Seawal pengumuman boikot lagi aku berkira-kira mahu menulis sesuatu tentang boikot ini. Boikot Pilihanraya Kecil Dun Batu Talam ini sebenarnya telah dijangka oleh beberapa sahabat yang arif dalam politik. Beberapa kenyataan pimpinan parti yang agak menekan SPR dan agak berhati-hati membuat keputusan samada mahu bertanding atau tidak menyerlahkan lagi kesungguhan untuk boikot ini.
Pada aku, ini adalah satu keputusan yang agak berani walaupun ada yang mungkin melihat suatu 'kebodohan' dilakukan pembangkang apabila tindakan ini memberikan kemenangan percuma kepada BN. Namun, inilah dunia politik. Bukan sekadar berpilihanraya. Bukan sekadar membuang undi. Bukan hanya menampal poster. Politik itu luas dunianya. Aku pun tidak tahu seluas mana dunia politik itu. Cuma yang aku tahu, politik itu penuh seni dan strategi. Penuh perencanaan dan perancangan. Biarkan aku tetap di 'dunia politik' ini agar suatu hari nanti aku juga tahu sepak terajang politik.
Pada aku, politik bukanlah segalanya. Tetapi kuasa politik banyak memberikan kelebihan dalam sesuatu agenda. Jika tidak, masakan Hijrah Rasul ke Madinah pada 1427 tahun yang lalu jika bukan kerana mahu menubuhkan Negara Islam Madinah. Hijrah bukan takut, tetapi mengatur gerak. Boikot bukan pengecut, tetapi memberi ugut. Memberi ingat.
Pertama, memberi ingat supaya bersihkan sistem pilihanraya. Bersihkan SPR, bersihkan kurap (korup). Biar sama-sama berlawan di atas padang yang rata. Pengadil yang adil dan saksama, pemain yang sama ramai. Cuma mungkin berbeza skill yang ada pada pemain. Itulah perlawanan anak jantan. Sepak dan bergaduh biar pengadil yang tentukan. Pengadil berkuasa memberi kad, berkuasa meniup wisel. Bukan pemain mengarah pengadil, bila masa kad merah, bila masa bola keluar padang.
Kedua, boikot ini turut memberi ingat. Jika sistem pilihanraya tidak lagi dipercayai, maka sistem alternatif akan diambil. Apa sistemnya? Sistem alternatif terlalu banyak. Negara jiran Thailand menunjukkan rampasan kuasa 'cara terbaik' menyelesaikan kes rasuah dan penyelewengan Thaksin. Angkat senjata juga adalah salah satu alternatif. Malah ramai berpendapat, ini lebih 'jihad' daripada membuang undi pada pilihanraya. Agak kasar? Tapi inilah hakikat!
Aku percaya PAS mahukan negara ini aman. Sebab itu belum ada arahan secara terang mahupun sembunyi supaya kumpulkan senjata, buat bom dan sebagainya. PAS masih mengharapkan ada perubahan ke atas sistem pilihanraya pada hari ini. Sebab itu rakyat didesak supaya membuat dan memberikan tekanan kepada pemerintah yang ada. Pelbagai penyelewengan oleh kerajaan seharusnya rakyat menunjukkan rasa tidak senang. Pelbagai kenaikan yang membebankan juga seharusnya rakyat membuat bantahan. Pelbagai undang-undang yang mengekang juga seharusnya rakyat menunjukkan rasa mahu bebas. Agaknya kerana undang-undang inilah rakyat kita terus kaku dan tunduk. Angkat dan angguk. Angguk lagi? Semuanya kerana perut. Mahu makan, mahu senang, mahu aman. Tapi tiada sedar ditindas dalam diam. Sedar-sedar bila sudah dihujung jalan. Sendiri yang dikekang. Mahu bertindak, keseorangan. Mahu bertempik pun mulut sudah diikat. Dah terlambat!
Aku masih mengharapkan wujud kesedaran yang tinggi dalam masyarakat. Supaya tiada lagi kezaliman dan tindakan yang keterlaluan yang dilakukan oleh kerajaan. Jika di Terengganu, pelbagai pembaziran dan kebocoran projek haruslah rakyat menghukum pemerintah yang ada. Jika senang dengan pemberian wang ehsan yang tidak seberapa, apa lagi yang mahu dikata. Senanglah seketika. Tunggulah derita!.
Kata seorang 'teman berusia': "Golongan sebegini (pengkhianat bangsa dan agama) usah diberi muka, ambik senjata dan tembak di kepala". Aku senyum dan angguk. Wallahua'lam.
p/s: Artikel di atas bukan bermaksud membangkitkan semangat benci kepada kerajaan. Tetapi lebih bermaksud kepada muhasabah kepada diri yang tiada nilai. Angguk dan terus angguk walaupun sesuatu itu tidak disenangi dan memang amat menzalimi.
No comments:
Post a Comment