Al-Quran kerana ia akan muncul pada Hari Kiamat dan datang kepada pembacanya untuk memberi syafaat. Ini kerana Al-Quran adalah bersih dan suci. Merupakan Kalam Allah. Kalam adalah sifat Allah. Membacanya dikira ibadah.

Berlaku khilaf dikalangan ulama yang mana lebih afdhal di antara membaca Al-Quran dengan berzikir menyebut nama-nama Allah. Pendapat ulama tentang membaca Al-Quran lebih afdhal adalah kerana A-Quran adalah Kalam Allah (kata-kata Allah). Manakala ulama yang berpendapat zikir lebih afdhal adalah kerana zikir menyebut nama-nama Allah.

Al-Quran adalah kitab mulia yang suci sehinggakan jumhur ulama (kebanyakan) berpendapat tidak boleh menyentuh Al-Quran (mushaf) melainkan mereka yang berwudhuk. Maksud mushaf Al-Quran di sini adalah Al-Quran tanpa tafsir atau terjemahan. Mazhab Azzohiriyyah dan mereka yang bersependapat dengannya mengatakan tidak mengapa menyentuh Al-Quran tanpa wudhuk.

Larangan menyentuh Al-Quran ini hanya tertakluk kepada keadaan yang biasa. Ini tidak termasuk dalam bab darurat yang mana memerlukan tindakan segera kepada menyentuh atau memegangnya. Sebagai contoh jika Al-Quran dilihat berada di tempat yang tidak sesuai seperti terjatuh di jalanan, maka perlulah segera mengalihkannya.

Dari Nawwas bin Sam’an r.a katanya, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda “Dibawa di Hari Kiamat nanti Al-Quran dan ahlinya, yang beramal dengannya di dunia. Mendahuluinya oleh Suratul Baqarah dan Ali Imran, kedua-duanya berhujah membela tuannya”. – Hadis Riwayat Muslim (dengan riwayat yang sahih)

Pada Hari Kiamat, Al-Quran akan menemui ahli-ahlinya di padang mahsyar. Ahli-ahli Al-Quran itu terdiri daripada para pembacanya mahupun yang menghafalnya serta mereka yang beramal dengan Al-Quran. Al-Baqarah dan Ali Imran akan menjadi pembela kepada ahli Al-Quran bagi berhadapan dengan Allah SWT.

Ini menunjukkan betapa adilnya Allah Taala. Walaupun segala perlakuan, amalan dan tindak tanduk kita di dunia ini dalam ilmu dan pengetahuan Allah, tetapi Allah Taala tidak menghukum hambanya dengan pengetahuannya. Sebaliknya membenarkan berlakunya proses penghakiman dan pengadilan ke atas hambanya.

Ini samalah dengan proses penghakiman dalam syariah Islam yang mana tidak membenarkan hakim menghukum hanya dengan pengetahuannya semata. Perlu ada saksi, ada pembela (peguam) walaupun terbukti seseorang itu telah bersalah. Orang yang jelas bersalah juga perlu diwakili peguam kerana ini akan ‘membersihkan mahkamah’. Supaya setiap hukuman itu tepat kepada si pesalah.

Dalam perundangan Islam, membebaskan si pesalah itu adalah lebih baik daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Ini berdasarkan hadis nabi yang bermaksud “Sesungguhnya kesilapan seorang hakim membebaskn seorang pesalah adalah lebih baik dari kesilapan seorang hakim menghukum seorang yang tidak bersalah”.

Dari Saidina Usman bin Affan r.a katanya, berkata Rasulullah s.a.w “Sebaik-baik kamu ialah seorang yang belajar Al-Quran dan mengajarnya” – Hadith riwayat Bukhari.

Dari Aisyah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w “Seorang yang membaca Al-Quran sedang dia mahir dalam membacanya, bersamanya malaikat utusan Allah yang baik. Dan orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (berkeadaan payah), maka baginya dua pahala” –Hadith Riwayat Muslim.

Orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia seorang yang mahir dalam bacaann Al-Quran dijanjikan kepadanya akan bersama-sama dengan malaikat yang mulia iaitu pemimpin para malaikat. Adapun mereka yang membaca Al-Quran dengan susah payah, tergagap-gagap, dijanjikan kepadanya dua pahala. Iaitu satu pahala untuk bacaannya dan satu lagi untuk kesungguhan dia berusaha membaca Al-Quran.

Ada hadith yang lain menyebut pahala membaca Al-Quran adalah pada setiap huruf. Setiap huruf itu dijanjikan 10 ganjaran pahala. Membaca Al-Quran pula tidak dihadkan cukup sekali khatam sahaja malah hendaklah berterusan dan dijadikan amalan. Bahkan ada ulama khatam Al-Quran sebulan sekali dan ada juga yang khatam dalam masa 2 3 hari sahaja.

Orang yang memahami Al-Quran pula akan senantiasa mendapat ilmu dan pengetahuan yang baru dari berkat Al-Quran. Inilah kelebihan mukjizat Kitab Al-Quran yang tiada pada kitab-kitab sebelumnya. Rasulullah s.a.w juga pada setiap Ramadhan akan bertadarrus Al-Quran bersama-sama malaikat Jibrail. Saling mendengar bacaan dan saling membetulkan bacaan. Wallahua’lam

Nota: Kuliah Jumaat 5 Jan 2007, Masjid Rusila, Marang, Terengganu.

p/s: Aku rasa patut gak tukar singing box tu kepada ngaji Quran plak. Cuma takut berlaku 'mengangkat suara' melebihi Kalamullah bilamana sambil mendengar bacaan Quran, kita bercakap-cakap dan melakukan sesuatu yang tidak berfaedah. Mungkin juga berlaku 'penutupan' bacaan bukan pada tempat yang betul bilamana mahu meng'klik' pada link yang lain atau pautan yang lain. Wallahua'lam.


No comments: