Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...
Batu Talam-22 Jan. Seorang kanak-kanak tadika dipercayai dalam keadaan berbahaya apabila sekumpulan pelajar IPT termasuk beberapa orang lecturer sedang mengepung dan cuba melakukan serangan terhadap pelajar tadika itu. Kejadian ini bermula apabila seorang pelajar IPT 'berselisih pendapat' dengan kanak-kanak terbabit yang dikatakan mengambil gula-gula kepunyaan pelajar IPT itu. Akhirnya berlakulah cabar-mencabar antara kedua-dua mereka.
Kanak-kanak tadika berketurunan cina itu dengan tersenyum dan tenang menerangkan bahawa gula-gula itu adalah miliknya. Ini kerana gula-gula yang ada di tangannya itu dibeli dengan duitnya sendiri. Duit itu diberikan oleh bapanya sebelum ke sekolah setiap hari. Manakala pelajar IPT itu terus berkeras menyatakan gula-gula itu adalah miliknya yang telah tercicir.
Tidak puas hati dengan keterangan anak kecil itu, pelajar IPT itu mengajak anak kecil itu 'bertumbuk' bagi ditentukan kemenangan. Oleh kerana merasakan gula-gula itu adalah haknya, maka si anak kecil itu sanggup mempertahankan haknya walaupun tahu lawannya adalah jauh lebih besar fizikalnya. Tanpa disangka-sangka, si besar itu meniup wisel memanggil kawan-kawannya datang untuk membantunya. Tidak cukup dengan kawan-kawannya, lecturer yang mengajarnya dan petugas keselamatan di IPT terbabit turut diajak sama dalam 'bertumbuk' itu. Senyum si anak tadika. Jika perlawanan satu lawan satu pun dia sudah merasakan dia akan kalah, inikan pula jika semua mahu melanyaknya. Langsung tidak berperi kemanusiaan.
Namun sebaliknya pada fikiran si besar itu. Walaupun badannya besar, belajar dah sampai ke IPT, namun dia masih tidak yakin dengan kemampuannya itu. Sebab itulah kawan-kawan dan petugas keselamatan IPT pun turut diajak sama dalam 'bertumbuk' itu. Alasannya alang-alang menang, biarlah puas hati. Kalu tidak mati anak kecil itu dikerjakan pun, paling kurang biarlah si anak kecil itu tidak mampu menyentuh kulit dia pun dalam pertarungan itu.
Sebelum perlawanan dimulakan, si anak kecil mencadangkan agar seorang hakim dilantik agar menentukan keputusan pertarungan itu. Maka si pelajar IPT itu mencadangkan seorang kawannya menjadi hakim. Belum sempat dibantah oleh si kecil tadi, maka si pelajar IPT itu cepat-cepat mengumumkan kepada masyarakat sekeliling yang mula datang kerana bising kekecohan yang berlaku bahawa kawannya si SaPiR akan menjadi pengadil. Si SaPiR adalah seorang kenalan rapat si pelajar IPT. Sama-sama satu sekolah, satu geng dalam membuat maksiat dan memang sama-sama terkenal dengan kejahatan. Sekali lagi tertunduk si pelajar kecil. Walaupun terasa tekanan yang diterima, namun demi kebenaran maka diteruskan jua hasratnya mempertahankan haknya itu.
Kini, semua penduduk sudah mengelilingi padang tempat pertarungan 'bergaduh' itu akan dijalankan. Si pelajar tadika diberikan sebatang lidi, manakala pelajar IPT tadi dibenarkan menggunakan pisau oleh si SaPiR dibantu oleh kawan-kawannya yang turut memegang kayu cota. Jika sesiapa membantu si kecil, maka dia turut akan menjadi mangsa 'belasah' pelajar IPT dan kumpulannya.
Tepat Jam 1.28 tengahari itu, maka si SaPiR pun menembak ke dada si pelajar tadika tadi menandakan perlawanan telah bermula...
p/s: Catatan sebelum tidur. Korang sambung sendirilah kesudahan cerita yang aku reka ni. Ntah apa-apa punya cerita pun aku tak tahu. Yang aku tahu, aku tak kenal pun sape itu pelajar IPT itu dan anak tadika yang kecil itu. Aku kenal si SaPiR. Dia pernah mengaku dia seorang yang tidak adil sama sekali. Mengaku sistem pengadilannya itu memang akan menyokong kawannya. Tidak kiralah siapa yang betul atau salah, yang penting kawan mesti sentiasa betul dan tiada dosa. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment