Dari Abi Musa al-As’ari r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w “Bandingan seorang yang beriman yang membaca al-Quran, laksana buah utrujah, baunya harum dan rasanya sedap. Dan bandingan seorang yang beriman yang tidak membaca al-Quran umpama buah tamar (kurma) tiada bau padanya dan rasanya manis, dan bandingan orang munafiq yang membaca al-Quran laksana pokok raihanah yang baunya harum, tetapi rasanya pahit dan bandingan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran umpama pokok handzolah yang tiada bau dan rasanya pahit” –Bukhari dan Muslim.
Hadith diatas menunjukkan kelebihan al-Quran walau siapa pun yang membacanya. Bagi orang beriman, membaca dan mengamalkan al-Quran amat dituntut oleh Islam. Bagi orang munafiq (mengaku Islam, tetapi tiada iman), tidak beroleh apa-apa kebaikan daripada apa yang dibacanya, melainkan kepada orang yang mendengar bacaannya. Menunjukkan zahir mereka baik (orang munafiq), tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.
Dan dari Umar ibn Khattab r.a, bahawa Nabi s.aw. bersabda “Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab al-Quran ini beberapa kaum, dan Allah menghinakan dengannya (al-Quran) golongan yang lain” – Hadith Riwayat Muslim.
Hadith diatas menunjukkan bahawa al-Quran memuliakan beberapa umat di dunia ini, iaitu umat yang beramal dengan al-Quran. Dan menghina segolongan umat yang tidak beramal dengan al-Quran. Kemuliaan ini tidak semuanya dapat dilihat pada hari ini, kerana ada sebilangan umat yang akan dimuliakan Allah pada hari akhirat kelak. Mempertahankan al-Quran adalah satu jihad. Mati mempertahankan al-Quran adalah syahid. Allah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk dalam kehidupan. Sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai panduan, maka dia akan dimuliakan Allah. Sesiapa yang menolak al-Quran, maka azab dan seksaan akan menanti mereka pada hari akhirat kelak.
Dari Ibn Umar r.a “Tidak ada hasad (dengki) melainkan kepada dua perkara. Allah berikan kepadanya kelebihan tentang al-Quran, lalu beramal dengannya (al-Quran) pada waktu siang dan malam dan orang yang diberi Allah harta yang banyak, lalu membelanjakan hartanya ke jalan yang baik pada waktu malam dan pada waktu siang”
Tidak dikira hasad dalam mencemburui orang yang mempunyai kelebihan dalam al-Quran, dan beramal dengan al-Quran sekiranya yang dicemburui itu kearah mahu mengikut jejak langkah mereka. Menjadikan mereka sebagai contoh dalam membuat amalan dengan berpandukan al-Quran. Begitu juga dalam hal melihat orang kaya yang dermawan. Hartanya yang banyak digunakan untuk membelanjakan kepada yang haq dan diinfaq ke jalan Allah. Juga tidak salah dan tiada dikira hasad sekiranya mahu mencontohi golongan sebegini.
Dan dari al-Barak ibn Azib, katanya, ada seorang lelaki (bernama Hussin bin Hudzir r.a disebut dalam riwayat yang lain) dia membaca surah al-Kahfi pada suatu malam dan di sisinya ada seekor kuda yang tertambat dengan tali. Tiba-tiba awan menaunginya lalu menghampirinya lalu menjadikan kuda itu meronta-ronta. Manakala tiba waktu pagi, beliau mengadap Nabi s.a.w dan menceritakan perkara itu, maka sabda Nabi s.aw “Itulah dia as-Sakinah yang turun kerana engkau membaca al-Quran” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Mengikut riwayat, Hussin bin Hudzir membaca al-Quran (surah al-kahfi). Dalam pembacaannya beliau melihat kudanya meronta. Apabila beliau menghentikan bacaannya, maka kudanya senyap. Kemudian beliau keluar dari rumah sambil membaca al-Quran. Maka dilihatnya awan yang rendah. Dekat dengan bumbung rumahnya. Kudanya meronta kerana takut melihat awan yang rendah itu. Apabila beliau menghentikan bacaannya, maka awan itu menjauh darinya (naik), dan kudanya senyap.
Begitulah keadaannya dan berulang perkara ini. Lalu diceritakan kepada Nabi s.a.w dan Nabi bersabda “Itulah malaikat Rahmat yang turun kerana bacaan al-Quran olehmu”.
Dalam riwayat yang lain menyebut, baginda Nabi s.a.w berkata “Jika engkau meneruskan bacaanmu pada siang hari, maka nescaya perkara ini akan dilihat oleh orang lain”.
Dan dari Ibn Mas’ud r.a katanya, telah bersabda oleh Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (al-Quran), maka baginya satu pahala. Dan satu pahala ini diberi dengan 10 kali ganda. Aku tidak berkata ‘Alif, Laam, Mim’ itu satu huruf, bahkan Alif itu satu huruf, Laam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf.” Hadith Riwayat Tarmizi. Dikatakan hadith ini hassan lagi sahih.
Betapa ganjaran yang dijanjikan adalah besar jika membaca al-Quran. Mengandungi fadhilat tersendiri yang bukan sahaja mendapat berkat, sebagai petunjuk, malah berpahala membacanya.
Dan dari Ibn Abbas r.a, bersabda Rasulullah s.a.w “Sesungguhnya orang yang tiada dalam dirinya sedikitpun daripada al-Quran, laksana rumah yang buruk” –Riwayat Tirmizi. Hassan lagi sahih.
Hadith ini bermaksud orang yang tiada dalam dirinya satu surahpun walaupun surah al-Ikhlas (menunjukkan surah yang pendek), maka dirinya umpama rumah yang buruk (tiada berpenghuni). Wallahua’lam.
Kuliah pada 12 Jan 2007, Rusila, Marang, Terengganu.
No comments:
Post a Comment